Tuesday, November 30, 2010

AIR


Masalah air kini menjadi satu masalah yang agak mengecewakan sejak akhir-akhirnya.Hampir saban hari,ketiadaan air di kawasan kami.Sememangnya ia merupakan satu keperluan kepada kami malah sesiapa sahaja.

Nasib kami tidak mempunyai ahli keluarga yang ramai.2 tangki sudah cukup menampung keperluan keluarga kami.

Sudah berkali-kali aduan dibuat tapi sebarang tindakan yang sebenarnya tidak dilaksanakan seperti apa yang diperkatakan.Malah , ketiadaan air semakin menjadi-jadi.Apakah puncanya kami tidak ketahui.Kadang-kadang timbul rasa geram terhadap pihak tertentu.Boleh dikatakan seminggu hampir 4-5 hari,masalah ini timbul.Ayah dan hubby selalu juga menghubungi pihak berkenaan.Hendak dikatakan tidak membayar bil,tidak munasabah.Malah, ayah sendiri terpaksa membayar bil hampir RM100.00 ringgit kerana membuka angin sahaja tetapi air tidak ada.Kadang-kadang anak merungut kerana tidak dapat membasuh kain kerana masalah tersebut.

Sampai bilakah ianya berlarutan tidak kami ketahui..............

PENA KASIH: Suka tengok air hujan ...........Bersyukur di atas rahmat yang Allah kurniakan.

Monday, November 29, 2010

IKAN PATIN


Bila ke Pahang, tidak sah kalau tidak dihidangkan dengan masakan ikan Patin.Hari pertama sampai,kami disajikan dengan masakan tersebut.Sungguh enak.Hubby yang selama ini tidak menggemari ikan sungai teruja untuk mencuba memakannya.Ternyata dia tidak menolak untuk mencuba malah memintanya lagi.Penangan ikan patin yang dimasak bersama tempoyak.

Semalam,sewaktu perjalanan pulang, kami hendak singgah di Temerloh tetapi tidak kesempatan kerana kami membawa atok balik yang kurang selesa untuk singgah di mana-mana.Lantas,saya menelefon kak long meminta dibelikan dahulu untuk kami.

Kemudian perjalanan kami diteruskan dan kesemuanya singgah di kampung.Mak Uteh menghidangkan masakan ikan sungai.Sempat juga saya menggoreng ikan sungai.

PENA KASIH;Anak lelaki berulang kali mengajak kami memancing.......


Sunday, November 28, 2010

SEKITAR MAJLIS PERKAHWINAN



SELAMAT PENGANTIN BARU BUAT FAZRUL HANIM DAN CHE SYUKRI.



Memang sudah menjadi satu rutin setiap kali sebelum bertolak pulang ke destinasi,kami akan membantu apa yang patut.kali ini, kami mencuci pinggan-mangkuk.



Beransur-ansur meninggalkan rumah Mak Andak.Terima kasih atas layanan yang diberikan.



Saat untuk meninggalkan bandar Temerloh.Kami bermaaf-maafan di antara satu sama lain.



Sempat lagi mereka berposing sebelum balik ke Segamat.



Acara makan damai dijalankan...



Berdebar-debar menanti saat majlis pernikahan dijalankan.



Wajah ceria Fazrul Hanim.....



Kami beramai-ramai bergotong-royong menyediakan masakan untuk makan damai pengantin yang diketuai oleh Kak Long dan Mak Usu.Seronok berkumpul beramai-ramai ni....

.


Banting kedua-dua mempelai di pintu masuk ke rumah mereka.




Sebelum ke rumah Mak Andak, kami sempat singgah di pasar sehari di Temerloh.Teringat
kembali nostalgia lama di mana pasar sehari Temerloh merupakan salah satu destinasi utama kami setiap kali hari Ahad.







Bersiap sedia untuk ke rumah Mak Andak.Kami menginap di Homestay Biti yang terletak di Kampung Bangau Temerloh.


Pelamin yang bertemakan warna pink dan ungu ini begitu menarik sekali untuk mempelai Fazrul Hanim dan Che Syukri.Tahniah untuk kedua-dua pengantin.Semoga ianya akan berkekalan.

Saturday, November 27, 2010

HOMESTAY BITI


Seusai peperiksaan,hubby terus mengambil dan membawa saya ke Temerloh untuk bersama-sama di majlis pernikahan Hanim.Hari ini seperti tidak cukup masa untuk menjawab soalan apatah lagi ketika itu,saya berada dalam keadaan yang tidak selesa kerana demam secara tiba-tiba.Sudah beberapa hari ,saya mentelaah untuk kertas ini yang dianggap oleh saya agak mencabar.Hubby siang-siang lagi dah maklum...jika gagal leteran ialah ubatnya.Dia hendak saya buat yang terbaik tapi mampukah saya dalam keadaan yang kurang sihat untuk mendapat keputusan yang baik.Namun, saya berserah sahaja kerana saya telah melakukan yang terbaik untuk kertas ini dalam keadaan yang kurang selesa.

Perjalanan ke Temerloh bersama An yang turun dari JB.Hubby mengambilnya di stesen bas Segamat jam 3.oo petang .Ketika itu saya berada di dewan peperiksaan.Kali ini perjalanan kurang selesa kerana banyak lori di jalan raya.Agak lambat juga hendak sampai ke Temerloh.Hampir 8.00 malam,kami sampai di Temerloh dan sempat melihat Hanim dinikahkan oleh ayahnya sendiri.

Semuanya sudah berada di Temerloh.Mak Usu, Mak Itam,Mak Ngah serta anak masing-masing telah sampai lebih awal daripada kami.Ada yang menginap di hotel dan kami bersama Aman memilih Homestay Biti tempat penginapan.
Masing-masing keletihan..............semuanya cepat tidur.

PENA KASIH:Selamat Hari Jadi untuk Mak Andak yang menyambutnya bersama dengan majlis perkahwinan Hanim.

