Tuesday, April 28, 2009

PERKHABARAN SEDIH

Hari ini seperti biasa saya ke sekolah seawal pagi.Tepat jam 6.30 pagi, saya telah sampai ke sekolah.Membuka pintu pejabat dan seterusnya membuat realif untuk guru-guru yang tidak hadir.Begitulah tugas rutin saya setiap hari.

Setelah melakukan semua tugas,saya terus ke pintu utama untuk memastikan keselamatan pelajar.

Tepat jam 9.15 pagi,saya menerima satu message daripada adik memaklumkan salah seorang penduduk kampung saya telah meninggal dunia ketika pergi ke pasar.Sebelum itu,saya menerima perkhabaran sedih iaitu bapa saudara yang meninggal dunia.Hari ini, perkhabaran sedih diterima sekali lagi.Itulah ketentuan Ilahi.Baru semalam ayah saya menegur pak cik Perang yang ketika itu menunggang motosikal dan sempat bertanya khabar.Hari ini, Pak Cik Perang pergi untuk selama-lamanya.Meninggalkan isteri dan anak-anak yang memerlukan belaian kasih sayang.Namun kita perlu reda kerana Allah lagi menyayangi hambaNya.Semoga rohnya dicucuri rahmat.


Saturday, April 25, 2009

KEMBALI KE RAHMATULLAH


Menerima berita jam 5.45 petang, perkhabaran yang sedih memeranjatkan saya ketika itu.Pak Itam yang pernah saya ceritakan telah kembali ke rahmatullah tepat jam 5.30 petang akbiat jangkitan kuman pada darah.Tiada lagi gurauan daripada Pak Itam yang meninggalkan kami di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru setelah sebulan satu hari berada di sana.

Pemergian Pak Itam, setelah menjalani pembedahan di otak dan juga di bahagian leher membawa kepada pelbagai komplikasi yang akhirnya tidak tertanggung oleh Pak Itam.Sejak Pak Itam berada di hospital, dua kali saya telah pergi melawatnya.Kali pertama sebelum pembedahan.Pak Itam yang dikenali seorang yang pendiam berubah menjadi orang yang tidak berhenti bercakap.Kasihan Pak Itam ketika itu, terlalu lemah.Saya meninggalkan hospital jam 7.00 malam dalam keadaan yang begitu sedih.Kali kedua, saya melawatnya tiada sebarang reaksi yang dapat ditunjukkan.Pak Itam berada di ICU setelah menjalani pembedahan. Tidak sedarkan diri.Saya memanggil nama Pak Itam tetapi tiada sebarang respon daripadanya.

Namun begitu, saya sering bertanyakan keadaan beliau daripada anaknya ,Mahathir.Ternyata tiada perubahan yang besar dapat dilihat.Sehinggalah tepat jam 5.45,perkhabaran berita itu begitu memeranjatkan kami sekeluarga.Niat dihati untuk melihatnya pada hari Isnin yang kebetulan saya ada urusan di Johor Bahru hanya tinggal impian.Pak Itam telah pergi dahulu menemuiNya.

Setelah mendapat berita sedih itu,saya pun terus mengambil keputusan untuk ke rumahnya.Mak Itam dan anaknya, Mahathir ketika itu berada di Johor Bahru. Mak Itam meminta kami agar membersihkan rumahnya.Saya dan suami serta bapa saudara, Jalil telah pergi ke rumah dan membersihkan rumahnya sementara menunggu jenazah sampai jam 11.30 malam.Kami seisi keluarga menunggu jenazah Pak Itam.Tepat jam 4.30 pagi saya pun balik ke rumah dan seawal pagi saya telah pergi ke rumah Mak Itam kerana jenazah akan dikebumikan jam 11.30 pagi keesokkannya.

