Monday, August 31, 2009

NASI AYAM

Sudah sepuluh hari kita menjalani ibadah puasa dan selama itu juga Haziq menjamu seleranya sewaktu berbuka dengan nasi ayam.Ayahnyalah yang terpaksa melayani kerenahnya itu.Saban tahun, apabila bulan ramadhan tiba, selama itulah Haziq mengambil kesempatan untuk berbuka dengan nasi ayam.Tidak rasa jemu langsung.Kami yang lain memang tidak menggemari nasi ayam.

Setiap hari, ayahnya akan membawa Haziq ke bazar ramadhan mencari nasi ayam kegemarannya.Jika tidak kesempatan, tok yahnya pula yang diminta membelikan nasi ayam tersebut.Jika tidak dibeli mulalah tarik muka menunjukkan protes kerana makanan kegemarannya tiada sewaktu berbuka puasa.Hendak tak hendak terpaksalah kami melayaninya/


Pena Kasih: Kurang minat pada nasi ayam.

Sunday, August 30, 2009

TIDAK RUGI MEMILIKI PENAPIS BIO AURA


Hari ini saya didatangi oleh seorang mak cik yang membeli penapis bio aura daripada saya.Beliau mengatakan bersyukur kerana memperkenalkan kepadanya penapis bio aura.Kalau dahulu badannya sentiasa sakit terutama di bahagian sendi-sendi tetapi kini alhamdulillah semuanya tiada lagi.

Ini saya akui sendiri, dahulu di bahagian tumit kaki saya memang sakit dan adakalanya agak sukar untuk saya berjalan.Tetapi setelah saya menggunakan air tersebut, alhamdulillah semuanya tiada masalah lagi.Dahulu saya memang tidak boleh langsung menyentuh apa jenis makanan yang berkacang tetapi kini saya boleh memakannya.Kalau dahulu, sendi di siku saya berasa nyilu tapi kini saya boleh memerah kain dan mengangkat barang.Kesakitan itu hilang dan saya tidak merasa sakit-sakit lagi.

Emak saya mengatakan sejak dia menggunakan air tersebut, kakinya yang sakit sudah hilang begitu juga dengan ayah saya.Baru-baru ini,ayah saya telah mengalami sakit kepala yang teramat sangat.Lalu emak mengambil air tersebut dan disapu pada kepala ayah.Serta merta sakit kepala ayah hilang dan ayah boleh bangun dan pergi ke bazar ramadhan.

Baru-baru ini, adik ipar suami dari Kuala Lumpur terus mencari suami untuk membeli penapis air tersebut. Dia tahu akan keberkesanannya.Beria-ia betul dia hendak memiliki penapis air tersebut dan dia berkata tidak rugi memiliki penapis air tersebut.
Bagi mereka yang badannya mengandungi asid yang banyak, apabila meminum air tersebut akan berpeluh dengan banyak sekali.Ia bertindak balas kepada asid yang ada dalam badan.Mereka juga akan demam dan kemudian akan terasa badan menjadi ringan.Anak saya sendiri mengakui akan kebaikan meminum air tersebut.Badan rasa tidak letih dan tidak sekali-kali dia merungut keletihan sejak berpuasa.

Setiap hari suami akan merendamkan kakinya dengan menggunakan air bio aura dan ternyata memang ada perubahan pada kaki setelah merendamnya.

Pena Kasih:kalau dahulu makan asam mangga mesti kaki terasa sakit kerana terlalu banyak asid di dalam badan tapi kini semuanya tidak menjadi masalah.Bersyukur teramat sangat kerana terbuka hati saya untuk memiliki air penapis tersebut walaupun sebelum ini banyak jenama yang diperkenalkan kepada saya.

MERIAM


Sudah sembilan hari kita berpuasa dan dentuman meriam sudah mula kedengaran.Kadang-kadang bunyi meriam itu mengganggu suasana ketenteraman.Dentuman yang tidak mengira masa sedikit sebanyak mengganggu suasana kesunyian di waktu tengah hari.Kadang-kadang bunyi ketika sedang berbuka.Masa bilakah mereka berbuka?Tidak bersyukurkah mereka dengan kenikmatan di bulan puasa ini?Bukannya salah untuk bermain tetapi bermainlah pada waktu yang sesuai.

Semalam bunyi sahaja azan maghrib, dentuman meriam pun mengekori.Agak merimaskan saya tapi apa boleh buat.Biarlah mereka bermain selagi itu yang menjadi kegembiraan mereka.Cuma saya berharap mereka akan bermain dengan cara yang betul agar tidak berlaku apa-apa kejadian yang tidak diingini.Banyak cerita yang kita dengar apabila mereka bermain meriam.Ada yang putus tangan, mata terkena serpihan meriam dan pelbagai lagi yang akhirnya membawa kepada kecacatan.Harap-harap mereka tidak seperti itu.

Pena kasih: Semasa kecil hanya main bunga api sahaja kalau mercun memang takut bunyinya.Syukur sehingga kini anak-anak tidak pernah merengek untuk dibelikan mercun atau bunga api.



Friday, August 28, 2009

SUDAH SEMINGGU......................

Sudah seminggu kita berpuasa.Syukur kerana dapat mengerjakan ibadah puasa tanpa rasa keletihan yang teramat sangat.Seperti biasa agak cergas.Anak-anak tidak merungut rasa letih.Masing-masing begitu rajin membaca al-Quran.Alhamdulillah, itulah yang mama ingin lihat.Perubahan demi perubahan berlaku.Perubahan ke arah kebaikan.

Sudah seminggu juga mengerjakan tarawikh di beberapa buah masjid dan surau.Syukur kerana mereka telah menunjukkan respon yang baik sekali.Tiada sebarang rungutan mengatakan penat atau malas untuk bertarawikh.Memanjat kesyukuran kepada Allah agar dibukakan seluas-luasnya hati mereka untuk terus beribadat.Dikurniakan kesihatan yang baik agar terus dapat mengerjakan solat.Bukan senang untuk mendidik anak-anak mendekati denganNya.Pelbagai usaha dilakukan oleh ibu bapa agar anak-anak mereka terus mengerjakan solat.Begitu juga dengan saya.Setiap hari mesti mengingatkan mereka agar jangan lupa mengerjakan solat.

Hati ibu akan rasa gembira apabila melihat anak-anak dapat mengerjakan solat dengan teratur,mengaji al-Quran.Syukur sekali kerana anak-anak saya semuanya sudah tamat membaca al-Quran.Anak perempuan saya paling cepat habis menggaji.Seusia sembilan tahun telah habis membaca al-Quran tetapi adik lelakinya berusia dua belas tahun baru habis.Kini,mereka mengulang semula membaca al-Quran dan saya dan ayahnya akan menyemak bacaannya.Saya juga perlu bersyukur kepada emak dan ayah yang telah memberi tunjuk ajar kepada saya sehingga saya mampu untuk mengajar anak-anak membaca al-Quran.Anak-anak ,saya ajar sendiri membaca dengan bantuan ayahnya.Tetapi kami sediakan rotan.

Pena Kasih:Sehingga kini masih lagi dahagakan ilmu keagamaan dan sering meminta tunjuk ajar ayah untuk mengajar saya.

Wednesday, August 26, 2009

INDAHNYA ZAMAN ITU................

Sewaktu usia menginjak ke angka 12 tahun ke atas pelbagai kenangan menjelma dan menjengah di sanubari ini.Di saat menyambut bulan ramadhan,di saat menghadapi bulan ramadhan dan di saat menyambut hari raya.