Friday, November 26, 2010

SERIK


Hampir seminggu Haziq tidak bersama-sama rakannya untuk bermain bola.Saya juga hairan dengan perubahan sikapnya itu.Tertanya-tanya dalam hati tapi tidak meluahkan ketika itu.Sehinggalah saya menerima perkhabaran terdapat di antara rakan-rakannya terlibat dengan kes kecurian motor.Emmm......barulah saya dapat membuat kesimpulan yang dia sedar,dia telah mencampuri rakan-rakan seperti itu.

Namun, padang yang hanya sekangkang kera itu tetap menjadi tempat mereka bermain bola.Kami membiarkan mereka bermain walaupun sebenarnya kami tidak puashati dengan sikap budak-budak itu.Bukan kami kedekut, tapi sikap dan mentaliti yang ditunjukkan tidak sepatutnya berlaku kepada mereka yang berusia masih mentah lagi.Masih jauh perjalanan kehidupan mereka.Tapi apabila ditegur, ada ibu bapa yang sukar untuk menerima teguran tersebut.Jadi,kini kami mengambil sikap mendiamkan diri sahaja.

Bermain dengan keadaan berlari-lari sambil menghisap rokok.Bertaburan kotak rokok-rokok di sana sini.Kami masih terus bersabar.Kasihan ibu bapa yang tidak tahu keadaan sebenar anak mereka.Cuma, mereka agak takut dengan keseriusan husband saya yang akan memastikan padangnya sentiasa bersih dan tidak ada sampah sarap dibiarkan begitu sahaja.Jika tidak ,Haziqlah yang akan menjadi mangsa leterannya.Haziq akur dengan kehendak ayahnya.Kadang-kadang dia mengalah dan memungut segala kotak-kotak dan sampah sarap di atas padang andai kata kawan-kawannya tidak memungut sampah tersebut.Begitulah jika disiplin tidak disemaikan pada anak-anak.

Tiang gol kampung yang dibuat sendiri juga kadang-kadang dibiarkan tercacak tanpa dialihkan ke tempat yang sebenarnya.Sekali lagi,Haziq menjadi mangsa leterannya dan kini tiang gol kampung itu telah dibuang jauh-jauh oleh Haziq.Dia tidak mahu menjadi kuli kepada rakan-rakannya yang hanya pandai bermain tapi tidak menghormati hak orang lain.

Kini, Haziq tidak berani lagi meminta kebenaran kami untuk bermain futsal mahupun bola kerana kejadian yang berlaku pada rakannya itu.Dia takut dia akan terbabit walaupun sebenarnya dia tidak tahu apa-apa.Berkali-kali saya menasihatinya supaya jangan mencampuri rakan-rakan seperti itu kerana takut dipengaruhi.Maklumlah zaman sekarang,mereka lebih mempercayai rakan daripada pesanan dan nasihat ibu bapa.

Ayahnya hanya membenarkan dia berkawan dengan Amir sahaja yang merupakan sepupunya.Kami sebenarnya tidak mengongkong untuk dia berkawan tapi kini dia sudah tahu membezakan rakan-rakan yang perlu dicampuri.Tersentak kerana kesan daripada kes kecurian motor.

PENA KASIH:Berkawan biarlah berpada-pada...........

GANGGUAN


Hari ini dan setelah beberapa hari bercuti, saya mengambil keputusan untuk menelefon sekolah bertanyakan beberapa perkara khususnya yang berhubungkait dengan bidang tugas saya.Terutama surat-surat yang perlu dijawab dan diambil tindakan dengan segera.Rupa-rupanya ada surat yang perlu dijawab dan dihantar kepada pihak tertentu.

Mereka tidak mahu mengganggu saya yang kini sedang bercuti untuk menghadapi peperiksaan.Ketawa kecil saya apabila mendengar my PAP bercakap seperti itu.Semuanya akan dimaklumkan pada minggu hadapan yang merupakan minggu bertugas saya.InsyaAllah, saya akan usahakan untuk menyelesaikannya.

Petang ini sahaja beberapa panggilan diterima ingin meminta pandangan dan tindakan yang perlu diambil.Thanks to my staff yang begitu prihatin dengan bidang tugas masing-masing.

Banyak kerja sebenarnya yang perlu diselesaikan khususnya untuk tahun hadapan.Masih terbayang akan kesibukkan saya seperti tahun lepas untuk menyelesaikan jadual waktu dan takwim serta perancangan jangka panjang dan jangka pendek terutama berkaitan dengan bidang kurikulum.

Yang pastinya, saya akan cuba buat yang terbaik untuk kepuasan diri sendiri dan rakan-rakan sekerja.Namun ,untuk saya memuaskan hati semua pihak bukanlah sesuatu yang mudah.Banyak kriteria yang perlu diambil kira dalam menyelesaikan sesuatu masalah.Bukan senang apabila kita berada dalam barisan pengurusan dan pentadbiran sekolah.

PENA KASIH:Tidak suka diganggu dengan perkara yang remeh-temeh.

Thursday, November 25, 2010

PERCUBAAN PERTAMA



Masakan pertama saya semasa saya diperingkat belajar memasak ialah menggoreng kubis.Ingat sewaktu emak dan ayah balik daripada menoreh,melihat masakan terhidang di atas meja.Mula-mula saya begitu ragu-ragu untuk memasak.Maklumlah buat pertama kali hendak memotong kubis pun masih terkial-kial lagi.Menggigil tangan takut terkena pisau.Seribu macam perasaan yang timbul.

Namun, saya tetap juga berusaha untuk belajar memasak.Mula-mula masakan pertama saya ialah menggoreng kubis.Selepas itu, saya belajar jenis masakan lain.Menggoreng ikan dan menggoreng sambal yang merupakan makanan kegemaran saya ketika itu.Takut juga emak dan ayah tidak menyukai masakan saya.Tapi ,alhamdulillah mereka tidak cerewet dan makan apa yang sedia ada.Thanks emak kerana banyak mengajar saya memasak.Yang penting mencuba.

