Sunday, May 31, 2009

KOCI LABU


Emak mertua mengingatkan saya supaya membeli labu untuk dibuat koci.Makanan kegemaran aruah bapa mertua.Suami memang begitu minat dengan koci labu.Awal-awal lagi, emak mertua telah membuat inti untuk dibuat koci labu.

Kuih koci labu buatan emak memang sering mendapat pujian.Setiap kali kenduri diadakan emak tidak lupa untuk membuat kuih tersebut.Setiap kali diadakan majlis kenduri di rumah saya, kuih tersebut sudah tentu akan dibuat oleh emak.Suamilah yang bersusah payah untuk mencari daun pisang.Daun pisang pun bukannya susah, di kebun saya daun pisang hutan memang mudah didapati.Malah, dauh tersebut akan diambil oleh penduduk kampung yang membuat nasi lemak.


Pena kasih: Belajar membuat kuih koci labu daripada emak mertua.

Saturday, May 30, 2009

KALA JENGKING


"Mama, kita ada satu cerita.Apa dia?" tanya saya kepada Haziq sebaik sahaja saya balik dari kelas tuisyen.Tadi semasa kita hendak sidai kain,kita ternampak kala jengking.Nasib baik kita tidak terkena sengatannya."Habis tu, adik buat apa?"Apalagi kita bunuhlah.

Itulah cerita Haziq.Hari ini , saya telah menyuruhnya menolong saya membasuh kain.Dia terlalu gembira hendak menolong saya membasuh kain.Apatah lagi, ayahnya telah mengajar dia membasuh kain dengan cara yang betul.

Dia telah berjanji akan menolong saya membasuh kain sekiranya saya terlalu sibuk.Tapi saya tidaklah mengharapkan dia membuat semua itu.Namun begitu, kerana dia bersikap ringan tangan dan sering menolong saya di dapur membuatkan hati ini rasa begitu bangga kerana anak mempunyai sikap seperti itu.Kadang-kadang dia sendiri melihat kesibukan mamanya menyebabkan keinginan untuk menolong begitu tebal di hatinya.

Pena kasih: Mama sering mendoakan anak-anak mama agar menjadi seorang anak yang menghormati kedua-dua orang tua.

Wednesday, May 27, 2009

HARI GURU PERINGKAT DAERAH

Sambutan hari guru peringkat daerah Segamat telah diadakan di dewan Seri Gemereh pada hari ini.Begitu ramai sekali guru yang hadir menyambut hari guru peringkat daerah.Saya juga tidak ketinggalan hadir bersama-sama dengan guru besar dan pn Norhayati.

Sambutan yang meriah ini turut dihadiri oleh Tuan Pengarah Pelajaran Johor, Tn Hj Sufa'at bin Tumin yang telah merasmi langsungkan majlis tersebut.Dengan paluan kompang dan disambut dengan tarian zapin menyerikan majlis tersebut.

Pelbagai cenderamata dan hadiah telah disediakan kepada mereka yang terpilih sempena Hari Guru.SK Canossian Convent juga tidak ketinggalan menerima hadiah bagi pertandingan menulis cerita kanak-kanak oleh adik Raudha Eirdani dan juga En Supian Hashim yang aktif dalam perbahasan.Kepada mereka diucapkan tahniah.

Kemudian hati tersentuh apabila guru dalam kenangan juga diingati kerana jasa dan bakti yang dicurahkan dalam bidang pendidikan.Pn Norlis, waris kepada Allahyarham Cikgu Aziz bin Yusof juga turut hadir dan naik ke pentas menerima sedikit sumbangan sebagai mengenang jasa suami beliau.

Tidak ketinggalan juga anugerah tokoh guru Segamat iaitu En Armajit Singh, En Ramlee dan juga Mr See.Jasa dan sumbangan mereka dalam bidang pendidikan khususnya di daerah Segamat amat dihargai.Apabila disebut sahaja nama Amarjit Singh teringatkan nama tersebut sering disebut oleh suami.Ternyata tekaan saya benar kerana beliau pernah berkhidmat di UiTM Segamat dan merupakan "close friend" husband.

Hujan yang turun ketika perjalanan Hari Guru amat bermakna dan merupakan simbolik kepada tokoh guru yang telah banyak berjasa kepada daerah Segamat terutama dalam bidang pendidikan.Tahniah dan Syabas diucapkan atas penganugerahan tersebut.

Pena Kasih:Teringatkan cikgu-cikgu yang pernah mengajar saya semasa di SK Bukit Hampar,SMK Convent Segamat dan juga Sekolah Tinggi Segamat.

Tuesday, May 26, 2009

KEPULANGAN

Hari ini, guru besar yang telah bercuti lebih kurang satu bulan kerana urusan penting telah kembali semula ke sekolah.Terasa ringan tanggungjawab apabila beliau berada di sekolah.

................terus melaksanakan tugas seperti biasa.Masuk kelas berjumpa dengan anak murid.Membincang kertas soalan peperiksaan.Nampak keceriaan terpancar di wajah anak-anak setelah menatap keputusan peperiksaan.Taniah diucapkan kepada mereka yang berjaya.

Wajah-wajah keceriaan yang ditunjukkan sudah cukup mengubati kepenatan sekembali dari Johor Bahru.Rasa bersalah meninggalkan anak-anak murid terubat apabila mereka memahami ketiadaan saya.Peluang yang ada diambil bersama-sama dengan anak-anak murid.Bertanya khabar dan seterusnya membimbing mereka membuat pembetulan setiap kesalahan yang telah dibuat ketika menjawab soalan peperiksaan.

Seterusnya berbincang dengan guru besar dan membuat sedikit laporan berkaitan dengan mesyuarat yang dihadiri dan juga taklimat yang diperolehi.Kemudian memaklumkan kepada guru besar aktiviti atau program yang akan diadakan semasa cuti sekolah.Program motivasi untuk pelajar-pelajar tahun 6.Terlalu banyak yang perlu diinformkan kepada guru besar.Maklumlah cuti sebulan sudah tentu banyak perkara yang berlaku dan perlu diambil tindakan segera.

Esok............sudah ada perancangan untuk berjumpa dengan pelajar-pelajar tahun 6.Murid-murid perfect score A dan murid galus.Mendekati murid-murid tersebut dan seterusnya memberikan sedikit motivasi.Harapan pihak sekolah kepada setiap murid tahun 6.
Memakumkan kepada murid-murid supaya gunakan peluang yang ada untuk turut sama dalam program cuti sekolah.

Pena Kasih: Tahu murid-murid tahun 6 mampu melakukan sesuatu untuk sekolah.Insya Allah.

Monday, May 25, 2009

ZAKAT

Ketika orang lain nyenyak tidur,saya sekadar merehatkan badan sahaja.Mata begitu sukar untuk dilelapkan.........kepenatan di siang hari, membuatkan seharian sukar untuk tidur.Usia bertambah mungkinnya.Suami terjaga dari tidur, lalu menyapa saya kenapa masih belum tidur lagi.Sukar untuk dilelapkan mata ini.Tidak tahu kenapa.............