Ketika itu, dua orang adik emak tinggal bersama kami.Ayah yang menyekolahkan mereka.Ketika itu memang indah sekali terutama ketika hendak menyambut hari raya.Adik emak ialah Pak Lang dan Mak Cik yang agak lama juga tinggal bersama kami.Ketika bersekolah di SBH,Pak Langlah yang membawa saya dengan menunggang basikal.Teringat sewaktu saya membonceng basikal Pak Lang.Terjatuh dari basikal yang tidak disedari oleh Pak Lang.Di tolehnya ke belakang dan didapati saya tiada bersamanya.Rupa-rupanya saya terjatuh dari basikal.Memang menggelikan hati.

Sewaktu hendak menyambut hari raya,Pak Lang dengan Mak cik begitu sibuk memasang pelita di keliling rumah.Bermain mercun dan membakar meriam buatan sendiri.Waktu malam, emak bersama-sama dengan Pak Lang dan Mak cik membuat pelbagai jenis kuih-muih yang begitu enak sekali.Biskut buah kana, semperit,biskut buah, biskut nestum, biskut milo dan pelbagai jenis yang tidak diingati .Sungguh meriah sekali ketika itu.Hari ini kemeriahan seperti itu jauh berubah.Tiada lagi suasana sibuk untuk membuat kuih-muih seperti itu tetapi masing-masing sibuk menjalankan ibadah tarawih.

Kini, anak-anak tidak mengenali jenis-jenis kuih yang menjadi hidangan sewaktu hari raya.Hanya yang mereka tahu adalah rasanya sedap dan kesusahan untuk membuatnya tidak diketahui.Memang saya akui, anak perempuan saya begitu teruja untuk belajar membuat biskut tetapi saya telah terlebih dahulu membuat tempahan biskut.Kasihan anak perempuan saya yang terlalu ingin untuk belajar membuat biskut.Suatu hari nanti, mama akan tunjukkan juga cara membuat biskut yang mudah dan sedap dimakan.
Kini, saya sibuk menjahitkan langsir untuk emak.Tempahan tanpa berbayar sudah dibuat lebih awal.Berbakti untuk emak yang tersayang dan untuk memastikan hati emak gembira dan ceria setiap kali hari raya menjelma.

Pena kasih:Lupa cara untuk membuat biskut buah kana yang merupakan biskut kegemaran.

KERINDUAN..................

Perasaan rindu memang sukar untuk dibendung.Bukan orang tua sahaja yang pandai merindui tetapi kanak-kanak juga mempunyai perasaan seperti itu.Jelas ketara, Apiz begitu merindui seseorang.Sejak akhir-akhirnya ini dan setiap kali kami ke rumahnya untuk membawa emak ke tarawih,setiap kali itulah dia berlari dan terus memeluk Pak Udanya.Hapiz rindu.....itulah kata-katanya.Seorang demi seorang di dakap dan dipeluknya.

"Hapiz, rindukan ayah ke?" Itulah pertanyaan saya.
"Hapiz, rindukan ayah.Hapiz nak jumpa ayah."Kata-kata itu membuatkan saya sebak dan tidak sedar air mata bergelinang.Sekecil itu, sudah tahu akan rindunya pada ayah.Ayahnya akan balik setiap hujung minggu tetapi itu tidak mengubat hati Hapiz.Dia mahu ayahnya sentiasa ada bersamanya.
Justeru,Pak Udannyalah yang menjadi mangsa Hapiz melepaskan kerinduannya.Hapiz akan sentiasa bersama-sama dengan Pak Udanya.Hapiz minta didukung, dibelai dan dimanjakan.Kadang-kadang Pak Udanya akan menidurkannya sebelum pulang.

Kini,Hapiz sentiasa demam.Demam rindu,kata orang-orang tua.Jelas,susuk tubuhnya yang dahulu montel telah susut.Tidak mahu makan tapi hendak sentiasa bersama Pak Udanya.Terpaksalah melayankan kerenahnya.Itulah Hapiz yang sentiasa minta diberi perhatian.

Pena kasih:Kadang-kadang Pak Udanya pula yang merindui anak saudaranya yang keletah itu.

Monday, August 24, 2009

PTK LAGI................


PTK bahagian umum masih belum mencapai keputusan 4.Tahun ini saya ambil lagi sekali walaupun ianya tidak diambil kira kerana saya sedang menunggu surat untuk pelantikan DGA41.Setiap kali peperiksaan dilalui, suamilah orang yang paling sibuk mengingatkan saya agar study.......study.Dialah yang paling sibuk mengejutkan saya supaya bangun dan baca apa yang patut.Tahun ini,saya tidak begitu serius membuat ulangkaji.Dibiarkan masa berlalu begitu sahaja.

Namun saya akan cuba untuk menjawab soalan tersebut sebaik mungkin.Dua hari berada di sekolah kerana bertugas dan memerhatikan kehadiran murid-murid Tahun 6 ke kelas tambahan sebagai satu usaha pihak sekolah untuk membantu dan membimbing murid-murid di saat terakhir menduduki UPSR.Kehadiran agak kurang memuaskan kerana seramai 8 orang yang tidak hadir dengan pelbagai alasan.Pihak sekolah telah mengambil inisiatif dengan menelefon keluarga pelajar tersebut untuk memaklumkan kepada mereka tentang kelas tersebut.

Semalam,Pn Radziah guru matematik telah berusaha untuk membantu murid-murid yang lemah dalam matematik.Mengajar sehingga jam 2.00 petang selepas kelas Sains.Murid-murid yang hendak ambil peperiksaan,guru-guru berasa kecut perut melihat tingkah laku anak murid yang begitu bersahaja.Sebagai guru, kami faham akan naluri ibu bapa yang hendakkan anak-anaknya lulus dan mencapai keputusan yang baik dalam peperiksaan.Justeru, pelbagai usaha telah dilakukan oleh guru-guru bagi memastikan anak-anak murid memperolehi keputusan yang baik dalam peperiksaan.

Apa yang menariknya ialah cara pembelajaran murid-murid Cina di sekolah ini.Mereka berusaha sendiri berjumpa dengan guru-guru hendakkan soalan dan seterusnya mencari jawapan dengan bantuan kamus.Sejak dari awal lagi saya memerhatikan cara pelajar tersebut belajar.Pagi sampai dan terus duduk di ZONE English dan kemudian keluarkan buku serta kamus berhampirannya.Saya lihat kesungguhan mereka mencari jawapan yang tidak diketahui.Berbeza dengan murid kita yang banyak berbual dan bercerita tanpa membuat apa-apa.Saya selalu mengingatkan mereka supaya buat ulang kaji dan jangan malu untuk bertanya.

Pena Kasih:Pernah mendapat keputusan yang paling baik dalam mata pelajaran Matematik mengalahkan murid-murid Cina dan India ketika di darjah 6 SBH.


Sunday, August 23, 2009

TIDAK SABAR RASANYA.................

Ma,tak sabar nak sambutan bulan ramadhan.Itulah luahan anak lelaki saya setiap kali bulan ramadhan muncul.Syukur sejak dia mengenali dan menghayati pengertian ramadhan,setiap kali itula perkataan itu akan terpacul di mulutnya.

Tahun ini, saya perhatikan perubahan begitu ketara.Setiap kali solat lima waktu,dia akan membaca al-Quran sehari sehelai atau dua helai.Ditanyakan kepada alongnya, begitu juga.Selepas solat,mereka akan membaca al-Quran.Syukur,kerana itulah permintaan saya setiap kali berdoa kepada Allah.Ya Allah,bukalah pintu hati anak-anakku agar sentiasa mengingatiMu.Bukalah pintu hati anak-anaku agar sentiasa menjaga solatnya agar tidak dilupai.
Tidak ada apa yang paling menggembirakan hati ibu melainkan mereka sentiasa menjaga solat, sentiasa menjaga tutur kata, sentiasa menghormati orang tua, sentiasa menjaga tingkah laku dan sentiasa menjaga maruah keluarga.

