Friday, July 31, 2009

PENAMPILAN


Pagi-pagi lagi Haziq mengomel di dalam kereta.Semalam kita terbaca dalam satu majalah mengenai penampilan seorang guru.Guru sekarang bukan seperti guru dahulu.
Lantas dijawab oleh saya."Kenapa,adik kata guru sekarang bukan seperti guru dahulu?"
"Guru sekarang hanya bergaya sahaja dan bukannya untuk mengajar."
"Kenapa adik berkata begitu."
".................memang betul la mama,macam mama bergaya sahaja.Nak nampak cantik dan kemas."
"........mama memang begitu.Tapi mengajar tetap mengajar dan tidak salah untuk mama bergaya.Janji tanggungjawab mama untuk memastikan anak didik belajar tetap mama utamakan.Soal bergaya dan penampilan perlu dijaga."
"Ayah, memang dah faham cara mama."
"..........tak.kita baca artikel semalam tentang guru sekarang.Mama,jangan marah."
Itulah perbualan haziq.Ayahnya tersenyum mendengar apa yang dikatakan oleh anaknya.

Penampilan diri perlu dijaga.Kadang-kadang apabila kita memakai sesuatu yang baru, anak murid turut tertarik dan bersemangat.


Pena Kasih: Anak perempuan mengikut jejak.Sentiasa ingin melihat diri kemas.



PERKHEMAHAN

Perancangan untuk mengadakan perkhemahan memang telah lama dirancangkan. Alhamdulillah,pada hari ini perancangan tersebut menjadi kenyataan.Penyertaan murid seramai lebih daripada 60 orang ternyata memang program tersebut dinanti-nantikan oleh murid-murid sekolah ini.Penyertaan terdiri daripada murid-murid tahun 4,5 dan 6.

Pelbagai aktiviti dijalankan untuk melihat keupayaan murid-murid merealisasikan kemahiran yang dipelajari dalam unit beruniform.Ternyata mereka begitu bersemangat sekali. Mendirikan khemah merupakan salah satu aktiviti yang dijalankan sejak petang lagi.Dengan bantuan cikgu Ali dan cikgu Supian bersama-sama dengan Cik Wan, akhirnya khemah dapat didirikan dengan sempurna.Bersyukur sekali lagi, kerana dengan sumbangan yang diberikan oleh YB Tn Hj Baharom akhirnya, pihak sekolah berjaya membeli khemah sebanyak 15 buah .Semua ini dilakukan demi memenuhi keperluan mereka dalam aktivit berkhemah.

Pada tahun ini, sekali lagi saya bersama-sama dengan Ekin,Sal dan Kak Timah serta dibantu oleh cikgu Ali dan Supian berkampung diperkarangan sekolah.Walaupun ketika ini,kami menghadapi masalah bekalan air dan pihak sekolah telah meminta bantuan daripada SAJ untuk membekalkan air bagi keperluan murid.Namun begitu semangat untuk berkhemah tetap ada di hati murid-murid tanpa mengetahui mereka menghadapi masalah bekalan air.

Pena Kasih: Bangun tengah malam untuk melihat murid-murid.

Thursday, July 30, 2009

BAKAT

Sekali lagi aktiviti sempena bulan membaca diteruskan.Aktiviti bercerita dalam bahasa Inggeris dan bahasa Melayu dijalankan pada hari ini. Jika semalam diadakan aktiviti mengulas buku cerita yang dibaca untuk tahap 2 tetapi pagi ini diadakan pertandingan bercerita bagi tahap 1.Bersama-sama dengan Pn Norlela dan Pn Tong Ah Lan, saya telah dipilih untuk menjadi pengadil bagi pertandingan tersebut.

Ternyata pertandingan begitu sengit.Masing-masing menunjukkan bakat yang tersendiri.Yang menariknya murid-murid darjah satu begitu ramai penyertaannya.Ada yang terlupa skrip dan ada yang hanya melafazkan assalamualaikum.Namun begitu, pujian diberikan kepada mereka kerana berani tampil ke hadapan untuk bersama-sama menyokong program yang dijalankan.

Sesuatu yang menarik ialah seorang murid darjah satu yang mengalami sintom autisme begitu berani menyertai pertandingan.Bercerita dalam bahasa Melayu walaupun berketurunan Cina.Yang menariknya, pelajar ini tidak pernah memandang wajah kita tetapi mampu membaca dan mendengar apa sahaja yang kita katakan.Kadang-kadang jawapannya tepat malah dalam peperiksaan setengah tahun berjaya mengatasi murid-murid normal.Mengajar pelajar tersebut dalam mata pelajaran moral memang memerlukan kesabaran.Tidak pernah mengambil pusing dengan apa yang diajar tetapi setiap latihan dijawab dengan betul.Itulah kelebihan pelajar tersebut.Pagi tadi menunjukkan bakat dan mendapat tepukan yang gemuruh kerana berkeupayaan menghafal cerita dengan lancar.


Pena kasih: Gembira melihat anak-anak didik berani tampil ke hadapan menunjukkan bakat masing-masing.


Tuesday, July 28, 2009

ERTI KASIH SAYANG

Setiap hari,pastinya saya akan sentiasa bersama emak.Jika tidak petang, malam sudah pasti saya bersama mereka.Alhamdulillah, rumah saya berhampiran dengan rumah emak, memudahkan saya memantau kesihatan emak dan ayah.

Setiap hari, saya akan bertanya dan melihat kesihatan mereka.Hati akan menjadi risau jika emak demam mahupun ayah.Dua minggu lepas, emak demam agak teruk.Tiga buah klinik dibawa, tetapi emak masih begitu.Justeru,saya meminta emak banyak minum air putih kerana itu lebih mujarab.

Namun, emak bertuah mempunyai cucu yang sentiasa diminta melihat kesihatan neneknya.Anak saya yang sulung akan mengambil tuala dan mengelap badan neneknya.Alhamdulillah,emak akhirnya sembuh.Emak saya memerlukan sokongan dan semangat kerana penyakit misteri yang dilalui beberapa tahun dulu,mungkin boleh berulang.Saya sering memberikan semangat kepadanya.Sentiasa berbual-bual dengan emak.Emak memang kuat beribadat.

Kadang-kadang saya berbual dengan emak dan ayah sehingga lewat malam.Mencecah jam 12.00 tengah malam.Suami saya mengizinkan saya dan dia faham akan kasih sayang saya kepada kedua orang tua.Begitu juga dengan emaknya yang dianggap seperti emak sendiri.Kadang-kadang saya belajar membaca doa-doa harian daripada ayah.Syukur ayah begitu rajin mendengar apa yang saya baca dan sekali-kali menegur kesalahan saya.

Pena kasih:Hati tidak tenteram apabila mendengar salah seorang daripada mereka jatuh sakit.

Sunday, July 26, 2009

KEMATIAN DAN PERKAHWINAN

Jam 10.00 pagi ke rumah Mak Ngah Ani kerana anaknya melangsungkan perkahwinan.Pagi diadakan majlis bacaan Yaasin dan selepas itu, bermulalah majlis perkahwinan.Lebih kurang jam 11.29 pagi, saya menerima telefon memaklumkan yang Atok Nyum meninggal dunia di Jementah.Justeru, perkhabaran sedih itu disampaikan kepada penduduk kampung di situ.Mereka terkejut.

Lebih kurang pukul 2.00 petang, bersama dengan Mak Itam,Mak Usu, Mak Cik,kami bertolak ke Jementah.Menziarahi Atok Nyum.Kematian disebabkan sakit perut dan tidak tahu apa punca yang sebenarnya.Hampir seminggu beliau berada di Hospital Pantai,Melaka dan meminta dibawa balik.Ternyata permintaan itu ditunaikan dan tidak sampai satu jam berada di rumah,atok meninggalkan kami semua.Ramai ahli keluarga yang hadir menziarahi beliau.


Pena kasih: Teringatkan latah tok Nyum ketika di rumah Tok Ya.

Saturday, July 25, 2009

2 SERENTAK


Tahniah diucapkan kepada Zatil Hidayah kerana telah melangsungkan pernikahan dengan Fadhil yang dikatakan telah mengenali antara satu sama lain setahun yang lalu.Jodoh dan pertemuan memang tidak disangkakan.