Pukul 4.30 pagi ,sudah menyiapkan diri untuk pergi ke Johor Bahru.Menghadiri satu taklimat berkaitan dengan zakat dan juga mendengar amanat pengarah pelajaran Johor.Bertolak dari Segamat jam 5.00 pagi bersama-sama dengan cikgu Norlis dan juga cikgu Hjh Asnah.Mewakili guru besar yang cuti sakit sekembali dari luar negara.

..............ah! membosankan.Sesampai di Skudai, jalan begitu sesak sekali.Kami sampai lebih kurang jam 8.45 pagi.Terus bersarapan dan kemudian masuk ke dewan.Semua pengetua dan guru besar sudah mula berkumpul dan memenuhi dewan pusat Islam, Jalan Masjid Abu Bakar, Johor Bahru.

Mata mula berasa mengantuk ketika slot pertama bermula tetapi digagahi juga mendengar setiap barit patah perkataan untuk dicatat bagi dilaporkan kepada guru besar nanti.Anjuran bersama Majlis Agama Islam Johor dengan JPNJ.

Pukul 2.30 petang pula bersama-sama dengan Pengarah Pelajaran Johor, mendengar amanat berkaitan dengan Perancangan Strategik (2009-2011).Banyak input yang diperolehi daripada beliau.

Bertolak semula jam 5.00 petang dari Johor Bahru dan akhirnya kami sampai di rumah hampir jam 9.00 malam.Amat penat sekali.Minggu yang penuh dengan pelbagai aktiviti sedikit sebanyak menjejaskan mood kita.

Pena kasih: Penat tapi tetap menunjukkan wajah yang ceria kepada suami dan anak-anak.

Sunday, May 24, 2009

BERSAMA NORMALA SAMSUDIN


Petang setelah masak,duduk bersantai bersama suami.Menonton rancangan yang diterbitkan oleh Normala Samsudin.Beliau merupakan sepupu kepada suami.Dilahirkan di Kampung Kuing Patah, Segamat.Menurut suami, semasa kecil mereka begitu rapat sekali.Apabila besar dan sudah mempunyai keluarga, peluang untuk berjumpa agar sukar.Sibuk dengan tugas masing-masing.

Namun begitu, jika mempunyai masa, Normala akan mengunjungi emak mertua.Bertanya khabar.Kami memang jarang dapat berjumpa dengannya.

Rancangan yang diterbitkan oleh Normala Samsudin mempunyai banyak maklumat yang boleh dijadikan sebagai panduan bagi seseorang wanita yang impikan sebuah perkahwinan.Petua-petua yang diperturunkan olehnya boleh dijadikan sebagai satu wadah ilmu yang berguna kepada kita.


Pena Kasih:Kagum dengan kecantikan yang dimilikinya.Wanita Melayu Terakhir......................

Saturday, May 23, 2009

KARI DAGING


Hari ini, semasa menghantar saya ke kelas tuisyen, suami telah menyuarakan untuk meminta saya memasakkan kari daging.Lantas saya memintanya ke pasar, membeli bahan-bahan yang diperlukan.

Sekembali dari kelas, bertanyakan kepada suami tentang bahan-bahan yang dibeli.Alhamdulillah, suami telah menyediakan apa yang telah saya pesankan.Terus ke dapur dan mengeluarkan bahan-bahan daripada peti.Terperanjat.............daging yang dibelikan tidak memuaskan hati saya.Begitu juga dengan kelapa yang tidak berapa elok.Tiada pilihan lain melainkan terus masak.

Setelah itu, saya maklumkan kepada suami keadaan daging dan kelapa yang dibeli.Saya mengingatkan suami agar memilih daging dan kelapa yang elok jika hendakkan masakan sedap.Suami akur dan berjanji akan memilih bahan-bahan yang dipesan dengan lebih berhati-hati lagi.

Petang, anak-anak meminta saya memasakkan dadih untuknya.Kali ini,saya mengajar anak lelaki memasak dadih untuk kami sekeluarga.


Pena kasih: Namun begitu sering mendapat pujian daripada suami dan anak-anak apabila me masak.

MOTIVASI


Sudah lama kami merancang untuk mengadakan program bagi murid-murid Tahun 6.Perancangan dibuat terlebih awal supaya surat dapat diedarkan kepada ibu bapa dan memudahkan ibu bapa membuat perancangan.Kalau dahulu, kami bermalam di sekolah tapi atas nasihat guru besar agar semua murid tidak dibenarkan tidur di sekolah.Cukup program dirancang sehingga jam 1.30 petang.

Ketiadaan guru besar, membuatkan saya dan GPK HEM berbincang, aktiviti yang perlu dilaksanakan sepanjang lima hari itu.Sekolah kami merupakan sekolah bantuan kerajaan sudah tentu agar sukar untuk membuat bajet dengan jumlah murid yang berkurangan.Tapi alhamdulillah, guru-guru sekolah ini memang pemurah.

Dalam program tersebut, kami menjemput guru-guru dari luar (GC) dan penanda kertas untuk turut membantu anak didik kami.Semua hari telah diisikan dengan program yang menarik minat murid-murid.Di akhir sesi,kami turut menjemput ibu bapa untuk mendengar motivasi oleh Cikgu Zulkifli dari SK Segamat Baru.Kemudian anak-anak murid akan membuat aku janji terhadap guru mata pelajaran dan juga ibu bapa mereka.
Semoga program yang dijalankan ini akan memberi impak yang berguna kepada anak didik kami.

Kami telah merancang agar cuti minggu pertama ini,saya bersama-sama dengan GPK HEM dan GPK KK akan sentiasa berada di sekolah.Minggu kedua,kami pula akan bercuti bersama keluarga.

Pena Kasih:Sering mendoakan anak-anak didik akan terus berjaya dan mencapai apa yang diimpikan.

SEMINAR INTEGRITI WARGA PENDIDIK DAERAH SEGAMAT


Hari ini ,saya menghadiri satu lagi seminar berkaitan dengan integriti yang telah diadakan di Hotel VIP Segamat.Seminar ini telah dirasmikan oleh En Yasiran bin Maskom, Pegawai Pelajaran Daerah Segamat. Dianggarkan lebih daripada 300 orang peserta menghadiri seminar tersebut.

PIN(Pelan Integriti Nasional) telah dilancarkan oleh mantan PM kita, YAB Tan sri Abdullah Ahmad Badawi pada tahun 2004 ini mempunyai banyak pengertiaannya terutama untuk kaki tangan awam.