Teringat sewaktu berpuasa di zaman kecil.Setiap pagi, emak akan mengejutkan kami untuk bersahur.Kadang-kadang sukar untuk bangun dan terlepas untuk bersahur.Tapi,kini anak-anak saya dididik agar bangun untuk mengambil berkat bersahur.Syukur begitu senang sekali mereka bangun dan bersahur.

Anak lelaki saya selalu mengingatkan ayahnya bahawa setiap hari dia hendak pergi bertarawih dan hendak melakukan tarawih 8 rakaat sahaja dan termasuk witir 3 rakaat.Ayahnya akur dengan pemintaan anak lelakinya itu selagi niatnya untuk bertarawih penuh tahun ini.Sekali lagi ramadhan membawa perubahan pada anak-anak tahun ini.Syukur teramat sangat .

Pena Kasih:Untuk memastikan anak-anak melakukan sesuatu yang baru,saya selalu bercerita perkara-perkara yang baik.Sekurang-kurangnya membuka pintu hatinya untuk melakukannya.

Saturday, August 22, 2009

RAMADHAN DATANG LAGI.................

Hari ini, semua umat Islam menyambut puasa.Alhamdulillah,dipanjatkan rasa syukur kerana masih lagi dapat bersama untuk menyambutnya jika kesampaian.

Teringat pertama kali bergelar isteri dan menyambut ramadhan bersama-sama dengan suami di Jengka Pahang.Berjauhan dari keluarga ketika itu.
Teringat juga pertama kali berbuka puasa bersama-sama dengan anak angkat suami seramai 15 orang di rumah guru di Seri Jengka Pahang.
Teringat juga ketika itu, buat kali pertamanya masak untuk seramai itu.Syukur,suami membantu dengan meminta anak angkat perempuan datang ke rumah.Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dan selepas itu,kami berangkat ke surau sekolah mengerjakan solat tarawih.

Hari ini, kami sekeluarga berbuka puasa di rumah emak mentua di Batu Anam.Anak-anaknya yang tinggal di Kuala Lumpur balik dan menyambut ramadhan bersama-sama.Selepas itu, saya dan suami pergi ke masjid Batu Anam mengerjakan solat tarawih di situ.

Semalam,saya dan suami menjemput emak mentua mengerjakan solat tarawih di Segamat Baru.
Tahun ini, kami ke masjid dan surau berhampiran kerana masjid di kampung saya telah diroboh dan dalam proses pembinaan baru.Jadi, pada tahun ini kami telah mengambil keputusan akan bertarawih di mana-mana masjid dan surau jika kesihatan mengizinkan.

Pena kasih:Setiap kali solat mendoakan agar dikurniakan kesihatan yang baik sepanjang bulan ramadhan agar dapat menunaikan solat tarawih.

Friday, August 21, 2009

GADIS BERSKIRT MERAH.........................

Setiap petang, dua kali seminggu dan mengikut rumah masing-masing akan mengadakan latihan di padang berhampiran dengan taman bunga Batu Hampar.Saya mewakili rumah merah ketika itu akan hadir setiap kali latihan diadakan.Jam 3.oo petang,sudah berada di padang tersebut .Saya memang seorang yang menepati masa dan jarang sekali hadir lewat.Mungkin sudah menjadi kebiasaan sehinggalah kini saya begitu teliti soal masa.

Seusai waktu sekolah, ayah akan menjemput saya dan kadang-kadang saya tidak balik ke rumah.Tinggal di sekolah sehinggalah latihan sukan bermula.Kalau balik pun, saya terpaksa berjalan kaki semula ke sekolah.Berjalan berlindungkan pokok-pokok getah,di panahi panas terik,kekeringan tekak kerana kehausan tapi itulah sebenarnya keadaan yang dihadapi ketika itu.Lebih kurang 3 kilometer berjalan kaki untuk sampai ke SMK Convent.

Kalau dahulu,rumah merah, skirt pun hendak berwarna merah.Emak menjahitkan skirt untuk saya...............bergaya dengan skirt warna merah atas lutut.Subhanallah.Tak sabar-sabar nak sampai ke sekolah menunjukkan skirt baru yang dijahit oleh emak kepada kawan-kawan.Merah menunjukkan pasukan kita berani berjuang untuk mendapatkan johan.Yang peliknya, dari sekolah rendah,rumah sukan berwarna merah sehinggalah ke sekolah menengah atas.Warna merah menjadi pilihan saya.

.............setiap kali pergi latihan, saya akan melalui rumah K.K memang menunggu saya.Kadang-kadang rasa malu apabila dia memanggil nama saya.Untuk menoleh,perasaan malu itu tetap ada.

"........piss,piss,piss"Itulah yang sering dilakukan oleh K. Saya terus berjalan tanpa menoleh pun. "Hai............si gadis berskirt merah.Sombongnya." "Tak pandang pun muka saya.Nanti kita tunggu awak lagi.Setiap hari awak akan melalui rumah saya.Tak ada jalan lain....kan."Saya terus berjalan tanpa menghiraukan sapaan K.

Dalam hati saya berkata:"Ada hati nak menyapa anak dara orang.Cermin dahululah muka tu."

Hari berganti hari dan minggu berganti minggu.Latihan sukan yang dijalankan diteruskan dan saya terpaksa menghadiri latihan kerana terpilih untuk mewakili rumah sukan.Banyak juga acara sukan yang saya masuk.Banyak juga medal yang saya perolehi.

Setiap kali latihan sukan, skirt warna merah menjadi pilihan.Emak belikan saya juga skirt kotak-kotak berwarna merah dan hitam.Masih lagi teringatkan skirt tersebut.
Justeru,apabila melalui rumah K,K akan memanggil saya "Hai....si gadis berskirt merah."
K masih menunggu dan menunggu sehinggalah saya berada di tingkatan 5.K selalu mengikuti perkembangan saya.Namun, saya bukanlah gadis yang mudah untuk didekati.Walaupun terlalu banyak kenangan,K terpaksa akur yang saya bukan untuk dimiliki olehnya.


Pena kasih:Jinak-jinak burung merpati................





Thursday, August 20, 2009

TERKAWAL....................

Terpampang di ruang depan surat khabar mengenai barangan terkawal.Mask juga menjadi barangan terkawal setelah wabak h1n1 begitu berlelusa.Iitulah lumrahnya apabila sesuatu isu itu timbul di negara kita.

Di sekolah juga,kami menghadapi masalah barangan terkawal.Bukan makanan mahupun minuman tapi hanyalah sehelai kertas yang digunakan untuk murid-murid.Tidak digunakan untuk keperluan peribadi...................kadang-kadang perkara-perkara seperti ini dianggap remeh tetapi menimbulkan perasaan tidak puashati di kalangan warga sekolah.Saya memahami masalah mereka tapi itulah realitinya.Kami terpaksa mengeluarkan wang sendiri dan membawa sendiri kertas untuk kegunaan murid-murid.Sudah berulang kali saya mengadakan perbincangan tapi jawapannya amat tidak menyenangkan saya.Akhirnya saya lebih suka mendiamkan diri dan membuat kerja masing-masing.

Cuma saya bersyukur kerana guru-guru sekolah ini tidak terlalu berkira walaupun di hati mereka Allah sahaja yang tahu.Lembaran kerja perlu diberikan kepada murid-murid.Hendak melukis gambar bukannya semua orang berbakat.Hendak tak hendak kami terpaksa melabur demi anak-anak murid.Mereka ketandusan ilmu dan cara itu sahajalah kami dapat membantu mereka.

Pena Kasih: Kadang-kadang tidak semua yang kita buat itu bagus, tapi kita mesti fahami masalah orang bawahan kita.Orang bawahan itulah yang penting dalam sesuatu organisasi itu.



MAMPUKAH UNTUK MELUPAKAN...............