Kemudian bila sudah berumahtangga dan hidup berdua sahaja, cepat-cepat saya maklumkan kepada husband yang saya bukanlah orang yang pakar memasak.Alhamdulillah dia memahami keadaan saya sebenarnya.Mana hendak belajar memasak.Selepas sahaja sekolah,saya terus bekerja sambilan di kilang dan kemudian masuk maktab.Bila sudah berada di maktab, makanan semuanya dibeli.

Kini, proses yang sama juga dialami oleh anak perempuan saya.Selepas SPM, dia terus sahaja bekerja di Klinik dan kemudian menyambung belajar.Masa cuti inilah saya meminta dia belajar memasak.Tapi,minatnya tidak kepada memasak sebaliknya mengemas rumah.Namun, saya tetap menjelaskan kepadanya,pandai bagaimanapun, masak tetap menjadi keutamaan kepada kaum perempuan.

PENA KASIH :Sambal udang menjadi menunya hari ini.

WANG PENDAHULUAN


"Ma...kita dapat RM1500.00,"itulah kata anak perempuan saya.Kami agak terperanjat juga dengan apa yang diperkatakan.Duit apa?Timbul satu persoalan yang bermain-main difikiran ini.Sehinggalah dia memaklumkan dia mendapat PTPTN untuk kursus yang diikutinya bagi pengajian sewaktu di UiTM Segamat dahulu.Dia pernah memohon tapi kami ingat sememangnya dia tidak layak untuk mendapatkannya.

Lalu, dia menghulurkan segala surat-surat untuk dikembalikan semula kepada pihak berkenaan dan memaklumkan status anak saya kini.Ayahnya yang akan menguruskan segalanya kerana ia bukan menjadi hak kita dan perlu dipulangkan semula.

Anak saya hanya sempat berada di UiTM Segamat untuk jangkamasa yang pendek sahaja iaitu selama tiga minggu.Dia tetap berusaha untuk ke IPG sebagaimana impian dan hasratnya itu.Sempat jugalah dia merasai suasana dan duduk di kampus UiTM Segamat.Seboleh-bolehnya dia hendak ke UiTM Melaka dan tidak mahu bersama-sama dengan ayahnya dikampus yang sama.Banyak sebenarnya yang difikirkan.........tapi dia tetap berterima kasih kepada UiTM Segamat yang memberikan peluang kepadanya mengenali dunia institusi pengajian tinggi.

PENA KASIH: Ikut minat anak-anak................

TAWARAN


Emmmm........cuti hampir sebulan lebih.My daughter yang baru balik dari Perlis sudah mula berasa bosan dengan cuti yang berpanjangan.Kalau selama ini, dia sentiasa sibuk menghadiri kuliah tapi apabila sudah tidak sibuk mulalah berasa bosan.Lalu saya meminta dia belajar memasak dan mengemas rumah serta membuat kerja apa yang patut.Pagi dia lakukan itu semua tetapi bila petang dia menghabiskan masa dengan menonton dan tidur.

Sesuatu yang menggembirakan hatinya ialah apabila kawan lamanya yang sama-sama bekerja di klinik telah menelefonnya memaklumkan ada kerja kosong di klinik tersebut.Doktor tersebut juga meminta my daughter bekerja di situ dan bersetuju meminta anak saya mula bekerja pada first December.Hilang rasa bosannya.Memang susah sebenarnya doktor tersebut hendak mendapatkan pekerja yang komitmen kepada tugas yang diberikan.Kalau adapun mereka gagal menghafal nama-nama ubat yang perlu diberikan pada patient.Alhamdulillah setakat ini, my daughter bekerja selama 6 bulan sebelum mendapat tawaran ke UiTM dan kemudian IPG dapat melaksanakan tugas dengan baik.Tidak sampai beberapa bulan bekerja dia mendapat kenaikan gaji sehingga mencecah hampir RM600.00. Kawannya yang bekerja di situ agak pelik.Saya berbalik kepada soal rezeki....kalau kita bekerja dengan sepenuhnya dan merasakan itu tanggungjawab,insyaAllah kita akan mendapat ganjarannya.Yang menariknya emak doktor tersebut seboleh-bolehnya meminta anak saya bekerja secepat mungkin tapi disebabkan ada hal lain,anak saya tidak dapat memenuhi permintaan ibu doktor tersebut.

Sebagai ibu saya sebenarnya tidak menggalakkan dia bekerja untuk 'part-time'.Tapi dia tidak mahu menghabiskan masanya dengan tidak membuat kerja-kerja yang tidak berfaedah,dia tetap ingin bekerja di klinik tersebut.Minatnya kepada pekerjaan jururawat memang tetap ada selain daripada menjadi guru.Namun, ayahnya tidak menggalakkan dia menceburkan diri dalam bidang kejururawatan kerana mempunyai pandangan tersendiri.

PENA KASIH:Bidang perguruan tetap menjadi pilihan saya.


IMPIAN


Seingat saya, sewaktu di peringkat remaja dan tatkala emak dan ayah mencari rezeki,kami dua beradik tinggal di rumah.Kami hanya dua orang adik-beradik sahaja iaitu kedua-duanya perempuan.Melihat kegigihan ayah dan emak, mencari rezeki tertanam satu azam bahawa suatu hari nanti ,saya akan mengubah kehidupan kedua-dua orang tua saya.Alhamdulillah, hasrat dan impian saya tercapai dan emak dan ayah juga telah dapat menunaikan haji pada tahun 2006.Tidak putus-putus saya berdoa kepada Allah...memohon agar suatu hari nanti saya mampu menunaikan hasrat emak dan ayah untuk menjejakkan kaki ke Mekah.

Melihatkan ayah dan emak seawal pagi,bangun menoreh getah mencari rezeki untuk anak-anak dan kebahagiaan keluarga,juga memberi satu keazaman dan nekad untuk belajar dengan bersungguh-sungguh.Walaupun, mendapat gred 1 dalam peperiksaan SPM, saya tidak dapat ke mana-mana kerana mungkin tersalah memilih 'course' .Saya akur akan keadaan dan reda dengan apa yang berlaku.Saya meneruskan pengajian di tingkatan 6 dan alhamdulillah,saya berjaya mendapat tempat di maktab.Itulah impian saya sebenarnya dan seboleh-bolehnya ingin menjejakkan kaki ke universiti.Sekali lagi saya kecewa kerana gagal untuk mendapatkan tempat di universiti dan saya terima dengan reda.