Slot ceramah yang berkaitan dengan integriti di kalangan pendidik menarik minat saya.Banyak perkara yang boleh dijadikan renungan kita sebagai seorang pendidik dalam usaha melahirkan modal insan yang berguna kepada negara kita.Kini, pelbagai ancaman dapat dilihat.Berita berkaitan dengan anak-anak murid yang terlibat dengan dadah, penzinaan, mat rempit (samseng jalan), minat rempit amat menyedihkan kita....................mampukah kita melihat anak-anak didik terus berada dalam keadaan seperti ini? Mampukan kita menyaksikan anak didik terus bergelumang dengan dosa?Mampukah kita melihat anak didik kita yang baru saja lepas sekolah menjadi peragut yang memalukan ibu bapa? ...........................di manakah tanggungjawab kita sebagai seorang pendidik?Adakah sudah rapuh tugas kita dalam mendidik anak murid kita? Persoalan inilah yang sering bermain di fikiran saya.

Jujur dan Amanah dalam melaksanakan tugas begitu mendalam maknanya bagi kita sebagai pendidik.Tertarik dengan ceramah yang disampaikan oleh Tuan Hj Abas bin Awang, Tokoh guru negara dalam memberi gambaran tugas kita sebagai seorang pendidik.Memang tidak dinafikan tugas guru bukan sahaja mendidik tetapi sentuhan dan belaian kasih sayang seorang guru kepada anak murid memang penting......................saya memang begitu kagum dengan guru-guru sekolah saya dalam mendidik anak muridnya.Pendekatan yang digunakan oleh guru saya telah memperlihatkan sesuatu yang begitu mengkagumkan saya.Seorang murid yang tidak pernah lulus dalam ujian mahupun peperiksaan Matematik ketika berada di tahun 1 - 6,akhirnya berjaya lulus (C)......................itulah kejayaan yang begitu besar bagi diri murid itu sendiri mahupun pihak sekolah.Sering mempercayai keupayaan dan kesungguhan guru dalam memberikan didikan kepada anak-anak murid.

Justeru, jelas menunjukkan jangan sekali-kali kita menanggap anak didik tidak boleh lulus.Tapi kita perlu sebut kamu boleh lulus.Insya Allah,Allah sentiasa mendengar rintihan doa kita.Begitu juga,kita sebagai seorang ibu dan ayah, tunjukkanlah kasih sayang kita kepada keluarga.InsyaAllah....................lahirlah sebuah keluarga yang bahagia.

Pena kasih: Sering memberikan kucupan kepada suami dan anak-anak setiap kali sebelum tidur dan sebelum keluar dari rumah.Sering menghantar sms kepada suami di mana saya berada ............Rasa bersalah jika tidak memaklumkan.

Friday, May 22, 2009

KEPENATAN


....................begitu letih hari ini.Terlalu banyak perkara yang perlu dibereskan terutama memastikan sekolah berada dalam keadaan yang baik.Memasti anak-anak buah dapat melaksanakan tugas dengan ceria, memasti para pekerja berada dalam situasi yang mengembirakan.Tiada sebarang tekanan dalam melaksanakan kerja.

Antara tugas sendiri dan memangku tugas guru besar amat besar tanggungjawabnya.Memastikan keselamatan anak murid semasa berada di sekolah memerlukan perhatian dan tanggungjawab yang amat besar.Melayan pelanggan yang datang ke sekolah lagi......................
mampukan saya melaksanakan ini semua..................!

Waktu berada di sekolah dirasakan begitu singkat sekali.Sehabis kelas,terus ke pejabat.Memastikan buku rekod mengajar ditandatangani dan memastikan kelas pol berjalan dengan licin.Selepas itu,masuk kelas dan berbincang dengan murid tentang soalan peperiksaan...................nampak di wajah anak murid ceria dengan keputusan yang diterima.Alhamdulillah...................semuanya lulus.Cikgu sentiasa mendoakan kejayaan kalian.

Selalunya hari Jumaat, saya berada di sekolah sehingga jam 2.00 petang .Sehabis murid belajar POL, barulah saya balik.Kemudian balik rehat sebentar sehingga jam 3.30 petang.Selepas itu,pergi ke sekolah sehingga jam 5.00 hingga 6.00 petang.
Tapi hari ini, saya balik awal kerana jam 3.00 petang saya perlu berada di PPD menghadiri satu taklimat berkaitan panitia daerah.Mewakili guru besar.Sebelum balik saya tinggalkan pesanan kepada semua guru POL bagi memastikan anak didik berada dalam keadaan yang baik.Nampaknya guru POL memberikan komitmen yang baik dalam melaksanakan tugasnya.

Berada di PPD sehingga jam 6.15 petang.Terlalu banyak perkara yang dibincangkan terutama dalam usaha mengerakkan panitia daerah.Bagi menggerakkan Panitia agar aktif dalam membuat perancangan....................Sekolah saya hanya terlibat dalam Panitia Matematik Daerah.Peringkat awal, saya tidak tahu apa yang perlu dibuat.Saya tidak pernah dimaklumkan mengenai aktiviti di peringkat daerah.Menghadirikan diri sekadar menyatakan program setelah dimaklumkan oleh Ketua Panitia Matematik sekolah.

Pena kasih: Banyak perkara yang perlu dibincangkan dengan GB sekembalinya dari luar negara.

Wednesday, May 20, 2009

PENCAPAIAN ANAK DIDIK




Hari ini,walaupun dalam keadaan yang kurang sihat,digagahi juga kaki ke sekolah.Niat untuk memastikan anak murid yang diajar cuba menjawab soalan science dengan baik dan mendapat keputusan yang baik.............nampaknya apa yang diinginkan tercapai.
Anak murid saya mampu menjawab soalan dengan baik.Setiap hari,sering berpesan agar baca soalan berulang kali kerana masa yang diperuntukkan 1 jam 15 minit sudah tentu cukup untuk menjawab.

Alhamdulillah,anak murid saya yang seramai 27 orang telah berjaya memperolehi keputusan 100% bagi subject science.A seramai 19 orang dan B lapan orang sahaja.Keputusan yang begitu baik sepanjang saya mengajar subject science.Kali ini, saya beri latihan tubi yang banyak kepada mereka.Selalunya latihan tubi memang merupakan satu cara untuk mereka mengingati topik-topik yang lepas.

Saya memang sering meleteri anak murid yang cuai.Pada saya,bukannya mereka tidak tahu tapi biasanya mereka mengambil sikap mudah sahaja.

Begitu juga dengan subjek Bahasa Melayu Penulisan (100%), Bahasa Melayu Pemahaman (96.3%).Keputusan ini memberi semangat untuk saya memastikan anak didik akan mencapai 100% bagi mata pelajaran tersebut.Cikgu percaya,anak didik cikgu akan lulus sekiranya mendengar kata dan sering membuat latihan jika disuruh.Pastinya sewaktu mengajar, berilah tumpuan sepenuhnya.


Pena kasih: Gembira melihat pencapaian anak-anak murid yang diajar.