Mampukan saya untuk tidak melupakan kenangan yang indah.?Sewaktu di zaman persekolahan.Mengimbau kembali saat-saat bersama teman-teman sewaktu di tingkatan 3 di SMK Convent.Mampukan untuk saya melupa wati,sharmala, Lau Bee Yoke,Tan Ah Kek,Raha, NorAziah,Geok Bee,Ana,Barathi,Doreen Soon dan lain-lain lagi.

Mampukan saya untuk tidak menyimpan kenangan itu setiap kali membelek-belek album lama.Masih ingat tak kalian sewaktu kita mempersembahkan sebuah lakonan Cinderalela?Princess dan Queen yang cantik dan menawan mendapat tepukan gemuruh daripada rakan-rakani.Saya sendiri melakonkan watak sebagai seorang tetamu dari Indonesia.
Mana nak cari baju kebaya dengan kain batik?..................lalu teringatkan baju kebaya emak dan kain batik lepas yang begitu sesuai sekali sebagai tetamu dari Indonesia.Bergayalah ketika itu tanpa sehelai tudung pun menutup kepala.Begitu jahil ketika itu.Berjalan bersama dan beriringan dengan Ana yang memakai baju melayu lengkap bersongkok.Tiada pelajar lelaki lalu mereka yang berambut pendek diminta memegang watak lelaki.Berdebar-debar diperhatikan oleh Cikgu Daud dan Cikgu Tawil.Saya pernah terserempak dengan Cikgu Daud tetapi Cikgu Tawil tidak tahu di mana beliau sekarang.

Mampukah saya untuk melupakan itu semua?Sewaktu kelas Bahasa Inggeris,kami terpaksa bertutur dalam bahasa Inggeris.Tidak bertutur bermakna kami didenda sepuluh sen satu perkataan.............lebih banyak mendiamkan diri.Takut didenda.Almaklumkan saya bukanlah dari keluarga yang senang.Sepuluh sen begitu bermakna.Namun kesungguhan hati untuk belajar bahasa Inggeris diharungi juga kesusahan itu.Ternyata bersekolah di Convent banyak mengajar saya memahami dan berani untuk bertutur walaupun tidak secekap orang yang memang fasih.Sekurang-kurangnya memahami apa yang diperkatakan.Namun itu banyak membantu saya dalam menjalankan tugas dalam pentadbiran setiap kali berjumpa dengan tetamu yang datang ke sekolah.Tidak dapat untuk mengelakkan diri daripada itu semua.Kita learn something daripada orang yang pandai.Sehingga kini saya tidak malu untuk bertanya sesuatu perkataan yang tidak difahami daripada mereka yang arif.

Mampukah saya untuk melupakan saat-saat indah sewaktu latihan sukan?Berpakaian baju sukan dan berseluar pendek.Subhanallah.Ke sekolah waktu petang hanya memakai skirt pendek.Kalau diingatkan malu sekali.Begitu jahil sekali ketika itu.Berada di taman bunga di Batu Hampar yang dipenuhi dengan pelajar-pelajar STS.

Mampukah saya untuk melupakan saat-saat Cikgu Tawil menegur pelajar perempuan yang tidak menutup aurat?Ketika itu di tingkatan 3.Akhirnya dengan teguran itu terbuka hati saya untuk memakai tudung.Hanya ikat dibelakang tapi di bahagian dada masih belum tertutup semuanya.

"Kamu ni, bila lagi nak ada kesedaran?" Itulah kata-kata yang terpacul di mulut Cikgu Tawil sewaktu mengajar Bahasa Melayu.
"Bila lagi nak tutup kepala.Nampak tak dada kamu semua?"
Semuanya terdiam dan memandang sesama sendiri.

Setiap kali masuk kelas itulah yang dibebelkan oleh Cikgu Tawil dan kami akhirnya berubah.Seorang demi seorang memakai tudung bertutup kepala sahaja tapi di bahagian dada masih belum tertutup semuanya.

Memang sukar untuk melupakan kenangan sewaktu bersama-sama teman.

Pena Kasih:Berpesan kepada anak supaya jangan lupa memakai tudung.

Wednesday, August 19, 2009

BULAN KEMERDEKAAN

Pelbagai program dijalankan sepanjang bulan Ogos.Sebelum cuti sekolah bermula, hari ini sekolah saya telah mengadakan pelancaran bulan kemerdekaan.Semalam kami menyambut kehadiran Sister Anna dan hari semalam juga AJK Bulan Kemerdekaan terpaksa mengadakan persiapan untuk majlis pada hari ini.

Tugas-tugas hakiki kami bukannya hanya terbatas pada pengajaran dan pembelajaran tetapi kami terpaksa juga menyediakan pelbagai program selaras dengan falsafah pendidikan negara dan juga untuk melahirkan modal insan yang berguna.Kadang-kadang keletihan di wajah guru jelas terpancar.Antara tuntutan kerja dan juga aktiviti yang hendak dijalankan.

Namun begitu,akhirnya perjalanan program yang mengambil masa lebih kurang satu jam dipenuhi dengan acara nyanyian lagu patriotik dan juga deklamasi sajak secara spontan oleh Encik Supian.Guru besar juga tidak ketinggalan mendeklamasikan sajak bertemakan kemerdekaan dengan penuh semangat.

Kami bersyukur kerana mempunyai guru yang kreatif, guru yang tidak mengira masa dan wang ringgit,guru yang begitu komited kepada tugas yang diserahkan agar program dapat dilaksanakan dengan lancar dan licin.

Pena Kasih: Bulan Kemerdekaan begitu bermakna kepada kita yang dilahirkan selepas merdeka.

LEGA............


Semuanya sudah dilaksanakan seperti yang dirancangkan.Sambutan telah dibuat dan buat pertama kalinya Sister Anna hadir ke Malaysia.Terpesona melihat sambutan yang diberikan kepadanya.

Setiap persembahan yang dipersembahkan mempersonakan hatinya.Tergambar di wajahnya keseronokan melihat anak-anak didik tanpa mengira agama dan bangsa menunjukkan kebolehanan masing-masing.Lagu-lagu yang dipersembahkan adalah terdiri daripada lagu melayu dan Inggeris.Tersenyum melihat anak-anak murid mendendangkan lagu dalam bahasa Melayu...................tak faham tapi gelagat murid menggelikan hatinya.

Sebagai jurufoto dan v-cam diambil dari pelbagai sudut.Hampir satu jam beliau bersama-sama warga convent.Murid-murid mengucapkan selamat tinggal dengan mendendangkan lagu Gelang Si paku Gelang.Menggelikan hati apabila cikgu Ali mengambil kesempatan melepaskan kerinduannya untuk menyanyikan lagu tersebut dengan menggunakan mikrofon.Majlis berjalan lancar dan meriah.Esok akan diadakan majlis sambutan bulan Kemerdekaan.

Pena kasih: Terlalu banyak program untuk dijalankan dan apabila satu persatu program telah selesai, mulalah menarik nafas lega....................

Tuesday, August 18, 2009

JURUFOTO


Esok,sister Anna akan datang ke SKCC.Dikatakan jam 11.00 pagi berada di sekolah.Tugas saya kali ini ialah sebagai jurufoto dan akan mengambil V-cam.Tugas yang mudah dan begitu seronok.......bukan apa untuk mengelak duduk bersama mereka.Saya bukannya jenis suka duduk diam.Mesti nak bergerak ke sana dan ke sini.

Orang dah beri tugas apa lagi cepatlah untuk saya bersetuju.Jika tidak saya terpaksa mengiringi mereka dan sudah tentu duduk bersama di hadapan...............Madam meminta saya untuk bersamanya tapi saya menolak dengan baik kerana saya merupakan JURUFOTO.........lalu saya meminta Cikgu Ali mengiringi tetamu tersebut.Bukan senang untuk melayani tetamu terutama dari luar negara.Bahasa yang digunakan belum tentu kita faham.Namun saya bersyukur kerana saya banyak belajar bahasa inggeris daripada madam.We always speak together.Tidak rugi belajar bahasa lain.