Friday, April 24, 2009

AMANAT GB

Hari ini jam 12.00 tengah hari telah diadakan satu pertemuan semua bersama-sama dengan guru besar.Pelbagai maklumat telah disampaikan kepada semua guru sebelum beliau bercuti selama satu bulan ke luar negeri kerana melawat anaknya yang sedang sakit. Justeru itu, tugas memangku guru besar telah diserahkan kepada saya.Agak berat tetapi memikirkan tugas dan tanggungjawab, saya terpaksa akur.Kalau bercuti di dalam negeri agak senang untuk kita berinteraksi tetapi apabila di luar ...................... saya dan GPK terpaksa membuat keputusan sendiri.Namun begitu, saya bersyukur kerana mempunyai guru-guru yang memang komited kepada tugas masing-masing.Harapan saya agar tidak ada apa-apa yang berlaku sepanjang peninggalan guru besar.

Di pertemuan itu, beliau mengingatkan kami agar sentiasa masuk kelas mengikut masa yang ditetapkan.Menyentuh tentang kebersihan kelas dan persekitaran serta tanggungjawab semua guru sebagai guru disiplin.




Wednesday, April 22, 2009

LDP dan TETAMU

Latihan dalam perkhidmatan merupakan salah satu program yang perlu dilaksanakan di peringkat sekolah.Begitulah yang dialami di sekolah saya.

Kursus penggunaan ICT telah dijalankan di bilik komputer sekolah.Begitu teruja sekali oleh guru-guru sekolah saya untuk mendalami lagi cara penggunaan ICT dan bahan yang boleh diambil daripada ZOOM A.Kursus yang amat menarik sekali yang disampaikan oleh Cik Wan NorAsekin.


Memang tidak dinafikan bahawa walaupun ICT memang telah lama diperkenalkan tetapi masih terdapat diantara kita yang masih lagi tidak dapat menggunakan ICT dengan baik.Justeru itu, sebagai langkah untuk mereka memahami,saya bersepakat dengan Cikgu Ali untuk membuat kursus yang berhubung kait dengan penggunaan ICT.Hari sebelumnya kami telah diperkenalkan dengan program EduwebTV yang dikelolakan oleh Encik Supian.

Semoga dengan pendedahan yang diberikan, kami dapat menggunakan ICT dengan sebaik mungkin untuk anak-anak didik kami.

Lebih kurang pukul 5.15 petang,saya perlu menghadiri satu mesyuarat bersama lembaga pengarah berkaitan dengan bantuan terutama dari aspek fizikal sekolah kami.Pukul 6.30 mesyuarat tamat dan sebaik sahaja mesyuarat tamat saya menerima panggilan telefon daripada Anim yang memaklumkan bahawa dia akan bertandang ke rumah saya.Anim yang datangnya dari Temerloh bersama-sama dengan ayah dan adiknya telah sampai ke rumah saya jam 10.00 malam.Anim merupakan sepupu suami yang telah berjaya dipanggil temuduga sebagai pensyarah du UiTM Segamat.

Selepas makan, kami sempat bersembang sekejap kerana masing-masing kepenatan.Kami doakan agar Anim berjaya menjadi seorang pensyarah.

Monday, April 20, 2009

MELAWAT BUMI KASIH

Petang tadi,saya melawat bumi kasih.Alhamdulillah,pokok-pokok yang ditanam semakin menghijau.Saya ke sana melihat Kak Milah yang sedang mencabut rumput-rumput.
Saya ambil kesempatan dengan menolong kak Milah mencabut rumput.Sekurang-kurangnya dapat mengeluarkan peluh.Sebelum pergi ke Bumi kasih saya menanam cili di belakang rumah.
Selepas itu, memetik sayur bendi dan juga terung untuk diberikan kepada mak cik.

Mudah-mudahan,sayur-sayur yang ditanam akan terus tumbuh dengan subur.Kelmarin suami menanam pisang yang diambil dari sekolah.Setiap petang kami menghabiskan masa dengan berkebun.

Suami membantu saya membuat batas untuk menanam sayur-sayur lain pula.Berbudi kepada tanah memang tidak merugikan.Hari Rabu ini (22.4.2009),pejabat pertanian ada mengadakan satu majlis.Insya Allah jika mempunyai kesempatan saya akan berkunjung ke pejabat tersebut untuk mengetahui dengan lebih lanjut program yang akan dijalankan.

