Saturday, October 31, 2009

CINCIN


Beberapa bentuk cincin saya hilang sewaktu menghadiri kursus di PD. Cincin kesayangan pemberian suami sempena hari jadi saya .Begitu sedih sekali.Ketika itu,saya tidak menyedari yang cincin-cincin itu tertinggal di atas meja solek setelah saya menanggalkannya di jejari saya sewaktu hendak mandi.
Semasa mendengar ceramah,saya rasa resah seperti ada sesuatu yang tidak kena.Keresahan itu terjawab apabila saya lihat di jari saya tidak ada sebentuk cincin yang dipakai.Hati bertambah resah seperti ada sesuatu yang menjadi kesayangan saya akan hilang.Saya minta keizinan daripada pegawai untuk ke bilik sebentar untuk melihat cincin.Akhirnya terjawab cincin-cincin itu sememangnya telah diambil oleh seseorang.Saya lihat katil dan peralatan solek saya seperti telah dikemaskan.
Saya bergegas menelefon pihak hotel menyatakan hal yang sebenarnya.Pengemas bilik dipanggil dan mereka tidak mengaku.Berlinang air mata saya kerana barangan milik kesayangan saya hilang.Saya tidak maklumkan kepada suami kerana takut ketika itu.Namun rasa bersalah.Akhirnya saya memberitahu.Jawapannya senang sahaja.Hendak buat macam mana.Dah nak hilang.Namun saya kecewa dengan dua orang pengemas bilik seperti acuh tak acuh sahaja dengan jawapan yang diberi.Seolah-olah dia tidak menyentuh pun barangan yang terdapat di meja solek.Yang ditinggalkan hanyalah sebentuk cincin sahaja.Yang lain semuanya diambil.Sejak itu, saya lebih berhati-hati lagi sewaktu menginap di hotel.Suami selalu mengingatkan saya menjaga barangan yang berharga .
Bukan saya sahaja yang kehilangan barang tetapi setiap kali kursus yang diadakan di hotel tersebut ada sahaja barangan peserta kursus hilang.Malah pakaian-pakaian peserta juga turut hilang apatlah lagi laptop.

Pena Kasih: Sehingga kini rasa bersalah tetap ada seolah-olah tidak menghargai pemberian suami walaupun suami seperti tidak kisah sahaja.

Friday, October 30, 2009

TAKUT DAN SERIK



Haziq beria-ia hendak belajar membawa motosikal.Seperti Alongnya yang belajar membawa motor sewaktu berusia 15 tahun.Ayahnya tidak menggalakkan anaknya membawa motor kerana banyak risikonya.Tapi terpaksa mengalah dengan anak perempuannya yang memang hendak sekali belajar membawa motosikal.Buat pertama kalinya,saya membenarkannya membawa motor ke kedai yang berhampiran untuk membeli keperluan dapur.Gembira sekali wajahnya dengan dibonceng oleh Haziq.Nasihat dan pesanan tidak habis-habis diberikan kepada along agar lebih berhati-hati sewaktu menunggang motosikal.

Lain pula bagi Haziq yang antara berani dan takut untuk belajar membawa motosikal.Kalau rakan-rakan sebayanya sudah ke sana ke mari dengan motosikal tapi Haziq tidak.Bukan mengongkong tetapi dengan matanya sendiri dia terlihat seorang pemuda yang sedang menunggang motosikal terjatuh bergelimpangan tanpa sebarang bantuan daripada sesiapa.Kejadian berlaku pada waktu malam di jambatan lama bandar Segamat.Terlalu laju pemuda itu menunggang motosikal tanpa menghiraukan keselamatan diri dan seolah-olah untuk menunjukkan dialah jaguh di jalan akhirnya terjatuh.Haziq meminta ayanya menolong pemuda itu, tapi keadaan jalan yang terlalu sibuk dan keupayaan pemuda itu bangun dengan terhinjut-hinjut kakinya mengangkat motor lalu meninggalkan tempat itu menuju ke arah jalan Muar.Siapakah pemuda itu tidak diketahui?Sejak kejadian itu, Haziq begitu takut untuk membawa motor walaupun hatinya melonjak-lonjak untuk belajar.Apatah lagi melihat kawan-kawannya yang patah tangan dan kaki menambahkan kengerian Haziq untuk menunggang motosikal.Yang ada hanyalah sebuah basikal yang menjadi teman Haziq di waktu petang.

Pena Kasih:Teringat sewaktu belajar menunggang motosikal ketika berusia 12 tahun.Banyak pengalaman pahit dan manis.

CINCIN 2




Bercerita tentang cincin pula,tiba-tiba emak saudara menelefon saya meminta menemaninya ke kedai emas sekitar bandar Segamat untuk membeli cincin.Cincin untuk anak lelakinya yang dijangka akan bertunang pada Raya Haji kedua.Insya Allah, jika tiada aral melintang,kami akan bertolak dari Segamat pada hari Raya Pertama ke Terengganu.Katanya Kuala Berang.Entah di mana lokasinya kami tidak ketahui lagi.

Kami bertolak awal kerana akan menginap di sana dan raya kedua baru kami ke rumah perempuan.Buat pertama kali, saya dan suami ke arah Timur.Sebelum ini, kami ada juga pergi tapi biasanya kami menaiki bas.Mudah-mudah Allah permudahkan perjalanan kami.Kemungkinan lima buah kereta agak bergerak meninggalkan Segamat untuk berkunjung ke Terengganu.Ustazah sekolah saya mempelawa saya untuk ke rumahnya nanti.Insya Allah, kami akan singgah jika tidak tersesat.

Majlis merisik dan bertunang akan dijalankan serentak.Sebenarnya kami kurang berminat untuk berjalan-jalan ke destinasi yang jauh.Setiap kali sekolah buat rombongan ke pantai Timur, saya memang tidak terlibat langsung kecuali pada tahun 2003 atau 2004 di mana sekolah kami telah terpilih mewakili Johor ke peringkat Kebangsaan dalam Coral Speaking di Kelantan.Mewakili guru besar yang tidak dapat turut serta atas urusan lain.
Emak mentua selalu juga mempelawa saya menemaninya menyertai rombongan tetapi saya sering menolaknya.Kurang berminat.

Pena Kasih: Suami teruja untuk ke Terengganu setelah pernah ke Terengganu sebelum ini.

KENDURI LAGI......

Menghadiri majlis kenduri atas jemputan yang diterima merupakan satu ruang yang dapat mengeratkan lagi perhubungan antara saudara mara mahupun penduduk kampung .Sejak daripada rumah terbuka sehinggalah ke hari ini, banyak sekali majlis yang dihadiri.
Hari ini, saya menghadiri satu majlis kenduri berhampiran dengan rumah.Ada dua majlis serentak dijalankan.Kaum lelaki membaca yaasin sementara kaum perempuan pula diperlukan untuk berzanji dan marhaban.
Saya yang masih lagi belajar untuk berzanji mengikuti bacaannya secara perlahan.Bukan apa perlu banyak lagi belajar melagukannya.Bukan senang untuk menggayakan lagu seperti yang dilakukan oleh orang tua-tua dulu yang sememangnya sentiasa belajar dan belajar.Petang itu, sewaktu saya ke rumah emak, saya mendengar emak berlatih berzanji.Tersenyum emak menoleh ke arah saya.
Semangat orang tua dulu sentiasa ada.Mereka sentiasa berusaha untuk belajar dan belajar.Saya masih terkial-kial lagi untuk belajar melagukannya.Sehingga kini saya masih belum mampu untuk memperdengarkan bacaan saya di khalayak ramai.Namun saya kini berusaha ke arah itu.

Pena Kasih:Teringatkan sewaktu suami masuk pertandingan tilawah al-Quran peringkat Gemereh beberapa tahun lalu mewakili Kampung Gudang Garam dan berlatih hanya melalui tape dan hanya memperolehi tempat ketiga.Yang penting semangat untuk mencuba.

Thursday, October 29, 2009

CEBISAN KERTAS


Agak sensitif.Hanya cerbisan kertas menyebabkan saya mudah marah.Kalau kita fikirkan ianya hanyalah biasa kepada mereka yang biasa-biasa tapi bagi saya kalau cebisan kertas bersepah saya menjadi sensitif dan sesuatu yang menyakitkan mata.

Pastinya saya mesti meninjau keadaan kelas.Tidak mahu melihat cebisan kertas bersepah-sepah di atas lantai.Ada yang faham dan kadang-kadang saja buat tidak faham.Itulah kanak-kanak.Bagi yang faham mereka akan pastikan tiada cebisan di atas lantai sebelum saya masuk.Bagi yang tidak faham mereka membiarkan cebisan itu bersepah tanpa dikutip untuk dilontarkan di dalam bakul sampah.

Namun dari cebisan kertas juga menyebabkan mereka terpaksa mengambil sedikit masa untuk membuangkannya agar ianya tidak bersepah begitu sahaja.Ada tangan-tangan yang begitu ringan membuangkan cebisan kertas di dalam bakul.Malah ada juga tangan-tangan yang begitu mudah melontarkan kertas merata-rata.

Bagi saya,kanak-kanak perlu diajar agar jangan semudah itu mereka membuang sampah.Yang penting kita sentiasa mengingatkan mereka agar menjaga kebersihan.Saya juga sering memastikan di dalam meja tidak ada sampah yang disimpan.Sebelum balik, saya ingatkan agar mereka buang sampah dan jangan jadikan ianya seperti sarang tikus.

Pena Kasih: Kadang-kadang semasa murid sedang membuat kerja,saya akan menyapu sampah di kelas.

Wednesday, October 28, 2009

KELEGAAN...........

Tinggal esok saja peperiksaan.Raut wajah murid nampak ceria.Esok tidak perlu baca hanya memerlukan bakat dan kemahiran.................senang saja cikgu.