Persiapan rapi telah dibuat dan saya turut sama melihat raptai lagi sekali.Selepas menghadiri diskusi Sains untuk tahun 6,mengajak suami membeli cenderamata untuk tetamu tersebut.Letih sungguh hari ini.

Pena Kasih:Teringat Mei Chan yang sering berbahasa inggeris dengan saya.

Monday, August 17, 2009

RAPTAI


Hari ini sekolah begitu sibuk menjalani raptai untuk menyambut kehadiran Mother Anna(Sister).
Dikatakan datang dari Rom dan saya masih tidak mengetahui latar belakang tentang hal tersebut.
Sister Threesa ada menemui saya memaklumkan kehadiran Mother Anna yang akan ke SKCC pada 19 Ogos ini dan saya telah mengambil tindakan dengan memaklumkan kepada Guru Besar.
6 Tahun sekali mereka akan datang ke Malaysia dan akan melawat sekolah-sekolah mubaligh.

Pelbagai persiapan telah diadakan dan kebanyakannya berlatar belakang kebudayaan negara kita.
Saya telah diarahkan merakam foto dan mengambil video untuk sesi majlis tersebut.Guru Besar meminta saya mencari cenderamata untuk pelawat tersebut.Masih terfikir apakah cenderamata yang sesuai untuk pelawat tersebut.Berbincang dengan suami dan tiada respon.Memang sukar .


Pena kasih:Lebih menumpukan kepada anak murid yang akan menduduki UPSR .

Sunday, August 16, 2009

PEMANIS

Bergerak ke Pemanis dengan hasrat untuk memberi penerangan tentang penggunaan air penapis bio aura bersama Yati dan suaminya.Turut bersama adalah c.Wan yang memberi penerangan dengan jelas kepada Encik Masod.Alhamdulillah, dengan niat yang baik emak mertua Encik Masod terus meminta agar pemasangan penapis tersebut di rumah.

Setelah membuat sedikit uji kaji ternyata bekalan air di Pemanis agak kotor.Berubah warna menjadi warna oren.Semoga dengan penggunaan air tersebut sedikit sebanyak membantu keluarga tersebut menggunakan air bersih.

Saya sendiri yang menggunakan air tersebut tidak mengalami lagi sakit-sakit kaki.Kalau dahulu bangun untuk mengerjakan solat terhinjut-hinjut tetapi kini saya bersyukur kerana diperkenalkan dengan air tersebut.Ternyata air tersebut merawat kesakitan kaki saya.Begitu juga dengan emak dan ayah yang mengaku tidak lagi mengalami kesakitan kaki dan sendi.Alhamdulillah.


Pena kasih: Hendak pastikan mereka peka tentang kebersihan air.

Saturday, August 15, 2009

UNDANGAN

Deringan telefon waktu pagi, kadang-kadang merisaukan saya.Adakah berita yang bakal diterima itu baik atau sebaliknya?
Kak Noi yang tinggal di kem Gemas menelefon saya seawal pagi mengajak saya ke rumahnya pada petang ini.Ada jamuan untuk keluarga.Kami memang begitu rapat semasa kecil lagi.Tidur sebantal dan bermain pondok bersama-sama.Tapi itu merupakan kenangan yang sukar dipadamkan setiap kali pertemuan diadakan.Mulalah kami bercerita dan ketawa mengingatkan kenangan tersebut.Setiap kali cuti sekolah,destinasi kami ialah ke Felda Kemelah.
Mandi di sungai dan memanjat pokok rambutan dan makan rambutan di atas pokok.Lagak seperti lelaki.Kami memang tidak duduk diam ada sahaja yang kami akan lakukan.Ijut, orkid, sarimah,midah, saim dan atan serta ramai lagi yang menjadi kawan sepermainan ketika itu.Entah di manakah mereka sekarang?

Saya memaklumkan kepadanya yang hari ini merupakan hari persekolahan ganti untuk cuti Deepavali nanti.Sudah tentulah penat untuk saya ke Gemas.Jamuan diadakan jam 3.00 petang.Begitu bersungguh-sungguh dia mengajak saya.Saya menolak undangannya dengan cara aik Bukan kerana tidak sudi.Akhirnya kak Noi akur dengan alasan saya.
Kami memang sering berjumpa kerana kak noi sering ke kampung saya.Apabila telah bertemu,hilaian ketawa kedengaran.Masing-masing membawa cerita lama.

Kak noi tinggal berseorangan di Gemas.Suaminya kini berada di luar negara kerana berkhidmat di sana dan dijangka akan pulang pada 20 Ogos ini.Anak-anaknya seramai 2 orang belajar di Kuala Lumpur.Hanya emak dan emak saudara sahaja yang memenuhi undangan kak Noi.

Pena kasih:Masih ingat lagi bermain tarik upih dengan kak noi.Saya duduk dia tarik.Akhirnya kak noi kena buli.he...he...



PRIHATIN

Pagi lagi, guru besar telah mengambil jangkasuhu untuk melakukan saringan ke atas semua guru dan murid-murid bagi memastikan mereka berada dalam keadaan yang sihat.
Keprihatinan guru besar ke atas warga sekolah memang tidak dinafikan.Sering mengambil berat tentang kesihatan guru-guru dan anak murid .
Jawatan guru bukan sekadar mengajar sahaja tetapi berperanan sebagai jururawat.Semua guru diminta beratur untuk mengambil suhu masing-masing.Setelah melihat beberapa orang guru menghidap selsema menambahkan kerisauan beliau.
Hari ini,GPK HEM mengagihkan mask kepada guru kelas untuk diberikan kepada anak murid secara percuma.Terima kasih kepada salah seorang AJK PIBG sekolah ini yang bersusah payah mencari sponsor 'mask" dan juga jangkasuhu bagi memastikan warga SKCC berada dalam sihat dan terselamat daripada wabak H1N1.Lebih daripada 10,000 keping mask diperolehi untuk diberikan kepada murid-murid sekolah ini.
Kemudian, pihak sekolah juga menerima beberapa botol pencuci tangan untuk diletakkan di singki bagi memudahkan murid-murid mencuci tangan.Keprihatinan ibu bapa ini amat dihargai demi melihat anak-anak SKCC terus berada dalam keadaan yang sihat.
Setiap hari ada sahaja anak murid yang mengalami masalah kesihatan dan kami telah mengambil tindakan dengan menelefon keluarga pelajar dan meminta mereka ke hospital untuk mendapatkan rawatan susulan.Pihak sekolah juga telah menyediakan borang akuan untuk pelajar-pelajar menerima rawatan secara percuma di hospital kerajaan.

Pena kasih: Warga SKCC begitu prihatin dengan kesihatan murid-murid.

RINDU

Kerinduan mendengar suara,keletah dan gelagat hafiz akhirnya tertunai hari ini.Hampir seminggu tidak mendengar suaranya memanggil uda.Deringan telefon tidak dijawabnya.Terubat sudah setelah suami membawa saya berjumpa dengannya sekembali dari sekolah pada hari ini.Rupa-rupanya Hafiz juga merindui kami semua.Kedengaran menjerit memanggil nama kami berdua begitu nyaring sekali apabila melihat kereta kami.Terlonjak-lonjak kegembiraan lalu memeluk Pak Uda dan kemudian terus duduk berhampiran dengan saya.Mencium saya.

Uda ada mask tak?Itulah pertanyaannya apabila bertemu dengan saya.
"Uda ada banyak mask," kata saya.
"Hafiz ada satu sahaja.Ibu ambil kat hospital.Uda ada berapa?".Uda ada satu kotak.
"Kenapa uda tak pakai mask?"lalu dijawab oleh Pak Udanya.Pakai mask di luar sahaja.Dalam rumah tak payah pakai.
Jawapan itu tidak memuaskan hatinya.Lalu diambil mask dan dipakaikan untuk Pak Udanya.

