Friday, December 31, 2010

SELAMAT TINGGAL 2010

Sudah hampir ke penghujung 2010,bakal timbul 2011.Menanti saat dan detiknya.Pelbagai nostalgia sepanjang 2010 yang ditinggalkan.Ada cerita suka duka yang tersorot di tahun 2010.Mengimbau kembali mengenang segalanya .Masih segar saat-saat manis itu.Alhamdulillah, bersyukur kepada Allah, kerana masih berupaya untuk bersama-sama pada tahun 2010.

Semoga perjalanan hidup dalam tahun baru ini akan lebih bermakna bersama-sama keluarga tersayang.Semoga amal ibadat dapat dipertingkatkan lagi,InsyaAllah.



Hari ini, anak perempuan kami kembali semula ke bumi Perlis.Perjalanan ke utara sudah tentu amat jauh dan memenatkan tapi demi meneruskan pengajiannya, kami redha.Dia berjanji kepada kami akan terus belajar dengan lebih bersungguh-sungguh lagi.Mama sentiasa mendoakan anak-anak mama.Tahniah atas pencapaian keputusan peperiksaan baru-baru ini.

Hampir satu bulan lebih berada di kampung, sudah tentu banyak kenangan yang akan dikenangkan sewaktu berjauhan nanti.Namun, kecanggihan teknologi membolehkan kami sentiasa berinterkasi antara satu sama lain.






Sempena cuti umum pada hari ini, hubby mengajak kami ke Melaka.Membeli buku-buku dan peralatan tulis anak lelaki pula.Bila dah jumpa kedai buku,kegilaan pada buku-buku berbentuk ilmiah memang tidak dapat dilarikan.Banyak juga yang kami beli.

Lama juga kami berada di Melaka.Hubby meninggalkan saya di Tesco sementara dia dan anak lelaki bersolat di Masjid Al-Azim Melaka.Rambang mata melihat 'sale' sana dan sini.

Pena Kasih :Semoga tahun ini akan lebih bermakna lagi..............

Thursday, December 30, 2010

SYUKUR

Persekolahan seperti biasa hari ini.Pembayaran bayaran tambahan telah dilaksanakan dan penyerahan jadual waktu juga telah diadakan bagi memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran berjalan pada hari pertama persekolahan.Walaupun tidak ramai ibu bapa yang hadir untuk membuat pembayaran tetapi kami mempunyai inisiatif sendiri bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajran berjalan seperti yang dirancangkan.

Esok sepatutnya sekolah kami mengadakan hari orientasi untuk murid-murid tahun 1 tetapi disebabkan cuti umum, semuanya dibatalkan dan akan diadakan pada hari Isnin.Walaupun proses pengajaran dan pembelajaran tidak dijalankan pada murid-murid tahun 1 tetapi mereka akan dikumpul untuk dimaklumkan beberapa perkara bagi memudahkan ibu bapa mengetahui jadual waktu, pembayaran dan maklumat yang perlu diisikan oleh ibu bapa.

Namun,disebalik kesibukan, saya menerima berita yang sungguh mengembirakan saya dan bersyukur kepada Allah selama ini, usaha saya tidak sia-sia.Semangat untuk meneruskan pengajian bersemarak semula kerana di peringkat awal saya tidak begitu yakin dengan keupayaan saya menjawab soalan peperiksaan bagi pengajian sarjana saya.Dengan keputusan yang diperolehi, membenamkan hasrat saya untuk tidak meneruskan pengajian kerana saya rasa tidak dapat memperolehi keputusan yang baik yang membolehkan saya meneruskan pengajian tapi Alhamdulillah, akhirnya saya dapat meneruskan pengajian seterusnya.Semangat luntur kerana sewaktu orang lain sibuk membuat ulangkaji , saya tidak mampu berbuat demikian kerana demam dan tidak membuat persiapan rapi sehinggalah di pagi hari peperiksaan berjumpa doktor dan berada dalam keadaan mamai.Tapi saya bersyukur kerana suami tidak putus-putus memberikan sokongan yang padu kepada saya.Thanks hubby.........begitu juga dengan anak-anak yang selalu ingin melihat mamanya terus maju .Semuanya merupakan inspirasi kepada anak-anak saya agar mereka mengikuti jejak kami terutama dalam menuntut ilmu.Semoga Allah permudahkan perjalanan hidup kami sekeluarga.

InsyaAllah,kali ini saya akan terus lebih bersemangat lagi dan akan bersedia lebih awal lagi terutama saat-saat untuk menghadapi peperiksaan.

PENA KASIH:Terima kasih hubby, anak-anak mama, emak dan ayah serta adik yang banyak memberi sokongan moral kepada mama selama ini.

Wednesday, December 29, 2010

LAWATAN AWAL TAHUN


Seperti biasa, lawatan awal tahun dari PPD bermula sejak minggu ini.Sekolah kami juga tidak ketinggalan dikunjungi oleh pihak-pihak tertentu bagi memastikan perjalanan awal tahun berjalan dengan lancar dan kelengkapan alatan perabot untuk kegunaan anak didik semuanya telah lengkap disediakan.

Seperti biasa,saya juga begitu sibuk mengemas kini segala maklumat untuk dipaparkan di papan kenyataan terutama berkaitan dengan kurikulum sekolah.Alhamdulillah, semuanya dapat saya laksanakan pada hari ini walaupun ada lagi yang perlu saya lakukan untuk memastikan semuanya beres.

Pengagihan fail keras dan fail induk serta segala info terkini telah juga saya 'settlekan' pada hari ini.

Lawatan PPD seramai 3 orang ke sekolah kami untuk mendapatkan maklumat berkaitan dengan hal persekolahan dan enrolmen murid juga telah diberikan kepada pihak tertentu agar akan ada tindak susulan untuk mengatasi masalah yang sekolah kami hadapi.