Saya juga berasa lega kerana semua kertas soalan telah habis ditanda.Hanya memerlukan perbincangan dengan murid-murid sebelum diserahkan kepada mereka.Sebagai manusia kita sememangnya tidak sempurna walaupun berusaha untuk melakukan sesuatu itu dengan sempurna.Setakat ini Alhamdulillah, saya cuba sedaya upaya untuk menanda dan mengira markah sebaik mungkin.Walaupun hasrat untuk memastikan anak-anak didik memperolehi 100 % lulus,tapi saya gagal berbuat demikian.(mata pelajaran yang saya ajar).Namun,saya bersyukur kerana murid-murid yang lemah dalam mata pelajaran yang diajar menunjukkan peningkatan.Saya selalu mengingatkan mereka supaya hadir ke sekolah dan latihan yang diberikan hendaklah disiapkan.Saya faham tidak semua murid membuat ulang kaji di rumah.Kadang-kadang sambil mengajar dan menanda buku, saya sering berbual-bual dan bertanya dengan anak murid apa yang mereka buat selepas sekolah.Terlalu sedikit bilangan mereka yang membuat ulang kaji dan kebanyakannya mengharapkan kerja-kerja yang diberikan di sekolah.Mungkin keluarga terlalu sibuk sehingga mereka gagal memantau anak-anak di rumah atau murid itu sendiri yang tidak berminat untuk belajar.

Kadang-kadang masalah rumah tangga juga sedikit sebanyak menjejaskan pembelajaran anak-anak.Saya perlu memahami akan hal ini. Kemerosotan demi kemerosotan pelajaran mereka menyebabkan saya sering memantau murid tersebut dan berbual-bual dengan mereka.Kadang-kadang saya kecewa kerana mereka hadir ke sekolah tanpa peralatan tulis yang lengkap.Tiada pensel untuk menulis,Tiada pemadam untuk memadam.Tiada pembaris untuk menggaris...............tapi pada saya kehadiran mereka ke sekolah sudah cukup walaupun tidak lengkap sebagai seorang murid.Sebab itulah, saya sentiasa memastikan bekas pensel saya lengkap dengan peralatan tulis untuk memudahkan murid-murid menggunakannya.Hendak marah pun ada tapi apabila memikirkan saya pendamkan sahaja.Sampai bila mereka seperti ini?
Kekerapan ketidak hadiran ke sekolah sedikit sebanyak juga menjejaskan prestasi mereka.Kadang-kadang perkara seperti ini dianggap remeh tapi implikasinya begitu besar kepada anak-anak kita.Secara tidak langsung mengingatkan kita akan tanggungjawab kita kepada anak-anak.Menyedarkan kita bahawa besarnya tanggungjawab kita sebagai ibu dan bapa.Sekurang-kurangnya mengingatkan saya juga agar lebih prihatin akan permasalahan anak-anak murid.

Pena Kasih:Bekalan pensel dan pemadam di rumah di bawa ke sekolah.

BANYAKNYA............................

Sudah hendak sampai ke penghujung persekolahan.Pelbagai program perlu dijalankan dan
banyak agenda yang hendak dilaksanakan .Masing-masing terlalu sibuk.Hari Kokurikulum, Hari Penyampaiah Hadiah yang merupakan kemuncak di penghujung tahun dan juga satu lagi program yang perlu dilaksanakan di awal bulan November.Program Membaca 1 Malaysia.Pengisian di mingu-minggu akhir persekolahan selepas peperiksaan akhir tahun dijalankan.Program yang amat bagus dan sekurang-kurangnya dapat memberi ruang dan peluang kepada murid-murid untuk mengasah bakat masing-masing.Harap-harap Ketua Panitia bersama dengan Persatuan dan kelab masing-masing bergabung tenaga untuk program tersebut.

Jika hendak dikupas tugasan kita memang tidak habis.Ada sahaja yang perlu dilaksana dan dibereskan.Kadang-kadang untuk bersantai sebentar begitu rugi rasanya.Masa yang amat berharga.Cakap-cakap yang penuh dengan agenda akhir tahun.AJK Hari Penyampaian Hadiah begitu sibuk memikirkan apa yang perlu diberikan kepada anak-anak didik yang berjaya dalam mata pelajaran.Kesungguhan pelajar merebut peluang ini dan seterusnya mengumpul sijil merupakan sesuatu yang amat bermakna kepada mereka.Itulah harapan ibu bapa terhadap anak mereka selain mempunyai sahsiah yang baik.Sebagai pendidik sudah tentu ingin melihat anak didik menjadi seseorang yang berguna kepada masyarakat dan negara.

Pena Kasih:Gembira melihat anak didik dapat menjejakkan kaki ke menara gading.

Tuesday, October 27, 2009

MENZIARAHI

Selepas solat maghrib, ke rumah Cikgu Ali.Menziarahi beliau dan menyampaikan sedikit sumbangan daripada warga SKCC.Ternyata beliau masih tidak berasa sihat.Melihat air mukanya beliau memerlukan sedikit ruang untuk berehat.
Dari percakapannya, beliau tidak sabar untuk kembali semula ke sekolah.Kelihatan bergenang air mata beliau ketika saya menyebut anak murid yang tiada lagi kedengaran suara di bilik cikgu Ali.
Itulah realitinya kita sebagai pendidik yang telah bergelumang dengan dunia pendidikan dan juga sentiasa bersama dengan anak-anak murid.Sedikit sebanyak sudah tentu perasaan tersentuh.
Saya nasihatkan beliau utamakan kesihatan dan ambil cuti sehingga beliau benar-benar sembuh.Soal kerja-kerja sekolah dan kertas soalan semuanya telah kami selesaikan dan setakat ini semuanya berjalan lancar.Guru-guru SKCC juga guru yang sentiasa mengamalkan sikap saling membantu malah kebanyakan mereka telah bersedia untuk memberikan kerjasama kepada cikgu Ali.Yang penting kami ingin melihat beliau sihat seperti sedia kala.
Menurut beliau, kini beliau menjalani urutan dan menampakkan perubahan.Tangan sudah boleh diangkat malah percakapan beliau juga semakin baik.Kami sentiasa mendoakan agar cikgu Ali cepat sembuh.

Pena Kasih:Guru yang komited kepada tugas-tugas yang diberikan.Cikgu Ali.

MINGGU PEPERIKSAAN


Alhamdulillah, perjalanan peperiksaan hari ini begitu lancar.Pagi lagi saya telah menyediakan soalan-soalan untuk diagihkan kepada semua guru bagi masa yang pertama.Semalam petang lagi saya telah menyediakan guru ganti bagi mereka yang tidak hadir pada hari ini.
Nampak sungguh di wajah anak-anak murid untuk menghadapi peperiksaan akhir tahun.
Sempat saya berjumpa dengan anak didik tahun 3.Menasihatkan mereka agar membaca soalan dan fahamkan kehendak soalan.Cari jawapan yang tepat.Baca berulang kali.Ingat janji cikgu..........
Mereka masih ingat akan janji saya kepada mereka.Ingat inilah perjuangan kamu yang hampir setahun menimba ilmu di tahun 3.Lakukan sesuatu yang terbaik untuk diri sendiri, ibu bapa dan cikgu yang mengharapkan semuanya lulus.

Hari ini juga saya sedaya upaya menyelesaikan penandaan kertas Bahasa Melayu Pemahaman dan Penulisan.Syukur akhirnya semua lulus dalam peperiksaan Bahasa Melayu Pemahaman dan hanya 2 orang gagal dalam Penulisan.Saya tahu kegagalan mereka kerana mereka tidak membaca arahan dan tidak melakukan dengan bersungguh-sungguh.Markah yang diperolehi hampir ke tahap lulus.Kegagalan mereka kerana keengganan mereka membuat latihan yang diberikan dan tiadanya tindak susulan di rumah.Kadang-kadang saya begitu kecewa dengan sikap mereka.Saya tahu mereka mampu melakukan tetapi saya tidak dapat menolongnya kerana sikap mereka.

Namun saya berpuas hati dengan markah yang mereka perolehi.Kesungguhan yang ditunjukkan menggambarkan mereka sememangnya berlumba-lumba untuk belajar.

Pena Kasih:Gembira melihat keputusan anak murid.

Monday, October 26, 2009

BESARNYA TANGGUNGJAWAB KITA.....


Tanggungjawab yang diamanah oleh kita untuk mendidik anak bangsa merupakan satu tanggungjawab yang besar sepertimana tanggungjawab kita kepada anak-anak kita.Kita juga sebenarnya merupakan agen perubah kepada generasi.Itulah kata-kata yang di dengar sewaktu saya menghadiri program penataran PINCH anjuran JPNJ yang disampaikan oleh Mejar Sazali bin Abd Hamid.Bukan mudah sebenarnya tanggungjawab kita baik di sekolah rendah mahupun di sekolah menengah.

Kegagalan murid-murid menguasai 3M perlu kita kaji dengan sedalam-dalamnya agar jumlah murid-murid yang tidak menguasai dapat dikurangkan.Bukan senang untuk kita lakukan.Perlukan komitmen yang tinggi daripada semua pihak.Bukan hanya diserahkan kepada pihak guru sahaja tapi peranan keluarga juga amat penting.Pemantauan daripada ibu bapa amat perlu bagi memastikan agar program PINCH mencapai hala tuju yang sebenarnya.Justeru itu, kita jangan sekali-kali menunding sesama sendiri akan kegagalan anak murid menguasai 3M tetapi kita perlu renung tanggungjawab kita sebenarnya.

Diingatkan juga agar kita mesti memberikan komitmen yang tinggi kepada tugas kita.Masuk kelas mengikut masa seperti yang ditetapkan.Fikirkanlah jika kita hanya bersama dengan murid selama 15 minit sahaja dan 15 minit lagi kita entah ke mana.Besar sebenarnya tanggungjawab kita.Amanah yang telah diberikan kepada kita.Bukan senang untuk bergelar pendidik.

Banyak sebenarnya ilmu yang diperolehi pada hari ini.Perkongsian ilmu yang sedikit sebanyak menyedarkan kita akan tanggungjawab kita kepada anak didik.