Saturday, April 18, 2009

Bersama-sama suami ke UiTM Segamat,untuk turut serta dalam program bersama Dr.Jeniri Amir dalam salah satu program Keajaiban Dunia Penulisan.Tertarik dengan ungkapan Dr. Jeniri khusus dalam penulisan.Menaikkan semangat untuk menulis.

Saya ke sana untuk menimba ilmu berkaitan dengan penulisan.Alhamdulillah sekurang-kurangnya memberi pendedahan kepada saya untuk menyiapkan pengkisahan berkaitan dengan Penulisan Amalan Baik Guru Besar yang telah diberi tugasan oleh JPNJ kepada kami.Dalam masa tiga minggu untuk menyiapkan artikel sekurang-kurangnya 2 atau 4.....................Mampukah saya melakukannya?

Idea untuk menulis memang banyak tetapi untuk dihuraikan di atas sekeping kertas masih belum dapat dilakukan.Terawang-awang di kotak fikiran mengenai cerita yang ingin didedahkan tapi..........................masih tidak mampu untuk diluahkan di sekeping kertas.

.................berbincang dengan suami.Minat suami dalam bidang penulisan memang telah lama saya kesan.Beliau pernah menulis rencana di akhbar-akhbar sewaktu saya masih berkawan dengannya.Ketika beliau menuntut di universiti.Suami memang rajin menulis dan saya sering memberikan dorongan kepadanya.Seperti kata Dr.Jeniri, menulis boleh buat duit.Memang tidak dinafikan suami saya pernah mendapat bayaran yang lumayan.

Tetapi sejak akhir-akhir ini, minat suami kepada bidang penulisan semakin hilang.Pernah beliau menyuarakan kepada saya "mood"nya hilang.Terjadi setelah artikelnya kerap keluar di akhbar.Selepas itu,suami berkata ideanya semakin tumpul setiap kali ingin menulis.Tak tahulah kenapa jadi seperti itu.Walaupun saya sering memberikan dorongan kepadanya.

Mudah-mudahan selepas mendengar tips daripada Dr.Jeniri, semangatnya akan kuat untuk terus menulis.Anaknya, Fatin mungkin mengikut jejak ayahnya kerana saya sering melihat gaya bahasa dalam penulisannya.

Friday, April 17, 2009

SAMBUTAN MALIDUR RASUL PERINGKAT SEKOLAH

Sambutan Maulidur Rasul merupakan salah satu program aktiviti Agama Islam di peringkat sekolah.Sebelah pagi,semua murid menjalani proses pengajaran dan pembelajaran seperti biasa sehinggalah jam 10.00 pagi.Selepas itu, murid-murid Islam akan berada di padang untuk aktiviti berarak sehingga ke dewan dengan ucapan selawat ke atas Nabi Muhammad S.A.W.

Pelbagai acara dijalankan.Antaranya bacaan Quran,Nasyid, Berzanji,Sajak dan juga berpidato. Alhamdulillah ramai murid yang melibatkan diri dalam acara tersebut dan sekurang-kurangnya memberi pendedahan kepada murid untuk berani ke hadapan dan seterusnya mencungkil bakat masing-masing.

Bagi murid-murid bukan Islam, mereka telah diaturkan dengan satu program iaitu pertandingan mewarna gambar.Hadiah-hadiah untuk pemenang telah saya sediakan.Semalam juga,saya bersama-sama dengan suami ke Muar.Tujuan asal adalah ke kedai komputer dan kemudian saya melihat ada "sale" di situ.Justeru itu, saya mengambil peluang membeli peralatan tulis untuk dihadiahkan kepada para pemenang dalam pertandingan mewarna.

Selesai membeli, kami ke Tanjung Mas. Suasana yang begitu nyaman dan cantik melega kepenatan kami.Kemudian singgah di kedai makan.Kalau ke Muar, kalau tidak makan "mee bandung Muar" memang tidak sah lagi.