CERITA ANAK


".................mama, mama. Kita ada satu berita baik untuk mama dengar," kata anak lelaki saya.Kenapa? Soal saya yang tidak sabar-sabar untuk mendengar berita baik.
"Tadi, Cikgu Osman masuk kelas.Dia kata,Haziq bagus kerana menghadiahkan sesuatu kepada guru sempena hari guru."Yang lain tidak bagus.
"Kenapa pula cikgu adik cakap macam tu," kata saya.
"Cikgu kata, hanya dia seorang sahaja yang berikan hadiah kepada cikgu."
"Cikgu kata lagi, dia pakai kain pelekat yang kita beri untuk menunaikan solat.Dia harap kita akan masuk syurga."
Lalu saya menjawab."Adik, semua orang hendak masuk syurga, tapi kita perlu tahu cara hendak masuk syurga.Kalau cakap semua boleh tapi kita belum tentu masuk syurga."
Haziq terdiam apabila saya bercakap seperti itu.Pertama,adik perlu bersolat dan sentiasa berdoa ke arah kebaikan dan menjauhi perkara-perkara yang mungkar.
Kalau rasa diri itu masih ada kekurangan, perlu lakukan sebaik mungkin.Mungkin adik ada tertinggal solat.Betul tak?
Haziq terdiam dan mengangguk.Mungkin Haziq berfikir dengan kata-kata saya.

Baru-baru ini,ibu mertua balik dari mengerjakan umrah.Perkara pertama yang dicari oleh Haziq ialah jubah................sedih kerana neneknya tidak membelikan jubah.Jubah memang Haziq gemari.Setiap kali mengerjakan solat lima waktu, Haziq akan memakai jubah yang dibeli oleh emak saya semasa dia pergi ke Mekah pada tahun 2006.Neneknya berjanji akan membuatkan jubah untuk Haziq.Terlihat di wajah neneknya rasa kekesalan kerana tidak membeli jubah untuk cucunya itu.

Pena kasih: Sentiasa mendoakan untuk anak-anak agar ditetapkan iman, dikuatkan hati untuk mengerjakan solat lima waktu,menghormati kedua ibu bapa dan orang yang lebih tua daripadanya.

DEMAM


Hari ini ke sekolah dalam keadaan yang kurang selesa.Rasa badan seram sejuk.Atas rasa tanggungjawab bagi memastikan perjalanan peperiksaan berjalan lancar, digagahi kaki ini untuk melaksanakan tanggungjawab.Memandangkan hari ini, kerani dan pekerja am pejabat tidak berada di sekolah kerana menghadiri satu taklimat berkaitan dengan perkhidmatan terpaksa juga mengagahkan diri ke sekolah.

Terasa begitu penat sekali.Tiada ruang untuk saya berehat.Tiada ruang untuk saya bersantai................akhirnya badan ini tidak mampu untuk menanggung segalanya...............terjadilah keadaan yang tidak selesa.Akhirnya saya akur, saya perlu berikan ruang kepada diri sendiri untuk berehat secukupnya.Hajat di hati untuk balik jam 5.00 petang berakhir dengan ketewasan.Menanti ruang untuk berehat dan alhamdulillah,akhirnya PAP saya balik ke sekolah.Justeru, saya mengambil keputusan untuk balik dan berehat di rumah.Memaklumkan kepada suami tentang keadaan diri.

Sesampai di rumah, terus sahaja merebahkan diri sehingga jam 4.00 dan anak lelaki mengejutkan saya supaya bersolat.Bangun dan terus menunaikan solat.Rasa segar sedikit dan waktu malam hubby bawa saya ke klinik untuk menerima rawatan.
Doktor menyarankan saya mengambil MC tetapi tidak mungkin saya lakukan kerana banyak perkara yang perlu dibereskan kerana hari Jumaat saya perlu ke PPD untuk menghadiri satu mesyuarat berkaitan dengan panitia yang perlu dibentangkan dan kemudian hari sabtu perlu menghadiri satu lagi taklimat berkaitan dengan integriti bersama KPM.......................ah...memang memenatkan.

Pena kasih: Berehat sehabisnya dan suami yang menguruskan makan minum anak.




Tuesday, May 19, 2009

KEREPEK PISANG


Hari ini , Haziq merengek-rengek hendak makan kerepek pisang yang dipotong nipis menggunakan pisau.Dia tidak mahu yang disagat menggunakan penyagat.Begitulah sikapnya yang sentiasa merengek-rengek jika hendakkan sesuatu.Selagi tidak dibuat ......................itulah perkataan yang sering diulangkan.

Suami sayalah yang rajin melayan kerenahnya.Pergi mencari pisang muda di serata kedai yang berhampiran.Tiada dan akhirnya saya nyatakan perkara itu kepada ayah.Akhirnya ayah menebang pokok pisang semata-mata menunaikan idaman cucunya.

Malam, saya terus goreng pisang dan buat air teh.Sebagai upah untuk dia belajar.Melayan kerenah anak memerlukan kesabaran.Berbeza dengan sifat alongnya yang mengalah jika tidak ada.Dua orang anak mempunyai sifat dan sikap yang berbeza.Kadang-kadang kita kehilangan kesabaran.Akhirnya mengalah juga tatkala melihat wajah anak-anak sewaktu tidur.


Pena kasih: Kasih ibu terhadap anak memang tidak dinafikan dan harapan mama agar kalian sentiasa menghormati kedua orang tua.

KECEWA DALAM GEMBIRA

Pengumuman keputusan PTK begitu mengecewakan saya.Sebelum ini, saya telah memperolehi keputusan IV dan III.Bulan Mac, peperiksaan diambil dan keputusannya still IV dan III.Bagi guru-guru yang melepasi tahap, tahniah diucapkan.

Namun begitu,kekecewaan terubat apabila hari ini saya membuka laman web SPP dan tertera keputusan temuduga : DIPERAKUKAN LANTIKAN TETAP.Alhamdulillah terubat juga rasa kecewa.Dua rakan saya,Norlela dan Shikin juga mendapat keputusan seperti saya.Berkat kesabaran, kesungguhan setelah mengharungi pelbagai dugaan dan cabaran untuk mencapai sesuatu yang diimpikan akhirnya membuahkan sesuatu yang amat bermakna.

Kepada suami dikhabarkan berita tersebut.Tersenyum di wajah suami.Ayang, terima kasih di atas kepercayaan ayang membenarkan mama menimba ilmu .Terima kasih juga diatas galakan ayang kepada mama................pastinya ayang mahukan mama mengambil Master.Rasanya tidak mampu untuk mama lakukan untuk ketika ini.Terlalu banyak komitmen yang perlu mama lakukan untuk sekolah, harga sebuah keluarga(sebagai ibu dan isteri kepada seorang suami) dan masyarakat.