Selepas menghadiri program tersebut, lebih kurang pukul 3.00 petang saya ke sekolah bagi memastikan agar persiapan untuk peperiksaan akhir tahun di kemaskinikan.Semua soalan sebenarnya telah saya siapkan minggu lepas cuma saya susunkan agar esok tidak kelam kabut begitu juga ketiadaan guru telah saya buat relief agar semuanya berjalan dengan lancar.
Hampir 3 jam saya berada di sekolah.Selepas itu ke rumah emak.Mesti nak tengok wajah ibu dan ayah saya.

Pena Kasih:Slot ke 2 memberikan kesan mendalam kepada kita sebagai seorang pendidik.Banyak perkara yang perlu diperbetulkan.

Saturday, October 24, 2009

TERSENTUH


Mendengar setiap patah perkataan yang dituturkan sewaktu mendeklamasi sajak berkaitan dengan kanser tidak disedari genangan air mata dicelah-celah kelopak mata mengalir.Begitu dalam sekali maksud dan kesengsaraan serta penderitaan yang dialami oleh mereka yang menghidap kanser.Hanya yang terlintas di hati dan fikiran ialah kematian.Saat-saat bersama keluarga dianggap begitu singkat sekali.Namun semua itu ketentuan Allah.

Hati ini mudah tersentuh apatah lagi pernah melihat sendiri mereka yang mengalami kanser payu dara.
"Buat apa nak sedih.Lambat laun aku akan pergi juga."Itulah kata-kata mangsa kanser payu dara.
"Yang penting,aku hendak sentiasa gembira.Aku hendak keluarga aku gembira melihat aku.Biarlah aku yang menangggung penderitaan itu."
Namun dengan penderitaan yang dialami olehnya menyebabkan hubungan kekeluargaan bertambah baik.Sebelum ini, anak-anaknya selalu bergaduh.Tetapi apabila melihatkan keadaan ibu mereka, hubungan yang kian jauh bertaut kembali.Itulah hikmah disebalik penderitaan ibu mereka.Namun, Tuhan menyayangi beliau.Awal tahun,beliau pergi menemui Ilahi sesudah dikatakan bebas dari serangan kanser setahun kemudian.Mula mengetahui terkena kanser pada tahun 2007 dan setelah dibuang payu dara dan mendapat rawatan kimoterapi dan saya sendiri melihat bagaimana keadaan sebenar beliau.Saya menitis air mata melihatnya.Apa yang dialami dan dikatakan oleh Puan Raden Galoh , itulah yang dialami oleh beliau.

Saya lihat sendiri,memang beliau seorang yang begitu tabah.Masa banyak dihabiskan dengan mendekatkan diri kepada Allah.Ialah kadang-kadang kita tidak sedar, terlalu sibuk dengan hal-hal keduniaan, kita lupa akan tanggungjawab kita kepadaNya.Semuanya ada hikmah disebalik itu.

Hampir dua jam bersama dengan Puan Raden Galoh,begitu banyak maklumat yang diperolehi.Menyedarkan diri kita.Walaupun tidak ramai dan saya sendiri melihat warga pendidikan agak kurang mengikuti program tersebut.Sebenarnya, saya juga ketika itu mempunyai program tersendiri yang memerlukan saya ke luar daerah tapi niat saya untuk mendengar sendiri daripada mereka yang pernah mengalami penyakit tersebut,saya memohon keizinan daripada suami agar lewat sedikit bergerak iaitu jam 12.00 tengah hari.Dengan izin Allah juga saya dapat sampai ke destinasi sebelum jam 2.30 petang.Syukur Alhamdulillah Allah permudahkan perjalanan kami.

Pena Kasih:Setiap minggu banyak program perlu diikuti lebih-lebih lagi program kemasyarakatan.

Friday, October 23, 2009

MEREKA SUDAH LUPA........................

Agak letih minggu ini.Melayan karenah anak-anak murid yang sudah lupa akan peraturan sekolah.Menjerit-jerit kegeriangan tanpa hala tujunya.Percutian hampir seminggu menyebabkan mereka lupa akan peraturan dan tanggungjawab mereka sebagai seorang murid kepada sekolah.
Itulah dunia kanak-kanak.Mereka tidak tahu akan risiko ketika berlari.Mahu sering diingatkan agar sentiasa menjaga peraturan sekolah.Tidak diingatkan mereka lupa.

Bukan senang untuk kita mendisiplinkan mereka.Memerlukan kekuatan fizikal dan mental.Sering mengingatkan mereka setiap hari baik di dalam bilik darjah mahupun waktu perhimpunan pagi.
Apabila diingatkan,barulah mereka terjaga sekejap.Oh......apa yang saya lakukan ini salah! Itulah realitinya.

Seperti ibu sering berleter mengingatkan anak apa yang baik dan tidak baik dilakukan.Begitulah kami yang tentunya berhadapan dengan pelbagai karenah yang memerlukan kesabaran yang tinggi.Walaupun mereka masih kanak-kanak, waktu ini pelbagai nilai-nilai murni yang perlu diserap dan diamalkan oleh mereka agar apabila dewasa mereka tahu yang mana baik dan tidak baik.Kepada Allah, saya sering mendoakan agar suatu hari nanti mereka akan menjadi manusia yang baik yang sentiasa mengingatiMu,yang tahu membezakan perkara yang baik dan tidak baik.

Pena Kasih: Pengisian perhimpunan pagi sebagai ingatan kepada murid-murid tentang peraturaan sekolah.

Thursday, October 22, 2009

TANGGUNGJAWAB

Jika orang lain sudah sampai di rumah untuk menyediakan hidangan makan tengah hari untuk suami dan anak-anak,saya masih berada di sekolah.Rutin apabila tiada boss di sekolah.Untuk memastikan keselamatan anak murid sewaktu pembelajaran POL(Kelas Bahasa Cina dan Tamil) dijalankan pada hari Jumaat dari jam 12.00-2.00 petang.

Apabila ia menjadi tanggungjawab yang telah diamanahkan,saya rasa bersalah untuk meninggalkan anak-anak murid.Memastikan keselamatan waktu balik mereka agar tidak berlaku sesuatu yang tidak diingini.Meminta suami mengambil saya jam 2.00 petang selepas beliau menunai solat Jumaat di Kg Jawa.

Banyak juga kerja yang dapat saya bereskan selama dua jam lebih di sekolah.Bersiap sedia untuk menghadiri taklimat di Poliklinik dan juga pengagihan kertas soalan mengikut tarikh yang telah ditetapkan.Senang hati apabila meninggalkan sekolah dalam keadaan kerja yang sudah beres.Untuk guru-guru, semua tindakan yang perlu diambil sebelum cuti hujung tahun juga telah saya rangka agar memudahkan mereka membuat perancangan dan tindakan susulan.Tidak perlu banyak bercakap,sudah memadai dengan helaian kertas yang diedarkan mereka sudah tahu tanggungjawab mereka.Itu prinsip saya.

Pena Kasih: Kepada guru SKCC, terima kasih kerana kalian sering mengamalkan sikap ingat mengingati antara satu sama lain yang menjadikan kerja dapat dibereskan seperti yang ditetapkan.



KEGIGIHAN DALAM KESAKITAN

Kagum dengan semangat yang ditunjukkan oleh Cikgu Ali.Dalam kesakitan yang jelas terpancar di wajahnya,beliau hadir ke sekolah pada pagi ini dengan keadaan yang begitu lemah.Tiada kedengaran suaranya melayani kerenah anak-anak murid yang membeli peralatan tulis.Tergambar keadaan sebenar beliau.

Saya menghampiri beliau dan bertanya khabar.Wajah yang lesu dengan keadaan yang terlalu lemah serta kesukaran untuk bertutur akibat tempias strok yang dialami menunjukkan beliau memerlukan rehat yang mencukupi.Beliau bercerita dalam keadaan kepayahan.Saya menasihatkan beliau supaya mengambil cuti dan pulang ke rumah.Saya juga meminta beliau menelefon anak lelakinya untuk mengambil beliau.Saya tidak benarkan beliau memandu sendirian.Awalnya beliau tidak mahu bercuti tetapi saya nasihatkan beliau supaya balik dan berehat.Beliau terlalu banyak memikirkan kerja-kerja yang perlu dibereskan.Saya nasihatkan juga agar utamakan kesihatan terlebih dahulu.Saya tahu beliau merupakan seorang yang begitu komited kepada tugas-tugasnya.Seorang yang kuat bekerja tanpa membantah.

Malah ada guru yang menitis air mata melihat keadaan beliau.Kami seperti keluarga.Dengan bilangan yang tidak ramai, hubungan kami begitu erat dalam ruang lingkup sebagai rakan sekerja.Sama-sama membantu apabila dalam kesusahan.Boleh dikatakan beliau jarang sekali mengambil cuti sakit sepanjang beliau berkhidmat di sekolah ini.

Pena Kasih: Kagum dengan semangat guru-guru lama.

Wednesday, October 21, 2009

KE MANA MENGHILANGNYA............


Agak lewat sampai hari ini tapi masih belum pukul 7.00.Capai terus pena dan buku reliaf guru.Ramainya guru tiada hari ini.Ada yang sakit dan pergi kursus serta mesyuarat.
Tiada siapa boleh relief kerana masing-masing mempunyai jadual yang begitu padat.........so terus buat plan B.Untuk keselamatan anak murid, guru berada secara statik dari pukul 7.30 pagi hingga 12.50 dan 1.20.Kasihan guru-guru saya.Namun,mereka memahami akan situasi sekolah apabila hampir ke penghujung.Saya meronda sebentar kerana boss juga tiada.Alhamdulillah, guru-guru bersemangat membuat ulang kaji kerana minggu hadapan ialah minggu peperiksaan,minggu berikutnya ujian KIA2M dan PROTIM.