Syukur hasrat untuk menjejak kaki ke universiti tercapai walaupun ketika itu usia sudah menginjak hampir angka 40.Tapi saya tetap berazam dan berusaha untuk ke arah itu.Dengan sokongan yang kuat daripada keluarga terutama husband dan emak serta ayah, saya harungi segala susah payah saya.Impian untuk ke sana telah saya capai.Kini, saya masih meneruskan hasrat suami yang sememangnya ingin melihat saya terus berjaya dalam kerjaya saya dan berilmu.Begitu juga dengan emak yang sentiasa memberikan sokongan kepada saya untuk memajukan diri.Emak sebenarnya terlalu banyak memahami kehendak hati anak sulungnya ini.

Kini,saya dan suami berhasrat pula untuk menjejakkan kaki ke Mekah.Mudah-mudahan impian dan hasrat saya akan tercapai suatu hari nanti.

PENA KASIH:Jika impian telah ditanamkan dalam hati,InsyaAllah akan berusaha dengan bersungguh-sungguh disamping berdoa kepada Allah agar apa yang diimpikan akan tercapai.Bersabar........


PENGORBANAN


Pengorbanan demi orang lain.Ungkapan yang sering kita dengar semata-mata hanya untuk orang lain.Itulah yang sebenarnya berlaku kepada kami.Tapi kami masih bersabar hanya kerenah yang dianggap orang enteng sahaja kalau mereka rasa tidak ada rasa bersalah dan bertanggungjawab.

Sudah sekian lama, kami diam dan pendamkan sahaja agar tidak ada perasaan yang terguris, agar semuanya berjalan dengan baik demi sebuah kebahagiaan.Itulah sebuah pengorbanan dan hanya orang tertentu sahaja yang tahu dan menilainya.Tapi kalau tidak ada kesedaran diri, mereka tetap menyalahkan pihak lain.Hendak berselindung disebalik kesalahan dan tidak mengaku kesalahan adalah lumrah sebenarnya dalam diri manusia.Sebenarnya jika tidak tahu disebalik cerita,kita jangan pandai membuat andaian yang bukan-bukan.Saya biarkan mereka bermain dengan perasaan sendiri.

Kami saling ingat mengingati dan tegur-menegur di antara satu sama lain.Alhamdulillah,setakat ini komunikasi dua hala dan saling berbincang di antara satu sama lain menyebabkan kami sentiasa berada dalam suasana yang penuh mesra.Setiap kali berlangsungnya perbualan, kami tidak pernah sekali menyentuh nama orang lain yang kami anggap tidak boleh dijadikan kawan.Itu pesanan suami kepada saya.

Sememangnya kami banyak berkorban.Biarlah kami sendiri yang menyimpan segala-galanya.Yang hanya mereka nampak di luaran sahaja tapi disebalik itu tersimpul pelbagai cerita yang tidak diketahui oleh orang lain.

PENA KASIH:Berkorban apa sahaja demi sebuah ikatan kebahagiaan.....

Wednesday, November 24, 2010

PENYAKIT MUDAH MARAH


Diambil daripada petikan Harian Metro bertarikh :25 NOV.2010 sebagai renungan bersama.

KUALA LUMPUR: Individu yang mudah marah seharusnya berusaha mencari rawatan bersesuaian sama ada dari sudut agama atau perubatan moden, kerana amarah yang tidak terkawal sejenis penyakit yang perlu dipulihkan segera sebelum ia membawa kesan buruk kepada diri sendiri atau orang sekeliling.

Perunding motivasi yang juga penceramah bebas, Profesor Madya Md Izuddin Ali berkata, dalam melayari alam berumahtangga, perasaan marah boleh membawa masalah, tetapi pasangan perlu bijak bersama-sama mengawalnya.


Beliau berkata, bagi pihak isteri, mereka digalakkan supaya tidak menaikkan kemarahan suami yang sedia baran iaitu dengan tidak melakukan perkara membangkitkan amarah, namun suami juga perlu banyak bersabar serta tidak mudah melenting.

“Namun, ada juga suami memang jenis baran sehingga apa saja dilakukan isteri tidak kena pada matanya dan di sinilah suami perlu mendapatkan rawatan iaitu sama ada pengetahuan dari segi agama atau moden bagaimana untuk menangani rasa marah.


“Dari sudut agama, seseorang yang marah itu digalakkan mengambil air sembahyang, atau duduk jika sedang berdiri atau baring jika duduk dan digalakkan mengaji, berzikir ataupun bersembahyang bagi menghilangkan rasa marah.


“Dari segi perubatan moden pula, jangan malu untuk mendapatkan rawatan contohnya dengan bertemu pakar psikiatri atau kaunselor bagi mendapat nasihat,” katanya ketika dihubungi, semalam.

PENA KASIH :Tidak suka orang yang mudah melenting tidak tentu pasal.

SAHABAT


Sesungguhnya mempunyai sahabat yang ramai amat baik andaikata kita memahami erti persahabatan yang sebenarnya.Tidak rugi mempunyai sahabat yang ramai andaikata kita menjadikan sahabat itu sebagai teman untuk bertukar-tukar fikiran dan pandangan.Namun,kita perlu tahu membezakan batas-batas persahabatan.

Dengan adanya fb, kita dapat mencari sahabat-sahabat yang suatu ketika dahulu ada bersama kita.Tetapi setelah membawa haluan masing-masing, persahabatan itu tinggal begitu sahaja.Sukar untuk dijejaki tetapi bersyukur kerana fb dapat menemukan kita dengan rakan-rakan walaupun tidak sepenuhnya.

Mungkin juga kita bakal kehilangan seorang sahabat kerana kita gagal mengawal dan menjaga perasaan sahabat.Tanpa disedari kita tidak mampu untuk mengawal tutur bicara,kita gagal mengawal perasaan kerana kita terlalu emosi malah adakalanya setiap perkataan yang kita tulis disalah ertikan.