Seusai makan, kami mengambil keputusan untuk balik ke rumah.Yang menariknya saya tertarik apabila melalui Jalan Junid, Muar di tepi-tepi jalan ke Tanjung Mas, terdapat pokok bunga raya yang begitu cantik warnanya.Di Segamat sendiri, sukar untuk mencari pokok bunga raya di tepi-tepi jalan.Bunga raya yang mempunyai pelbagai warna menarik hati saya.Lalu saya mengambil gambar pokok tersebut......................suami ketawa melihat gelagat saya.

Thursday, April 16, 2009

SELAMAT HARI LAHIR, AYANG

Hari ini suami menyambut kelahirannya yang ke 48.Syukur Alhamdulillah,semoga Allah panjangkan usia suamiku untuk beliau meneruskan amal ibadatnya,sihat tubuh badan bagi memudahkannya menjalankan amal ibadatnya.

Kelahirannya yang sama dengan tarikh lahir anak saudara disambut serentak di rumah anak saudaranya yang berusia 3 tahun malam tadi.Di kelilingi dengan ahli keluarga dan bacaan doa dibaca oleh suami agar dipanjangkan usia, dimurahkan rezeki dan dipermudahkah segala urusan menjadi pembuka majlis pada malam ini.Anak saudara begitu gembira kerana dapat bersama-sama memotong kek.

Tengah hari tadi,suami menerima sekeping kad daripada anak-anaknya tanda ingatan anak terhadap ayahnya yang memberikan kasih sayang tanpa berbelah bagi.Mendoakan ayah supaya sentiasa berbahagia dan dipanjangkan usia agar kasih sayang tetap utuh untuk melahirkan sebuah keluarga yang bahagia........................ingatan Fatin dan Haziq terhadap ayahnya.

Khas daripada mama, mama doakan ayang sentiasa dibawah peliharaanNya.Dipanjangkan usia dan sihat tubuh badan untuk terus menjalankan amal ibadat,dimurahkan rezeki dan yang pastinya mama ingin melihat keluarga ini terus hidup dalam keadaan yang harmoni.Semoga ikatan keluarga akan terus kukuh dan sentiasa berada dalam suasana penuh kasih sayang.

Sunday, April 12, 2009

SAMBUTAN MAULIDUR RASUL

Seperti kelaziman setiap tahun, sambutan Maulidur Rasul diadakan.Mengingati kelahiran Nabi Muhammad s.a.w.Penduduk kampung saya, Kampung Gudang Garam tidak ketinggalan menyambutnya pada hari ini.

Seawal jam 9.00 pagi, orang ramai telah bertumpu ke masjid kampung ini.Alhamdulillah, penduduk kampung ini masih lagi mengamal konsep gotong-royong.Ketika inilah mereka dapat berkumpul dan berjumpa.
Tugas saya yang utama ialah membasuh gelas dan pinggan mangkuk untuk kegunaan mereka.Setelah itu, saya akan membersihkan simen dan membuang sampah sarap yang terdapat di situ.Memang itu rutin saya jika aktiviti seumpama ini dijalankan di masjid.Hendak menolong masak saya bukanlah orang yang pandai.Setakat menghiris bawang boleh lah.

Saya tidak balik sehinggalah jam 5.45 petang.Saya pastikan sebelum meninggalkan masjid keadaannya bersih.Saya bersembahyang di masjid itu kerana mungkin ini kali terakhir saya akan sembahyang di masjid lama yang akan dirobohkan bila-bila masa.Alhamdulillah, setelah lebih dari sepuluh tahun, penduduk kampung ini memohon untuk memiliki sebuah masjid yang baru kerana masjid yang sedia ada tidak dapat menampung keperluan penduduk ini terutama apabila sembahyang hari raya.Berkat kesabaran dan peranan individu tertentu akhirnya, penduduk kampung ini boleh tersenyum kerana hasrat untuk memiliki masjid baru terlaksana.
Apabila masjid ini dirobohkan, penduduk kampung akan bersembahyang di surau Kg Tanjung Sengkawang.