Pernikahan yang dijalankan di Masjid Kempas dihadiri lebih kurang 80 orang ternyata begitu meriah.Tangisan kesedihan dan sayu melihat Zatil yang kini telah memegang gelaran isteri.Ternyata zaman mudanya begitu singkat sekali kerana begitu cepat Zatil mengambil keputusan untuk berumah tangga.Namun jodoh itu ditangan Tuhan.Semoga Zatil dapat melayari alam rumah tangga dengan baik sekali di samping mendapat tunjuk ajar dari ibu dan bapanya.
Kami hanya mampu mendoakan agar Zatil bahagia disamping suami tercinta.

Malamnya, kami mengadakan sambutan Hari Jadi ibu Zatil,Kak Long yang mencapai usia 52 tahun.Tahniah sekali lagi untuk Kak Long yang menerima menantu sulungnya dan mendoakan agar Kak Long panjang umur dan dimurahkan rezeki.

Pena Kasih:Gembira melihat Kak Long tersenyum menerima menantu pertama.

KEPUTUSAN


Kekeliruan wujud jika terlalu banyak perkara yang timbul.Di satu pihak mengatakan itu dan di satu pihak lagi bercakap lain.Akhirnya kita berada dalam keadaan tersepit untuk membuat keputusan.Akhirnya,keputusan terpaksa dibuat agar ianya tidak bertambah kusut demi mewujudkan situasi yang tenang demi melihat orang lain berada dalam keadaan yang selamat.

Begitulah apa yang berlaku pada hari Jumaat.Lantas menelefon suami meminta bantuan agar hari Sabtu yang sepatutnya dipenuhi dengan agenda lain terpaksa dilupakan untuk melihat anak buah yang akan bertanding untuk negeri Johor.Syukur,suami menerima permintaan saya walaupun sepatutnya kami tidak berbuat demikian.Terlalu banyak yang kami lalui untuk bertemu dengan anak buah malangnya saya tidak dapat menemui mereka kerana kesibukan mereka dengan latihan.Kekecewaan untuk melihat anak buah kami pendamkan begitu sahaja apabila sampai ke destinasi.Lebih kurang 20 minit,saya dan suami bersantai di tempat tersebut dan kami tidak dapat menemui mereka.Yang pastinya saya menelefon bertanyakan anak buah dan ternyata mereka berada dalam keadaan yang selamat.


Pena kasih:Banyak berkorban demi orang lain.


Thursday, July 23, 2009

BENGKEL

PKG bandar telah dijadikan tempat pertemuan semua GPK Kurikulum untuk menambahkan ilmu dan mendapatkan input baru daripada Tn Hj Sazali bin Ahmad khususnya yang berkaitan dengan hal ehwal Kurikulum.

Pertemuan yang diisi dengan pelbagai input sedikit sebanyak membuka ruang kepada kami berkongsi ilmu dan seterusnya memperbaiki apa yang patut dalam merealisasikan hasrat sekolah dan daerah bagi menjadikan daerah Segamat terbaik dalam peperiksaan UPSR.

Seawalnya Tn Hj Sazali telah memberikan sedikit input kepada kami dan seterusnya kami telah diminta untuk membentangkan audit akademik ke 2.Kemudian , kami diberi peluang untuk bersama-sama berkongsi permasalahan khususnya dalam pembentangan audit akademik.
Ternyata banyak banyak yang perlu dipelajari dan dibaiki.

Pena kasih:Masih ingin mengikuti bengkel atau kursus yang berkaitan dengan bidang tugas .

Tuesday, July 21, 2009

BULAN MEMBACA


Pusat sumber sekolah yang dianugerahkan dengan seorang guru yang kreatif dan begitu berminat dalam pengurusannya telah menganjurkan bulan membaca pada bulan ini sehingga bulan Ogos.Pelbagai program yang dianjurkan oleh pusat sumber.Antaranya mendeklamasi sajak dalam bahasa tamil,cina dan juga melayu.Seterusnya diadakan juga program bercerita dalam bahasa tamil,cina dan Melayu.Nampaknya ramai murid begitu berminat untuk menyertai pertandingan tersebut tanpa mengira bangsa.

Yang menariknya ,kelas peluasan bahasa Cina yang dibuka kepada murid-murid Melayu dan India telah memberi ruang kepada mereka untuk menggunakan ilmu yang dipelajari bagi merealisasikan bahasa tersebut.

Pada hari Isnin, semasa perhimpunan pagi diadakan majlis pelancaran bulan membaca yang dirasmikan oleh guru besar.Meriah dengan diserikan nyanyian lagu bertemakan bulan membaca.Pelbagai program diadakan sempena bulan membaca dan hadiah disediakan untuk murid-murid yang menang.

Pena kasih:Teruja untuk melihat murid-murid Melayu mendeklamasi sajak Tamil dan Cina padap hari Rabu.

Sunday, July 19, 2009

AUNTIE KIAH


Alhamdulillah, hari ini saya dapat bertemu dengan auntie Kiah dan suaminya Uncle Kay.Bersama-sama dengan Hai-0.Sempat juga saya membawa auntie ke kampung saya melihat persekitaran kampung.Uncle Kay terperanjat buat kali pertamanya mendengar nama kampung yang begitu sinonim dengan nama rokok.Membawa untie kiah bertemu dengan pelanggan yang ingin menggunakan Bio-aura dan anaknya begitu teruja untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai kehebatan air tersebut.

Ternyata sebelum saya membawa auntie, kak Noriah begitu berminat untuk membeli barangan tersebut.Seterusnya,saya membawa auntie ke rumah salah seorang penduduk kampung yang turut sama untuk menggunakan barangan tersebut.Jam 3 petang,saya bersama Wan dan Kak Zana ke Medoi untuk memberi penerangan tentang penggunaan air tersebut.Ternyata mereka begitu berminat untuk menjadi ahli dan seterusnya membantu mereka menggunakan air yang bersih.

Syukur, sekurang-kurangnya mereka memahami akan kepentingan kesihatan.

Pena kasih: Hendak melihat kawan-kawan berjaya.Insya Allah.

Saturday, July 18, 2009

APC


Hari ini saya ke SMKA Segamat untuk satu majlis anugerah perkhidmatan cemerlang buat kali ke 2 .Sebelum ini,saya telah menerimanya pada tahun 2003.Syukur kepada Allah,kerana ianya bukan dipinta tetapi itulah yang dikatakan rezeki yang telah tersurat.Memang tidak disangka akan pengurniaan anugerah tersebut.

Penganugerahan yang diberikan kepada warga pendidik yang banyak berkorban untuk bangsa,agama dan negara.Semoga dengan penerimaan anugerah ini, memberikan lagi semangat kepada kita dalam memperjuangkan tugas dengan lebih baik,jujur dan amanah.

Majlis yang dirasmikan oleh Tuan Pengarah Pelajaran Johor,Tn Hj Sufa'at bin Tumin berakhir jam 11.00 pagi dengan penerima sebanyak 320 orang ini berjalan dalam suasana yang meriah walaupun ketika ekonomi merundum.Kepada rakan-rakan yang menerima anugerah ini diucapkan tahniah.Semoga perjuangan dalam bidang pendidikan akan berterusan.


Pena Kasih.:Sentiasa bersyukur dengan apa yang diperolehi.

Friday, July 17, 2009

TEMU JANJI

Jam 8.00 malam meninggalkan perkarangan rumah menuju ke Taman Yayasan.Bersama dengan suami,kami telah mengadakan temu janji dengan Diah untuk membawa CDM yang didatangkan khas dari Kuantan untuk menerangkan tentang produk Bio-aura (Hai-O).Turut sama ialah C.Wan dan Kak Zana.

Sekadar untuk mengetahui dengan lebih lanjut lagi tentang matlamat perjuangan kami dan seterusnya berkongsi pengalaman CDM mencapai kejayaan dalam Hai-O.Sekali lagi,kami diberikan motivasi agar terus berjuang dan jangan sekali-sekali putus asa.