Lantas, apabila berbicara tentang sahabat,banyak yang perlu kita fahami dan memerlukan pengertian yang mendalam.Adakalanya kita terpaksa akur kehendak sahabat demi menjaga hati dan perasaan mereka malah ada kalanya kita beralah semata-mata untuk menjaga hati mereka.Itulah erti sebuah persahabatan.

PENA KASIH:Banyak belajar dari erti sebuah persahabatan.

BUAH TANGAN




Memang menjadi satu kemestian barangkali, kalau sesuatu majlis perkahwinan sudah tentu ada sahaja buah tangan yang dibawa untuk saudara-mara yang mengadakan majlis tersebut.Tidak kiralah sama ada rempeyek,kuih loyang atau kuih tiram.

Semalam, saya ke kampung menemani emak mentua yang ingin memberikan kuih tiram untuk adiknya yang akan mengadakan majlis perkahwinan di Temerloh.Lebih kurang pukul 2.00 petang,emak menelefon meminta kami menghantarnya ke kampung.Namun, hubby yang pulang agak lewat dari kerja menyebabkan program untuk ke kampung agak terlewat sedikit.Namun, hasrat dan impian emak tetap kami tunaikan walaupun sebenarnya saya perlu berjuang dengan buku-buku.Lebih kurang pukul 9.30 malam, kami beredar dari kampung.

Inilah peluang Apiz yang sememangnya menunggu kami untuk datang ke rumahnya .Awal-awal lagi dia telah merangka rancangan untuk bertanya dengan saya sama ada saya ada duit atau tidak untuk membelikan permainannya.Lantas, saya memaklumkan kepadanya Uda tidak ada duit dan duit Uda ada di bank.Jawapan seorang kanak-kanak......macamana abang nak beli mainan?Lalu bertanya kepada Uda Wanya......Tidak sampai hati.....kami tetap membelikan mainan untuknya bagi memuaskan hatinya.Dapat sahaja mainan terus hendak balik ke IOI dan tidak mahu ke kampung.

Berbalik soal buah tangan,saya begitu tertarik dengan kerjasama yang ditunjukkan oleh atok dan Mak Uteh.Mereka telah menyediakan kuih rempeyek dan kuih loyang untuk dibawa ke Temerloh.Khabarnya Mak Itam juga menyediakan kuih bahulu.Yang lain saya tidak pasti apa bentuk buah tangan yang dibawanya.Itulah kata sepakat antara adik-beradik yang saling hormat-menghormati antara satu sama lain.Yang muda menghormati yang tua.

PENA KASIH:We share together for Mak Andak's birthday.

LAPTOP


Mungkin ia satu keperluan pada masa ini.Mudah untuk dibawa dan harganya tidak terlalu mahal dan boleh dibeli tidak kira sesiapa. apabila diperlukan ia sudah menjadi satu desakan untuk memilikinya.

Baru-baru ini, anak lelaki terlalu beria-ia untuk memiliki laptop.Bukannya kami tidak mahu membelikannya.Tapi disebabkan kami sendiri sudah memiliki tiga laptop dan satu pc sudah cukup untk digunakan oleh kami.Saya sendiri yang mempunyai dua buah laptop yang semuanya digunakan secara peribadi untuk tugasan sekolah saya dan sememangnya dibeli khas untuk kerja-kerja pentadbiran saya.Telah dua tahun saya memilikinya dan alhamdulillah setakat ini tidak menjadi masalah.Akhirnya,saya memberikan satu laptop milik peribadi saya kepada anak lelaki yang begitu teruja untuk memiliki sebagaimana alongnya perolehi.Untuk mendapatkannya, perlu dileteri juga agar dia tidak terlalu leka dengan dunia komputernya.Untuk mengguna laptop ayahnya, sudah tentu tidak diberi oleh ayahnya kerana banyak maklumat berkaitan dengan kerja ada tersimpan di situ.Hendak-hendak tidak hendak dilepaskan satu laptop untuknya.Dunia IT banyak mengubah segala-galanya.Kini PC tidak menjadi pilihan anak-anak sekarang sebaliknya ingin memiliki laptop yang dianggap begitu senang dan mudah di bawa ke mana-mana.

Waktu cuti ini, sahaja saya memberikan peluang kepadanya untuk menggunakan laptop tersebut.Selepas ini, semuanya akan dicontrol agar dia tida terlalu khusyuk dengan program yang ada didalamnya.

PENA KASIH:Ianya satu keperluan...........

Tuesday, November 23, 2010

SENDIRIAN


Hari ini saya sendirian di rumah.Tiada gangguan.Kedua-dua anak mengikuti emak dan ayah ke Johor Bahru.Hubby ke tempat kerja.Seusai mengemas dan memastikan kawasan dalam rumah bersih dan sudah dimop,saya meneruskan misi saya dengan membaca buku.Pagi lagi husband call,menyuruh saya membaca buku.............Buat ulangkaji..kerana hari ini hubby tidak meminta saya memasak.Tinggal berdua sahaja.Hanya meminta saya membuat ulangkaji.Kena akur....permintaan sifu saya.

Berulang kali membaca........susah juga untuk meningatkan apa yang dibaca.Hanya perlu baca 4 tajuk sahaja dan apa yang perlu dibaca sudah dimaklumkan.Apa lagi ya.......dapat lect.yang baik seperti ini.InsyaAllah,saya akan cuba buat yang terbaik.

Bila saya study,semuanya perlu senyap.Tiada sebarang suara radio mahupun TV.Mereka memang sudah tahu cara saya.Hari bersama TV ditutup sementara waktu.Jika tidak mereka akan beralih ke bilik pertama atau berada di ruang dapur yang kami sediakan untuk mereka melepak.

Saya sendirian di bilik sambil mentelaah apa yang patut.Membuat nota dan kemudian membaca berulang kali.

PENA KASIH: Cuba sedaya upaya.........