Dipeluk-peluknya Pak Uda.Lebih menyedihkan kerana ayahnya yang sepatutnya balik setiap minggu tidak balik kerana terpaksa menghadiri kelas ganti di HKL.Udalah tempatnya bermanja.

"Uda, jom gi umah tok mok," katanya.Hafiz nak jumpa tok mok.
Uda ambil tok mok dan hantar tok mok kat IoI.
Hafiz rindu kat tok mok.
Terperanjat udanya mendengarkan kata-katanya.Usia baru 3 tahun 2 bulan telah merencanakan kehidupannya dengan meminta kami menjemput tok mok untuk bersama dengannya.Kami berjanji akan mengambil tok moknya pada hari esok.

Jeritan dan keletahnya membuatkan kami merinduinya.Yang menyentuh perasaan kami ialah selepas kami makan,dia turut sama mengemas dan mengambil pinggan mangkuk yang kotor untuk dimasukkan ke dalam singki.Akhirnya saya membiarkan Pak Udanya dan Hafiz mengemas dapur dan kedengaran keriuhan Hafiz bertanya pelbagai soalan kepada Udanya.
Sesampai sahaja di rumah, dia akan menyuruh Pak Udanya membersihkan Penapis Air Bio Aura.Di tarik tangan Pak Udanya bagi memastikan Pak Udanya membersihkan penapis air tersebut.Setakat ini, hanya PakUdanyalah yang membasuhkan penapis air tersebut.
Uda, minumlah air Bio Aura.Hafiz suka minum air tersebut.

Apabila Udanya mengerjakan solat Zuhur, dia pun sibuk menyediakan sejadah dan mengikut Pak Udanya sembahyang.Terkumat kamit mulutnya membaca.Entah apa yang dibacakan tidak diketahui.Kadang-kadang dia meminta abang ngahnya sembahyang bersama dengannya.

Pena Kasih:Mendoakan agar Hafiz menjadi anak yang soleh dan mendengar kata.

Friday, August 14, 2009

MASJID JAMEK


Ke masjid Jamek Segamat menunaikan solat hajat untuk murid-murid SMKCC yang akan menduduki SPM pada tahun ini.Diadakan juga tahlil perdana sebelum solat hajat dilakukan.
Alhamdulillah, nampaknya begitu ramai pelajar-pelajar yang hadir ke majlis tersebut.Mengambil kesempatan menasihati anak agar terus berusaha dengan lebih bersungguh-sungguh jika hendak berjaya dalam hidup.
Jangan lupa bersolat dan lakukan solat hajat setiap hari.Insya Allah,doa kita akan diperkenankan oleh Allah.
Untuk mencapai sesuatu itu bukan senang tapi jika kita sering ingatkan Allah dan sentiasa berdoa dan memudahkan urusan serta disertai dengan usaha,Insya Allah, Allah akan sentiasa mendengar rintihan kita.

Pena kasih:Sering mengingatkan anak-anak agar mengerjakan solat.

WATIKAH

Syukur pada pagi ini,watikah ayahnda Tn Hj Sufa`at bin Tumin khas untuk pelajar-pelajar UPSR telah dibaca oleh En Supian bin Hashim .Encik Supian yang juga merupakan ayahnda kepada pelajar-pelajar tahun 6 di SKCC.

Watikah yang menunjukkan keprihatinan ayahnda kepada anak-anaknya yang akan menduduki peperiksaan pada bulan September.Watikah yang meminta anakndanya berusaha dengan lebih
bersungguh-sungguh agar mencapai kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan UPSR nanti.
Watikah yang memberi peransang dan semangat kepada anaknda agar terus berusaha dan menjadikan negeri Johor negeri yang cemerlang dalam bidang akademik.Watikah yang meminta agar anaknda dapat melakukan sesuatu untuk negeri Johor.

Saya tertarik dengan sikap Pengarah Pelajaran Johor yang begitu prihatin dengan anak-anak murid terutama dalam bidang akademik.

Pena kasih:Bangga dengan kata-kata peransang oleh guru-guru terhadap anak-anak murid.

Thursday, August 13, 2009

SOLAT HAJAT

Alhamdulillah,SKCC dapat mengadakan solat hajat pada hari ini untuk murid-murid UPSR dan juga mengelakkan diri daripada influenza h1n1.Solat hajat yang terdiri daripada murid-murid tahun 6 dan ibu bapa masing-masing.

Syukur kerana majlis berjalan dengan lancar dan saya telah hadir ke sekolah lebih kurang jam 5.30 petang membantu apa yang patut.Syukur majlis ini kebanyakan disponsor oleh guru-guru SKCC.
Solat hajat telah dikepalai oleh Ustaz Rosli.Kebanyakan murid-murid telah menunjukkan respon yang baik dengan kehadiran mereka ke majlis ini.

Semoga usaha mereka selama ini mendapat restui daripada Ilahi dan kami mendoakan kejayaan mereka dalam UPPM 4 pada minggu hadapan dan UPSR pada bulan September nanti.Insya Allah.

Pena Kasih: Sentiasa mendoakan kejayaan anak-anak dan murid-murid.

Wednesday, August 12, 2009

AMBIL HATI

Syukur,hari ini hujan turun membasahi bumi.Dentuman guruh dan kilauan petir menggamit kesunyian pada hari ini.Tidak perasan Haziq masih bermain dengan laptop tanpa menyedari tanda-tanda petir akan berlaku.

...............tap sesuatu berbunyi.Tiada api dan dia hanya sempat menutup suis.Lantas,tanpa disedari saya meleterinya tanpa henti-henti.Terkebil-kebil matanya memandang saya dengan linangan air mata.Sudah banyak kali dipesan jika cuaca tidak elok lebih baik jangan bermain laptop.Tapi tidak pernah hendak mendengar kata-kata.

............dia tahu saya berada dalam keadaan marah.Tidak berani untuk menegur saya.Tiada tempat untuk mengadu.Ayahnya masih di Terengganu.Sebelum itu, ayahnya ada bercakap dengannya.Genangan air mata menggambarkan dia berada dalam keadaan sedih apatah ayahnya jauh darinya.

Selepas solat maghrib, dia menghampiri saya dan memohon maaf.Bersalam dan memeluk saya.Dia rasa bersalah dan berjanji tidak akan mengulangi perkara itu lagi .Berjanji akan lebih berhati-hati.Tanpa disedari air mata saya bercucuran kerana meleteri anak.Subhanallah.

Pena kasih:Tahu yang Haziq merindui ayahnya.

Tuesday, August 11, 2009

KESUNYIAN

Biasanya suasana rumah akan riuh apabila kami saling bercerita tentang hal semasa.Mengumpat.....oh tidak.Suami memang tidak suka mendengar cerita-cerita yang membabitkan hal orang lain.Kami lebih banyak berbincang tentang hal semasa.

..............setiap malam suami dengan buku-bukunya.Hari ini,suami ke Terengganu atas urusan kerja.Terasa sunyi.Anak menonton televisyen dan saya masih cuba untuk menghabiskan masa dengan bacaan Tatatertib Solat.

Waktu lapang ke rumah ayah.Emak bertanya pernah tak saya menunaikan solat Tasbih.Setakat ini saya belum melakukannya.Alhamdulillah, emak dan ayah telah berjaya melakukannya.Ayah menceritakan serba sedikit tentang solat Tasbih.Emak dan ayah menghabiskan masanya dengan melakukan pelbagai solat sunat.Ayah masih dengan caranya menghafal dan memahami doa.Kagum dengan ayah.Begitu cepat dia menghafal doa.

Kini, saya lebih banyak belajar dengan ayah.Kadang-kadang ayah mendengar bacaan doa saya.Kadang-kadang suami menyemak bacaan saya dan setakat ini mereka puas hati dengan bacaan yang saya lakukan.Saya tidak segan untuk belajar semua itu.