Sepanjang saya melaburkan wang sejumlah RM20,800.00 ,saya rasa ianya satu kepuasan dan tidak sekali-kali merugikan kerana pulangan pendapatan agak lumayan.Ternyata Hai-O mengubah hidup saya dan sedikit sebanyak saya juga membantu mereka yang memerlukan air filter dalam penjagaan kesihatan.Dalam minggu hadapan,saya dan suami akan mengadakan pemasangan penapis air di kawasan kampung saya.Mereka nampaknya memang ingin memiliki penapis air dan tidak tahu untuk mendapatkannya.Lantas saya memperkenalkan penapis air Bio-aura.

.................Saya sebenarnya juga ingin melihat kawan-kawan berjaya dalam hidup disamping dapat membantu orang ramai terutama dalam penjagaan kesihatan.Ternyata menceburkan diri dalam Hai-O tidak perlu terlalu bersusah payah.Hanya perkenalkan dan seterusnya CDM akan menjelaskan .Yang penting sekiranya kita inginkan perubahan,rajin adalah kunci utama.


Pena kasih: Rezeki itu datangnya daripada Allah, tetapi kita perlu berusaha.Insya Allah.

Thursday, July 16, 2009

KEHILANGAN


Hafiz merengek-rengek sejak dua hari yang lepas.Ayahnya kini berada di KL menjalani kursus "post basic" yang perlu diambil bagi orang yang bekerja di hospital (MA).Lebih kurang 6 bulan, Aman akan menetap di KL.2 minggu di Hospital Sg Buloh dan selebihnya di HKL.Ternyata pemergian Aman ditangisi oleh Hafiz yang sememangnya begitu rapat dengan ayahnya sejak akhir-akhir ini.Seolah-olah tahu yang ayahnya akan meninggalkannya buat seketika.

"Kalau ayah tak ada,Hafiz nak tinggal dengan siapa?". Itulah pertanyaan saya setiap kali bertemu dengannya.
"HAfiz nak tinggal dengan Pak Uda." Jawapan itulah yang disuarakan setiap kali ditanya.

Ternyata kasih sayang itu sukar untuk dipisahkan.Tangisannya menjadi-jadi apabila dilihat ayahnya tidak bersama dengannya.Lantas saya menyanyikan lagu untuknya.Lirik lagu ayah dan ibu.Sekali lagi, tangisannya kuat.Rupa-rupanya dia tidak membenarkan saya menyebut perkataan ibu.Tak mahu ibu.Nak ayah aja................so, saya ubahkan lirik tersebut dengan menyebut ayah sahaja.Berhenti sekejap tangisannya.
Masing-masing ketawa melihat gelagatnya.Seusia 3 tahun tetapi terlalu cerdik.Kini,Hafiz menumpang kasih sayang dengan Pak Udanya dan kami terpaksa melayan kerenahnya.Terlalu manja dengan Pak Udanya dan jangan sekali-kali tidak nampak muka Pak Udanya,berulang kali pertanyaan ditanya.

Pena Kasih: Lepas pantang, suami yang sering menjaganya sewaktu ayah dan ibunya tinggal di rumah kami.On -call.

Wednesday, July 15, 2009

18

Angka 18 bermakna kepada saya.18 tahun meninggalkan maktab.18 tahun juga saya tidak pernah berjumpa dengan kawan serumah ketika di maktab.Namun,baru-baru ini setelah sekian lama saya mencari kawana-kawan seperjuangan sewaktu di sana,tiba-tiba nama yang tidak pernah asing dalam ingatan saya iaitu Gayah bte Isau terpapar di internet dan turut bersamanya ialah nombor hp.Sekian lama,saya mencari teman-teman,akhirnya dapat juga saya menemuinya.

Saya cuba mendail nombor tersebut dan tidak sangka empunya diri yang menyambut talian saya itu ialah G.Apabila saya memperkenalkan nama saya,alangkah terperanjatnya dia.Itulah kuasa Allah,setiap masa saya sentiasa memohon doa agar suatu hari saya akan bertemu dengan rakan-rakan saya.Alhamdulillah,akhirnya impian untuk bersua terlaksana.

Baru-baru ini,saya ke Kuala Lumpur.Saya memaklum niat saya untuk bertemu dengannya.Terima kasih G kerana sanggup mengambil saya di Damansara Damai dan seterusnya membawa saya ke rumahnya yang terletak di Saujana Utama.Kecekapan G memandu dalam situasi yang sesak dengan kereta-kereta amat memeranjatkan saya.Dia mengatakan itulah cara pemanduannya.Kami bercerita dan mengingatkan zaman silam sewaktu di maktab amat menceriakan pertemuan kami.G masih seperti dahulu yang sentiasa ketawa.Saya juga dibawa ke sekolahnya yang berhampiran dengan rumahnya.Besar sekali sekolahnya.

Kepada G,semoga pertemuan ini tidak akan berhenti setakat itu sahaja.Kami juga berjanji akan bertemu lagi di masa akan datang sekiranya saya berkunjung ke KL.Terima kasih G,kerana menyediakan makanan yang amat enak dan sedap.

Pena kasih;Ingin mencari Kak Gee yang menjadi teman sewaktu susah dan senang di maktab.

Monday, July 13, 2009

POKOK KELAPA


Anak murid begitu seronok dengan pembelajaran pada hari ini.Apatah lagi tajuknya berkaitan dengan soal makanan.Mereka begitu semangat untuk mendengar mengenai dengan pokok pisang dan kegunaannya kepada manusia.

Dilakarkan gambar pokok pisang dan meminta salah seorang menceritakan apa yang mereka tahu tentang pokok pisang.Murid tersebut bercerita berdasarkan pengetahuan sedia ada.Mulalah murid tersebut menceritakan tentang kegunaan daun pisang, batang pisang,buah pisang dan lain-lain lagi.Kemudian saya meminta mereka menyebut jenis-jenis pisang yang diketahui.Masing-masing mengangkat tangan untuk menjawab soalan tersebut.

Kemudian,saya memberikan mereka satu tugasan iaitu mencari maklumat melalui internet atau bahan pembacaan yang berkaitan dengan pokok kelapa yang dikenali sebagai pokok serbaguna.Saya hendak murid-murid mencari maklumat sendiri dan esok saya akan meminta mereka membentangkan hasil dapatan masing-masing.Saya hendak pastikan murid-murid saya tidak selalu disuapkan sahaja tetapi sama-sama mencari maklumat tersebut.Walaupun baru darjah 3,tetapi kadang-kadang mereka mampu melakukan semua itu.Saya bentukkan kumpulan dan mereka mencari maklumat sendiri.Selepas itu, barulah saya akan menambahkan maklumat yang berkurangan.Baru-baru ini,saya meminta mereka mencari maksud simpulan bahasa.Di sudut kelas disediakan buku-buku BM sebagai bahan rujukan.Sebenarnya mereka ini berebut-rebut untuk tampil kehadapan seolah-olah menjadi guru kepada rakan-rakan.Melatih murid-murid berani dan pandai mendapatkan maklumat.Ternyata apa yang saya lakukan ini, mendapat respon yang baik daripada mereka.Mudah-mudahan dengan cara ini, mereka akan cepat memahami dan dapat menjawab soalan-soalan ujian dengan baik.Insya Allah.


Pena kasih: Gembira kerana murid-murid lulus dengan baik dalam ujian-ujian yang dijalankan.

Sunday, July 12, 2009

TIDAK HADIR


Sabtu kedua merupakan hari bekerja bagi pekerja swasta.Pagi-pagi lagi,boss sudah berjumpa dan memaklumkan kepada saya yang seramai tiga orang pekerja tidak hadir atas sebab-sebab tertentu.