Monday, November 22, 2010

TERKEJUT


Tanpa disedari saya terlena sewaktu membaca.Keletihan di siang hari.Mengemas rumah dan melayan tetamu yang hadir.Tapi seronok kerana dapat berkenalan dengan mereka.Buku yang berada di sisi saya hanya memerhati sahaja tuannya yang telah lena dibuai mimpi .Tapi alhamdulillah dua bab lebih telah saya baca.Mudah-mudahan Allah permudahkan saya untuk menjawab soalan-soalan yang bakal saya tempuhi nanti.Gementar sebagaimana calon SPM yang akan menduduki peperiksaan pada hari Selasa nanti.Mudah-mudahan Allah juga mempermudahkan mereka untuk menjawab.Tiada jalan pintas untuk berjaya andaikata tidak disulami dengan usaha dan berdoa kepada Allah.

Tatkala saya dibuai mimpi, tiba-tiba dikejutkan dengan suara menyebut 'lipan'.Anak lelaki yang sedang leka dengan laptopnya menjerit kerana terlihat lipan sedang menjalar berhampiran dengannya.Terkejut lalu terus terjaga.Hilang sekejap mengantuk saya kerana terperanjat disebabkan seekor lipan.Entah dari mana datangnya lipan tersebut masih menimbulkan persoalan kepada kami.

Lantas hubby terus mengetuk lipan tersebut sehingga mati.Bisa gigitan lipan sangat berbahaya.Baru-baru ini, saudara saya ada juga terkena gigitan lipan dan dibiarkan sehingga pagi.Namun,akhirnya dia terpaksa dibawa ke hospital kerana tidak tahan dengan bisanya itu.Tapi, saya bersyukur kerana masih dapat mengelak daripada terkena gigitan tersebut kerana cepat disedari.

PENA KASIH :Pernah terkena gigitan lipan kecil tapi teramat bisa.

TETAMU






Hari ini saya menerima tetamu dari Terengganu.On the way,balik ke Terengganu dari Johor,mereka singgah di rumah saya.Ingin tahu di mana letak kampung ini bersesuaian dengan namanya.

Sudah beberapa kali menghantar mesej untuk singgah di rumah saya.Kebetulan hari ini merupakan cuti umum bagi negeri Johor,so kami tidak ke mana -mana.Jadi, peluang mereka untuk singgah di rumah saya memang tidak menjadi masalah.

Sepatutnya mereka sampai di rumah kami tengah hari tetapi mereka singgah di Batu Pahat di rumah kawannya.Mereka sampai di rumah saya lebih kurang pukul 3.00 lebih dan bertolak pulang ke Terengganu jam 6.00 petang.Terima kasih kerana sudi datang ke teratak kami .Adik saya menyediakan menu puding yang merupakan kegemaran kami sekeluarga.Kami masak daging salai, ayam , sayur campur dan juga sotong .Alhamdulillah.......mereka berselera sekali.

PENA KASIH: Thanks kerana sudi hadir ke teratak kami.




Sunday, November 21, 2010

TUMPUAN

Dua hari berada di JB.Di rumah Kak Long.Menemani husband yang mempunyai urusan di sana.Pelbagai cerita dikongsi bersama.Sambil itu sempat juga belajar masak dengan kak Long yang sememangnya begitu pandai memasak dan juga masakannya begitu sedap.

Kami tidak ke mana-mana dan ingatkan hendak shopping di JB tapi husband keletihan.Niat itu dipendamkan sahaja.Namun, dalam perjalanan pulang, kami sempat singgah di KipMart yang merupakan destinasi yang tidak pernah tidak kami kunjungi jika ke sana.Kami membeli pelbagai jenis ikan, sotong ,udang dan sayur-sayuran.Murah dan segar.

Peluang saya untuk memberikan tumpuan kepada apa yang saya belajar selama ini.Habis juga satu buku saya baca dan meneliti dan memahami apa yang terkandung dalam buku yang bakal dicurahkan pada 24 hb ini.Bukan senang untuk mengingati kesemuanya.Perlu baca berulang kali.Maklumlah bila usia meningkat daya ingatan kurang sedikit.Namun, saya tetap akan meneruskan perjuangan ini.InsyaAllah.

Saya tidak mengambil masa yang begitu lama untuk mentelaah apa yang dipelajari sebaliknya setiap dua jam saya akan berhenti dan berehat sebentar.Lepas itu sambung semula.Ragam orang tua apabila membaca apatah lagi dengan komitmen yang begitu banyak .Thanks to hubby kerana memberi dorongan dan sokongan sepanjang saya belajar dan sentiasa mengingatkan saya untuk study.Apa-apa pun orang hendak kata, kami tetap seperti biasa.
Kami tetap dengan dunia kami.

PENA KASIH:Tidak mudah untuk memberikan tumpuan sepenuhnya.

Friday, November 19, 2010

2 TEMPAT



2nd place -Pumpkin House



Suasana di Juara Ikan Bakar
Jamuan perpisahan untuk Pn Desirani telah diadakan pada pukul 8.00 malam bertempat di Juara Ikan Bakar Segamat.Sesuatu yang tidak pernah berlaku ialah kami menggunakan dua tempat yang berlainan untuk majlis yang sama.Namun yang pastinya apa yang dijanjikan tidak seperti yang diharapkan.

Makanannya sedap tapi disebabkan ketidak selesaan, kami telah mengambil keputusan untuk pergi ke Pumpkin House.DI sinilah upacara berucap dan penyampaian hadiah sebagai kenang-kenangan dijalankan.Makan di Juara dan kemudian beralih ke Pumpkin House.Memerlukan privasi sedikit untuk upacara berucap.

Malam yang cukup indah ini, disulami dengan perasaan sayu,sedih untuk meninggalkan rakan-rakan seperjuangan.Hampir tujuh tahun bersama dengan kami,sudah tentu banyak nostalgia indah ,suka duka bermain di fikiran.Tatkala ucapan disampaikan, tanpa disedari linangan air mata mengalir di celah-celah kelopak mata.Sungguh syahdu sekali.