Saya tidak sedar, rupa-rupanya Cikgu Ali tiada pada hari ini.Saya telefon beliau.Dengan nada yang lemah dan tidak bermaya,beliau memaklumkan yang dia demam.Masuk ICU selama dua hari.Kasihan Cikgu Ali.Kami tidak tahu keadaan beliau sehinggalah dimaklumkan bahawa beliau menjadi lemah dan demam setelah menerima rawatan laser mata akibat daripada diabetes yang dialaminya.

Selalunya, Cikgu Ali dan saya merupakan orang yang terawal tiba di sekolah.Hari ini tiada sehinggalah Kak Yati bertanya kepada saya tentang cikgu Ali.Setiap kali hendak mendapatkan rawatan, cikgu Ali akan maklumkan terlebih awal.Memang saya puji cara dan tindakan Cikgu Ali dan guru-guru lain kerana ia memudahkan saya untuk membuat relief.Terima kasih di atas kerjasama yang diberikan kepada saya bagi memudahkan kerja-kerja pengurusan dan pentadbiran saya.

Pena Kasih: Doakan agar Cikgu Ali cepat sembuh.


BERMURAH HATI


Tatkala kita sibuk mengingatkan anak-anak didik agar tidak sekali-kali membawa sejumlah wang yang banyak ke sekolah untuk mendidik mereka agar lebih berjimat cermat dan juga mengajar mereka hidup secara bersederhana,lain pula yang berlaku.Disebabkan inginkan lebih perhatian daripada kawan-kawan,Si A sanggup menabur sejumlah wang kepada mereka.Namun, pujian diberikan kepada mereka yang menerima kerana memulangkan semula wang walaupun pada mulanya mereka mengambil wang tersebut dan memberitahu keluarga masing-masing akan niat Si A.Langkah bijak keluarga meminta wang tersebut dikembalikan semula kepada si A.Bukan sedikit wang yang diberikan oleh si A kepada rakan-rakannya.Ada yang RM20.00,RM50.00 malah yang lebih mengejutkan Si B mendapat RM250.00.Banyak betul duit si A.Tertanya-tanya daripada mana mereka mendapat wang sebanyak itu?

Untuk tidak mahu perkara ini berlanjutan di kalangan anak-anak didik, kami memanggil kedua-dua keluarga dan berbincang secara telus agar perkara ini tidak berulang.Kami tidak mahu situasi ini akan terus berlaku dikalangan pelajar lain.Alhamdulillah, penyelesaian secara damai dapat dilakukan walaupun di peringkat awal keluarga si B agak tegang tapi kami berjaya menyelesaikannya.

Kami memanggil pelajar yang terlibat dan mengingatkan agar menjadikan pengalaman ini sebagai pengajaran kepada mereka.Boleh bermurah hati tapi lihat situasi mereka.Masih belajar di peringkat rendah dan berikan tumpuan kepada pelajaran.Niat murni si A memang baik tapi belum sesuai seusia yang rendah.Sanggup mengambil wang dari tabung simpanan semata-mata untuk memastikan kawan-kawan dapat dibantu.Yang dibantu bukannya dari kalangan mereka yang berpendapatan rendah.Itulah realitinya kanak-kanak sekarang.Mereka tidak tahu nilai wang tetapi Yang penting adalah satu kepuasan.

Pena Kasih:Tidak mahu mengajar anak-anak hidup mewah.Biarlah mereka tahu susahnya untuk mencari duit.

Tuesday, October 20, 2009

OPERASI MEMBERSIH RUMAH EMAK

Hari ini,saya mengambil kesempatan membersihkan rumah emak.Pagi lagi, saya sudah membersihkan kawasan rumah sehingga jam 8.00 dan kemudian naik ke rumah emak.Kecut perut orang tua saya apabila melihat saya membersihkan rumah mereka.........Dua buah bilik dan ruang tamu rumah lama saya kemas dan buang segala barang-barang yang tidak berguna lagi.Ayah memerhatikan sahaja lagi jauh.Mereka ngeri apabila operasi membersihkan rumah saya lakukan.Mereka takut segala dokumen penting turut sama menjadi mangsa julangan api.

Sebenarnya, dokumen penting tidak saya sentuhi kerana ia mempunyai nilai-nilai yang amat berguna kepada ayah yang merupakan ketua kampung dan juga imam.Saya hanya membuang segala alat permainan anak saudara yang sudah terputus dua,sudah hilang roda itu dan ini.

Kebetulan sekolah saya mengambil cuti selama lima hari,jadi kesempatan ini saya gunakan untuk membersihkan rumah mereka.Jam 10.30 pagi,balik sebentar untuk memasak dan naik semula jam 12.00 sehingga 2.00 petang.Semuanya beres saya lakukan.Nampak kemas dan tidak merimaskan mata saya.

Di luar rumah pula, saya mulakan operasi jam 5.00 petang.Dua buah rumah saya lakukan semata-mata untuk memastikan ianya nampak kemas dan teratur.Apabila saya mulakan, semua anak saudara turut sama melakukan operasi.Saya tidak membiarkan mereka menonton televisyen semata-mata tapi diajak bersama agar mereka tahu pengisian waktu yang terluang.

Pena Kasih:Suami faham cara saya........

Monday, October 19, 2009

APABILA IANYA BUKAN HAK KITA.....


Pagi lagi saya sudah menunggu di pejabat pos bertujuan untuk membuat money order bagi pembayaran BISP.Perlu memulangkan sejumlah hampir RM4000.00 kerana apabila kita menjawat jawatan hakiki dan bukan opsyen,wang yang selama ini diberikan kepada kita kerana mengajar PPSMI perlu dikembalikan semula kerana itulah prosedurnya.

Hampir 9 tahun mengajar subjek sains dalam Bahasa Inggeris dan apabila penyerapan jawatan hakiki,saya perlu memulangkannya kerana apabila ianya bukan hak kita walaupun sehingga kini saya masih lagi mengajar tanpa sebarang insentif.Bukan bayaran yang menjadi keutamaan tetapi yang penting saya perlu meneruskan core business demi anak bangsa kita.Pada saya, ianya menjadi satu kepuasan apabila anak-anak didik saya mampu berkomunikasi dan menjawab soalan-soalan dalam Bahasa Inggeris.

Ianya menjadi satu kelegaan kepada saya membayar secara sekaligus walaupun kami dibenarkan untuk membuat potongan bulanan.Saya dan Kak Yati bersetuju untuk menyelesaikan secara sekali gus.

Pena Kasih:Apabila ianya bukan hak kita,kita perlu selesaikan dengan segera.

Sunday, October 18, 2009

HUJUNG MINGGU YANG SIBUK

Percutian hujung minggu yang terlalu sibuk.Bermula dari hari Jumaat sehinggalah hari Ahad.Ruang waktu untuk bersantai di rumah agak terhad kerana terlalu banyak perkara yang perlu dilakukan.Sehinggakan badan ini terasa sakit.

Bermula dengan majlis marhaban di rumah emak mentua,yassin dan tahlil di rumah datuk sehinggalah majlis sambutan hari raya di balai raya Jabi.Apabila tayar kereta pancit sewaktu hendak balik dari Jabi, menyebabkan keletihan bertambah apatlah lagi cuaca yang agak panas sedikit sebanyak menggangu keselesaan kami.Melihat wajah suami, menggambarkan dia juga berasa letih yang teramat sangat.

Kalau tidak,saya perlu ke Kg Paroi di Negeri Sembilan memenuhi undangan Shasha kerana majlis menyambut menantu tapi kami tolak perlawaan tersebut secara berhemah agar tidak berkecil hati.Emak mempelawa saya untuk menghadiri majlis sambutan hari raya dan Deepavali di Batu Anam tetapi saya menolak pelawaan tersebut kerana terlalu letih.Tidak mampu untuk turut serta.

Cuti-cuti ini juga saya perlu untuk menyediakan soalan-soalan peperiksaan yang tidak dibekalkan oleh MGB.Persediaan awal perlu dilakukan agar ianya tidak menjadi kelam kabut.

Pena Kasih: Banyak undangan Rumah Terbuka tidak dapat hadir sehinggakan majlis perkahwinan salah seorang anak AJK PIBG terlupa.


Saturday, October 17, 2009

TOK UDA


Mengambil kesempatan sepetang di Spang Loi melawat tok Uda yang agak uzur.Pergi bersama emak mentua, suami , Ani dan suaminya dan juga Mak Ngah.Peluang untuk berbual-bual dengan Tok Uda yang nampaknya agak lemah.Sentiasa bergenang air mata setiap kali tutur kata dilafazkan.

Dimaklumkan bahawa Tok uda sudah berusia hampir 80 tahun lebih dan mengalami sakit-sakit sendi yang kadang-kala mengganggu tidurnya.Mungkin denyutan sakitnya itu tidak mampu ditanggungnya.Hanya berbekalkan pil-pil dari Farmasi yang meringankan sedikit bebanan sakitnya itu.KepadaNya,kami berdoa agar Tok Uda sihat dan dapat tinggal di rumah barunya.

Melihat wajah suami, Tok Uda tersenyum sambil menahan kesakitan kerana suami saya sering bergurau dengan Tok Uda.Masih lagi bergurau.

Pena Kasih:Mendoakan agar Tok Uda sihat.

Friday, October 16, 2009

PANGGILAN....

Sewaktu di dapur semasa sibuk menolong emak mentua, menerima satu panggilan yang tidak dikenali nombor hpnya.Rupa-rupanya panggilan itu adalah daripada kawan Fatimah dan Fadzilah sewaktu di SK Batu Anam.Memang memeranjatkan kerana mengetahui nombor telefon saya.Rupa-rupanya dia(Noraini) dapat nombor telefon melalui blog saya.Mencari kawan-kawan lama.Alhamdulillah, dapat juga saya menemukan rakan-rakan mereka yang sudah lost contact beberapa tahun lalu.Sekurang-kurangnya dapat meneruskan tali silaratulrahim.