Saya agak bosan kerana tiada masalah lain dan kebanyakannya adalah berkaitan dengan pekerja swasta.Sudah banyak kali diadakan pertemuan dan perjumpaan tetapi mereka masih bersikap seperti itu.Lantas saya nyatakan,berbincang dengan penyelianya.Panggil penyelia dan selesaikan bersama.Sudah dibagi peluang bekerja tapi masih bersikap tidak mematuhi arahan.
Hari ini,boss memang agak serius.Mungkin geram dengan tindakan pekerja swasta.Saya memang tidak suka dengan kerenah yang agak merimaskan ini.Sudah diingat berulangkali akan tugas masing-masing.Sudah diadakan pertemuan berulangkali antara saya dengan pekerja,tapi sebenarnya adalah kerana sikap kita .Lebih banyak rehat daripada membuat kerja dan sepatutnya mereka bersyukur bekerja di sekolah ini, yang tidak besar dan mempunyai bilangan murid yang tidak ramai.........................kita renunglah bersama-sama dengan hasil dapatan kita.

Itulah realitinya kita bekerja di bawah bangsa asing.Mereka tetap dengan prinsip dan budaya kerja mereka.Justeru,saya sering ingat mengingatkan mereka dengan tanggungjawab dan kerja masing-masing kerana ia melibatkan periuk nasi kita.Bukan tidak selalu diingatkan dan pujian diberikan tapi sudah sikap seperti itu.........................tidak dapat untuk dibantu.

Pena kasih:Boss adakalanya balik jam 7.00 malam dan pernah melihat waktu balik saya apabila beliau bercuti(ketika memangku GB)

DUSUN


Jam 9.00 pagi,setelah bersarapan ,kami ke Batu Anam menemani suami untuk menggantikan paip air emak yang telah rosak dan membaiki pintu dapur.Kemudian ,emak meminta saya menemani ke gerai yang menjual sayur-sayuran kampung.

Setelah membeli,saya dipanggil oleh Azrin yang sedang menjual buah-buahan di tepi jalan di Batu Anam.Nampaknya perniagaannya berkembang maju dan syukur kerana ketabahan Azrin mencari rezeki untuk menampung keperluan keluarganya.Mengenali Azrin ketika beliau menuntut di STS.Ingin menjadikan saya sebagai kakak angkatnya.Kami memang jarang bertemu sehinggalah saya buat kali pertama bertemunya di Maran Pahang ketika saya bekerja di sana.Rupa-rupanya Azrin berkahwin dengan orang Jengka 5.Selepas itu,kami terputus hubungan sehinggalah suatu hari saya berhenti untuk membeli buah tembikai di Batu Anam.Ketika itulah semuanya terungkai dan tidak sangka beliau kini telah berada di tempatnya sendiri.

Balik sahaja daripada membeli keperluan untuk memasak,saya terus sahaja turun ke dapur dan memasak dan suami sibuk dengan kerjanya.Selepas zohor, kami mengambil keputusan untuk menziarahi datuk dan nenek di Spang Loi.Kemudian Mak Uteh mempelawa kami ke Paya Terap untuk mengambil buah manggis.......................Pokok yang agak rendang dan kalau tidak salah lebih daripada 7 batang pokok manggis berbuah.Apa lagi, kami pun terus memetik buah manggis yang agak rendang pokoknya.Haziq buat kali pertamanya memanjat dengan penuh semangat dan saya hanya menunggu di bawah pokok sambil menyambut buah manggis yang dibaling dari atas.Mulut Haziq begitu bising sekali kerana berpeluang memanjat pokok manggis sehinggakan tidak sedar dia sudah memanjat terlalu tinggi.Saya terjerit-jerit memintanya turun ke bawah.Risau juga kerana inilah kali pertama dia memanjat pokok.Akhirnya kami dapat mengutip sebanyak dua buah baldi.

Pena Kasih:Haziq teruja untuk ke Paya Terap memanjat manggis lagi.

Friday, July 10, 2009

BUKU AGAMA

Selepas memakai baju sekolah dan seusai solat Subuh Haziq duduk di atas katilnya sambil membelek-belek buku.

"Buku apa tu, dik?'
"Buku cerita yang kita pinjam dari perpustakaan."

Lalu saya tengok tajuk cerita buku tersebut.Buku cerita Agama.Memang anak lelaki saya suka meminjam buku-buku berunsur agama.Setiap kali ke perpustakaan buku itulah yang dicarinya.Koleksi buku agama disimpannya setelah dibaca.Kisah-kisah Nabi menjadi pilihannya.

Setiap kali solat maghrib mesti hendak berjemaah dengan ayahnya.Kalau ayahnya tidak memanggilnya dan bersolat sendirian,mulalah naik angin dan terpaksa dipujuk.Kadang-kadang ayahnya terpaksa menunggu Haziq yang mengambil masa ketika mengambiil wuduk.

Sejak dari sekolah rendah, saya selalu diingatkan meminjamkan buku-buku cerita agama untuk dibaca selepas membuat kerja sekolah.

Pena kasih: Sering mengingatkan anak-anak supaya bersolat.

SENYAP

Teringat kisah silam.Ketika deringan telefon berbunyi diangkat.Senyap.Siapakah gerangan yang menelefon berulang kali dan apabila diangkat terus senyap? Terus tertanya-tanya dan penuh misteri.

Keesokkan deringan berbunyi lagi.Kiniku biarkan ianya berbunyi.Gangguan telefon menyenakkan fikiranku.Masih tidak berminat untuk mengangkat.Telefon penuh misteri dan membingitkan telinga ini.

............panggilan berulangkali dan apabila diangkat terus senyap.Agaknya orang bisu yang cuba nak tackle tapi tak berani secara berhadapan.Itulah yang bermain di fikiran ini.Begitu bosan mendengar deringan berbunyi.

Hampir seminggu ku biarkan telefon misteri itu berdering.Sehinggalah segalanya terlerai apabila aku menerima sepucuk surat dari X.X telah mengaku kepadaku yang dia sebenarnya membuat panggilan tetapi tidak berani untuk bercakap kerana takut persahabatan tidak dibalas.........ketawa kecil aku apabila membacanya.Dari situlah,aku mengenali X yang sebenarnya dan kini dia adalah segalanya.


Pena kasih: Berebutkan telefon awam di era tahun 80an.

KEMATIAN

Menerima berita kematian semasa pulang dari sekolah jam 2.10 minit agak memeranjatkan.Tiada sebarang berita mengatakan Mak Mah sakit.Setahu saya yang sakit adalah suaminya.Tapi ketentuan Allah tiada dijangka.Bila-bila masa sahaja kita dijemput tanpa diketahui.Cuma diketahui sejak akhir-akhir ini Mak Mah tiada selera makan.Kematian yang mengejutkan ini seperti tidak dijangkakan oleh suaminya yang kehilangan si isteri buat selama-lamanya.Mereka hanya tinggal berdua dan anak-anak berjauhan kerana bekerja.

Mak Mah meninggal di hospital Segamat setelah beberapa jam sahaja dibawa ke sana.Saya sempat menziarahi jenazah yang dikebumikan di Kg Berata selepas Asar petang tadi.Kematian yang mengejutkan ini,menyebabkan orang-orang kampung tidak ramai yang mengetahui.
Semoga rohnya dicucuri rahmat.Amin.


Pena kasih: Kematian yang tidak diduga ini sedikit sebanyak memberi keinsafan kepada kita.Alfatihah untuk mereka yang telah menemui Ilahi.

Thursday, July 9, 2009

HADIAH

Pertama kali menerima hadiah berbentuk sebuah buku apabila saya berkawan dengan suami.Teringat semasa suami menuntut di UKM dalam bidang komunikasi dan ketika itu saya menuntut di tingkatan 6.

Setiap bulan, suami(Kawan ketika itu) akan mengirimkan buku untuk saya.Masih tersimpan buku-buku yang diberi sehingga kini..............kalau orang lain,menerima hadiah berbentuk jam tangan,bunga tetapi saya hanyalah hadiah berbentuk buku.Namun sering mengucapkan terima kasih di atas pemberian yang diberikan.

Pernah diminta untuk membuat artikel yang ketika itu suami menjalani latihan di pejabat utusan malaysia.Namun sahutan itu tidak terbalas kerana saya tidak mempunyai asas untuk menulis.

Kerana buku jugalah banyak maklumat yang diperolehi dan saya bersyukur kerana saya adalah salah seorang daripada tiga orang pelajar yang mendapat A dalam peperiksaan Kertas Am dan kepada cikgu Zainaldin terima kasih diatas tunjuk ajar kepada saya terutama subjek kertas Am ketika itu.