Terasa sunyi dan waktu-waktu beginilah saya lebih banyak menghabiskan masa dengan membaca buku-buku yang dibelikan oleh suami.

Pena Kasih:Belajar dan terus belajar.

Monday, August 10, 2009

KESEDARAN

Saban hari kita mendengar kematian akibat H1N1.Peningkatan angka kematian menggambarkan bahawa penularan wabak tersebut amat menakutkan.

Pagi ini,sewaktu perhimpunan pagi terlihat ramai di kalangan pelajar telah memakai topeng dan menyedari akan bahaya wabak tersebut apatah lagi telah berlaku satu kematian di Segamat akibat penyakit tersebut.Kesedaran ibu bapa akan kepentingan menjaga kesihatan dan juga kepentingan ilmu menyebabkan mereka tidak menunggu sebarang bantuan daripada mana-mana pihak untuk memiliki topeng.Mereka sanggup mengeluarkan wang sendiri untuk memastikan anak-anak mereka mendapat perlindungan dengan memakai topeng.Malah, ada di antara ibu bapa yang memberikan topeng secara percuma kepada guru-guru walaupun guru-guru memang sudah memilikinya sendiri.

Setiap hari, kami sering mengingatkan anak-anak murid tentang wabak tersebut dan guru bertugas juga mengambil kira akan masalah kesihatan pelajar.Setiap hari mereka akan ditanya dan jika didapati demam,pihak sekolah akan menelefon ibu bapa masing-masing untuk mengambil anak dan dinasihatkan supaya ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Malah gejala batuk dan selsema di kalangan pelajar meningkat apatah lagi disulami dengan jerebu menyebabkan sedikit sebanyak kesihatan pelajar terganggu.Kami sering memantau kesihatan pelajar dan dinasihatkan agar mengurangkan kegiatan di luar.

Pena Kasih:Setiap hari ada sahaja pelajar yang sakit.

Sunday, August 9, 2009

FASYA & MOKHTAR


Fasya dan Mokhtar selamat diijabkabulkan di masjid Spang Loi pada pukul 10.00 pagi.Fasya merupakan sepupu suami yang tidak mempunyai ibu lagi untuk dimanjai dan tempat mencurahkah masalah.Hampir tiga tahun Makcik meninggalkan anak-anaknya ketika anak-anak memerlukan kasih sayang seorang ibu.Meninggalkan sembilan anak yang masih kecil ketika itu,amat menyedihkan .Kini anak-anak makcik kebanyakkan telah berjaya menjejakkan kaki ke menara gading.

Fasya merupakan anak kedua kepada makcik.Dia adalah tempat untuk adik-adiknya mendapatkan kasih sayang.Kini Fasya sudah menjadi isteri orang.Tangisan tanpa disedari berulang kembali apabila Fasya berpelukan dengan adik-adiknya.Tanpa disedari,orang ramai yang melihat keadaan itu turut menitiskan air mata kerana sedih dan sayu melihat mereka membesar tanpa kasih sayang seorang ibu.

Bersama-sama dengan suami, saya turut terharu melihat situasi tersebut.Memang air mata ini mudah mengalir apabila melihat seorang anak kehilangan ibu di usia muda.Saya tidak lama berada di majlis tersebut dan mengambil keputusan balik awal kerana hendak menyambut hari kelahiran saya.Terima kasih daripada suami dan anak-anak kerana mengingati hari yang teristimewa dalam keluarga.


Pena Kasih:Mendoakan agar FAsya dan Mokhtar berbahagia selalu.

Friday, August 7, 2009

KEMATIAN(2)

Sewaktu rehat, menerima berita kematian Encuk Rahim dari Kg Tahang Rimau.Mengenali beliau ketika menyewa rumah sewaanya.Ternyata beliau merupakan seorang yang tidak banyak berbicara.Seorang yang prihatin kepada kebersihan keliling rumah.

Setiap hujung bulan,pasti rumah sewaan itu dimesin rumputnya.Namun itu,semuanya tiada lagi kerana beliau telah meninggalkan kami buat selama-lamanya.Pergi menemui Ilahi.Hanya mengetahui berita yang menghidap kanser daripada isterinya sewaktu ke majlis perkahwinan anaknya.Ternyata beliau terlalu kurus kerana menahan kesakitan yang dialaminya.

Hari ini, menerima perkhabaran berita itu dengan sedih sekali.Al-Fatihah untuk allahyarham Encik Rahim.Semoga rohnya dicucuri rahmat.


Pena kasih: Kematian itu datang dengan tidak diduga.

Wednesday, August 5, 2009

REBUTAN

Perancangan untuk mengadakan rombongan ke Kuala Lumpur telah disuarakan oleh A yang ketika itu sering bertandang di kedai saya.Kami bersepakat untuk membawa orang KGG ke Kuala Lumpur.Hasrat itu mendapat sambutan yang amat menggalakkan.Lantas kami mengambil tindakan yang sepatutnya bagi memastikan hasrat dan impian membawa penduduk KGG ke sana tercapai.

Saya mulalah memainkan peranan menelefon rakan-rakan untuk ikut serta dalam rombongan tersebut.Ketika itu saya merupakan guru sandaran di Muar.A membawa ibunya bersama.Saya mengajak AK dan K serta dan adik angkat AM.Masing-masing begitu teruja apabila dipelawa pergi ke sana.AK turut serta dan hanya memerhatikan sahaja gelagat saya.K pun begitu juga dan sempat mengusik saya ketika itu.Jinak-jinakk burung merpati, susahnya nak dapat.Itulah kata-kata yang diluahkan oleh K.Si A mulalah tarik muka masam kerana saya tidak melayaninya.Saya sering bersama emak dan ayah.Masa nilah nak mengenakan dia orang.He..he.Empat orang dipelawa sekali untuk menyertai rombongan.A,AK, K dan AM.Dalam ramai-ramai AK sahaja yang sentiasa melihat saya dari jauh dan tidak berani untuk menegur saya ketika itu.Dia sentiasa bersama emak dan ayah.

Kalau tidak mereka asyik nak usik sahaja.Namun AK masih lagi mendiamkan diri sahaja dan sentiasa melihat pergerakan saya.Jangan ingat saya ni mudah tergoda......................nampaknya masing-masing frust.Bukan apa,dia orang ingat semudah itu untuk saya berjalan-jalan dengan mereka.

A masih cuba untuk mendekati saya dan mengajak makan bersama-sama dengan emaknya.Saya menolak pelawaannya.Bertambahlah marahnya kepada saya.Adik angkat saya pun apa kuranngya.Mengajak saya makan tapi saya tolak perlawaannya dengan baik dan akhirnya dia menghadiahkan kain tudung untuk saya.

Akhirnya,mereka balik dengan rasa kecewa.Ada yang menyanyikan lagu kecewa semasa di dalam bas sewaktu perjalanan pulang.Saya masih dengan cara saya.Bukan memilih dalam berkawan tapi belum masanya ketika itu.Tidak terlintas lagi.Biarlah diri ini menjadi sebutan dan rebutan ketika itu.Tapi saya bukanlah mudah untuk didekati.

Pena kasih:Semuanya menjadi kenangan apabila terpandang wajah-wajah mereka.AK kini merupakan teman hidup saya.

TERIMA KASIH


Pn Zaleha guru kelas 5 sastera ketika berada di Canossian Convent.Seorang guru yang tegas dan sering meleteri kami.Sebagai emak,kami terpaksa menerima leterannya setiap kali masuk ke kelas.Mengajar kami dengan bersungguh-sungguh dan alhamdulilah kebanyakan murid-muridnya berjaya menjadi pendidik.