Memang hendak belajar tetapi apabila mengenangkan betapa banyaknya komitmen membuatkan saya tewas.Antara kerjaya, isteri dan ibu terlalu banyak yang terpaksa dikorbankan.Akhirnya apabila stress,anak-anak jadi mangsa.Justeru, mengambil keputusan biarlah suami sahaja yang meneruskan perjuangannya.Hanya galakan sahaja yang mampu diberikan untuk suami tersayang.

Pena Kasih.Setiap kegagalan ada hikmahnya yang tersirat.....................

PEPERIKSAAN SETENGAH TAHUN

Hari ini anak murid saya menduduki peperiksaan setengah tahun.Kelihatan kegusaran di wajah mereka.Ada yang tersenyum kerana mereka merasakan soalan begitu mudah....................macamana pula dengan murid-murid pemulihan?Alhamdullilah, mata pelajaran saya Bahasa Melayu, murid-murid menampakkan kebolehan mereka ketika menjawab.Hanya seorang sahaja yang gagal bagi kedua-dua kertas tersebut.Rasa bersalah disebabkan kegagalan tersebut dan setelah diteliti murid itu tidak bersungguh ketika menjawab.Pelajar yang boleh membaca tetapi malas untuk membaca menyebabkan mereka gagal.

.....................itulah peranan guru.Bukan hanya untuk memastikan anak didik lulus tetapi sesebuah kejayaan yang dihasilkan merupakan satu kepuasan.Walaupun kesibukan dengan tugas, tetapi saya tetap hendak memastikan anak didik saya lulus dalam mata pelajaran yang diajar.Ganjaran akan diberikan kepada mereka yang mendapat keputusan yang baik nanti.Cikgu akan tunaikan untuk kamu.

................bagi murid yang gagal, pastinya cikgu akan membuat satu tindakan susulan kenapa kegagalan berlaku di kalangan pelajar tersebut.

Pena kasih: Gembira melihat anak murid berjaya dan kecewa sekiranya murid yang boleh tetapi tidak mampu untuk menjawab dengan betul.Tercari-cari puncanya.......................

Monday, May 18, 2009

KFC


Hari ini, adik saya telah membelanja kami sekeluarga makan KFC kerana lulus PTK.Tahniah diucapkan.Sebagai pembantu makmal tiada gred yang boleh dinaikkan kecuali hanya lulus dalam peperiksaan PTK untuk anjakan gaji.

Shidah bersama-sama dengan Haziq telah pergi ke KFC.Memang telah dijanjikan akan belanja kami apabila berjaya dalam peperiksaan PTK.Syukur daripada seorang operator telefon di hospital Permai dan kemudiannya mencuba nasib dengan memohon jawatan pembantu makmal dan berjaya.Kini,Shidah berkhidmat di SMK Gemereh.


Pena kasih: Pernah menyatakan kepadanya agar sambung belajar dan baiki kelulusan.Nampaknya saraan tersebut.....................senyap aja.

HASRAT SEORANG AYAH

Menerima panggilan telefon daripada ayah jam 4.30 petang yang ketika itu masih berada di sekolah.Memaklumkan kepada saya yang ayah hendak menukar kereta kancilnya kepada kereta proton saga baru. Meminta saya membawanya ke kedai kereta.

Akhirnya bertemankan anak lelaki, saya mengikuti ayah ke kedai kereta.Menggunakan nama saya untuk kereta tersebut.Menyiapkan segala maklumat dan dokumen yang penting,insya Allah harapan ayah untuk memiliki sebuah kereta baru akan tercapai.

Setiap anak akan pastikan impian dan hasrat ayah tertunai.Justeru itu,saya memang telah berniat sejak dahulu lagi untuk memastikan hasrat dan impian ayah akan dilaksanakan.Setiap bulan saya akan pastikan bayaran bulanan sebuah kereta akan saya tunaikan.Tiada apa yang saya dapat balaskan jasa ayah dan ibu yang telah banyak berkorban dan memastikan kejayaan dan kesenangan anaknya.Bersusah payah ayah membesarkan saya, menyekolahkan saya, memastikan anaknya akan berjaya dalam kehidupan.Ayah.........................terlalu banyak jasamu kepada saya.

Begitu juga keprihatinan seorang ayah, menghadiahkan saya sebidang tanah untuk mendirikan sebuah rumah.Terima kasih, ayah.Tanah yang seluas hampir dua ekar telah diserahkan kepada saya pada tahun 2000.Akhirnya terdirilah sebuah rumah.Sebab itu, tidak sekali-kali saya akan mengecewakan atau menyakitkan hati kedua orang tua.Tidak ada gantinya kasih sayang seorang ayah terhadap anaknya.Mampukah kita melakukan kepada anak kita seperti itu?

Begitu juga dengan ibu mertua yang dianggap seperti emak sendiri.Walaupun kadang-kadang kita terasa hati, tetapi saya cepat-cepat memaafkan.Tidak sekelumit pun untuk berdendam kerana pada saya apabila kita telah menjadi sebahagian keluarganya, perlulah kita menganggap semuanya seperti keluarga kita.Insya Allah, saya akan jaga semua hati keluarga walaupun kadang-kadang ................................hanya Tuhan sahaja yang tahu.

Pena Kasih: Ibu mertua seperti ibu sendiri dan tidak sekali-kali hendak menyakiti hatinya.

SAMBUTAN HARI GURU PERINGKAT SEKOLAH


Hari ini SKCC telah mengadakan sambutan Hari Guru Peringkat Sekolah yang bermula jam 7.30 pagi dan berakhir jam 1.00 petang.Pelbagai acara dijalankan seawal pagi bermula dengan bacaan doa, diikuti dengan nyanyian lagu Negaraku, Lagu Bangsa Johor, Lagu Sekolah dan bacaan ikrar oleh ketua murid.(Perhimpunan rasmi)

Kemudian acara diteruskan dan diambil alih oleh En Supian bin Hashim sebagai pengacara majlis sempena sambutan Hari Guru peringkat sekolah.Acara dimulakan dengan bacaan doa oleh pengacara majlis diikuti dengan bacaan perutusan daripada Ketua Pengarah Pelajaran oleh GPK KK, En Ali bin Yusof dan perutusan daripada Menteri Pelajaran Malaysia oleh GPK HEM, Pn Norhayati bte Md Zan.Kemudian saya sebagai wakil guru besar (bercuti di luar negara) membacakan ucapan sempena Hari Guru.Antara yang saya sentuh dalam ucapan itu ialah Hari Guru merupakan simbol penghargaan dan pengobanan guru tanpa mengenal erti penat bagi memastikan anak didik menjadi warga yang berguna kepada negara.Bersesuaian dengan tema hari guru pada tahun ini "Guru Pembina Negara Bangsa" begitu luas makna dalam erti kata tugas sebagai guru.Kalau kita lihat guru terpaksa mengorbankan masa dan tenaga tanpa mengenal erti jemu dan lesu bagi memastikan kejayaan sesebuah sekolah itu.Malah adakalanya menitiskan air mata ketika sesuatu keputusan peperiksaan diumumkan.Menitis tanda gembira dan kecewa semuanya tersemat di hati guru.Hanya guru sahaja yang memahami..................