Pena kasih:Banyak terima hadiah buku dan majalah ilmiah semasa berkawan.

Wednesday, July 8, 2009

STROK

Strok merupakan kematian ketiga terbesar selepas serangan jantung dan kanser.Di Malaysia sahaja dianggar lebih daripada 400,ooo orang penduduk mengalami strok setiap tahun.Kegagalan otak berfungsi disebabkan gangguan bekalan oksigen menyebabkan berlakunya strok.Strok juga menyebabkan seseorang itu akan lumpuh,keupayaan bertutur tidak sebaik sebelum berlakunnya strok.Setiap pergerakan dan tutur kata juga boleh berubah hanya kerana strok.

Tekanan, pemakanan dan kekurangan rehat boleh menyebabkan berlakunya strok.Hari ini ,setelah mendapat keizinan daripada suami untuk melawat salah seorang penduduk kampung yang dikatakan terjatuh di bilik air dan seterusnya menyebabkan strok.Bersama-sama dengan emak dan ayah,saya ke hospital menziarahi tok nek Zubaidah Arshad.Mulut dan tangan kirinya berubah.Namun begitu,beliau masih juga ingin berbicara.Masih cuba menggagahi diri untuk duduk tapi tidak lama kerana terlalu lemah.Kasihan tok nek.


Pena kasih: Kagum kerana di tangan sentiasa ada tasbih dan tidak berhenti-henti menyebut nama Allah.

Tuesday, July 7, 2009

BANTUAN

Ke rumah Diah untuk mendapatkan maklumat mengenai assignment yang ingin diminta bantuan.Mendapatkan keterangan sebenarnya apa yang perlu dibuat.Minggu sudah Diah menelefon dan menghantar mesej meminta suami menolongnya menterjemahkan jurnal dari bahasa Inggeris ke Bahasa Melayu mengenai dengan masalah penglihatan.

Mencari maklumat melalui internet tentang sesuatu bahan sering dilakukan oleh suami.Menolong orang juga memang sering dilakukan oleh suami.Alhamdulillah,setiap pertolongan yang diminta tidak sekali-kali suami kecewakan.Dilakukan dengan sebaik mungkin.Tiada apa balasan yang diminta cuma doakan kesejahteraan kami sekeluarga.Sihat tubuh badan sudah cukup bagi kami.Pernah mereka menghulurkan sampul surat yang tidak diketahui apa isinya.Apabila dibuka sejumah wang yang kami terima dan kami memulangkan semula kepada mereka.Tiada niat untuk kami mendapatkan sesuatu hadiah tapi cukup doakan kesejahteraan kami.Itu sahaja.


Cuma suami saya bukanlah seorang yang begitu peramah.Tetapi alhamdulillah, apabila mereka mengenali suami,mereka akan tahu.Banyak bantuan yang diberikan kepada rakan-rakan malah adakalanya sama-sama memberikan pandangan.

Teringatkan semasa di SMSJ Pahang,pelbagai perkara yang dilakukan oleh suami demi sebuah sekolah yang baru dibuka.Tiada meminta sebarang balasan dan semuanya adalah rezeki.Hanya Allah sahaja tahu apa yang kita buat.Tidak pernah menghebahkan apa yang dibuat tapi alhamdulillah sekolah tersebut telah terpilih bagi kategori pusat sumber terbaik di Pahang.Kerana minat pada bidang pusat sumber,banyak wang sendiri dihabiskan untuk mencantik dan mengindahkan pusat sumber sekolah tersebut.Rezeki itu ada.Suami gunakan wang yang diperolehi sebagai pensyarah sambilan di UITM Jengka untuk membeli peralatan sound system di pusat sumber.Saya sendiri teruja melihat pusat sumber di sekolah tersebut dan mendapat anak-anak yang baik dan sayangkan sekolah tersebut.

Malah ketika berkhidmat di Felda Pemanis,suami sendiri yang meminta agar menjadi penyelaras pusat sumber sekolah.Alhamdulillah permintaan suami ditunai.Sekali lagi sekolah tersebut berjaya menjadi johan bagi kategori sekolah luar bandar dan buat pertama kalinya pelajar sekolah tersebut berjaya dalam perbahasan bahasa Inggeris.Kadang-kadang cuba juga mendapatkan tips bagaimana beliau berjaya menghasilkan pelajar yang 100% lulus BI semasa di SMSJ.Murid-murid yang lemah dibelikan buku dan setiap petang sekumpulan murid datang ke rumah untuk belajar BI.Cuma dilihat tiada ruang murid tersebut berinteraksi dalam bahasa Melayu dan alhamdulillah kebanyakan mereka nampak kemajuan bila bercakap dalam BI.

Tapi biasalah manusia,lagi banyak kita mencapai sesuatu kejayaan,lagi banyak yang tidak menggemari kita.Banyak menyabarkan suami.Biarlah orang nak kata,hanya Allah tempat kita mengadu.Tiada sesiapa yang akan menolong kita hanya kepadaNya tempat kita mencurah.Rezeki itu ada untuk kita.Yang penting kita mesti ingat hasil titik peluh kita adalah kerana adanya anak didik kita.Jangan sekali-kali kita tinggalkan anak didik kita.Kami saling ingat mengingati di antara satu sama lain.HP teman kami.Ada kelas atau tuang kelas...........
Kadang-kadang suami pesan you jangan call waktu ini sebab dia ada kelas.Selalu ingatkan suami,jangan sekali-kali tinggalkan kelas walaupun anak murid tidak ramai.Yang penting jalankan tugas.Ingat hasil titik peluh untuk isteri dan anak-anak.Suami juga selalu mengingatkan saya.Terima kasih,atas ingatan setiap pagi ketika perjalanan ke sekolah.

Pena Kasih:Selalu berinteraksi BI dengan hubby tetapi sering diketawa dan dibetulkan tapi sejak mengajar Science banyak juga improvementnya kerana hubby merupakan kamus saya.

Monday, July 6, 2009

CADAR


Menjahit merupakan pengisian masa lapang dan memenuhi waktu terluang.Tidak minat menjahit baju kurung tetapi lebih kepada menjahit langsir dan cadar.Nampak sahaja kedai kain akan masuk dan meninjau kain-kain yang sesuai untuk dibuat cadar.

Baru-baru ini ke Angsana Johor Bahru.Ternampak kain yang sesuai untuk dibuat cadar lantas dibeli.Kain hampir dibeli seminggu tapi belum terusik lagi untuk membuatnya.Kadang-kadang mengikut "mood" juga.Suami asyik perli sahaja, bilalah mamamu ni nak mulakan jahitannya.Antara dengar dan tidak dengar sahaja apa yang suami katakan.

Kadang-kadang saya suka menjahit pada waktu malam.Ketika suami dan anak-anak tidur, saya gunakan masa tersebut untuk menjahit.Menjahit tidak memerlukan masa yang lama.Cuma memerlukan ketekunan sahaja.Suami terperanjat apabila cadar yang diperlikan itu sudah siap.
Anak lelaki teruja untuk menggantikan cadar lamanya dengan cadar yang baru dibeli.Cadar untuk kakaknya sudah dibeli siap.

Pena kasih:Suka melihat buku koleksi jahitan setiap kali ke kedai buku.

SYUKUR

Malam terima message dari Ikin .......Tahniah.Tarikh perlantikan ke DG 41.19.6.2009.Syukur alhamdulillah.Memang setiap hari tengok laman web spp dan tengok juga tarikh perlantikan tetapi disebabkan tiada lagi surat so, diamkan sahaja.Kalau ianya menjadi kenyataan,bersyukur sangat-sangat.

Impian dan kenyataan telah menjadi nyata.Harapan untuk menggengam segulung ijazah sudah tercapai walaupun ketika itu usia sudah menjangkau.Tetapi dengan dorongan dan semangat untuk meningkatkan ilmu diharungi juga pelbagai onak dan duri.Kepadamu, ayang, ma sekali lagi mengucapkan terima kasih diatas dorongan yang diberikan.Ternyata hasrat ayang untuk melihat mama mendapatkan ijazah akhirnya tercapai walaupun sebenarnya diperingkat awal, mama tidak tahu yang ayang mengisikan borang untuk mama.