Memang saya ada menulis nama rakan saya iaitu Fatimah di blog dan berserta gambarnya sewaktu dia berkunjung ke rumah saya tahun lepas.Dapat juga saya mengenali kawan Fatimah dan fadzilah.Panggilan yang tidak diduga.Memaklumkan kepada suami dan dia mengenali Pn Noraini sewaktu di Batu Anam dahulu.

Pena Kasih: Syukur akhirnya pencarian Pn Noraini sudah ditemui...

CUTI LAGI.......................

SKCC akan bercuti selama 5 hari.Berita yang menggembirakan anak-anak murid.Cikgu pun turut gembira sekurang-kurangnya dapat merehatkan badan dan minda serta dapat bersama-sama dengan keluarga.Cuti yang berpanjangan juga kadang-kadang menyebabkan kita berasa bosan.

Saya menerima panggilan meminta saya pergi ke sekolah hari ini kerana ada beberapa cek yang belum ditandatangani dan juga perlu mengisi maklumat yang dikehendaki oleh pihak atasan dengan segera.Hendak tak hendak pergi juga sebentar ke sekolah menyiapkan kerja.Cadangnya untuk operasi membersihkan kawasan persekitaran rumah dan peluang inilah saya gunakan apabila cuti .

Dalam masa yang sama emak mentua meminta saya menolongnya memasak kerana malam ini ada majlis marhaban.Adik beradik suami yang lain semuanya tidak dapat bersama kerana masing-masing sibuk dengan kerja.Jadi, hanya saya dan emak yang bertungkus lumus menyediakan juadah untuk dihidangkan kepada tetamu.Letih tapi seronok.Bukan senang nak cari menantu mithali.................he...he...he...

Sebelah malam, giliran kaum lelaki pula yang mengambil alih tugas.Suami, adik ipar dan bapa saudaranya mencuci pinggan mangkuk.Tidak ketinggalan anak saudara suami, Apiz begitu sibuk membantu Pak Udanya mengangkat pinggan mangkuk.Memang dia begitu ringan tulang seperti Pak Udanya.Jangan sekali-kali kita dengkikan Pak Udanya,dia akan mempertahankan Pak Udanya.Kadang-kadang geli hati melihat gelagatnya itu.

Pena Kasih: Hari Cuti yang penuh dengan pengisian.......................


Thursday, October 15, 2009

GEMBIRA


Pagi lagi seorang murid berbangsa India telah berjumpa dengan saya.
"Cikgu,kita cuti berapa hari?"
"Setakat ini, cikgu hanya dimaklumkan bahawa cuti kita sehingga hari Isnin.Kenapa?" tanya saya kepada murid tersebut.
"......kenapa kita tidak cuti lama seperti Hari Raya Puasa dan Tahun Baru Cina?" "......nanti cikgu berbincang dengan HM kerana pihak sekolah ada memohon satu hari lagi untuk perayaan ini.Tapi pihak sekolah masih belum menerima sebarang hitam putih daripada pihak atasan.Jika ada, cikgu akan keluarkan surat kepada semua murid."
Itulah perbualan antara saya dengan salah seorang murid berbangsa India.Semalam saya tiada di sekolah kerana menghadiri taklimat KIA2M.Hari ini, HM tiada di sekolah kerana menghadiri satu mesyuarat.So, saya minta PAP ke PPD awal sedikit untuk mengambil surat kelulusan cuti bagi memudahkan saya mengeluarkan surat cuti kepada semua murid.

Namun begitu, saya telah menerima arahan daripada HM agar mengeluarkan surat untuk diedar dan makluman kepada semua ibu bapa bahawa sekolah bercuti sehingga hari Selasa.Kemudian,surat diedarkan kepada semua murid.Tersenyum mereka menerima surat makluman berkaitan dengan cuti.Jelas terbayang diwajah mereka terutama murid-murid yang akan menyambut perayaan Deepavali.Ada yang mengucapkan terima kasih kerana cuti yang hampir sama banyaknya dengan cuti hari raya Puasa dan Tahun Baru Cina.1 Malaysia.

...................sempat saya menasihatkan mereka agar jangan lupa bercuti bersama dengan buku kerana mereka akan menduduki peperiksaan akhir tahun pada 27-30.10.2009.

Pena Kasih: Selamat Hari Raya Deepavali kepada Pn Desirani sekeluarga dan anak-anak murid yang beragama Hindu.

Wednesday, October 14, 2009

CELIK HURUF

Melahirkan sekolah yang seratus peratus celik huruf bukanlah senang.Latar belakang pelajar yang berlainan taraf sosio- ekonomi,status keluarga dan juga keadaan persekitaran sedikit sebanyak menjejaskan hasrat kita.Namun begitu, sebagai seorang pendidik pelbagai usaha dan program dilaksanakan bersesuaian dengan kebolehan anak-anak didik kita.

Hari ini,satu taklimat kepada semua guru penolong kanan telah diadakan.Berkaitan dengan program KIA2M di peringkat sekolah.Pelaksanaan program tersebut dan seterusnya melihat keupayaan murid-murid kita dalam menguasai 2M.Sekolah saya tidak terlepas daripada mengikuti program tersebut.Seawalnya bilangan mereka yang tidak melepasi tahap yang telah ditetapkan adalah seramai 7 orang dan apabila ujian pelepasan dijalankan hanya dua orang sahaja yang perlu mengikuti kelas KIA2M.Saya sering mengikuti perkembangan murid-murid KIA2M.Memantau tahap penguasaan mereka.Alhamdulillah, sehingga kini hanya seorang sahaja yang perlu diberikan bimbingan secara intensif.Bersetuju dengan cadangan PPD agar guru yang ditetapkan untuk mengajar tahun 1 adalah guru yang berpengalaman dalam menangani pemasalahan murid.

Ingat lagi sewaktu saya mula-mula posting,diminta untuk mengajar tahun 1.Sebagai orang baru, sudah tentu kita akur dengan arahan.Bermulalah saya mendampingi murid-murid tahun satu yang mempunyai pelbagai ragam.Dengan jumlah murid seramai 35 orang sudah tentu saya menghadapi masalah kawalan kelas di peringkat awal.Rasa hendak menangis pun ada.Rasa tidak mampu untuk menjaga kelas dengan begitu padat bilangannya.Tapi saya bersyukur kerana mempunyai seorang GPK yang sentiasa memantau saya dan memberikan tunjuk ajar kepada saya.Minggu pertama, GPK(Cikgu Kamarudin) sentiasa masuk ke kelas dan memantau pengajaran saya.Teguran yang diberikan saya terima.Selepas itu,teman rujukan saya ialah suami.Beliaulah yang banyak membantu saya sewaktu saya mula-mula mengajar.
Saya mengajar darjah satu hampir 5 tahun di Jengka dan kemudian di Segamat lebih kurang 4 tahun dan seterusnya saya mengambil keputusan untuk tidak mengajar murid-murid tahun 1.Saya inginkan sesuatu yang baru.Saya mohon untuk mengajar tahun 2 ke atas dan permintaan saya diterima.
Saat yang mengembirakan saya ialah sewaktu saya mengajar di Jengka.Di akhir tahun, murid-murid kelas saya tidak ada yang tidak tahu membaca.Walaupun membaca secara merangkak tapi mereka mengenali huruf.Memang saya dikenali seorang guru yang garang, tegas dan cerewet.Malah, apabila disebut nama Pn Noorwati semuanya takut apatah lagi apabila terdengar bunyi kasutnya ketika lalu di kaki lima.Semua murid diam.Maklumlah darah muda.Semangat untuk mengajar belum luntur lagi.Di SKCC, suasananya berlainan.Murid-murid yang terdiri daripada murid perempuan sudah tentu tidak menghadapi masalah disiplin yang berat.Namun begitu, saya masih lagi tegas terutama apabila berkaitan dengan akademik.Saya akan pastikan murid-murid mendapat sesuatu yang baru sewaktu berada di sekolah.Bukan senang untuk melahirkan modal insan yang berguna untuk negara.Semakin banyak program yang dijalankan semakin berat untuk kita pikul tanggungjawab itu.

Sebagai pendidik, kita juga faham akan kehendak ibu bapa.Mereka juga mahukan anak-anak mereka berjaya seperti anak orang lain.Pandai membaca dan mengira.Memang itulah hasrat kita.Perasaan ibu bapa kecewa apabila mengetahui anak mereka masih tidak mengenal huruf,membaca tidak lancar walaupun telah berada di sekolah selama 6 tahun dan dicampurkan dengan sekolah tadika selama 2 tahun.Justeru, kami di sekolah mengambil pelbagai inisiatif untuk membantu murid-murid yang masih belum menguasai membaca.Peranan semua guru amat penting dalam memastikan program yang dijalankan dapat berjalan dengan lancar.
Pihak sekolah juga diminta meletakkan KPI bagi program KIA2 dan sasaran sekolah kami ialah 100% dan saya percaya guru-guru SKCC mampu melakukannya.

Pena Kasih: Anak lelaki membaca dengan lancar di hujung bulan Disember setelah rotan berada di tangan ayahnya ketika berusia 6 tahun sementara anak perempuan mengenali huruf KFC ketika berusia 3 tahun sewaktu melintasi kawasan tersebut.

Monday, October 12, 2009

MENGENALI GURU-GURU SKCC






Sekolah yang terletak di bandar Segamat.Mempunyai bilangan guru seramai 15 orang dan kakitangan sokongan seramai 3 orang serta kakitangan swasta 4 orang dengan bilangan murid seramai 160 lebih sudah cukup untuk menceriakan SKCC.
Kami seperti keluarga,bersepakat dan sentiasa memberikan kerjasama dalam apa jua program yang dirancangkan.Kami meletakkan keutamaan kepada kesejahteraan dan kebajikan anak murid.Dengan bilangan murid yang sedikit,kami mampu untuk mengenali nama-nama murid dan seterusnya murid-murid mengenali kami secara lebih dekat.Kami juga telah melaksanakan program menyayangi guru dengan meminta murid memberi salam dan mengucapkan ucapan dengan bertatasusila dengan menyebut nama guru.Ingatan itu terpahat di minda mereka.