Saya bersama-sama dengan guru besar telah memberikan maklumat semua yang dikehendaki.

PENA KASIH :Akan ada kekurangannya..............

TAHNIAH MALAYSIA


Tahniah untuk pasukan bola sepak Malaysia kerana akhirnya berjaya menewaskan Indonesia secara keseluruhannya walaupun tewas 2-1 di bumi Indonesia.Teruja betul hendak menonton perlawanan bola sepak walaupun selama ini saya memang kurang berminat untuk melihat aksi pemain bola sepak.Akhirnya jatuh hati setelah melihat perlawanan antara Malaysia dengan Vietnam sehingga mengheret saya untuk menonton perlawanan seterusnya.

Sengaja saya melapangkan masa pada hari ini bersama-sama dengan hubby dan anak-anak untuk memberikan sokongan kepada pemain bola sepak.Namun, saya percaya kegigihan dan kesungguhan jurulatih Malaysia iaitu Rajagopal memimpin pemain-pemain muda Malaysia harus diberikan pujian kerana kepercayaan penuh yang diberikan kepada pemain untuk beraksi dengan cemerlang dalam perlawanan bola sepak.Rata-rata usia mereka masih muda lagi dan insyaAllah,Malaysia mampu melakukan sesuatu dalam arena bola sepak.Syabas dan Tahniah Rajagopal kerana mampu memimpin dan menerajui pemain-pemain muda mencorak langkah dan digeruni pihak lawan.

Namun,pujian juga perlu diberikan kepada penjaga gol Malaysia iaitu Khairul Fahmi kerana sentiasa mengawasi pintu gol dari ditembusi pihak lawan walaupun pada malam ini beliau gagal menangkis bola.Penjaga gol yang cemerlang dan saya begitu tertarik dengan aksi yang ditunjukkan.Tangkapan bola yang begitu tangkas ,cekap dan kemas serta dapat mengawal keadaan ketika asakan demi asakan daripada pihak lawan.Tahniah!Fahmi......

PENA KASIH: Sudah mula tertarik dengan permainan bola sepak Malaysia


Tuesday, December 28, 2010

MENGHITUNG HARI



Melihat anak mengemas barang untuk kembali menyambung belajar, terasa sayunya.Along akan berlepas ke Perlis pada hari Jumaat ini setelah hampir sebulan lebih berada di kampung.Kasihan dan sayu hati melihat dia kerana pada awalnya berjanji untuk menghantar dia ke Perlis tapi disebabkan saya terlibat dengan komitmen dengan tugas,memaksa kami melepaskan dia ke sana dengan menaiki bas.Bukannya, mama dan ayah tidak mahu menghantar Along tapi insyaAllah, kami telah berjanji akan melawat Along nanti pada cuti-cuti akan datang.

Sepanjang dia berada di sini, banyak juga yang dipelajari.Saya bawa dia bersama-sama dengan skuad Sayang meninjau keadaan mereka yang kurang bernasib baik.Kesusahan hidup tanpa anak sendiri dan hanya bergantung kepada anak angkat.Melihat kehidupan anak-anak akibat kepincangan dalam rumahtangga kerana penceraian.Kesusahan ibu membesarkan anak-anak dengan menjual kuih-muih untuk menyara kehidupan.Semua ini merupakan satu pengajaran kepada dia dan perlu bersyukur dengan nikmat yang diperolehi pada hari ini.Saya selalu mengingatkan dia agar hidup secara sederhana dan ingatkan Allah selalu.Berlinang air matanya melihat kehidupan insan-insan yang memerlukan perhatian daripada pihak-pihak tertentu.



Mungkin pengalaman yang tidak boleh dilupakan ialah apabila Ahli Parlimen Segamat,YB Dr.S.Subramaniam bertanya pelbagai soalan kepadanya.



Bagi memenuhi impiannya, kami membawa dia berjalan-jalan bersama adiknya ke Port Dickson.Seronok melihat anak-anak gembira .InsyaAllah,pada tahun ini,kami merancang akan ke Terengganu dan juga Langkawi.Kadang-kadang kasihan juga melihat mereka kerana sepanjang cuti ini, saya banyak menghabiskan masa di sekolah.Membuat persediaan untuk tahun 2011.




PERJUMPAAN GURU (2)



Guru besar bersama-sama dengan ahli panitia Bahasa Inggeris juga berbincang untuk mengekalkan prestasi pencapaian UPSR 100% untuk tahun hadapan.Program-program kecemerlangan UPSR juga dibincangkan agar pada tahun ini akan ada satu kejutan untuk terus mengekalkan prestasi baik dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris.Kami terasa akan kehilangan guru Bahasa Inggeris yang berkaliber dan mempunyai gaya tersendiri dalam menangani murid-murid yang bermasalah.Semoga ketua panitia baru akan terus berusaha untuk mengekalkan pencapaian bahasa Inggeris.



Perjumpaan kali kedua bersama guru pada hari ini lebih kepada mesyuarat panitia.Banyak perkara yang disentuh terutamanya LINUS yang merupakan agenda utama dan perlu diberi perhatian oleh semua guru.Alhamdulillah, semuanya dapat berjalan dengan baik sekali.Saya juga turut sama bersama-sama dengan AJK panitia untuk mendengar dan memahami isi kandungan LINUS dan KSSR kerana ramai guru telah diberi kursus dan pendedahan dengan tranformasi kurikulum pada tahun ini.



PENA KASIH :Berusaha untuk mengekalkan pencapaian sekolah di peringkat daerah.

KARAOKE ABC




Mereka teruja untuk memegang microphone kepunyaan kami.Mereka berdua membelek-belek microphone tersebut yang terletak di suatu sudut di rumah kami.Lantas, hubby membenarkan mereka mengambil microphone.