Terima kasih juga kerana sering menemani isterimu belajar dan mengejutkan mama untuk belajar apabila menjelang peperiksaan.

Pena kasih:Suami meminta untuk terus belajar mengambil master dalam bidang kaunseling dan hanya menunggu lampu hijau daripada saya untuk mengisi borang...................rasanya belum mampu lagi buat masa ini.

Sunday, July 5, 2009

JUBAH

Penampilan diri seseorang itu amat penting.Penampilan baik dari segi berpakaian,berinteraksi mencerminkan diri individu itu.Semua orang ingin dilihat cantik,menawan dan menarik.Namun begitu, kita perlu menjaga batasan berpakaian, bersolek agar tidak menimbulkan sebarang fitnah.

Begitu juga dengan diri saya.Kadang-kadang kita selesa berkurung, berjubah dan memakai blaus bersama seluar panjang.Begitu juga semasa kita bertugas,kadang-kadang pakaian kita menarik minat murid-murid untuk belajar.Terlihat di wajah mereka, apabila kita berlainan pada hari itu.Mata tidak berkelip-kelip apabila melihat pakaian cikgunya berkelip-kelip.Teringat semasa di maktab, seorang pensyarah itu mengingatkan kami pelatih perempuan agar menjaga penampilan apabila keluar nanti.Guru bukannya mempunyai wajah yang cantik dan tidak seperti orang yang bekerja di pejabat.Jadi, kamu semua hendaklah sentiasa menjaga penampilan, menjaga pakaian agar sentiasa nampak cantik dan menarik.

"Cikgu.Cikgu pakai jubah ke?" pertanyaan seorang murid.
"Kenapa?"
"Cikgu,nampak cantik hari ini."
"Terima kasih."
"Pakaian cikgu seperti jubah ke?"
"Ya, cara cikgu berpakaian seperti cikgu sekolah saya.Baju labuh tapi pakai kain."
"Hari ini,cikgu saja nak ubah penampilan.Selalu awak nampak cikgu pakai blouse dan berseluar panjang."
"Tapi,cikgu nampak cantik jika berpakaian seperti ini."
"Nampaknya, cikgu kena beli jubah banyak-banyak."
"O.klah,kita lupa tentang jubah.Tumpukan pada apa yang cikgu ajar."
"Suatu hari,nanti jika awak belajar pandai, bekerja awak boleh pakai apa sahaja tapi mesti tutup aurat."
"Baiklah, cikgu."
Itu adalah beberapa perbualan antara anak murid semasa ke kelas tuisyen.Perbualan murid perempuan.Kadang-kadang melihat gelagat mereka menggelikan hati.Setiap kali kalau berlainan sahaja mesti ditegurnya.Ada sekali saya tidak bersolek dan pakai simple sahaja, pun ditegur.Malah kedengaran mereka berbual,mungkin cikgu hari ini terlalu penat sehingga nampak simple aja.

Sesuatu yang menjolok mata dan bagus itu belum tentunya baik,tetapi apa yang baik itu selalunya cantik.(Nicholas Chamfort)

Pena kasih:Sejak dari anak dara, memang suka melawa.Sering ditegur suami.

Saturday, July 4, 2009

URUT


Badan terasa sakit-sakit terutama di bahagian belakang.Berulang kali menyuarakan hasrat untuk berurut.Terasa sengal-sengal sehingga kurang selesa.Akhirnya mengambil keputusan pergi berurut di Batu Anam dengan Kak Yah.

Lebih kurang 2 jam operasi berurut dilakukan .Terasa ada perubahan dan badan menjadi ringan.Kak Yah menyatakan urat-urat dimasuki angin.Sebab itu,kita berasa kurang selesa dan mungkin duduk terlalu lama sehingga urat-urat menjadi keras.Sebenarnya,saya jarang menggunakan perkhidmatan mengurut.Urutan dilakukan semasa di dalam pantang sahaja.Tetapi sejak akhir-akhir ini, terasa badan memerlukan belaian juga.Mungkin faktor usia atau saya yang sememangnya tidak pernah untuk duduk diam.Ada sahaja yang hendak dibuat.Sehinggakan diteguri suami.

Waktu cuti Sabtu dan Ahad,saya gunakan untuk membersihkan kebun.Menebang pokok-pokok kecil dan adakalanya membantu suami menebas rumput.Selepas pukul 11.00 akan naik ke rumah untuk memasak.Waktu petang,ada sahaja yang perlu dikemaskan.Rutin saya setiap hujung minggu.Jika hari sekolah,kebanyakan masa dihabiskan untuk membuat kerja-kerja sekolah.Mungkin duduk terlalu lama merupakan salah satu faktor yang menyebabkan badan kita kurang selesa dan perlu dibelai.

Pena Kasih:Kadang-kadang suami dan anak menjadi mangsa untuk mengurut badan.




Friday, July 3, 2009

KAMUS



Pembelajaran menggunakan kamus merupakan salah satu daripada program atau aktiviti Panitia Bahasa Melayu.Pihak sekolah dengan inisiatif Pusat Sumber Sekolah telah menyediakan lebih daripada 10 buah kamus dewan untuk kegunaan pelajar.

Sebagai guru, kami telah mempelbagaikan proses pengajaran agar ianya tidak membosankan.Membimbing pelajar mencari makna perkataan dengan menjadikan kamus sebagai rujukan atau teman mereka.Hari ini, murid-murid Tahun Tiga begitu seronok mencari makna perkataan dengan menggunakan kamus.Sebelum itu, saya telah menerangkan kepada murid-murid cara mencari makna dengan mudah.Teruja betul mereka dan kemudian saya meminta murid yang telah mendapat maksud tampil ke hadapan dan membaca hasil dapatan mereka......................berebut-rebut mereka hendak membaca hasil dapatan.Pujian telah diberikan kepada murid-murid berkenaan.

Murid-murid yang agak lambat diberikan bimbingan oleh rakan sebaya.Akhirnya mereka mampu mencari makna seperti yang diarahkan.Sering menasihatkan agar menjadikan kamus sebagai teman atau sahabat mereka .

Pena Kasih:Suami suka membeli kamus dan anak lelaki sering menjadikan kamus sebagai rujukan mencari makna.Bila tiba Bahasa Inggeris,ayah merupakan kamus mereka.

CURAH


Boss mengambil kesempatan pada hari ini mencurahkan segala yang terbuku di hatinya.Sebenarnya sejak awal lagi,boss cuba untuk mencari ruang bersama dengan saya.Cuma kerana kesibukan dengan "core-business" saya, so saya cuba untuk mengelakkan diri dari terus didampingi.Tugas utama perlu dibereskan.Perkara-perkara yang dianggap remeh diketepikan sebentar.Tuntutan pada kerja yang telah diamanah perlu dijalankan dengan sebaik mungkin.

Pergerakan kita perlu pantas.Tidak perlu untuk bertangguh lagi dengan perkara-perkara yang dianggap boleh dileraikan selepas waktu bekerja.Masa kerja tumpukan pada kerja.Prinsip saya.Sebolehnya masa free saya, saya isikan dengan kerja-kerja pentadbiran yang dikehendaki oleh pihak atasan.Masa untuk mencari maklumat untuk disampaikan kepada anak didik.Begitu bermakna kepada saya apabila disebut soal masa.Tiada ruang untuk saya rileks.Sebaliknya saya gunakan masa tersebut untuk menyiapkan tugasan.

Hari ini, seperti biasa habis waktu sekolah jam 11.50 pagi tapi saya berada di sekolah sehingga jam 2.00 petang.Dalam keadaan badan yang kurang selesa kerana urat-urat badan terasa senggal.Menyuarakan kepada suami untuk berurut tetapi kekangan masa menyebabkan saya lupakan sebentar untuk berurut.