Setiap kali hari raya,kami akan membuat rombongan ke rumahnya yang terletak di Kg Jawa.
Teringat kata-katanya :

"Kalau macamni lah,belum tentu kamu akan lulus dalam peperiksaan".Itulah kata-kata yang sering terngiang-ngiang di telinga ini.

Bukannya apa,murid-murid di kelas kami, kebanyakan sering tidak menunjukkan kesungguhan dalam pelajaran sastera.Itulah yang menyebabkan cikgu Zaleha naik angin.Namun begitu,leterannya itu telah membakar semangat kami sehinggakan begitu ramai yang mendapat keputusan A dalam mata pelajaran sastera.

Sehingga sekarang,cikgu Zaleha masih ingat lagi kepada saya kerana kami sering bertemu jika ada sesuatu majlis di PPD.Dia tidak sangka kerana saya begitu cepat memegang jawatan PGB ketika berusia 35 tahun dan diserap terus ke jawatan GPK pada tahun 2008.Di sekolah saya merupakan seorang murid yang "low-profile" dan tidak menonjol.Namun begitu semuanya berubah.

Kemudian, pn Zaleha mengenali suami saya ketika beliau mengajar di Pemanis dan ketika itu kami baru berpindah dari Pahang.Di situ,suami memegang jawatan sebagai penyelaras pusat sumber dan allhamdulillah,nama SMK Pemanis melonjak kerana dianugerahi Pusat Sumber Terbaik bagi peringkat luar bandar dan kemudian peratus bahasa Inggeris meningkat dengan mengejutnya ketika itu.Setiap kali berjumpa dengan saya,pn Zaleha sering bertanyakan suami.
Pn Zaleha menitiskan air mata apabila suami mengambil keputusan untuk ke UiTM.Ternyata dalam masa yang begitu singkat sekali,banyak kejayaan diperolehi di Pemanis.Suami memang begitu komited dengan core-businessnya.Malah,kami sering ingat mengingati dengan kerja-kerja kami.Saya sering mengingatkan suami agar jangan sekali-kali mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang tenaga pengajar kerana wang ringgit yang diperolehi adalah hasil titik peluh dan diberikan kepada isteri dan anak-anak.Kadang-kadang suami sering memberitahu saya yang students tidak ramai.Jawapannya senang sahaja,jika students tidak ada,you tetap ada di dalam kelas.Kerana prinsip saya,biar saya tunggu anak murid dan jangan anak murid tertunggu-tunggu akan kita.

Walaubagaimanapun, terima kasih pn Zaleha kerana menjadikan kami orang yang berguna.

"Kewajipan berterima kasih tidak mungkin dapat dipaksakan ke atas seseorang kerana ia adalah satu perasaan.Meskipun demikian, perasaan berterima kasih itu dapat ditanam dan dihidupkan".(Lord Baden Powell)

Pena kasih:Saling ingat -mengingati dan kami sering bersms bertanyakan dah masuk kelas ke belum.

Tuesday, August 4, 2009

DI MANAKAH TANGGUNGJAWAB?


Pukul 6.30 telah muncul di perkarangan sekolah.Pintu pagar masih tidak terbuka.
"Di mana pula pengawal keselamatan?" detik hati kecil ini.
"............terus mendiamkan diri sehingga suami bertanya."
Terus turun dari kereta dan melalui pintu kecil kantin.
Buka pejabat dan meninjau bilik pengawal.Masih tiada.Lampu menyala dan kipas berpusing.Orang tiada.
Murid-murid sudah sampai.Semua kereta guru berada di luar pagar.Lantas mendail nombor hp penyelia.Tiada sebarang jawapan.Agak mengecewakan dengan sikap pengawal keselamatan dan penyelia Tiada rasa tanggungjawab.Sudah berulang kali dipesan.Mengambil jalan mudah.
Tidak diketahui siapakah pengawal pada waktu malam.Pengawal biasa cuti sakit.
Pengawal siang datang jam 7.00 pagi.Lalu membuka pintu pagar.
Mudah bagi orang bekerja seperti ini.Tiada rasa bersalah.
Yang menjadi mangsa kami warga sekolah.

Pena kasih:Sering berbincang dengan boss, cara mengatasi masalah seperti ini dan meminta
boss mengambil tindakan yang sewajarnya.

Monday, August 3, 2009

DESAKAN


Sejak minggu lepas,suami mendesak saya supaya mengambil master dalam bidang kaunseling.Saya seperti tidak mengambil kisah dengan desakan tersebut.Belum terlintas lagi untuk mengambil master.

Puas juga suami memberikan kata-kata peransang agar saya terus belajar kerana kalau bermula dari sekarang kita tidak sedar lama-lama pengajian akan habis.Daripada duduk sahaja,lebih baik masa dihabiskan dengan sesuatu yang bermakna.

Kata putus belum diberikan.Masih mencari jawapan untuk tidak menghampakan harapan suami.Kadang-kadang suami saya lebih suka mengisi borang dan menguruskan semua itu.Seperti semasa saya mengambil ijazah,semuanya diuruskan oleh suami.Jawapan kemasukan sahaja yang saya perolehi.Kini,suami cuba pula untuk membolehkan saya belajar sehingga ke peringkat master.Tidak rugi belajar,katanya.

................mampukah saya melakukannya?Itulah persoalan yang bermain-main di fikiran saya sejak akhir-akhir ini.
Namun saya masih berfikir-fikir lagi.....................tiada kepastian.


Pena kasih:Menuntut ilmu tiada ruginya.

MOVITASI

Perhimpunan pagi ini, diisikan dengan pelbagai perkara yang bertujuan memberi rangsangan dan motivasi kepada murid-murid khasnya kepada murid tahun 6 yang akan menduduki peperiksaan UPSR pada bulan September.

Keputusan UPPM 3 yang diadakan pada bulan lepas telah menampakkan peningkatan dalam pencapaian 5A.Sebelum ini hanya 2 orang sahaja tetapi kali ini seramai 4 orang.Walaupun masih belum menepati sasaran tapi sekurang-kurangnya peningkatan telah ada.Namun begitu peratus kelulusan kali ini menurun.Subject killer yang mengerunkan guru-guru terutama subjek sains dan kini pula ialah subjek bahasa melayu pemahaman.Namun begitu, saya mengucapkan terima kasih kepada semua guru tahun 6 yang bertungkus lumus memastikan murid-murid mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan .

Pada pagi ini juga, saya mengambil sedikit masa mengingatkan murid-murid agar terus berjuang kerana tidak mustahil mereka akan mencapai 100%.


Pena kasih:Sering mendoakan anak-anak murid agar berjaya mendapat keputusan yang baik.

Saturday, August 1, 2009

MENGANTUK


Tidur di sekolah menemani guru-guru mengawasi anak murid yang menjalani perkhemahan memerlukan ketabahan.Sering kali terjaga,ketidak selesaan menyebabkan masa tidur terganggu.
Akhirnya, badan tidak selesa dan sering mengantuk.Mata seperti tidak boleh dibuka.Duduk sambil tertidur.

...............terfikir.Waktu rehat amat penting dalam kehidupan.Apabila rehat tidak cukup,sudah tentu sedikit sebanyak mengganggu sistem badan kita.Mulalah rasa sakit kepala.Akhirnya.saya balik ke rumah dan mengambil sedikit masa untuk tidur.Petangnya pergi ke kelas tuisyen.Namun begitu,bersyukur kerana Allah masih memberikan kekuatan kepada saya untuk bersama-sama dengan anak murid dan keluarga.

Alhamdulillah, balik rumah semuanya sudah dikemas.Suami dan anak-anak bergotong royong membersihkan kawasan rumah.Jika tidak bertambahlah sakit badan ini.Terima kasih untuk suami dan anak-anak kerana membantu mama.

Pena kasih:Walaupun mengantuk rasa tanggungjawab terhadap anak murid tetap diutamakan.

LinkWithin



Related Posts with Thumbnails