Saturday, April 11, 2009

DON`T TOUCH

Perkataan inilah yang mula-mula diajar oleh suami kepada anak saudaranya Apiz.Sehingga kini setiap kali kami membawanya berjalan ke supermarket, Apiz teringatkan perkataan tersebut apabila dia ingin menyentuh sesuatu barang.Uda don.....................`t touch.Kadang-kadang geli hati juga melihat telatah Apiz.

Yang menariknya Apiz telah mengajar penggunaan perkataan tersebut kepada adiknya,Adif.............apa lagi Adif sering menyebut perkataan tersebut apabila kami sampai di rumahnya.

Kadang-kadang, apabila kami hendak membawa Apiz berjalan ,dia akan mengajar adiknya menyebut perkataan tersebut sehinggalah adiknya bersuara dan menyebutnya dengan lembut sekali.Berbeza dengan Apiz yang begitu tegas menyebut perkataan tersebut.Kami dapat membuat kesimpulan yang Apiz mempunyai ciri-ciri atau sikap yang lebih tegas daripada adiknya yang begitu lembut.

Friday, April 10, 2009

DATARAN SEGAMAT DAN KERETA API

Semalam kami membawa Apiz ke Dataran Segamat.Menelefon Apiz dan memberitahu yang kami akan mengambilnya pada pukul 8.00 malam.Apiz begitu gembira sekali dengan ajakan kami dan dia memberitahu neneknya yang kami akan membawanya naik kereta api.

Tepat jam 8.00 malam, kami sampai ke rumahnya di Bandar Putra.Apiz sudah bersiap sedia dengan pakaian yang menarik sekali.Kemudian saya memberitahunya yang dia akan tidur di rumah kami.Dia mengangguk tanda bersetuju.Cerdik Apiz.
Perbualannya sewaktu ke dataran begitu mengusik hati kami.
"Apiz nak ikut uda tua.Apiz nak tidur dengan uda tua.Tak nak tidur dengan uda mok."
Alhamdulillah, Apiz tidak menangis ketika tidur di rumah kami dan dia tetap hendak tidur sebantal dengan Pak Udanya.

Ketika berada di dataran, tempat yang pertama ditujunya ialah tempat kereta api.Pak Udanya melayan kehendak Apiz.Selepas puas berada di sana, kami membawa Apiz makan di sebuah warung di Tahang Rimau.Selepas itu, kami pun balik lebih kurang jam 10.00 malam.
Apiz mengantuk dan akhirnya dia tidur bersama-sama dengan Pak Udanya.

Seawal pagi, kami mengejut Apiz untuk dihantar pulang ke rumahnya kerana saya ke sekolah.Begitu mudah Apiz bangun dan kami berjanji akan membawanya berjalan lagi.

HAFIZ DAN TELEFON


Telefon penyambung perhubungan untuk yang berjauhan mahunpun berdekatan.Terpandang telefon teringat untuk menelefon anak saudara,Hafiz.Mendengar keletahnya ketika berbicara di telefon.

"Assalamualikum, fiz.Buat apa?"
"Dah makan tak?".Itulah pertanyaan yang sering diajukan kepada Hafiz yang berusia 3 tahun.Keletah si kecil ini memang tidak menjemukan .Setiap hari saya akan menelefonnya mendengar suara dan kadang-kadang saya sering mengusiknya dengan mengatakan uda nak naik kereta api.Apabila mendengar perkataan kereta api, dia akan menyuarakan Apiz, nak ikut uda tua(itulah gelaran yang diberikan kepada Pak Udanya)dan mak udanya dipanggil Uda Mok dan anak saya dipanggil abang ngeh.Apiz pandai mengubah perkataan, kalau dikatakan "Apiz, budak bulat atau pendek" .Jawapannya ialah uda budak bulat dan pendek.Gelagatnya menggelikan hati kami sekeluarga dan kadang-kadang kami merindui akan gelagatnya.