Mempunyai seorang guru besar yang berdedikasi dan sentiasa berusaha untuk menjaga kebajikan warga sekolah.Sentiasa berusaha untuk menjaga imej dan memajukan sekolah.Pn Tey Siew Choo guru yang telah berkhidmat di sekolah ini lebih kurang 5 tahun mengambil alih tugas Pn Norlis bte A Rahman.Beliau juga dibantu oleh guru penolong kanan yang terdiri daripada Guru Penolong Kanan Pentadbiran dan Kurikulum (Pn Noorwati bte Muda),Guru Penolog Kanan HEM (Pn Norhayati bte Md Zan) dan Guru Penolong Kanan Kokurikulum(En Ali bin Yusof)
Kami memang sentiasa berusaha untuk memastikan kebajikan guru-guru dan anak-anak murid dapat dibantu sebaik mungkin.

Pn Norhayati bte Md Zan(GPK HEM) yang telah berkhidmat sebagai guru Hem lebih kurang 8 tahun di sekolah ini juga banyak membantu murid terutama murid-murid yang berkelayakan untuk menerima bantuan.Kami sentiasa berbincang bersama-sama dengan GPK KK iaitu En Ali bin Yusof yang juga merupakan satu-satunya guru lelaki yang telah lama berkhidmat di sini.Saya juga sering menerima tunjuk ajar daripada beliau.Pengalaman beliau sebagai guru sudah tentu banyak membantu kami terutama berkaitan dengan pentadbiran.

Pn Hjh Ruhana seorang yang telah lama berkhidmat di sini.Seorang guru yang banyak membantu saya terutama dalam pentadbiran.Pernah menjawat jawatan GPK Kurikulum sebelum melepaskan jawatan tersebut untuk memegang jawatan Guru Cemerlang.Guru yang banyak pengalaman dan sering membantu saya terutama dalam pentadbiran dan akademik.Seorang guru yang rajin dan tegas.Berusaha untuk membantu murid-murid yang lemah dalam pelajaran.

Kami juga mempunyai seorang guru yang rajin dan kini sedang menanti untuk bersara.Kehilangan seorang guru yang begitu komited kepada kerjaya dan juga menjadi rujukan berkomunikasi dalam bahasa Inggeris.Pn Tong Ah Lan. Sudah tentu mempunyai banyak pengalaman suka duka sebagai seorang guru sepanjang menceburi bidang tersebut.Tidak kurang juga Pn Desirani yang begitu rajin dan sentiasa memberi motivasi kepada pelajar-pelajarnya yang didapati sudah luntur semangatnya terutama menghadapi saat-saat genting dalam peperiksaan.

Cik Wan pula anak kelahiran bumi Kelantan ini merupakan guru data yang begitu cekap dan mahir terutama dalam bidang ICT.Capaian internet kurang memuaskan sudah tentu cik Wan yang dicari.Guru yang banyak membantu sekolah terutama dalam pengisian data yang berkaitan dengan sekolah.

Pn Salbiah pula guru pusat sumber sekolah yang kreatif dan aktif.Banyak program yang dijalankan bersama-sama dengan panitia sekolah.Sekurang-kurangnya mencungkil bakat anak didik yang terpendam selama ini.Sekolah memerlukan orang-orang seperti ini dalam melahirkan pelajar cemerlang sekolah gemilang dan terbilang.

Pn Fatimah, setiausaha peperiksaan dan kurikulum sekolah.Guru yang tidak perlu banyak menerima arahan dan tahu akan bidang tugasnya.Guru yang ringan tulang dan sentiasa menjaga kebajikan anak didik.
Sementara Pn Zaharah pula guru pemulihan yang sentiasa berusaha untuk memulihkan anak-anak murid sekolah ini terutama yang lemah dalam aspek bacaan.Alhamdulillah, setakat ini SKCC mampu melahirkan pelajar yang boleh mengenal dan membaca dengan lancar atas insiatif Kak Zaharah.Berusaha ke arah 100% celik huruf.
En Supian pula merupakan setiausaha sukan kepada En Ali.Guru yang aktif terutama dalam bidang perbahasan.Mewakili daerah Segamat ke peringkat negeri dan Kebangsaan.
Pn Suzima pula merupakan guru agama sekolah ini.Banyak kata-kata nasihat disuarakan kepada pelajar-pelajar Islam di sekolah ini.Setiap tahun mengisi borang untuk berpindah ke negeri kelahirannya di Terengganu tapi rezeki belum ada lagi.Apa-apa pun, sabarlah ya.
Pn Norlela merupakan guru tahun 1 yang cekap terutama menangani masalah anak-anak di awal persekolahan.Kini sedang berada dalam pantang kerana melahirkan anak.Sering berhubung dengan beliau walaupun masih dalam cuti bersalin.
Pn Radziah ialah guru matematik sekolah ini.Seorang guru yang lemah lembut tetapi mampu untuk memikat anak didik supaya mencintai subjek matematik.Seorang yang sanggup mengorbankan masa, tenaga dan wang ringgit semata-mata untuk melihat anak didik mencapai 100% dalam pencapaian matematik tahun ini.Itulah impiannya terhadap anak didiknya.

Kebanyakan guru-guru sekolah ini sudah melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah.Nampaknya guru-guru lama juga sudah mula bersemangat untuk belajar terutama Kak Ana, Kak Yati dan Cikgu Ali.Saya doakan kalian berjaya.

Pena Kasih:Terima kasih atas kerjasama kalian membantu saya mentadbir sekolah terutama aspek akademik.



APABILA DISALAH SANGKA.......;



Minggu lepas ke Bukit Gambir.Sekadar berjalan dan mengimbau kembali cerita lama sewaktu bertugas sebagai guru sandaran di Simpang Lima Darat.Hampir setahun berada di sana.Rata-rata penduduknya orang Jawa.

Justeru, sudah tentu saya menghadapi masalah bahasa kerana saya memang tidak faham bahasa Jawa.Di sekolah,kami menggunakan bahasa standard sewaktu proses pengajaran dan pembelajaran berjalan.Di sini, saya tinggal dengan keluarga angkat,Pak Osman.

Setiap hari saya menghitung hari untuk balik kampung.Kalau dulu, telefon awam menjadi alat perhubungan yang penting.Menelefon keluarga mahupun tunang.Melepaskan rindu masing-masing.Saya tidak lama berada di rumah,Pak Osman dan mengambil keputusan tinggal di bandar Muar bersama-sama rakan.Saya ke sekolah bersama dengan Cikgu Zubir.Perpindahan dari situ kerana rasa tidak selesa kerana pak cik tersebut mempunyai anak lelaki seramai tiga orang yang duduk bersama di situ.Justeru, setelah berbincang dengan keluarga dan keluarga angkat, saya mengambil keputusan untuk menetap di bandar Muar.

Saya pernah dibawa oleh keluarga angkat ke pekan Bukit Gambir dan Sawahring.Memang mengejutkan kerana pekan tersebut telah berubah.Kalau dulu, kedai-kedai hanya berdindingkan papan tapi kini semuanya batu dan ada juga yang masih berpapan tetapi terlalu kecil bilangannya.
Kemudian,saya berjalan-jalan bersama suami dan singgah di kedai yang menjual peralatan seperti parang, cangkul, gergaji dan lain-lain lagi.Saya meminta suami membeli sebilah parang untuk kegunaan mencantas pokok-pokok kecil di rumah saya.Suami pun beli dan membawanya dari satu kedai ke satu kedai sehinggalah saya terjumpa kedai emas di situ.Kami singgah sebentar di situ dengan membawa parang sekali.Untuk diletakkan di kereta, kami park kereta agak jauh dari kedai yang kami pergi.Agak lama juga kami di kedai emas dan suami membelikan saya seutas gelang dan rantai untuk saya.Di luar kedai, kelihatan kereta polis meronda dan dua orang anggota polis berada di luar kedai.Saya tersenyum kerana mungkin ketika itu kami membawa parang.Apabila disalah sangka.............................menjadi perbualan kami anak beranak sewaktu balik ke Segamat.

Pena Kasih: Lebih berhati-hati ...............

Sunday, October 11, 2009

TELEVISYEN


Televisyen merupakan salah satu media elektronik yang banyak memberi maklumat kepada kita.Maklumat dari dalam dan luar negeri.Pelbagai rancangan disajikan kepada kita dan pelbagai saluran boleh diperolehi.

Namun begitu, saya memang kurang sekali menonton televisyen.Jarang bersantai di hadapan televisyen bersama suami.Banyak info yang saya perolehi daripada suami ataupun melalui akhbar dan juga internet.Memang tidak berminat langsung menonton.

Saya hanya mendengar berita melalui radio.Waktu pagi saya akan memandu sambil mendengar siaran berita.Itulah maklumat yang saya perolehi.Apabila suami membuka siaran Tanyalah Ustaz, saya sekadar mendengar sahaja.Memang rancangan itu menarik kerana pelbagai maklumat boleh diperolehi.

Tatkala suami dan anak ketawa apabila menonton rancangan yang menggelikan hati mereka, saya hanya menjadikan buku sebagai teman .

Pena Kasih: Rancangan televisyen lebih banyak memaparkan cerita-cerita sedih terutama musim hari raya.


Saturday, October 10, 2009

MEE GORENG MAMAK



Hidangan yang paling mudah untuk disajikan.Menerima panggilan telefon jam 6.00 petang daripada kawan suami yang kebetulan berada di bandar Segamat dan hendak singgah sebentar di rumah menyebabkan saya mengambil keputusan untuk menjamu mee goreng mamak sahaja.Kebetulan adik ipar suami memang menggemari masakan mee tersebut.

Setiap kali datang ke rumah saya, adik ipar mesti menyuruh saya menggorengkan mee mamak dan kadang-kadang apabila saya ke rumahnya, masakan tersebut merupakan tempahan yang utama daripadanya.Penyediaan yang tidak memerlukan masa yang terlalu lama memudahkan saya melakukannya.