Lantas, Apiz dan Adif begitu gembira kerana hubby melayan kemahuannya.Dihulurkan microphone lalu mereka mencuba menggunakan dengan pelbagai gaya.Memanggil nama sendiri dan Pak Udanya.Teruja mendengar suara nyaring mereka.

Akhirnya, mereka berdua menggunakan microphone untuk berkaroke ABC setelah hubby menyuruh mereka berdua menyebut abjad tersebut.Dengan pelat ,Adif begitu excited menyebut huruf abjad dengan lagunya sendiri.Apiz juga menyebut tetapi mengekori apa yang disebut oleh Adif.At least mereka tahu menggunakan microphone walaupun hanya menyebut huruf abjad dengan gaya tersendiri.

Selepas itu, hubby mengambil microphone tetapi Adif yang menangis.Mungkin tidak puas untuk menyanyikan karaoke ABCnya .

PENA KASIH :Sesekali berkaraoke dengan hubby.........

Monday, December 27, 2010

PERJUMPAAN PERTAMA BERSAMA GURU




Selamat datang ke mesyuarat guru kali pertama....15 orang guru sahaja.Namun,walaupun bilangan guru sedikit tapi dapat melaksanakan program dengan baik sekali.

Hampir satu bulan lebih bercuti, alhamdulillah, hari ini semuanya berkumpul dalam suasana ceria.Bersemangat dan menepati masa.Semoga segala aktiviti 2010 akan dijadikan panduan kepada kita dan seterusnya menapak dengan satu azam dan semangat yang baru.

Majlis dimulakan dengan ucapan guru besar penuh semangat sambil membawa berita baik untuk sekolah .Apabila diberi peluang bercakap, sudah tentu banyak perkara yang hendak disampaikan kepada semua warga SKCC agar setiap maklumat yang diperolehi tidak tertinggal.

Kemudian,kami berhenti rehat untuk menikmati jamuan sebelum menyambung balik mesyuarat yang diketuai oleh saya.Saya tidak mengambil masa yang lama dan meleret-leret kerana segalanya telah saya catatkan dan memudahkan untuk tindakan semua guru.Sekiranya ada penambahbaikan akan kami sama-sama bincang.Namun, tahniah dan syabas kerada semua guru yang sama-sama melonjakkan nama sekolah .Seterusnya, saya mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada semua guru yang membantu dan memberikan komitmen yang baik sepanjang saya menjalankan tugas-tugas pentadbiran.Hanya satu saja yang saya pegang, apa-apa yang kita buat semuanya untuk meningkatkan kecemerlangan sekolah di samping memenuhi hasrat ibu bapa yang ingin melihat kejayaan anak-anak mereka.

Kemudian, HEM yang diketuai oleh Pn Norhayati telah membincangkan beberapa perkara berkaitan dengan programnya.Alhamdulilah semuanya berjalan dengan lancar.

Esok pula, mesyuarat ko-kurikulum dan panitia mata pelajaran akan dijalankan.Semuanya telah dirancang dengan baik demi kecemerlangan anak-anak didik.

PENA KASIH :Cuba untuk buat yang terbaik......namun kita hanya manusia yang ada kelemahannya.

Sunday, December 26, 2010

SKUAD SAYANG .......






Sempat bergambar dengan YB.............kenangan.


Yang Berhormat Dr.S.Subramaniam turut sama dalam majlis program Skuad Sayang anjuran Wanita UMNO Bahagian Segamat.

Layan gambar aje.............

Saturday, December 25, 2010

BLUE LAGOON PORT DICKSON



Anak saudara bersama Haziq yang seronok bermain.......






Bersantai di tepi pantai.........with my loving hubby.



Macam-macam makanan yang dibawa.Seronok juga bila berkumpul seperti ini.Hubby mempunyai cadangan untuk mengajak family berkumpul dan berjalan-jalan.



Menghabiskan percutian bersama keluarga dan emak saudara di Blue Lagoon,Port Dickson.Ingatkan nak tidur di sana tapi disebabkan cousin ada majlis perkahwinan, so kami terpaksa pergi sehari sahaja.Tidak puas tapi yang penting dapat memuaskan hati anak-anak yang begitu teruja untuk bercuti di kawasan tersebut.Kami berkonvoi bersama-sama Mahathir dan ayah.Seronok juga sesekali berjalan-jalan melihat pemandangan kawasan luar.

Bila cuti, sudah tentu ramai pengunjung yang datang ke tempat tersebut.Membawa keluarga, mencari ketenangan dan yang penting bersantai melepaskan kepenatan selama ini.Alhamdulillah, sepanjang perjalanan cuaca tidak panas.


Friday, December 24, 2010

CORAT-CORET 24.12.2010

Menghitung hari,menjelang 2011.Segala persiapan untuk tahun baru telah siap dikemaskinikan untuk bersama-sama dengan semua guru pada hari Isnin ini.Mesyuarat pertama sesi 2011,akan diadakan pada hari Isnin, jam 8.30 pagi.Sentuhan terakhir takwim untuk diserahkan kepada semua guru telah saya buat pada hari ini.Segala-galanya telah diserahkan kepada guru besar untuk difotostat bagi diagihkan kepada guru.

Tahun ini, agak lewat persiapannya walaupun saya telah menyediakan sejak dari awal cuti lagi.Banyak maklumat terkini diterima di akhir-akhir untuk dikongsi bersama dengan semua guru.Segala tindak ikut guru bagi melicinkan mesyuarat juga telah saya sediakan agar mesyuarat tidak meleret-leret sebaliknya terus kepada 'point' yang hendak disampaikan.Ada hitam putih dan mudah untuk dirujuk.Buat sebaik mungkin tapi mesti ada kekurangannya.

Agak terkilan sedikit kerana apa yang saya inginkan seperti yang telah disusun dengan sebaik mungkin tidak diikuti.Frust juga.............Cuba untuk mencantikkan dokumen tapi sebaliknya......terima seadanya.Tidak memenuhi citarasa saya sebenarnya dan tidak seperti tahun-tahun dahulu.Yang penting saya telah buat sebaik mungkin.......