Hari ini, saya merancang untuk membawanya ke dataran Segamat.Hendak melihat gelagatnya ketika melihat kereta api mainan yang terdapat di situ.Dia memang sering hendak mengikuti kami berdua dan hari ini kami mengajaknya tidur di rumah.Yang menambat hati kami ialah dia tetap hendak tidur dengan uda tuanya.Dengan saya dia agak takut sedikit kerana saya sering mendisiplinkan dia.Berbeza dengan Pak Udanya yang lebih lembut dan melayan kehendaknya.

.....................apiz tetap menjadi teman Pak Udanya apatah lagi tarikh kelahirannya sama dengan Pak Udanya.

Wednesday, April 8, 2009

PEN

Mengumpul pen memang kegemaran saya.Setiap kali ke bandar atau singgah di mana-mana kedai yang menjual pen saya akan membelinya walaupun sebatang.Kadang-kadang anak lelaki saya memarahi saya kerana kekerapan membeli pen.Pada saya, kalau itu kegemaran saya,saya akan tetap beli walaupun di rumah telah banyak koleksi pen.

..................pen-pen yang dibeli mempunyai pelbagai jenis.Ada yang matanya besar dan kecil.Yang penting saya akan mencuba menulis dengan pelbagai jenis pen yang ada.Suami saya pelik dengan hobi saya itu.Kadang-kadang anak murid bertanya "kenapa cikgu suka kumpul pen?"Pertanyaan di jawab dengan perkataan itu hobi saya.

..............kadang-kadang saya letakkan di pejabat sekolah saya untuk kegunaan semua orang.

HAJI dan BANJIR 2006


Hasrat emak dan ayah untuk menunaikan haji memang telah lama disuarakan.Keinginan mereka berdua begitu membuak-buak tatkala kemunculan tahun 2006.Ketika itu wang belum mencukupi untuk menunaikan haji tapi niat murni kedua orang tua untuk ke Mekah pada tahun itu begitu ketara sekali.Rezeki kedua-dua orang tua saya akhirnya, hajat mereka termakbul.Hanya berurusan dengan tabung haji pada tahun itu juga tapi semuanya dapat diuruskan dengan lancar sekali tanpa sebarang sekatan.Allah telah mempermudahkan urusan mereka berdua.Alhamdulillah.

Emak sering mengingatkan saya supaya sentiasa berdoa dengan Allah dan insya Allah,Dia akan makbulkan apa yang kita hajatkan.Emak memang tidak pernah meninggalkan solat Dhua.Setiap hari dan sehingga kini emak sering mengerjakan solat Dhua.Selalu mengingatkan saya melakukan Solat Dhua dan berdoa dengan Allah apa yang kita hajati.

Ketika emak dan ayah hendak ke Mekah, saya berada di Pulau Pinang meneruskan pengajian saya di USM.Hati saya tidak senang ketika di sana. Melonjak-lonjak untuk menghantar kedua-dua orang tua saya ke lapangan terbang.Melihat sendiri pemergian kedua orang tua saya.Saya lontarkan hasrat saya kepada suami.Akhirnya suami mengizinkan saya untuk balik buat seketika untuk turut sama menghantar mereka ke Lapangan Terbang Senai.Ketika itu,saya sibuk dengan kuliah dan menghadapi peperiksaan berterusan tetapi saya tidak hiraukan itu semua.Alhamdulillah, akhirnya saya dapat bersama-sama dengan mereka.

Selepas menghantar emak ke Lapangan Terbang Senai, saya ke rumah Kak Long di Skudai.Malamnya saya naik bas ke Pulau Pinang kerana keesokkan jam 2.00 petang saya akan menduduki ujian berterusan .Alhamdulillah, saya dapat menjawab soalan ujian tersebut dengan lancar sekali.