Banyak tersimpul kenangan bersama.Bila diputarkan kembali, itulah roda-roda kehidupan.Mengikuti suami yang berpindah ke Setiawan Perak atas tugas hakiki.Semoga Pn Desi menjadikan kenangan di SKCC amat menarik sekali.Cara pengajaran yang menarik menyebabkan anak-anak murid terasa akan kehilangannya.Apatah kami sebagai rakan sekerja .Sudah tentu terasa akan kehilangannya.

PENA KASIH: Teringat sewaktu berkhidmat di Jengka 4.Meninggalkan rakan-rakan dan penduduk di situ.Mereka begitu prihatin sekali.

Thursday, November 18, 2010

SELAMAT BERCUTI




Murid-murid yang paling gembira apabila cuti bermula.

Percutian persekolahan bermula pada hari ini.Ada yang gembira dan sedih.Pagi lagi pelbagai amanat di sampaikan kepada semua guru dan juga murid.Mengingatkan murid agar menjaga keselamatan diri sepanjang percutian sekolah dan membuat ulangkaji .Semua buku telah diagihkan kepada semua murid bagi memudahkan mereka membuat ulangkaji.

Tahniah Puan Desi atas pencapaian 100% Bahasa Inggeris.



Pagi ini juga diadakan majlis penyampaian sijil kepada guru-guru tahun 6 yang telah berjaya mencapai sasaran UPSRnya iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.Majlis penyampaian sijil telah disempurnakan oleh guru besar.Juga kepada CIk Fauziah yang telah menjadi guru ganti kepada Pn Salbiah.Tahniah dan terima kasih kepada semua guru tahun 6 dan juga cik Fauziah.

Kemudian ,guru besar juga telah meraikan kejayaan pencapaian UPSR dengan membelanja guru makan.Dalam masa yang sama, guru besar telah memberikan sumbangan peribadinya kepada guru BM dan BI tahun 6 serta Panitia mata pelajaran tersebut.Sumbangan ini adalah sebagai motivasi guru besar kepada guru-guru sekolah ini telah sanggup mengorbankan masa dan tenaganya untuk memastikan pencapaian sasarannya.Terima kasih ,gb


PENA KASIH:Seminggu sahaja bercuti bersama keluarga.

SEHARI DI KAMPUNG DAN SERTING




Emmm.......meraikan hari raya Aidil Adha tidak sah kalau tidak berkunjung ke kampung.Semalam,kami sekeluarga ke kampung menemani emak mentua.Tiada sesiapa yang balik.

Kami hanya anak beranak dan membawa Hadif sekali .Biasalah,Mak Ngah tetap ada bersama anaknya.Kali ini,kami tidak lama di kampung dan balik awal .'Miss comunication',Mak Uteh sekeluarga pula berada di Batu Anam dan kami berselisih jalan dan tidak perasan akan kereta Pak Uteh.




Kemudian,kami balik dan Adah menelefon meminta kami ke Serting.So, kami ke sana atas permintaan emak.Hendak berjumpa Adah dan seterusnya meraikan hari jadi Zizi.Sempat juga kami singgah di Bahau membelikan hadiah untuk Zizi.




Seronok beraya di Serting.Sempat juga ibu memasak rendang daging dan hubby mengambil kesempatan dan peluang menolong ibu masak menggunakan dapur kayu.Kami pula sempat berposing di celah-celah pokok yang ditanam oleh ayah Along.Adif pula tidak ketinggalan meminta kami mengambil gambarnya.'Nak gambar',itulah kata-kata Hadif.Paling manja dengan Along dan sentiasa hendak bersama Along dan Abang Ngah.

Selepas Maghrib,kami bertolak pulang ke Segamat.Letih tapi seronok.

PENA KASIH:First time, beraya di tempat orang.

Wednesday, November 17, 2010

PERTOLONGAN

Sudah dua tiga kali hamba Allah ini datang ke rumah saya.Tidak berkesempatan untuk bertemu dengan saya kerana minggu ini dan minggu lepas merupakan minggu sibuk saya.Kasihan juga kerana dia begitu berhasrat untuk meminta pertolongan saya cara mengisi maklumat melalui internet untuk anaknya.Minat anaknya dalam bidang perguruan memang sudah lama dipendamkan.Alhamdulillah, anak lelakinya kini berada di universiti dan mengambil ijazah TESL.

Kagumnya saya, beliau merupakan seorang wanita yang gagah,cekal dan tidak mempunyai sikap putus asa.Berusaha untuk memajukan diri walaupun dengan apa cara sekalipun.Tidak pernah menyalahkan takdir sebaliknya cuba memperbaiki kehidupan demi sebuah keluarga.Tidak pernah berasa malu dengan apa yang dimiliki tapi yang pastinya dia begitu menghormati orang lain.Setiap kali berjumpa dengan dia, perkataan pertama yang dilafazkan ialah terima kasih, cikgu kerana pernah mendidik anak-anaknya.Dua orang anaknya memang kami ajar.Seorang lagi anak perempuannya juga telah menjejaki kaki ke IPTA.

Dia telah pergi ke rumah emak saya.Bertanyakan tentang saya dan berjanji akan datang menemui saya nanti.InsyaAllah, mana yang boleh saya bantu saya akan bantu.Jika tidak saya akan maklumkan tapi kalau setakat untuk memasukkan data ke dalam komputer ,insyaAllah saya akan bantu.
Sebelum ini pun, hubby banyak menolong orang-orang yang memerlukan bantuan.Alhamdulillah semuanya berjaya dilakukan.Malah sehingga kini, orang yang kami bantu tidak putus-putus mengucapkan terima kasih kerana jasa yang kami buat.Tapi saya jelaskan,saya hanya bantu dan berusaha,selainnya adalah ditentukan oleh Allah.KepadaNyalah kita selalu bermohon.


PENA KASIH:Selagi kita mampu memberi bantuan,kita lakukanlah.InsyaAllah,Allah tahu niat hati kita dan bukanya riak.Bantuan bukan sahaja dalam bentuk wang ringgit tapi khidmat nasihat juga merupakan salah satu bantuan kita kepada orang lain.

UCAPAN(2)


Mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Adha kepada semua rakan,kaum keluarga,warga SKCC dan anak didik SKCC.