Minggu ini sememangnya minggu yang sibuk buat saya.Banyak perkara yang hendak di'settlekan' di saat akhir dan alhamdulillah, saya telah buat segalanya.
Kemudian , semua GPK berkumpul dan guru besar memaklumkan di kalangan sekolah kebangsaan ,Sekolah kami menduduki tempat pertama dengan GPS 1.65 dan mendapat tempat ketiga di peringkat daerah.Tahniah kepada semua guru SKCC.Usaha kalian memang tidak dinafikan.Tidak pernah mengira masa dan sanggup berkorban demi kecemerlangan anak didik.Semoga tahun ini , akan membuahkan sesuatu yang terbaik lagi.

MAJLIS PERNIKAHAN DI FELDA KEMELAH

Selepas solat Jumaat, saya dan emak bergerak ke Felda Kemelah menghadiri majlis pernikahan sepupu.Ingatkan malas juga hendak pergi....penat dan badan pun masih kurang sihat lagi sejak demam minggu lepas.Terasa letihnya.Semua sendi-sendi sakit......Mengenangkan emak dan mak cik yang beria-ia mengajak saya, saya turuti juga pergi setelah mendapat keizinan daripada husband.

Pernikahan dijalankan di masjid Felda Kemelah......lama juga prosesnya.Selepas sesi bergambar dan bersolat,kami bergerak ke rumah pengantin perempuan.


PENA KASIH : Letih tapi seronok melihat sepupu melangsungkan pernikahannya buat kali kedua.....




Thursday, December 23, 2010

SEDAR

Keputusan PMR telahpun diumumkan.Ada yang gembira dan ada yang kecewa.Malah ada juga yang menyesal apabila menerima keputusan masing-masing.Malah ada juga yang telah bertekad untuk belajar dengan lebih bersungguh-sungguh semasa SPM.Itulah ragam pelajar PMR.

Anak lelaki saya juga tidak terkecuali menerima keputusan PMRnya yang dikira sederhana tapi lulus dalam semua mata pelajaran.Ada rasa kecewa dengan apa yang diterima."Mama, kita tidak mampu untuk menggembirakan hati mama dan ayah".Kita gagal mengembirakan hati ayah.Nampak di kelopak matanya bergenang air mata.Saya membiarkan dia berkata-kata sambil tersenyum.Alhamdulillah, mama tahu adik telah buat yang terbaik untuk diri adik.Selepas ini , belajar dengan lebih bersungguh-sungguh lagi.SPM menentukan masa depan adik.....so tanamkan satu tekad dan azam untuk belajar dengan lebih bersungguh-sungguh.Sesuatu yang menyentuhkan hati saya ialah walaupun mendapat keputusan yang sederhana, tapi buat dirinya ada peningkatan.Saya tahu dia mungkin kecewa dan tidak ada apa yang menggembirakan hati saya kerana yang penting dia lebih banyak mendekatkan diri kepadaNya.Setiap kali solat dia ingin solat berjemaah bersama ayahnya.Yang pasti solat maghrib ,isyak dan subuh.

Saya selalu berpesan kepadanya,selain berusaha jangan lupa memohon kepadaNya.InsyaAllah, gerak hati kita,akan diketahui olehNya.Mintalah seberapa banyak yang diinginkan tapi jangan lupa kita perlu berusaha.Tiada kejayaan tanpa usaha.

PENA KASIH;Terima seadanya.............

KEMBALI

Malam ini, kami sekeluarga ke Taman Yayasan.Membawa emak dan anak saudara berjalan-jalan ke pasar malam.Membawa Along yang ingin ke sana.Next week akan kembali semula ke Perlis meneruskan pengajiannya.

Kami meronda melihat satu persatu gerai di situ.Hanya membeli buah-buahan dan kuih-muih.Then, terima panggilan telefon daripada ayah yang mengatakan sudah berada di kedai Raju.Kelam-kabut dibuatnya.Hajat hendak meronda buat kali kedua terbantut kerana ayah bersama kawannya sudah menunggu di kedai tersebut.Kereta telah penuh sarat dengan kami seramai 6 orang.Akhirnya, hubby meminta kami beredar cepat dari Taman Yayasan dan yang menggelikan hati kami ialah, hubby meminta anaknya dan anak saudara turun dahulu di depan hospital sementara kami mengambil ayah dan rakannya.Kasihan juga nanti, kalau rakannya tengok kami penuh di dalam kereta .Selepas itu, kami menghantar rakan ayah pulang ke rumahnya dan kemudian mengambil balik anak-anaknya.Mereka memahami.

Operasi membuka barang-barang yang dibeli oleh ayah untuk kami.Yang paling banyak dapat ialah hubby.............rezeki hubby.Ayah sememangnya tidak pandai untuk membeli barang tapi ayah belikan kami baju.Untuk cucu-cucunya.Thanks,ayah.We love u so much.

Sebelum pergi, saya sempat meminta ayah mengambil gambar di sana untuk dijadikan kenangan buat ayah.Hatyai dan cikgu Said sempat bercerita dengan hubby keadaan di sana.Sempat juga cikgu Said memaklumkan kepada hubby yang dia mengenali ayah mentua dan sama kelas dengannya.Dunia ini kecil...................macam-macam yang diceritakan.


PENA KASIH :Masih belum dapat memenuhi hasrat untuk ke Sarawak.

Wednesday, December 22, 2010

REZEKI


Since Along kerja di klinik,mengisi masa cutinya yang hampir 1 bulan lebih,banyak pengalaman yang diperolehi.Setiap hari, ada saja cerita yang dibawa dan dikongsi bersama terutama berkaitan dengan ubat-ubatan dan penyakit.Jenis-jenis ubat dikenali dalam masa yang singkat.