Akhirnya setelah tiga minggu berada di USM , kami pun balik ke kampung masing-masing dan tidak disangka pada bulan Disember 2006 banjir besar telah melanda daerah Segamat.Ayah menelefon kami dan memberitahu yang dia ada mendengar berita tentang banjir yang berlaku di Segamat.Setiap hari ayah menelefon kami untuk mengetahui perkembangan di Segamat.
Sekolah saya turut dilanda banjir yang begitu teruk sekali.Banyak harta benda sekolah dan peralatan murid-murid habis musnah.Sayalah orang yang pertama sampai di sekolah apabila air telah surut dan agak terperanjat melihat keadaan sekolah saya.

Namun begitu, banyak bantuan yang telah kami terima daripada orang ramai dalam usaha memulihkan kembali sekolah kerana pada awal Januari semua murid telah memulakan sesi persekolahan mereka.Yang menyedihkan mereka terpaksa belajar dengan beralaskan tikar getah ketika itu. Sumbangan PIBG dan guru-guru untuk membeli tikar getah.Peristiwa itu begitu pahit kami alami dan alhamdulillah kini sekolah kami telah pulih sepenuhnya dan kami selesa dengan suasana sekarang.

Tuesday, April 7, 2009

KECEWA

Hari ini saya betul-betul kecewa melihat gelagat anak murid saya ketika menjawab soalan ujian.Bukan apa,setiap kali ujian saya telah maklumkan apa yang perlu dibaca dan semua topik yang keluar semasa ujian merupakan topik yang telah saya bincang.Walaupun saya mengajar Bahasa Melayu Tahun 3, tapi soalan saya menjurus kepada peperiksaan UPSR.Melatih murid supaya menjawab mengikut format UPSR.

Setiap hari saya bekalkan latihan-latihan agar mereka mantap.Tapi agak mengecewakan terdapat beberapa orang murid yang tidak mengambil endah dengan apa yang saya lakukan.Kerja yang tidak pernah dibuat malah yang amat mendukacitakan buku latihan pun kerap tertinggal di rumah.
Siapakah yang bersalah?Pada saya latihan-latihan yang dibekalkan bukanlah terlalu banyak sebalik merupakan pengayaan sahaja.Mereka bukanlah terdiri daripada murid yang tidak tahu membaca tapi disebabkan sikap mereka yang mengambil mudah dengan apa yang cikgu cakap menyebabkan perkara itu berlaku.

Memang tidak dinafikan terdapat ramai di antara murid saya yang boleh mengarang dengan baik.Tatabahasa yang digunakan amat bersesuaian dengan penulisan mereka.Apabila dikaji murid-murid ini sering sahaja menyiapkan kerja seperti yang diarahkan.
Bahasa Melayu penulisan terutama di bahagian C iaitu pengajaran daripada petikan sering saya bincangkan .Mencari nilai-nilai murni daripada petikan.Alhamdulillah ada di antara murid-murid saya dapat melaksanakan tugasan yang diberikan dengan baik sekali.Mereka memahami apa kehendak soalan.

Kini saya tercari-cari cara yang paling mudah untuk mengajar mereka terutama bahagian C dalam penulisan.Harapan saya agar murid-murid Tahun 3 ini dapat mengubah tingkah laku mereka agar menjadi murid yang cemerlang dalam penulisan.

Monday, April 6, 2009

BUAH DUKU

Semalam selepas memasak saya teringin untuk makan buah duku.Rumah dikelilingi dengan pokok buah-buahan memudahkan saya untuk menikmatinya.

Saya turun ke tanah lalu mengambil galah.Nak panjat tak berani.Soal memanjat memang saya agak takut.Sebut sahaja soal memanjat teringat saya kepada kisah emak ketika usia saya 25 tahun.Dengan gagah emak memanjat pokok duku.Saya tunggu di bawah pokok.Suami ketika itu sedang sibuk memanjat pokok duku lain.Masing-masing nak tunjuk siapa hero memanjat.