Selepas itu, diadakan pula acara pertukaran hadiah.Alhamdulillah,semuanya gembira dengan apa yang didapati.Kemudian diadakan acara sukaneka .Antara aktiviti yang diadakan ialah mencari perkataan bermakna dari perkataan PELANCONGAN, sungai beracun dan juga acara boling padang menggunakan buah kelapa.Memang menyeronokkan.

Selepas itu, diadakan juga jamuan untuk semua guru sebelum diadakan acara pentas.Persembahan guru-guru.Memang berbakat guru-guru SKCC.Saya diminta nyanyi berduet dengan En Supian tetapi menolak kerana saya memang tidak pandai untuk menyanyi................suka dengar lagu tetapi tidak pandai untuk menyanyi.

Pena kasih:Tidak dapat mengucapkan Hari Guru kepada guru besar yang kini berada di US.

Saturday, May 16, 2009

HARI GURU

Tanggal 16 Mei, menjelma lagi.Bulan Mei, merupakan bulan yang mempunyai banyak peristiwa yang penting.Antaranya ialah sambutan Hari Buruh, Hari Ibu, Hari Jururawat dan juga Tragedi 13 Mei dan akhir sekali sambutan Hari Guru.
Apabila teringatkan sambutan Hari Guru, teringat saya pada guru-guru yang pernah mengajar saya dari sekolah rendah hingga ke sekolah menengah..Antaranya ialah Cikgu Ainul Naim, Mr Pang, Cikgu Susah, Cikgu Asmah, Sister Mary, Puan Zaleha, Cikgu Daud dan ramai lagi.Muka kenal cuma nama kadang-kadang sudah lupa.

Memang tidak dinafikan tugas guru kini begitu mencabar.Dari kecil saya memang bercita-cita untuk menjadi guru.Cita-cita sebagai guru dan jururawat merupakan pilihan saya.Alhamdullilah, impian untuk menjadi guru telah tercapai.Hasrat untuk melahirkan pelajar yang bukan sahaja berjaya dalam bidang pelajaran malah melahirkan modal insan yang berguna kepada negara.Itulah impian saya.Kadang tuntutan kerja-kerja selain mengajar menyebabkan rasa tidak puas hati begitu terasa.Rasa kecewa kerana terpaksa meninggalkan murid untuk berkursus dan mesyuarat menyebabkan kita rasa bersalah.Tapi alhamdulillah,setiap kali saya meninggalkan murid, semuanya telah saya bekalkan dengan lembaran kerja.Ada kalanya saya gantikan dahulu masa mengajar dengan guru-guru lain.Sekurang-kurangnya rasa bersalah pada diri dan anak murid tidak terlalu menekan kita.

Untuk menjadi guru, kita dituntut bersabar.Teringat semasa mengajar di Jengka.Saya telah diamanah untuk mengajar murid-murid Tahun 1.Sentiasa dipantau oleh cikgu Kamarudin kerana almaklumlah baru mula mengajar.Selama 5 tahun mengajar di Tahun 1 telah memberi pengalaman yang amat bermakna kepada saya.Ketika di Jengka saya mengandungkan anak sulung dan sudah tentu banyak ragamnya.Ada masanya rasa sakit telah menyebabkan saya terpaksa mengajar sambil duduk.Anak murid memahami saya.Membanggakan saya ialah mereka di akhir tahun menghadiahkan saya sesuatu yang bermakna.Anak murid yang agak lemah di awal tahun telah berjaya saya pulihkan dan seratus peratus anak didik saya boleh membaca......................itulah yang paling mengembirakan.Saya di awal mengajar agak tegas dan garang.Semuanya untuk anak didik saya dan hasilnya...............................begitu membanggakan.


Pena kasih:teringat ketua darjah yang terpaksa memanggil guru lain ketika saya sakit........

KEPULANGAN MERTUA

Syukur alhamdulillah, ibu mertua selamat sampai dari mengerjakan umrah.Ibu mertua sampai di Segamat jam 2.45 petang.Kami menunggunya di pejabat umrah,Jalan Buloh Kasap,Segamat.

Pagi lagi, saya dan suami telah pergi ke pasar untuk membeli lauk-pauk untuk dimasak bagi menjamu ibu mertua.Bertemankan Apiz yang tidur di rumah kami, kami ke pasar.Kemudian saya pergi ke rumah adik ipar di Bandar IOI Segamat.Masak di rumahnya.Ingatkan emak hendak balik ke IOI,rupanya dia telah mengambil keputusan untuk balik ke Batu Anam.

Selepas masak, saya pun bersiap-siap untuk pergi mengambil emak.Melihat kali pertama, emak nampak agak keletihan.Almaklumlah perjalanan yang jauh sudah tentu memenatkan emak.Emak nampaknya batuk dan deman sedikit tapi emak masih mampu melayan cucu-cucunya.
Sampai di Batu Anam ,jam 3.30 petang dan mulalah suami beroperasi membuka beg pakaian emak.Emak membeli kurma dan beberapa barangan lain untuk diberikan kepada kawan-kawannya.Saya hanya sekejap sahaja berada di Batu Anam kerana terpaksa bergegas untuk pergi ke kelas tuisyen di Taman Bendahara.Memang memenatkan.Kemudian malamnya ,sekali lagi kami berkunjung ke rumah emak kerana tidak puas untuk berbual-bual dengan emakEmak menasihati kami agar pergi mengerjakan umrah terlebih dahulu supaya belajar apa yang patut dibuat.Insya Allah,kami akan ke sana juga satu hari nanti.

Friday, May 15, 2009

AIR LAICI KANG

Setiap kali makan di luar, biasanya suami saya akan meminta air laici kang.Baru-baru ini, kami sekeluarga makan di luar.Kali ini saya belanja suami makan.Sekali..................bukan selalu.Anak saudara suami,Apiz mengikuti kami.Kami hanya berikan dia air sirap sahaja.

Bersama-sama dengan Haziq, Apiz begitu ceria sekali."Apiz, nak satay la, uda tua," katanya kepada suami.Begitulah keletah Apiz setiap kali keluar bersama kami malah dia sendiri hendak tidur di rumah kami.Walaupun baru berusia tiga tahun tetapi kemanjaannya begitu ketara sekali apabila bersama dengan Pak Udanya (Uda Tua).Malam mesti bersama dengan Pak Udanya (Satu bantal).Dia tidak mahu menggunakan bantal lain melainkan bersama dengan Pak Udanya.Dengan saya lagi dia tidak mahu.Saya selalu menyakat Apiz, sebab itulah Apiz memang tidak berapa mesra dengan saya.Sekali-kali dia akan datang dan mencium saya apabila saya mengambil/mendukung adiknya.Cepat-cepat dia akan berlari ke arah saya.