Saya duduk di bilik dan kehadiran boss mencurahkan apa yang terbuku dihatinya didengar dengan teliti.Sekali-kali menyampuk dan menyuarakan pandangan.Cuma saya berharap agar boss bertegas dengan peraturan.Jangan bersikap tidak adil.Memandangkan boss saya berbangsa lain sudah tentulah kadang-kadang pandangan kita tidak diambil pusing.Justeru, saya lebih banyak mendiamkan diri sahaja.Sekali-kali apabila saya berhadapan dengan mereka, saya juga sering mengingatkan mereka tentang amanah dalam menjalankan tugas.Itupun kalau mereka hendak mendengar.

.................sekali-kali boss ketawa dengan cerita-cerita yang disampaikan.Bukan apa,dikatakan untuk mengelak sakit jantung.Memendam apa yang terbuku.Tersenyum saya mendengarnya.
Kadang-kadang memang kita memerlukan seseorang untuk mencurahkan apa yang terbuku di hati.Biarlah boss mencurahkan apa yang ingin diperkatakan.Sambil jari jemari saya pantas mengetuk setiap huruf di komputer riba, saya menjadi pendengar setia.Boss memang faham cara saya.Kadang-kadang dia meminta maaf kerana sering mengganggu saya.


Saya senang mendengar orang yang bercakap tentang dirinya sendiri, kerana saya hanya mendengar perkara-perkara yang baik sahaja.(Winston Churchill)

Pena kasih: Tetap menjadi pendengar setia walaupun ada kalanya kita perlukan "privacy".

EMOSI


Peranan emosi dalam diri kita amat bermakna.Dari riak wajah tergambar emosi seseorang ketika itu.Berada dalam situasi yang marah,tekanan,ceria dan duka.
Apabila seseorang berada dalam situasi marah,kita perlu fikir apa yang perlu kita buat.Adakah kita perlu berdamping dengannya atau membiarkan dia bermain dengan emosinya.Begitulah sebaliknya.

Apabila kita berada di tempat kerja,kita boleh lihat para pekerja kita.Melihat wajah-wajah mereka sudah cukup memahami akan emosinya ketika itu.Tergambar di riak wajah mereka.Kalau berdiam diri sahaja sudah tentu ada sesuatu yang sedang berlaku.Kalau ceria sudah tentu suasana di tempat kerja agar meriah.......................so kita perlulah memahami akan emosi seseorang itu.

Emosi juga boleh menyebabkan kita tidak sedar dengan apa yang kita lafazkan dan lontarkan kepada seseorang.Kalau kita terlalu mengikut emosi dalam melontarkan kata-kata,sudah tentu meninggalkan kesan yang positif dan negatif dalam diri individu itu.Justeru itu, kita perlulah mengawal emosi kita .Memang tidak dinafikan, dalam kehidupan seharian kita akan berdepan dengan emosi yang tidak stabil.Adakalanya kita ceria, adakalanya kita marah.Semuanya tergambar di wajah kita.

Suami selalu mengingatkan saya agar mengawal emosi apabila berhadapan dengan pelanggan.Jangan jadikan sesuatu perkara itu menjadi tegang apatah apabila mengendalikan sesuatu perkara................saya akur walaupun kadang-kadang kita tidak dapat menahannya.
Sebagai salah seorang pentadbir dalam sesebuah organisasi, suami selalu mengingatkan saya dalam menjalankan tugas.Kawallah emosi....................apabila berbicara.Hormatlah orang yang lebih tua.Apabila meminta pertolongan,mintalah dengan cara yang baik.Apabila berbicara, gunakanlah kata-kata yang sopan.

Emak dan ayah juga selalu mengingatkan saya agar jangan terlalu menngikut perasaan apabila menjalankan tugas sebaliknya gunakan pendekatan yang baik agar kita boleh dijadikan sebagai teman untuk berbincang.Dengar setiap apa yang pelanggan kita bicara.Jangan terlalu mengambil keputusan yang mudah.

"Janganlah engkau melayani rasa marah dan apabila timbul rasa marah,duduklah engkau dan fikirkanlah kekuasaan dan kebesaran Allah Taala ke atas hambaNya.Pertahankanlah diri engkau daripada dikuasai oleh kemarahan dan kembalikan engkau kepada kesabaran".(Nabi Muhammad s.a.w)

Pena Kasih: Apabila muka merah dan diam ,suami tahu yang saya berada dalam keadaan marah.So, dia cuba mendengar masalah dan kami berbincang.


Thursday, July 2, 2009

DOA


Setiap detik dan saat,tidak lupa untuk mendoakan kejayaan anak-anak.Linangan air mata setiap kali berdoa agar anak-anak mama akan terus bersemangat dalam meniti kehidupan sebagai seorang pelajar.Bersemangat dan terus maju kehadapan.Tiada apa yang menggembirakan hati mama dan ayah apabila melihat kejayaan anak-anak mama.

Tidak putus-putus,mama mendoakan agar anak-anak mama menjadi anak yang taat kepada perintah Allah,anak yang menghormati orang tua,anak yang mendengar kata-kata dan nasihat ibu bapa,anak yang patuh akan suruhan ibu bapa.Setiap kali mama berdoa, setiap kali itulah air mata ini mengalir tanpa diminta.

Keindahan ayat-ayat suci Al- Quran yang menjadi teman mama setiap malam itulah yang sering mama titipkan dibibir ini.Kesunyian di waktu malam, bertambah syahdulah hati mama.

Pena kasih; Sering mendoakan agar sihat tubuh badan supaya dapat melakukan amal ibadah.

TAHNIAH


Tidak terlewat kiranya saya mengucapkan tahniah kepada sahabat (Fatimah Amat Sajuri) yang telah melanjutkan pelajaran di USM secara jarak jauh.Sahabat yang dikenali sejak dari tingkatan 4 hingga tingkatan 6.

Memang kami lama tidak bertemu.Masing-masing membawa haluan sendiri setelah berumahtangga sehinggalah kami dipertemukan ketika majlis perkahwinan adik suami dan semasa sambutan hari raya.

Berita kemasukan sahabat diketahui ketika saya melayari laman web USM dan tertera nama Fatimah.Sekalung tahniah.Seronok belajar di USM.Tiada tekanan yang amat sangat.Kuliah secara intensif hanya di hujung tahun.Pembelajaran secara maya amat mudah dan rasanya kita belajar secara santai.Namun begitu,ulangkaji mestilah dimulakan dari awal lagi agar kita tidak tersepit antara tugas dan tanggungjawab sebagai isteri,ibu,pendidik dan pelajar.


Pena kasih:Suka melihat kawan-kawan melanjutkan pelajaran.

KESABARAN

Kesabaran teruji lagi.Kadang-kadang kita tidak sedar apakah matlamat kita bekerja.Hanya untuk menjalankan tanggungjawab atau sebaliknya.Di depan kita, bertungkus lumus membuat kerja.Di belakang kita,hanya Allah sahaja yang tahu.

Masa bekerja perlu ingat.Kejujuran itu penting.Keikhlasan menjalankan tugas amat diutamakan.Kalau waktu bekerja dipendekkan dan wang gaji diterima penuh,kita fikirlah apakah kita berada pada kebenaran.Justeru, apabila kita berbicara, kita renungkan diri kita.Apakah kita sudah menjadi seorang yang sempurna.

Justeru,semua ini mengingatkan diri saya.Waktu kedatangan bekerja ditulis mengikut masa kita hadir dan jangan hanya menulis mengikut masa yang ditetapkan.Kadang-kadang saya tersenyum melihat perangai orang seperti ini.Saya bukanlah orang yang sempurna tetapi yang penting kejujuran dalam menjalankan tugas.Waktu balik dan rehat perlulah mengikut masa yang ditetapkan.Saya begitu gembira kalau mereka mengikut peraturan yang telah ditetapkan.Biasalah manusia memang tidak sempurna tapi kita boleh berubah dan merenungi kelemahan diri kita.