Dia memang tidak suka menghabiskan masa dengan perkara yang kurang berfaedah.Masuk kerja pukul 9.00 pagi dan balik lebih kurang pukul 4.oo petang.Tidak pandai hendak tuang kerja.Walaupun demam, tapi begitu cekal dalam menjalankan tugas.

Semenjak kerja di situ, boleh dikatakan setiap hari doc akan belanja makan bersama-sama dengan kawannya,Ain.Kadang-kadang dia menolak pelawaan doc kerana segan mendapat makan 'free'.Doc sendiri cakap sejak dia kerja di situ, pelanggan begitu ramai dan memang tidak dinafikan oleh anak.Banyak masuk................Sudah rezeki agaknya.

Setiap hari, waktu sarapan pagi, Along bersama Ain akan makan di sebuah warung berhampiran klinik tersebut.Setiap kali hendak bayar, ada orang bayarkan untuknya.Asyik makan 'free' aja, kata Along.Dah rezeki dia agaknya.Semalam, dia maklumkan ada seorang pekerja istana,belanja makan.Tidak dikenali.......Saya selalu ingatkan dia agar lebih berhati-hati dan kalau boleh tolak pelawaan orang yang hendak belanja.Tapi , setiap kali hendak bayar, semuanya telah dibayar.

PENA KASIH :Sejambak bunga mengingatkan nostalgia lama......MPKI masih segar dalam ingatan.


Tuesday, December 21, 2010

HARGA SEBUAH KESABARAN


Kesabaran menangani pelbagai masalah yang timbul membuatkan saya lebih banyak mendiamkan diri.Mendiamkan diri agar tidak berkecamuk dengan perasaan geram oleh hubby kerana masalah baru yang timbul.Tidak mahu membebankan hubby kerana terpaksa berurusan dengan orang-orang tertentu,melayan karenah birokrasi kerana ingin mendapatkan kepastian akibat desakan.Baru hendak rileks, dah timbul perkara lain...........membosankan.

Tidak pernah habis-habis cerita.Selagi tidak selesai,selagi itulah dipanggil dan akan sentiasa timbul sehingga menganggu urusan kami.Orang lain senang, orang lain yang kena uruskan...itulah rungutan hubby.Akibatnya, kami juga yang terpaksa mengalah...........Anak-anak semuanya mendiamkan diri.Nak ajak berjalan-jalan pun takut........

Lalu saya katakan................sabar dalam menangani masalah yang timbul.Hanya Allah sahaja yang tahu kedudukan sebenarnya.InsyaAllah......semuanya akan terjawab nanti.Jadi sapa benar dan sapa bersalah,lihat sahaja.Yang penting........selesaikan dengan cara yang baik kerana dia yang akan berhadapan dengan pihak tertentu nanti.

Kadang-kadang tahap kesabaran ada batasnya........Kalau selama ini, orang ingat perbuatannya tapi ....sebenarnya tidak.Tempiasnya kita juga yang kena.Itulah erti sebuah kesabaran.Perlu banyak bersabar......kita perlu jaga hati orang-orang tertentu.Itulah modal saya setiap kali menyabarkan hubby dengan masalah baru yang timbul.

PENA KASIH :Harga sebuah kesabaran itu lebih mahal daripada perbuatan yang dilakukan....



Monday, December 20, 2010

JALAN-JALAN

Jam 8.00 malam, bersama hubby dan emak menghantar ayah ke dataran Segamat.Ayah telah berpeluang untuk pergi bercuti di Hatyai.Lebih kurang 26 orang ke sana.Mulanya, ayah tidak hendak ikut sama tapi atas permintaan beberapa orang rakannya yang meminta ayah ke sana.

Keadaan cuaca yang tidak berapa elok sejak akhir-akhir ini, memberatkan hati kami untuk melepaskan ayah ke sana.Tapi bagi memenuhi hasrat rakan-rakannya, kami benarkan juga.Yang sedihnya ialah cucu-cucunya yang sudah tentu terasa kehilangannya dalam beberapa hari ini.

Sebelum ke sana, ayah telah menyediakan semua kelengkapan untuk emak dan cucu-cucunya.Siap tinggalkan hp canggih untuk emak.Entah tau atau tidaknya,emak menggunakan hp tersebut.

Lama juga kami bersama dengan ayah di dataran.Menunggu rakan-rakannya yang lain.Sempat saya berpesan dengan abang Wan yang merupakan pemandu pelancong untuk melihat ayah.Maklumlah ayah bukannya sihat sangat.

Selepas bersalam-salaman dengan ayah, saya ke klinik untuk mendapatkan rawatan demam saya.Hampir seminggu demam dan akhirnya keluar bintik-bintik merah halus di kulit badan saya.Setelah diperiksa, doc mengatakan ini demam biasa dan mungkin juga terkena 'chingkunya'.Sebelum ini, saya mengalami sakit sendi-sendi dan akhirnya keluar bintik-bintik merah.

PENA KASIH : Semoga ahli rombongan selamat pergi dan balik............

Sunday, December 19, 2010

TIADA KESUDAHAN

Hari ini,hubby merungut lalu berkata"tiada kesudahan" selagi terlalu banyak hendak dijaga perasaan.Tidak akan selesai segala-galanya.Ianya melibatkan banyak pihak dan sekali lagi menyusahkan dirinya hanya kerana orang lain.Selagi keegoan itu bersarang dalam diri, selagi itulah satu persatu perkara akan timbul.Sebab itu hubby selalu mengingatkan kami, kalau hendak buat sesuatu jangan menyusahkan orang lain dan membabitkan orang lain.