Haziq begitu teruja untuk merasai air laici kang.Memang selama ini, Haziq tidak pernah merasai air tersebut kerana banyak bahan terdapat dalam air tersebut.Antaranya ialah buah laici, kembang semangkuk, cincau dan lain-lain lagi.Hari itu,Haziq merasainya dan terus berkata "bestnya" lain kali kita nak minum air tersebut.Itulah penangan air laici kang di Jalan Kenawar Segamat.

Pena kasih: Dulu tidak pandai minum air lobak susu, sekali mencuba hendak lagi..............

Thursday, May 14, 2009

KETEGASAN

Sifat tegas saya kadang-kadang terbawa-bawa sewaktu menjalankan tugas.Sebagai salah seorang pentadbir dalam sesebuah institusi untuk memenuhi impian dan hasrat anak buah memang menyukarkan.Kadang-kadang kita terpaksa mengenepikan perasaan kita semata-mata memastikan anak buah sentiasa berada dalam keadaan yang tenang, ceria dan dapat melaksanakan tugas dengan gembira.

Pada saya, sekiranya anak buah dapat menunaikan tanggungjawab dan mematuhi setiap arahan sudah cukup daripada kita sentiasa mengadakan pertemuan sehingga menimbulkan kemarahan anak buah.Memang kadang-kadang kita perlu sentiasa berjumpa tapi pada saya hanya dengan memberikan memo (berbentuk tindakan yang perlu dibuat dan dirancang dalam masa sebulan atau seminggu)sudah cukup sebagai tindak susulan yang perlu dilakukan.Alhamdulillah, setakat ini anak-anak buah saya dapat melaksanakan tugasan yang diberikan dengan cemerlang.Tidak perlu kita bertemu dan berbincang sehingga memakan masa dan akhirnya menimbulkan kelam kabut.Yang pasti setiap tindakan dilakukan dan menepati masa sudah cukup pada saya.Yang penting kita akan sentiasa memantau.

Pena kasih:Percaya kepada anak-anak buah dalam menjalankan tugasan yang diberikan.Mampu melaksanakan tugasan yang diberi dengan baik.

Sunday, May 10, 2009

MEROTAN

Teringat kisah semasa berada di sekolah rendah.Apabila isu merotan dikeluarkan kembali mulalah saya terbayangkan sebatang rotan yang pernah hinggap di tapak tangan saya.Ketika itu saya berada di darjah 6 di salah sebuah di dearah Segamat.Masih terbayang wajah guru yang merotan saya .Sehingga kini, terlihat wajah guru tersebut saya akan terasa pedihnya kesan rotan di tapak tangan saya.Saya bukanlah anak murid yang nakal,tetapi disebabkan oleh rakan sekelas yang membuat bising,semuanya kena rotan.Memang geram dengan kerenah rakan-rakan lelaki ketika itu.Tapi apa boleh buat................................

Tapi kini apabila rotan dikenakan mulalah tindakan undang-undang akan diambil.Pada saya,merotan untuk memberi pengajaran adalah lebih baik daripada kita berleter tanpa meninggalkan kesan kepada anak-anak didik saya.Lihatlah kalau dulu,rotan sudah jadi kemestian kepada murid-murid yang membuat salah.

Anak lelaki saya sendiri pernah dirotan oleh ayahnya kerana tidak mendengar kata.Kesannya sehingga kini begitu terasa pada dirinya.Dia masih ingat ayahnya merotan di kaki sehingga dia terlompat kerana kesakitan.Alhamdulillah,sejak itu anak saya terus berubah dan tidak berani lagi melakukan perkara yang tidak disukai oleh ayahnya.

Cuma saya memang tidak pernah dirotan oleh ibu dan ayah.Ayah saya merupakan seorang yang tidak pernah memarahi anak-anaknya.Hanya dengan mendiamkan diri sudah memberi makna yang mendalam berbanding dengan ibu saya yang suka berleter.Namun begitu,saya tetap menyanjung tinggi segala pengorbanan yang ibu dan ayah berikan kepada kami.

Pena Kasih:Tidak pernah melihat ayah meninggikan suara kepada anak-anaknya.

FELDA KEMELAH

Hari ini bersama dengan ibu dan ayah , saya ke rumah emak saudara yang terletak di Kemelah.Saya memang jarang melawat emak saudara walaupun bukannya jauh sangat tetapi disebabkan kesibukan...................hasrat untuk berkunjung sering tergendala.

Petang tadi,pukul 5.00 petang saya bertolak ke Felda Kemelah.Menziarahi emak saudara dan sempat juga berjumpa dengan sepupu saya.Kami memang jarang berjumpa.Kalau dulu semasa kecil rumah inilah tempat kami bertandang.Cuti sekolah, saya dan adik akan tidur di Kemelah.

Kami mempunyai ramai kawan-kawan di Kemelah ketika kecil dahulu.Kawan sepermainan tapi kini semuanya membawa haluan masing-masing.Malah ada yang tidak kenal apabila berjumpa.Maklumlah tubuh badan, wajah sudah berubah.Meniti usia tua.

Pukul 7.00, kami bertolak balik.Sampai di rumah terus masak untuk suami dan anak-anak.Yang menariknya Haziq telah bermurah hati untuk memberikan bantuan menolong saya memasak.Saya memang sering mengajak anak lelaki saya turun ke dapur.Membantu saya dan sekurang-kurangnya dia tahu tanggungjawab apabila besar nanti.Pagi tadi, dia menolong saya mengemas dan mengalih perabot.Memang rajin tapi tidak boleh dipuji di depannya .Mulalah dia minta upah.

Pena kasih: Teringat nostalgia lama bersama-sama teman di Kemelah.

Saturday, May 9, 2009

MERCY MALAYSIA

Hari ini sekolah saya telah menerima kedatangan rakan-rakan MERCY Malaysia dalam program kesiapsagaan sekolah bengkel pemetaan risiko sekolah.Sepasukan MERCY Malaysia yang diketuai oleh Dr Azizi bin Azizan dan rakan-rakan datang ke sekolah kami jam 8.00 pagi.Seramai 40 orang murid telah terpilih untuk menyertai program tersebut dan rata-ratanya dari tahun 4 dan 5 serta lima orang dari tahun 6.

Kesungguhan murid-murid sekolah mengikuti program tersebut amat menggembirakan hati pihak sekolah.Walaupun hari ini merupakan cuti umum kerana perayaan Wesak tetapi kesungguhan murid-murid memberikan kerjasama untuk hadir ke program tersebut begitu bermakna kepada kami.Banyak input yang diperolehi oleh murid-murid dan sekurang-kurangnya mereka diberikan pendedahan akan fungsi dan tanggungjawab MERCY Malaysia.Amat mendukacitakan kami ialah seramai 2 orang yang tidak dapat hadir telah menutup ruang kepada murid-murid lain untuk turut serta ke program tersebut.Syabas dan tahniah kepada mereka yang menyertai program tersebut.