Lantaran itu, apabila kita telah diamanahkan untuk melaksanakan tugas dengan betul,laksanakanlah sebaik mungkin.Ini tidak, orang buat itu dan buat ini ada sahaja cacat celanya pada mata individu itu.Tapi kita renungkan diri kita.Hari ini terjadi pada diri saya.Memang betul-betul menguji kesabaran saya.Seolah-olah individu itu hendak memarahi diri saya.Sebab itulah, saya sering berbincang dengan boss agar peraturan perlu dipatuhi.Kalau kita longgar dan ambil tidak kisah,orang akan ambil kesempatan.Tetapi cadangan saya tidak diterima kerana takutkan individu tersebut.Sekarang apabila tiada sesiapa yang bertugas di office,kita pula yang perlu menjalankan semua tanggungjawab itu.Mana hendak dibereskan.Tanggungjawab sebagai pendidik, tanggungjawab sebagai salah seorang pentadbir,tanggungjawab memastikan kelas sentiasa terkawal,tanggungjawab memastikan pekerja menjalankan tugas,tanggungjawab menjadi operator telefon,tanggungjawab memastikan surat-surat diedarkan kepada individu.Rasanya tidak tertanggung bebanan kerja itu dalam masa yang sama.Yang penting pada saya "core-bussiness " saya , saya tetap utamakan.

Tetapi, apabila individu yang hanya pandai bercakap tapi tidak menyedari kelemahan diri sendiri,ini yang hendak disanjung.Saya memang tidak boleh terima.Saya memang tidak suka untuk diampu.Tugas tetap tugas.Masa/jam bekerja perlu dipatuhi.Selama ini,pun kami sebagai pentadbir memang terlalu banyak membantu.Pagi-pagi datang bukakan pejabat.Saya rasa tiada siapa yang sanggup berbuat seperti itu.Hadir ke sekolah seawal jam 6.30 pagi dan balik sehingga jam 3.30 petang.Tapi disebabkan rasa tanggungjawab kepada anak didik,kami abaikan itu semua.Itulah kadang-kadang suara hati ini tidak pernah untuk didengar,hanya untuk menjaga hati seseorang .Saya memang tegas dan tidak suka masa yang telah diamanahkan,kita abaikan kerana mementingkan diri sendiri.Sebagai pekerja yang tahu akan masa bekerja, tahu akan tanggungjawab, tahu akan setiap hukum, sudah tentu tidak akan mengambil kesempatan.Apatah lagi kita disaat untuk menghabis sisa-sisa kerja,jalankanlah kerja seperti yang telah diamanah.Kita renungkanlah diri kita, di manakah kita sekarang?

Ya Allah,Ya TuhanKu,sedarkan diriku seandainya aku terleka, Ingatkan diriku seandainya aku terlalai,Bangkitkan diriku seandainya aku alpa.PadaMu sahaja aku merintih, memohon agar aku tidak terlalai dengan amanah yang Engkau berikan.

Berusahalah berbuat baik dengan segera.Lebih baik berbuat demikian pada hari ini daripada hari esok,kerana hidup ini adalah pendek,sedangkan waktu berlari kencang.

Pena kasih:Mengingatkan diri ini agar sentiasa memperbaiki kelemahan diri sendiri.

Wednesday, July 1, 2009

LAWATAN


Pagi lagi murid-murid telah berkumpul di perkarangan sekolah kerana tidak sabar hendak ke Kuala Lumpur.Malah, ada yang tidak boleh tidur malam disebabkan begitu seronok untuk ke sana.
Ada yang sudah berada di sekolah seawal jam 5.30 pagi...................sungguh teruja untuk ke sana.Begitulah lumrahnya kanak-kanak.

Kali ini, sekolah telah merancang awal untuk membawa anak-anak murid bersantai dan merehatkan minda mereka.Seratanya murid-murid Tahun 6 yang pergi dan hanya tinggal 6 orang sahaja.Seramai 40 orang telah menyertai rombongan tersebut dengan diketuai oleh 4 orang guru.

Proses pengajaran dan pembelajaran perlu diteruskan.So, saya telah mengambil tindakan dengan mencantumkan murid Tahun 5 dan Tahun 6 dibawah kawalan seorang guru.Setiap tahun saya letakkan seorang guru.Jadi masalah disiplin dapat dikawal.Pihak sekolah telah menyediakan buku PAK bagi setiap tahun.Waktu-waktu seperti inilah program tersebut dijalankan dan secara tidak langsung murid-murid dapat menjalankan tanggungjawab masing-masing dan guru memantau serta membimbing mereka.

Pena Kasih: Mendoakan agar mereka selamat pergi dan balik.Amin.

PANTUN

Apabila sebut sahaja untuk mengajar mata pelajaran muzik,sayalah orang pertama yang akan menolaknya.Pernah juga dipaksa mengajar mata pelajaran tersebut tetapi saya dengan mudahnya menggunakan kaset dan meminta murid menyanyi mengikut rentak dan irama kaset.Untuk menyanyi, lagu Negaraku bolehlah tapi yang lain-lain saya terpaksa mengalah.

Pengalaman belajar muzik di maktab dengan menggunakan peralatan rekoder sahaja.Terkial-kial jari jemari ini hendaklah menggayakan not-not yang diajar.Mencuba berulang kali tapi diketawakan oleh pensyarah.Terasa malu kerana itulah kelemahan saya.Memang saya tidak boleh menyanyi apatah lagi bermain alat muzik.Nak tak hendak belajar juga walaupun pelajaran tersebut tidak diminati.

Semasa kelas muzik juga, pensyarah tersebut meminta setiap pelajar mencipta sebuah pantun.Apabila tiba giliran saya,pantun yang saya buat dan berakhir seperti berikut:

"Datang ke maktab mencari ilmu"
"Bukan tempat mencari pasangan"

Semua pelajar ketawa apabila selesai sahaja saya melafazkan pantun tersebut dan bertepuk tangan.Biasalah pensyarah lelaki terutama yang mengajar muzik, jiwanya begitu sensitif.Lalu direnungnya wajah saya.

Nampaknya awak nak mengenakan saya.Betul tak?
saya tidak berniat seperti itu,encik.
Lepas ni, saya nak jumpa awak di bilik saya.Sebagai denda kerana mencipta pantun
seperti itu.
Baiklah,encik.Saya akan ikut encik ke bilik.Encik nak denda, dendalah.

Lantas saya bersama Kak Zah mengekori pensyarah tersebut ke biliknya.

"Apa tujuan awak mencipta pantun seperti itu?"
"saya tidak mempunyai apa-apa tujuan.Tujuan utama saya ialah untuk mencari ilmu
dan sekurang-kurangnya pantun ciptaan saya itu akan mengingatkan diri saya."
Betul, awak tidak bertujuan apa-apa.
Ya, encik.Tapi salahkan saya melafazkan pantun seperti itu.Saya tidak bertujuan untuk
memperli encik.Kenapa encik beria-ia sangat hendak berjumpa saya hanya kerana
pantun tersebut.
"Awak, seolah-olah memperli saya."
"saya tidak memperli sesiapa.Tetapi kenapa encik terasa sangat."

Pensyarah tersebut terus terdiam apabila saya menceritakan kedudukan sebenarnya.O.K sebagai denda saya hendak awak menyanyikan saya sebuah lagu,jika tidak saya akan gagalkan awak........encik, kalau nak gagal, gagalkanlah.Saya tidak akan menyanyikan untuk encik.Saya tetap dengan keputusan saya.

Sejak itu, saya berasa malas untuk ke kelas pensyarah tersebut.Kalau pergi pun, bukan dengan rela hati tapi memikirkan tanggungjawab sebagai pelajar, dilangkahkan juga kaki ini ke kelas tersebut.

Dunia ini terlalu kecil.Tidak sangka setelah hampir sepuluh tahun meninggalkan maktab, saya terjumpa pensyarah tersebut di rumah saya.Rupa-rupanya jiran sebelah rumah saya berkahwin dengan anak saudaranya.Saya pun mengenalkan diri kepada pensyarah tersebut dan menceritakan tentang peristiwa pantun tersebut.Teringat juga pensyarah tersebut dengan pantun itu.Ketika itu, pensyarah itu menjadi guru besar di salah sebuah sekolah di negeri Sembilan.Mendoakan agar pensyarah tersebut menemui kebahagiaan bersama keluarganya.


Pena kasih: Banyak kenangan manis dan pahit semasa di maktab terutama dengan pensyarah.










LinkWithin



Related Posts with Thumbnails