Kadang-kadang kasihan juga tengok hubby.Terpaksa menguruskan itu dan ini hanya kerana orang lain.Tapi dia tetap pegang prinsip "hanya menjaga perasaan' orang lain.Cukup selama ini,orang-orang sekeliling memandang serong kepadanya hanya kerana orang lain punya angkara dan membabitkan diri saya pula.Bertalu-talu perkara ditanya kepada hubby tapi hubby banyak memendam perasaan kerana hendak menjaga perasaan orang lain.Realitinya itulah.........

Tapi tetap tidak mahu mengaku kesalahan malah menuduh bukan-bukan.Konon tidak mahu mengaibkan orang tapi kerana angkara orang lain, mengaibkan kami juga.Tapi tetap bersabar dengan karenah manusia.Berpegang kepada perkataan 'sabar',kami pendamkan sahaja selama ini.Kerana menjaga perasaan....................


PENA KASIH :Masih terngiang-ngiang di telinga ini,perkataan yang diluncurkan.......

Saturday, December 18, 2010

KLUANG N BATU PAHAT

Minggu yang dikira agak sibuk buat diri saya.Rumah sepupu yang mengadakan majlis menyambut menantu perempuannya.Hampir seminggu saya ke rumahnya membantu apa yang patut.Walaupun hari hujan dan badan yang agak kurang selesa kerana demam,saya gagahi juga untuk membantu sepupu.Hari besarnya saya tidak dapat bersama kerana ke Kluang dan Batu Pahat memenuhi jemputan perkahwinan.Hampir seminggu saya demam tapi alhamdulillah,hari ini kesihatan bertambah baik.


Perjalanan kami ke Kluang berjalan dengan lancarnya.Bertolak dari Segamat,jam 9.00 pagi.Kami ke Taman Sri Lambak.Kami tidak lama di sana kerana akan ke Batu Pahat memenuhi undangan Abang Yusof.Sepanjang perjalanan,Haziq melayan Adif yang naik kereta kami.Tidak boleh langsung hilang pandangan kereta ayahnya.Menjerit-jerit memarahi kereta yang berada di depan kereta ayahnya.



Melayan karenah Adif yang menangis kerana terlalu 'excited' berjalan-jalan sehingga tidak sedar melangkah batu besar sehingga menyebabkan terjatuh.Kalau dah mula menangis sukar untuk dipujuk.


Kemudian, kami ke Batu Pahat.Seronok berjumpa dengan Kak Long dan Darwish.Dah besar Darwish tapi sukar untuk melihat wajahnya ketawa mahupun tersenyum.






Kemudian,kami mengambil peluang ke Batu Pahat Mall.Melayan karenah Adif,Apiz, Nini dan Alyn.Seronok melihat mereka bermain-bermain di situ.

Thursday, December 16, 2010

CORAT-CORET HARI INI

Hubby awal-awal lagi berpesan tak perlu masak hari ini.Berbuka puasa di luar.Rutin kerja saya seperti biasa hanya tidak masak hari ini.Tapi, emak meminta saya menolongnya masak di rumah sebab ada tetamu datang.Sambil emak melayan tetamu saya sudah menyiapkan masakan untuk makan tengah hari.Selepas menyediakan segala-galanya, saya kembali ke rumah.Merehatkan diri sebentar sebelum ke rumah sepupu untuk menolongnya membuat persiapan untuk majlis perkahwinan anaknya pada hari Sabtu ini.

Lebih kurang pukul 3.00 petang , saya ke rumahnya bersama emak.Kali ini, emak dan rakan-rakannya memasak wajik .Alhamdulillah, walaupun hujan turun mencurah-curah membasahi bumi, wajik sempat juga dimasak.Saya hanya menolong sekejap sahaja di luar rumah dan kemudian dipanggil untuk memasang tabir di bilik pengantin.Senang aja,kerja panjat-memanjat saya minta anak lelaki sepupu melakukannya dan setelah siap memasang cadar bilik pengantin, kami beredar menyiapkan kerja-kerja 'packing' kerepek untuk dimasukkan dalam beg.Kalau dahulu majlis perkahwinan hanya diberikan cenderahati sebiji telur ataupun kek tapi kini agak berlainan sedikit.Para tetamu akan dibekalkan dengan beg yang di dalamnya terkandung kerepek, kek,telur dan pelbagai lagi.Jika tidak diberi rasa seperti tidak lengkap sesuatu majlis itu.Bukan sahaja majlis perkahwinan, malah kini apabila majlis Yassin diadakan para tetamu akan dibekalkan dengan beg juga.Kini, ia sudah menjadi satu tradisi pula.

Setelah menyiapkan semuanya, saya balik untuk menemani suami yang hendak berbuka puasa di luar.Setelah makan, suami berhenti solat di Masjid Jamek Segamat dan selepas itu terus pulang ke rumah.Alhamdulillah , semuanya berjalan dengan lancar.

Emmm.......dalam masa yang sama, big boss called meminta saya menyiapkan itu dan ini.Ingatkan nak rehat sekejap tapi banyak pula kerja yang perlu diselesaikan.So, esok terpaksa bergerak ke sekolah untuk menyiapkan segala kerja yang dikehendaki.

PENA KASIH :Cuti yang tidak cuti sebenarnya..................

Wednesday, December 15, 2010

PENGULAS SAMPINGAN

Menonton siaran langsung perlawanan bola sepak antara Malaysia dan Vietnam pada hari ini amat menyeronokkan.Seronok mendengar pengulas sampingan memberikan ulasan dan tenggelam suara pengulas sebenar.

Memang sudah lama saya tidak menonton siaran langsung perlawanan bola sepak.Tapi , malam tadi saya teruja menonton ketika bersama-sama dengan bapa saudara yang begitu berminat dengan perlawanan tersebut.Tidak berhenti-henti dia mengulas setiap kali pemain Malaysia mendapat bola untuk menembusi pintu gol lawan.Anak perempuan saya tidak habis-habis ketawa dan menahan geli hatinya mendengar pengulas sampingan memberikan ulasan.