Hari Raya Aidiladha (bahasa Arab: عيد الأضحى 'Eid Ul-Adha) atau Hari Raya Haji merupakan perayaan yang dirayakan di seluruh dunia. Ia adalah perayaan terbesar di dalam Islam selain Aidilfitri yang disambut pada setiap 1 Syawal. Aidiladha disambut pada hari ke sepuluh, sebelas, dua belas dan tiga belas bulan Zulhijjah setiap tahun. Bermula dengan Takbir Aidiladha pada malam 10 Zulhijjah, diikuti dengan solat sunat Aidiladha serta khutbah Aidiladha di pagi 10 Zulhijjah, sambutan diikuti dengan ibadah korban yang boleh dilakukan samada pada 10 atau 11 atau 12 atau siang 13 Zulhijjah.

Aidiladha adalah perayaan yang istimewa kerana ia merupakan hari untuk umat Islam memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dalam menunaikan perintah Allah dan ke-sabaran anaknya Nabi Ismail dalam memenuhi perintah Allah s.w.t.

Selain itu, salah satu keistimewaan Aidiladha dan Hari Tasyrik ialah ibadat korban. Ibadat korban ini hanya boleh dilakukan dalam empat hari iaitu bermula waktu selepaskhatib menyampaikan khutbah Aidiladha sehingga sebelum tenggelam matahari pada hari ke-13 Zulhijah.

Dari segi bahasa, korban bermaksud dekat, manakala dari segi istilah ia bermaksud menjalankan perintah agama atau taat kepada perintah Allah kerana ingin mendekatkan diri kepada-Nya.

Hari Raya Korban jatuh pada hari kesepuluh pada bulan Zulhijjah, bulan terakhir pada kalender Hijrah Islam. 10 Zulhijjah merupakan tarikh penting dalam sejarah Islam di mana Nabi Adam dan isterinya Hawa dikeluarkan dari syurga dan diturunkan ke bumi sebelum berjumpa di padang Arafah, di luar bandar Mekah.

Pada hari raya, orang Islam disunatkan mengenakan pakaian yang paling cantik, paling bersih, dan juga mengenakan wangi-wangian. Pada pagi hari raya korban, umat Islam akan mengerjakan sembahyang sunat Hari Raya sebanyak 2 rakaat dengan 7 takbir pada rakaat pertama diikuti 5 takbir pada rakaat kedua.

Pada kebiasaannya solat sunat Aidiladha dicepatkan sedikit berbanding solat sunat Aidilfitri. Hikmahnya dicepatkan sedikit waktu solat sunat Aidiladha adalah bagi memberi lebih banyak masa untuk penyembelihan korban. Hikmahnya dilewatkan sedikit solat sunat Aidilfitri pula adalah bagi membenarkan peluang bagi mereka yang belum membayar zakat menunaikan kewajipan mereka dan disunatkan makan dahulu sebelum pergi ke masjid. [1]

Manakala bagi Aidiladha, hikmat disunatkan makan selepasnya supaya makanan yang mula-mula dimakan pada hari itu ialah daging korban yang berkat. Selepas bersembahyang, upacara korban akan dimulakan. Lembu, kambing, dan biri-biri yang dikorbankan akan disembelih secara beramai-ramai di kawasan masjid sebelum dibahagi-bahagikan kepada orang ramai terutamanya kepada golongan fakir miskin.

Hari Raya Aidiladha disambut ketika umat Islam membuat penziarahan ke Mekah, mengunjung Kaabah dan melakukan korban sembelihan. Al-Quran tidak menyatakan, tetapi umat Islam memegang bahawa perayaan korban ini memperingati kesanggupan Nabi Ibrahim untuk menyerahkan anaknya sebagai korban kepada Tuhan.

Selepas sembahyang, sekali lagi umat Islam akan berbondong-bondong melawati perkuburan orang yang disayangi. Semua orang akan memakai pakaian baru dan selepas itu yang muda akan memohon kemaafan daripada yang tua. Selepas itu semua orang akan menjamah pelbagai juadah yang disediakan sebelum ziarah dan menziarahi sesama mereka.


PENA KASIH :Menghayati erti pengorbanan

Tuesday, November 16, 2010

BALIK



Pagi lagi saya sudah bersiap-siap untuk masak.Lebih kurang pukul 11.30 pagi, semuanya telah siap.Biasanya setiap kali hendak menyambut hari raya, saya akan ke rumah emak dan membantunya memasak.Kali ini adik saya 'sponsor' tulang daging lembu dan saya membeli ayam.

Petangnya kami bergerak ke Melaka.Menjemput Along yang pulang dari Perlis.Dia masih tidak tahu hendak menaiki bas dari Alor Star ke Segamat.So, kami terpaksalah mengambilnya di Melaka.Ini kali kedua dia balik ke Segamat dari Perlis turun ke Melaka.Hampir 12 jam dia berada di dalam bas.Penat katanya.Kami bergerak selepas asar dan hubby dan anak lelaki menunaikan solat maghrib dan Isyak di surau di terminal bas Melaka.Lama juga kami menunggunya.

Sempatlah kami singgah di Jaya Jusco dan tempat yang dituju adalah kedai buku.Sempat membaca beberapa buah buku .Tapi kali ini kami tidak membelinya kerana tiada buku pilihan kami sebenarnya.InsyaAllah kami akan ke JB pada hari Jumaat ini .Peluang untuk mencari buku lebih banyak di Badan dan ia merupakan tempat yang sering kami tuju.Sudah banyak buku yang kami beli dan menjadi koleksi kami terutama buku-buku agama,cerita-cerita agama yang merupakan pilihan anak lelaki dan buku berbentuk ilmiah lain.

Menurut anak , bas bergerak lambat kerana terdapat beberapa kemalangan berlaku di lebuh raya dan ini mengganggu kelancaran perjalanan.Hampir satu bulan lebih Along bercuti dan semoga masa cuti digunakan dengan sebaik-baiknya.


PENA KASIH:Selamat kembali ke destinasi Teratak kasih.

LinkWithin



Related Posts with Thumbnails