Kebetulan adik saya yang ketika itu sedang menyediakan puding jagung berkuah menyerikan lagi hidangan tersebut.Saya sering meminta adik menyediakan puding berkuah apabila sesuatu majlis diadakan di rumah saya.

Pena Kasih: Kunjungan yang mengeratkan tali persaudaraan.

Friday, October 9, 2009

APABILA SMS TERSALAH HANTAR.................


Lagu ayah dan ibu,dendangan Allahyarham Sudirman berkumandang di HP saya jam 3.00 pagi.Terjaga apabila mendengar dan meneliti isi kandungan SMS tersebut.Tersenyum sendirian kerana mengenali nombor HP tersebut dan yang peliknya nama tertera bukan untuk saya tapi untuk seseorang lain.
Kejutkan suami memaklumkan penerimaan tersebut.Takut disalah sangka.Suami mengenali juga nombor tersebut.Kami tersenyum penuh pengertian.Masih tidak tidurkah lagi si X?Masih punya masa untuk ber SMS waktu-waktu seperti ini?Ianya menjadi persoalan kepada kami.Kami berbual-bual sambil baring.Geli hati pun ada.Kalaulah si isteri tahu akan perbuatan suaminya sudah tentu hancur perasaannya.Saya bersuara.

Sewaktu suami memandu menghantar saya ke sekolah,saya menyatakan untuk melihat perubahan suami senang aja.Apabila HP disorokkan sudah tentu ada sesuatu yang tidak kena.Apabila si suami suka menyendiri di bilik dan tidak suka dikacau .............................
Apabila si suami itu dan ini.....................Saya masih lagi membebel dan suami hanya senyum sahaja mendengar celoteh saya.
"Nor ni, pagi-pagi dah berceloteh tentang peristiwa semalam,"kata Suami.
"Bukan apa.......satu pengajaran kepada kita.Tak cukup isteri seorang dah nak main kayu tiga,"kata saya.
Tiada sebarang respon yang berpanjangan daripada suami.Sememangnya suami tidak suka saya bercerita tentang hal orang lain.Saya akur dan kami berbual tentang hal kami sahaja.

Pena Kasih:Akur dengan kehendak suami.Jangan suka cerita hal orang.

CERIANYA HARI INI..............











Perancangan untuk mengadakan majlis tiga dalam satu memang telah lama dirangkakan agar ianya menjadi satu majlis yang meriah terutama melibatkan kanak-kanak.Hari ini SKCC telah berpeluang menghimpunkan murid-murid untuk sama-sama meraikan majlis Sambutan Hari Kanak-Kanak,Hari Raya Puasa dan Sambutan Deepavali.

Setiap tahun,Sambutan Hari Kanak-kanak diadakan pada 8 oktober malah buat kali pertamanya negara kita mengadakan sambutan pada 8.10.1959 di Stadium Negara Kuala Lumpur sebaik sahaja PBB mengisytiharkan ianya sebagai hari untuk persaudaraan sejagat dan kefahaman di kalangan kanak-kanak di seluruh dunia.Ianya merupakan satu pengiktirafan masyarakat tentang kepentingan tanggungjawab kita terhadap kanak-kanak.

Majlis yang berlangsung pada pukul 8.00 pagi amat meriah sekali terutama kanak-kanak. Guru-guru di sekolah ini turut mengambil kesempatan mengimbau kembali sejarah mereka semasa kecil dahulu.Wajah keceriaan jelas terbayang di kalangan guru-guru melihat anak-anak didik memakai pakaian yang beraneka warna.Malah ada dikalangan mereka memakai pakaian tradisional mengikut budaya masing-masing.Kami mengambil kesempatan bergambar dengan mereka.

Dua jejaka sekolah kami yang sudah tentu menjadi perhatian murid-murid iaitu En Ali (memakai pakaian moden) dan En Supian yang lengkap dengan pakaian baju melayu menampakkan kesegakannya.Tidak ketinggalan juga guru senior sekolah ini (Pn Hjh Ruhana) yang memainkan peranan penting terutama berkaitan dengan jamuan bertungkus lumus bagi memastikan segala perancangan dapat berjalan dengan lancar.
Pn Desirani,Pn Tong Ah Lan,Pn Salbiah , Cik Wan juga memainkan peranan terutama dari aspek persembahan.Kerjasama dan kata sepakat di kalangan kami membolehkan majlis berjalan seperti yang dirancangkan.Kami kagum dengan anak murid kami yang membuat persembahan nyanyian dalam bahasa Cina dan Tamil walaupun masa latihan yang diberikan begitu singkat tapi dapat menyebut kedua-dua bahasa tersebut dengan jelas dan betul.Itulah murid SKCC yang mempunyai pelbagai bangsa dan agama dan mereka tidak kekok untuk mempelajari bahasa cina mahupun bahasa tamil.
Pn Radziah yang merupakan guru tahun 6 turut bersama-sama dengan anak muridnya yang akan meninggalkan alam persekolahan di peringkat rendah begitu sibuk melayan kerenah anak-anaknya seramai 34 orang.Masing-masing sibuk hendak berposing.
Apa-apa pun yang pasti cikgu SKCC begitu ceria hari ini.........................

Pena Kasih: Selamat Hari Kanak-kanak .............

Thursday, October 8, 2009

BAHASA DAN PADANG

Bersebelahan rumah merupakan tempat Haziq dan rakan-rakan kampungnya bermain bola.Padang yang tidak seberapa luas inilah digunakan oleh anak lelaki saya untuk bermain dan menyihatkan tubuh badannya.Setiap petang, rakan-rakan Haziq yang tinggal di Kg Alai, Gemereh dan juga di Kg Batu Hampar berkumpul dan bermain.Padang yang diberikan nama Dataran Kasih ini sentiasa dijaga agar memudahkan rakan-rakan anak saya bermain.

Bagi memastikan mereka tidak membuang sampah merata-rata, kami letakkan bakul sampah.Bukan terlalu cerewet tetapi sekurang-kurangnya mereka berdisiplin dan memastikan kebersihan persekitaran dijaga.Suami saya selalu mengingatkan anaknya supaya jaga kebersihan padang kerana ayanya memang terlalu sensitif dengan sampah-sampah dan juga plastik yang bertaburan di kawasan rumah kami.

Haziq sememangnya mengerti dengan cara ayahnya.Dia akur dengan permintaan ayahnya kerana ayahnya juga sering memastikan padang sentiasa dipotong rumput bagi memudahkan rakan-rakannya bermain.(Permintaan Haziq kepada ayahnya apabila melihat padang ditumbuhi kemuncup)

Namun disebalik itu, saya agak terkilan kerana bahasayang digunakan oleh rakan-rakan anak saya memang agak tidak manis didengar.Saya selalu mengingatkan anak saya, jangan sekali-kali mengeluarkan perkataan yang tidak sepatutnya dilakukan.Saya juga ada menegur rakan-rakan anak dengan cara yang baik agar menggunakan bahasa yang baik semasa bermain.Mereka akur dan kini mereka kurang mengeluarkan perkataan yang tidak manis itu ketika bermain.Mungkin ia merupakan sesuatu yang sensitif apabila ditegur tetapi saya perlu lakukan agar ianya tidak menjadi satu budaya kepada mereka yang merupakan pelajar sekolah.Begitu mudah melafazkan" perkataan yang tidak manis" kepada seseorang walaupun ianya dianggap sebagai gurauan dan sendaan.

Pena Kasih:Puas hati apabila membuat teguran kerana tidak tahan mendengar bahasa yang digunakan.

APABILA IANYA MENJADI SATU KEBIASAAN.........

Ketepatan masa memang merupakan salah satu ukuran kepada disiplin diri.Apabila lewat ianya akan menjadi sesuatu yang tidak kena kepada diri kita.Ada sesuatu kekurangan berlaku pada hari itu.Rasa bersalah yang akhirnya ia tidak menyenangkan diri kita sendiri.

Sudah menjadi satu kebiasaan kepada saya untuk hadir ke tempat kerja seawalnya.Ingat lagi sewaktu saya bekerja di Jengka 4, walaupun rumah saya jauh tapi sayalah orang yang pertama hadir ke sekolah.Walaupun mempunyai anak kecil,saya bersyukur kerana suami memang seorang yang ringan tulang dan sentiasa memastikan keperluan anak telah disiapkan terlebih dahulu.Saya akan pastikan saya sampai di sekolah sebelum pukul 6.30 pagi dan suami sebelum pukul 7.00 pagi.
Sehingga kini, ianya telah menjadi satu kebiasaan kepada saya untuk hadir awal.Bukan untuk menunjuk tetapi ianya sudah menjadi satu kebiasaan.
Anak-anak saya juga sudah mengikut jejak kami terutama yang sulong.Kalau lewat mulalah dia merungut.Begitu juga ketika ke kelas tambahan.Dia akan pastikan dia mesti hadir awal.Ini merupakan salah satu cara untuk mendisplinkan dirinya sendiri.Pernah saya menghantar anak lelaki ke sekolah jam 6.15 pagi ketika ayahnya ke Terengganu.Tiada sesiapa ketika itu dan saya minta anak saya menunggu di tepi kawasan sekolah.

Begitu juga dengan suami.Dia akan pastikan dia hadir ke tempat kerja awal.Mungkin sudah menjadi satu kebiasaan sewaktu bekerja sebagai guru dahulu.Pernah bekerja di Felda Pemanis yang kedudukannya jauh tetapi hadir lebih awal dari mereka yang tinggal berdekatan.Syukur dan sentiasa berdoa kepada Allah agar setiap langkah pergerakan kami dilindungi kerana niat kami untuk hadir ke tempat kerja seawalnya kerana banyak perkara yang perlu kami lakukan dan juga secara tidak langsung menjaga kebajikan dan keselamatan anak murid yang datang awal ke sekolah kerana tuntutan keluarga mereka kepada tugas. Sebagai manusia kita hanya merancang untuk hadir awal tetapi kadang-kadang kita tidak mampu untuk mengelak sebarang kemungkinan yang berlaku.