Seronok juga ya.........sesekali menonton siaran ini.Saya memang jarang menonton kerana pemain-pemain baru tidak dikenali seperti pemain dahulu memang menjadi buah mulut orang kerana kehandalan mereka dalam permainan tersebut.Sebut sahaja nama Mokhtar Dahari, Santokh Singh, A.Arumugam,Soh Chin Aun dan Dollah Salleh......semuanya memang saya minat.Gaya permainan mereka memang menarik hati.Tidak pernah ketinggalan menyaksikan mereka bermain di kaca tv.Berebut-rebut hendak menonton perlawanan bola sepak jika melibatkan negara kita.

Malah, ada di antara mereka terjerit-jerit apabila melihat bola sudah hampir ke pintu lawan atau sebagainya.Tanpa disedari suara kebisingan terkeluar daripada mulut para peminat bola sepak.

PENA KASIH :Tahniah untuk pasukan Malaysia dan jurulatihnya.....

Tuesday, December 14, 2010

SAHABAT


Untuk mendapat sahabat yang betul-betul memahami kita,amat sukar.Kita mempunyai ramai kawan tetapi tidak semua kawan mampu menjadi sahabat yang setia.Kadang-kadang ada kawan hanya manis di depan kita tetapi di belakang kita lainnya.Justeru, kita perlu berhati-hati dengan kawan mahupun sahabat.

Pandangan saya,kawan akan bersama kita sewaktu senang sahaja,suka, gembira tetap bersama tetapi tidak pada waktu susah.Sahabat pula akan sentiasa bersama kita pada waktu senang dan susah.Hendak mencari sahabat inilah yang sukar sebenarnya.Sahabat biasanya akan sentiasa mendengar dan memhamai akan masalah yang kita hadapi tetapi kawan hanya ingin bersama kita ketika berada dalam keadaan yang senang.Bila susah semuanya menjauhkan diri.

Saya selalu mengingatkan anak-anak saya supaya tahu membezakan antara kawan dan sahabat.Adakalanya kawan menikam kita dari belakang hanya untuk kepentingan diri sendiri.Begitu juga sewaktu berkawan, tahu batas erti berkawan.Tutur kata dan bicara perlulah berhati-hati agar tidak ada yang menyakitkan hati kawan.

Baru-baru ini, sahabat anak saya yang boleh dikirakan begitu akrab sekali meminta anak saya menolongnya menjual kuih-muih di pasar malam kerana emaknya menunggu ayahnya yang kini sakit.Anak saya tidak menolak pelawaan tersebut dan menolong sahabatnya di pasar malam.Menemani sahabatnya yang mungkin segan berhadapan dengan orang ramai.Saya izinkan kerana mereka sekeluarga memang rapat dengan anak saya.Menyayangi anak saya seperti anak dia.Setiap kali keluar ke bandar, mereka akan sentiasa bersama dan saya tahu di mana arah tujunya mereka berjalan.Itulah erti persahabatan pada anak saya.

PENA KASIH : Mempunyai ramai kawan.................




Monday, December 13, 2010

AJAL


Apabila sudah tiba ajalnya,ia tetap pergi juga.Tidak menyedari kehadirannya di bawah celahan roda empat.Tidur dengan nyenyak agaknya sehinggakan bunyi enjin kereta tidak disedari.
Itulah yang dikatakan ajalnya sudah sampai.

Selalunya, setiap kali kami membunyikan enjin,ia akan lari lintang pukang.Tapi kali ini, kami sendiri tidak menyedari ia baring di celah-celah roda empat itu.Kehadiran Si Hitam, yang tidak tahu dari mana datangnya, muncul di rumah kami hampir seminggu yang lalu.Terlalu liar.Setiap kali,nampak sahaja kelibat kami, ia melarikan diri dan menyembunyikan dirinya.Warna bulunya hitam dan agak comel.Lalu anak lelaki memanggilnya Hitam.

Sebelum bertolak ke tempat kerja,kami seperti biasa menghidupkan enjin dan terus mengundurkan kereta tanpa menyedari si Hitam berada di bawah kereta kami.Argh...........hubby terkejut kerana melihat si Hitam mengelupur kesakitan.Lalu, saya mengatakan mungkin si Hitam akan menemui ajalnya pada hari ini.Hubby turun dan melihat keadaan si Hitam...........ya,Si Hitam sudah tidak bergerak lagi.........

Kami lambat ke tempat kerja hari ini kerana hubby menanam si Hitam terlebih dahulu bersama-sama dengan anak lelaki.Sekejap aja si Hitam duduk di rumah kami.
Firts time, hubby terlanggar haiwan sehingga menemui ajal.Sebelum ini dan sepanjang bersama, tidak pernah saya melihat hubby melanggar haiwan-haiwan sehingga menemui ajal.

PENA KASIH : Bila ajalnya sudah sampai.................

Sunday, December 12, 2010

KERISIK KELAPA


Kerisik kelapa merupakan satu lagi campuran yang boleh menyedapkan masakan terutama jika kita hendak masak rendang.Kelapa akan digoreng sehingga kekuning-kuningan sebelum ditumbuk halus sehingga mengeluarkan minyak.

Hari ini,sepupu saya yang akan melangsungkan majlis perkahwinan anaknya pada minggu ini telah mengadakan gotong-royong membuat kerisik kelapa.Saya sebenarnya terlupa permintaannya meminta saya datang ke rumah menolongnya membuat kerisik sehinggalah jam 5.00 petang,saya menjengah ke rumahnya.Tapi sempat jugalah saya dan anak perempuan menumbuk kelapa sehingga halus dan mengeluarkan minyak.