Tiba-tiba dahan yang emak pijak patah.Apa lagi emak pun mengelabah.Nasib mak baik kerana sempat mencapai dahan untuk bertahan dan emak tergantung.Saya yang berada di bawah ketawa berdekah-dekah melihat emak.Lalu saya memanggil suami untuk menolong emak.Muka emak nampak pucat. Suami apa lagi terus memanjat dan membantu emak saya.Sejak peristiwa itu, emak tidak berani lagi memanjat pokok duku walaupun pokoknya tidak tinggi.


Thursday, April 2, 2009

MOTOSIKAL

Teringat nostalgia ketika berusia 11 tahun.Pertama kali belajar menunggang motosikal ayah.Ayah merupakan seorang yang tidak pernah meninggikan suara kepada anak-anaknya.Hasrat untuk belajar motosikal diajukan kepada ayah.Tidak memarahi cuma menasihatkan supaya bawa motosikal dengan baik.

Setiap petang ayah akan mengajar saya menunggang motosikal di halaman rumah.Berlagak pandai dan tidak menghiraukan apa yang dinasihatkan oleh ayah, saya pun membawa motosikal dengan menuruni bukit.Apa lagi dan agak tergamam.Akhirnya saya bersama-sama dengan motosikal terus terpelosok di celah-celah pokok pisang.Bangun dan tengok kiri dan kanan takut-takut ada orang melihat.Rupa-rupanya emak ternampak keadaan saya .Apa lagi leteran yang saya perolehi.Sejak itu, saya lebih berhati-hati lagi ketika menunggang motosikal.Yang penting dengan kemahiran menunggang motosikal sekurang-kurangnya meringankan ayah untuk menjemput dan menghantar saya ke sekolah.

Kini,suami membelikan saya sebuah motosikal jenis skuter elegent.Bukan apa memudahkan saya untuk memenuhi pelawaan penduduk kampung ketika majlis yaasin dan juga kenduri- kendara.Kadang-kadang saya menjemput anak balik dari sekolah dengan menggunakan motosikal sahaja.Walaupun tiada lesen.....................sekadar menunggang di sekitar kampung sahaja.

Wednesday, April 1, 2009

PKG PARIT BUNGA, MUAR

Alhamdulillah akhirnya saya telah menerima surat untuk menghadiri temuduga untuk DG 41 di PKG, Parit Bunga,Muar.Bertolak jam 7.30 pagi bersama-sama dengan suami dan diekori oleh Shikin dan Lela.Saya ditemani oleh suami untuk memberikan sokongan kepada saya sementara Lela dan Shikin menaiki kereta yang dipandu oleh Shikin.

................menunggu Shikin kerana masih tidak nampak lagi wajah kereta Shikin di belakang kami.Akhirnya saya menelefon Shikin bertanyakan kenapa masih tidak nampak bayangnya di belakang.Rupa-rupanya Shikin berpusing balik ke belakang(Jementah) kerana mengambil surat kelulusan Adam yang tidak dibawa bersama-sama.

Saya sampai di PKG, jam 9.30 pagi sementara Shikin dan Lela sampai hampir jam 10.00 pagi.Mula-mula rasa gementar begitu kuat sekali. Maklumlah sudah lama tidak menghadiri temuduga seumpama ini.Bermacam-macam persoalan bermain di kepala.Apakah soalan yang bakal ditanya?Masing-masing begitu sibuk membaca itu dan ini.Apabila keadaan semakin tertekan hanya yang mampu saya lakukan ialah berdoa agar dipermudahkan perjalanan temuduga saya nanti.

Apabila keluar sahaja calon , semua bertumpu dan bertanya apakah soalan yang ditanya.Masing-masing mengatakan PIPP dan juga PPSMI serta KBSR.Saya terdiam dan tertanya-tanya adakah saya mampu untuk menjawab persoalan seperti itu apabila ditanya.

Selepas Lela tiba pula giliran saya.Alhamdulillah, soalan yang ditanya hanya berkisar kepada tugas saya sebagai GPK sahaja.Soalan-soalan lain tidak ditanya.Hanya yang mampu saya doakan agar temuduga yang dilalui ini akan berjaya. Amin.

LinkWithin



Related Posts with Thumbnails