Pena Kasih:Bagi saya masa itu amat bernilai..................

Wednesday, October 7, 2009

KENANGAN



Sewaktu hari raya pertama, ke rumah emak mertua sempat suami membawa saya dan anak-anak bersiar-siar di setiap pelusok di Batu Anam.Dibawanya kami ke Ladang Senarut, Kg Kenangan,Kg Paya Lang dan tidak ketinggalan juga stesen kereta api di Batu Anam.
Suami sengaja membawa anak-anak ke sana supaya mereka mengenali setiap kampung yang pernah ayahnya lalui dan tempat bermain bola sepak bersama-sama teman sewaktu zaman sekolah.
Ayahnya bercerita dengan penuh perasaan kepada anak-anaknya sehingga menyebabkan anak-anaknya terdiam mendengar cerita ayahnya yang menarik itu.
Stesen kereta api Batu Anam banyak meninggalkan kenangan kepada ayahnya.Di sinilah tempat ayahnya turun sewaktu menuntut di UKM.Berjalan kaki sehingga ke Klinik Kesihatan Batu Anam tanpa perlu menyusahnya ayahnya.Salakan anjing yang mendayu-dayu tidak dihiraukan dan yang pasti dia ingin pulang dan berjumpa dengan emak dan ayah.Berjalan keseorangan jam 1-00-2.00 pagi.Dilontarkan perasaan takut itu.Yang penting dia tidak mahu menyusahkan ayahnya,mengejut ayahnya yang sedang lena diulit mimpi.Itulah ayah.Bukan senang ayah hendak menjadi seperti ini.Terlalu banyak ranjau yang telah ayah lalui.Itulah kata-kata suami kepada kedua orang anaknya.
Kemudian suami membawa anak-anaknya pergi ke rumah yang pernah didiami bersama adik-beradiknya seramai tujuh orang di Klinik Kesihatan.Rumah kecil itulah yang didiami,membaca buku di tepi-tepi parit semata-mata untuk mengubah kehidupan keluarga.
Anak-anak terkesima sebentar.Melihat kesungguhan ayahnya bercerita.
Haziqlah yang terlalu sedih mendengar cerita ayahnya.Semoga ianya memberi keinsafan kepada anak-anaknya.

Tuesday, October 6, 2009

GURAUAN DAN SENDAAN


Selain daripada mengumpat,gurauan merupakan salah satu tutur bicara yang dicetuskan oleh lidah.Kadang-kadang kita tidak sedar yang guruan dan sendaan yang dilafazkan boleh menguris perasaan seseorang.Justeru, sebelum kita melafazkan gurauan,kita perlulah melihat siapa orang yang boleh dibuat gurauan dan sendaan.Tidak semua orang boleh menerima gurauan kita.Tidak semua orang boleh menerima sendaan kita.Kadang-kadang guruan dan sendaan itu seolah-olah merendah-rendahkan diri orang itu.Begitu juga gelaran yang diberikan kepada seseorang.Sebab itulah lebih baik kurang bercakap daripada terlalu menonjol-nonjolkan diri seolah-olah kitalah yang pandai dan perfect dalam semua bidang.

Semua ini mengingatkan diri kita terutama diri saya.Saya selalu mengingatkan suami apabila berbicara jagalah setiap patah perkataan yang dilontarkan.Biarlah apa orang hendak kata dan memberi gelaran kepada kita tetapi jangan sekali-kali kita lakukan kepada orang lain.Sahutan kita hanyalah Alhamdulillah.Allah mengetahui segala-galanya.

Gurauan yang berlebih-lebihan juga boleh menyebabkan timbul perasaan tidak senang hati kita kepada seseorang itu malah boleh juga menyebabkan kita kehilangan kawan.Subhanallah.Semuanya memberikan keinsafan kepada saya, suami dan anak-anak.

Justeru,hendaklah bergurau secara ala kadar kerana kadang-kadang gurauan dan sendaan boleh menimbulkan persengketaan dan perkelahian.Itulah yang dilarang oleh agama kita sehingga menyebabkan kita kehilangan sahabat mahupun saudara mara.

Pena Kasih:Takut untuk bergurau dan bersenda-sendaan berlebihan walaupun dengan suami.Takut menguris hati suami.


Monday, October 5, 2009

SALAH SIAPA...?

Tidak perlu banyak berbicara,
Hanya sekadar melihat dan mendengar,
Tidak perlu untuk berdendam,
Hanya sekadar meneliti,
Setiap butir bicara yang diperkatakan,
Hanya Allah sahaja yang tahu isi hati ini,

Namun jauh di sudut hati.....kecewa,
Melihat manusia yang hanya pandai bermain dengan kata-kata,
Tidak pernah untuk mengerti perasaan orang,
Hanya melihat secara zahir,
Tidak mengerti secara batin,

Itulah manusia,
Cuba mengelakkan diri,
Cuba menjauhkan diri,
Sudah mengerti .................
Salah siapa.....?


Pena Kasih: Yang tersirat hanya kita sahaja yang tahu.

Sunday, October 4, 2009

YAASIN DAN MAJLIS PERKAHWINAN

Kesibukan orang membuat rumah terbuka sempena bulan Syawal.Tidak ketinggalan juga orang ramai sibuk mengadakan majlis perkahwinan sepanjang bulan Syawal.Banyak jemputan yang kami terima.Tidak tahu yang mana satu hendak pergi.Ada yang dekat dan jauh.

Hari ini, di kampung saya majlis perkahwinan anak pasangan Encik Baharum dan Puan Juriah telah diadakan.Ayahnya telah meninggal dunia lebih kurang dua tahun yang lalu. Maka segala urusan dilakukan oleh ibu pengantin.

Jam 10.00 pagi, diadakan majlis bacaan yaasin.Saya turut serta ke majlis tersebut dan peluang ini saya ambil untuk berjumpa dengan orang-orang kampung.Maklumlah apabila bekerja,kadang-kadang kita tidak berkesempatan untuk berjumpa dengan mereka.Tidak mementingkan diri sendiri tetapi tuntutan kerja dan tanggungjawab mengatasi segalanya.
Kemudian, saya menolong mereka di bahagian balai dan menyediakan tempat untuk pengantin makan.

Lebih kurang pukul 2.00,saya balik ke rumah.Letih dan merehatkan diri sebentar .Pukul 4.00 petang,Yati dan suaminya datang ke rumah.Kemudian,pukul 5.00 petang, adik ipar suami datang dan meminta kami menghantarnya ke stesen bas kerana hendak balik ke Kuala Lumpur dan kemudian menghantar keretanya ke hospital Segamat adik suami on call.Terlalu sibuk dan memenatkan.Dalam masa yang sama, anak lelaki memaklumkan bahawa kawan suami datang ke rumah.Kawan semasa di sekolah rendah lagi.Tapi,kami tidak dapat berjumpa dan dia berjanji akan datang semula ke rumah kami nanti.Rasa kesal kerana tidak dapat berjumpa dengan kawan suami.

Pena kasih: Terlalu sibuk..............

Saturday, October 3, 2009

KELAHIRAN DAN KEMATIAN


Sudah dua tahun usia Adif yang merupakan anak kedua pasangan Ani dan Aman.Kelahiran yang dinantikan.Hari ini, Adif menyambut kelahirannya yang tarikh lahirnya sama dengan tarikh Pak Longnya.Saya telah dijemput ke rumahnya dan kami membawa sebiji kek untuk Adif.Ternyata Adif tidak mengerti apa-apa dengan sambutan yang diberikan untuknya.
Pak Udanya membacakan doa untuk kesejahteraan Adif.Sambutan yang agak meriah dihadiri oleh sanak saudara sebelah ibu dan bapanya.Pelbagai juadah disediakan oleh neneknya.Kawan-kawan ibu dan ayahnya turut serta meraikan sambutan hari tersebut.

Jam 6.00 lebih menerima panggilan telefon memaklumkan yang saudara kami meninggal dunia di hospital Segamat.Kami ingatkan jenazah akan dikebumikan pada keesokkannya tetapi sekali lagi kami menerima panggilan memaklumkan yang jenazah akan dikebumikan malam ini juga di Berata.Kami bergegas balik dan terus menziarahi keluarga tersebut.Lebih kurang pukul 11.00 malam, jenazah dikebumikan dan saya turut sama ke kubur bersama-sama dengan emak dan ayah.Semoga rohnya dicucuri rahmat.Amin..

Pena Kasih: Semuanya memberi keinsafan kepada kita.

Friday, October 2, 2009

LAWATAN AHLI PARLIMEN SEGAMAT


Hari ini, ayah menerima kunjungan daripada ahli parlimen segamat yang juga merupakanMenteri Pembangunan Sumber Manusia,Datuk Subramaniam.Kunjungan yang telah dimaklumkan terlebih dahulu memudahkan emak membuat persiapan.

Saya tidak dapat bersama kerana kehadirannya waktu bekerja.Sudah dua kali YB hendak datang ke rumah ayah tetapi ketika itu ayah tiada di Segamat.Ke Kuantan dan juga Johor Bahru.Sibuk sungguh orang tua saya.

Namun, kali ini beliau datang bersama-sama dengan pembantunya.Kasihan emak, menyiapkan persiapan seorang diri.Anak saya terlebih dahulu telah membantu neneknya menyediakan kuih-muih sebelum ke sekolah.Kunjungan seorang wakil rakyat sedikit sebanyak mengeratkan perhubungan antara wakil rakyat dan anak buahnya.Mendengar rintihan dan keluhan penduduk kampung.Kunjungan yang tidak lama kerana hari Jumaat dan beliau memahami tugas ayah saya sebagai seorang imam yang perlu mengetuai sembahyang Jumaat.

Pena Kasih:Terima kasih di atas kunjungan YB ke rumah ayah saya.

LinkWithin



Related Posts with Thumbnails