Kemudian, sepupu mengajak saya ke Kampung Chodan kerana ingin menjemput sepupu kami datang ke rumahnya.Satu-satunya anak saudara lelaki ayah yang paling rapat dengan kami.Anak aruah abang ayah saya.Dia tidak mengenali sepupunya sendiri sehinggalah saya mengenalkan kepadanya.Agak pemalu seperti ayah saya tapi bila dah berjumpa dengan saya,hilang rasa malunya.Kami memang jarang berjumpa kerana masing-masing sibuk.Jika tidak ada sesuatu majlis,jarang dapat bertemu.

PENA KASIH :Bila tengok wajahnya..........seiras wajah ayah sewaktu muda.

Saturday, December 11, 2010

PUCUK UBI


Gambar hiasan
Kalau disuruh budak-budak sekarang makan pucuk ubi yang sudah dimasak secara masak lemak, dibuat urap atau dicelur, mereka tetap mengatakan tidak biasa dengan makanan itu.
Anak saya sendiri sememangnya tidak pernah menyentuhi masakan berasaskan pucuk ubi.

Hari ini, saya begitu teragak hendak merasai masakan berasaskan pucuk ubi.Just celur sahaja pucuk ubi dan dicecah dengan kuah sambal kacang.Emmmm....enak sungguh.Meminta anak mencubanya tapi masing-masing menggeleng kepala memberi isyarat tidak mahu.

Masakan pucuk ubi dan dicampurkan dengan tempoyak memang sedap sekali.Semasa saya menuntut di USM, masakan ini menjadi pilihan utama apabila makan tengah hari.Sudah cukup.Ada pula ikan masin............

Bukan pucuk ubi sahaja yang boleh dimakan, isi ubi itu sendiri boleh dipelbagaikan.Kalau musim hujan,direbus ubi dan dicecah dengan sambal, sememangnya enak.Kalau ke kampung suami,Mak Uteh menghidangkan rebusan ubi yang dikatakan akan memberi kesan kerana angin akan lupa sekejap soal tersebut.Sebaliknya terus mencuba makan ubi rebus tersebut.Ubi boleh juga dibuat lepat, kerepek dan pelbagai lagi.

PENA KASIH : Sedang tanam pucuk manis......

BERANG


Apabila sudah naik angin,wajah yang berseri sudah tidak nampak serinya lagi.Tidak tahu apa puncanya sehingga terjadi begitu.Mungkin kerana tidak menyedari akan kepentingan sesuatu itu sebaliknya mengambil sikap acuh dan tidak acuh saja sewaktu melaksanakan tugasan.Tidak komitmen pada tugas sehingga melibatkan orang lain.

Apabila masalah peribadi dibawa bersama,sudah tentu sedikit sebanyak mengganggu prestasi kerja.Sudah acapkali diberi peringatan agar peka dengan apa jua hal dan tindakan segera yang perlu diambil tetapi masih tetap tidak berubah.Akhirnya...........bila angin sudah meletus, orang lain turut menjadi mangsa.

Itulah realitinya dunia pekerjaan.Bila tidak ada nilai kesabaran, boleh jadi perang.Tapi,saya lebih suka mendiamkan diri sahaja daripada terus memprovok pihak tertentu.Selesa dengan kerja sendiri dan selagi tidak menjejaskan kerja-kerja saya, saya biarkan mereka menyelesaikan sendiri hal mereka.Mereka ada hak untuk melakukan sesuatu selagi ia tidak membiarkan masalah itu berterusan."Don't make me angry and you don't suprise if one day,i will be shout with her'.Emm....saya hanya tersenyum sahaja.

Sebagai seorang yang akur dengan perintah, sepatutnya boleh menerima teguran itu sebagai sesuatu yang baik untuk masa depan.Selagi tidak menyakitkan hati cara teguran itu , sudah dapat memahami apa kehendak orang atasan.Janji kita berubah setelah menerima teguran dan menilai hasil kerja sendiri selama ini.Jika banyak menerima komplen bermakna kita belum dapat melaksanakan tugasan itu dengan baik.Perlu inisiatif untuk memperbaiki cara bekerja kita.Jika menerima pujian bermakna ,kita mampu melakukan kerja seperti mana yang dikehendaki.

Hampir 14 tahun saya berada di organisasi yang sama bersama-sama dengan 4 orang guru besar yang berbeza citarasa pengurusan mereka,saya masih dapat menerima setiap teguran yang diberikan dengan niat untuk mempertingkatkan kerjaya kita.Tapi , ada juga antara pentadbir yang bersikap 'memilih bulu' dan kita akur kerana kita tidak mampu mengikut rentak cara kerja kerana lebih menjurus ke arah permainan politik.Prinsip saya,apabila bekerja, soal politik saya tidak mencampur adukkan kerana kita ada 'core-business'yang perlu diberi keutamaan.Akhirnya,mengambil sikap acuh tidak acuh dengan kita.Saya tetap redha kerana kita berada di pihak yang benar.Yang penting, kita bekerja untuk kepuasan diri dan bukannya melebihkan soal-soal politik.Anak murid menjadi keutamaan saya dan bukannya untuk menyibukkan diri dengan kerja-kerja luar sehingga menjejaskan prestasi anak murid.

Sebagai seorang yang dikatakan begitu rapat dengan pekerja,apa yang patut saya berikan nasihat dan peringatan telah saya lakukan.Bukan kerana pangkat yang saya ada, tetapi saya rasa saya saya masih sayang anak-anak buah saya,saya perlu memperbetulkan mana yang tidak betul.Jika masih tidak berubah,saya biarkan jalan penuelesaian itu dilakukan oleh orang atasan .

Itulah sebenarnya cabaran yang dihadapi oleh pihak pengurusan.Apabila gagal mengatasinya, mulalah berang. Perlu tahu apa sebabnya timbul keberangan itu.Mesti ada puncanya.

PENA KASIH :Berusaha mengikut rentak pentabdiran yang berbeza-beza.............

LinkWithin



Related Posts with Thumbnails