Program yang bermula jam 7.30 pagi dan berakhir jam 5.00 petang amat bermakna kepada mereka.Program yang tidak membosankan pelajar-pelajar.

Saya bersama-sama dengan GPK HEM berada di sekolah seawal jam 7.00 pagi bagi memastikan kehadiran murid-murid.Kami berada sehingga jam 5.30 petang dan memastikan semua murid balik dalam keadaan yang selamat.Kami juga dibantu oleh cikgu Supian,Cik Wan dan En.Ali.Malah saya bersyukur kerana cikgu-cikgu di sekolah ini memberikan kerjasama yang begitu baik setiap kali program dijalankan di sekolah ini.

Pegawai daripada JPNJ juga telah hadir ke sekolah kami yang diketuai oleh Encik Rozman.Memantau perjalanan program tersebut dan beliau berpuas hati melihat murid-murid sekolah ini yang dilihat berdisiplin. Di akhir program, murid-murid dibekalkan dengan T-Shirt dan juga DVD. Kepada pihak MERCY, pihak sekolah merakamkan ucapan terima kasih kerana telah memilih sekolah ini untuk programnya.

Pena Kasih:Letih tetapi seronok melihat wajah anak didik yang begitu ceria .

Friday, May 8, 2009

JASAMU IBU

8 haribulan Mei, merupakan Hari Ibu.Jasa dan pengorbanan ibu terhadap anak memang tidak dapat diucapkan dengan kata-kata............................Teringatkan kata-kata ibu ketika saya masih bersekolah untuk melihat anak-anak berjaya dalam hidup.Harapan dan impian seorang ibu untuk melihat anak-anaknya berjaya akan tetap saya ingat sampai bila-bila.

Kami bukanlah dari gologan yang senang.Ibu, ketika dahulu bertungkus lumus untuk membesarkan kami berdua.Pagi ibu bangun awal melakukan tugas rutin dan memastikan anak-anak bersarapan pagi sebelum ke sekolah.Selepas itu, ibu akan pergi menoreh getah bersama-sama dengan ayah.

Apabila cuti sekolah tiba, saya akan pergi membantu ayah dan ibu ke kebun getah.Menolong apa yang patut.Kemudian,ibu dan ayah telah mengambil keputusan untuk membuka kedai di kampung.Alhamdulillah, perniagaan mereka maju.Namun semuanya berakhir apabila ibu saya sakit dan perniagaan mula merosot.Setiap kali perniagaan hendak maju, ibu akan ditimpa sakit.Akhirnya saya telah mengambil keputusan agar ayah tidak perlu berniaga lagi.

Alhamdulillah berkat kesabaran dan doa ibu yang tidak putus-putus,akhirnya kami sekeluarga bangkit dari kesusahan.Apabila saya bekerja, niat saya untuk membahagiakan keluarga saya tercapai.Saya hadiahkan ayah sebuah kereta.Setakat ini, sudah tiga buah kereta ayah pakai.Malah ayah berhajat untuk memiliki MYVI.Insya Allah, hajat ayah akan saya usahakan.

Saya kagum dengan cara ibu saya dalam menjalankan ibdahnya.Ibu saya begitu rajin malah setiap hari memang tidak pernah tinggal sembahyang Dhua.Sering mengingatkan saya melakukan ibadat sunat itu.Begitu juga hajatnya untuk menunaikan haji akhirnya tercapai.Ada saja rezeki mereka berdua.

Tapi peristiwa yang amat menyedihkan ialah ketika ibu ditimpa sakit.Selama sebulan ibu saya diserang sakit misteri.Ibu saya ketika itu berada dalam dunianya.Tapi yang amat saya kagum ialah walaupun ibu saya sakit, tapi sembahyang tidak pernah dilupakan.Kekuatan itulah yang menyebabkan ibu saya cepat tersedar.Setiap kali hendak sembahyang, saya akan membawanya ke bilik air untuk mengambil air sembahyang dan kemudian saya akan tengok dia sembahyang.Alhamdulillah, ibu mampu melakukan ibadat dengan sempurna.Selepas itu, saya akan membisikkan ayat kursi dan bacaan yassin .Hanya itu yang saya mampu lakukan.
Melihat wajah ayah yang begitu gusar dengan penyakit ibu amat menyedihkan saya.Lalu saya kuatkan semangat ayah dan nyatakan ibu akan sihat seperti biasa.

Namun begitu penyakit ibu berulang buat kali keduanya.Tapi hanya seminggu sahaja.Pelbagai usaha dilakukan untuk menyembuhkan ibu.Alhamdulillah, ibu sembuh.Tapi pada tahun 2007, ibu terkena penyakit itu lagi.Kali ini, hanya tiga hari sahaja.Hanya yang mampu saya lakukan ialah membisikkan ayat kursi setiap kali dia memandang saya dengan muka yang garang.Ada kalanya dia hendak menggigit saya tapi saya terus melawannya.Selepas itu , saya memohon keampunan daripadanya.Apa yang saya lakukan adalah untuk melihat ibu saya sihat.
Setiap kali jam 3.00 pagi, ibu saya terkena penyakit misteri itu.Sementara ayah memanggil pawang untuk membantunya, sayalah terpaksa berhadapan dengan keadaan ibu yang begitu ganas.Hanya ayat kursi sahaja yang dapat membantu saya mengurangkan ketegangan ibu saya.Selepas itu, saya terasa begitu letih setelah bertungkus lumus membaca ayat tersebut dan berusaha untuk memulihkan kembali ingatan ibu.Peliknya apabila bunyi azan subuh,ibu akan lemah dan boleh melakukan sembahyang subuh.

Pena Kasih:Sering berdoa agar ibu tidak terkena penyakit misteri itu.Selamat Hari Ibu.

TANGGUNGJAWAB


Walau sepenat manapun saya tetap memastikan anak-anak dan suami tidak kelaparan di rumah apabila saya berada di sekolah seawal jam 6.30 pagi dan balik jam 6.00 petang.Saya akan memastikan apabila balik rumah, saya akan terus ke dapur dan menjalankan tugas sebagai isteri dan ibu kepada seorang suami dan dua orang anak.Memang tidak dinafikan apabila bekerja sehingga lewat petang menyebabkan kita akan keletihan. Tapi alhamdulillah suami begitu memahami akan prinsip kerja saya.

Yang penting tanggungjawab sebagai isteri dan ibu tidak akan saya abaikan.Saya akan pastikan mereka akan makan di rumah walaupun saya begitu letih.Suami tidak cerewet dengan apa yang saya masak.Yang penting saya akan masak sendiri.


Pena kasih: Pengikat kasih sayang keluarga ialah masak untuk keluarga.

Thursday, May 7, 2009

KURSUS KOMPENTENSI GPK

Selama dua hari saya menghadiri kursus berhubung kait dengan pengurusan amalan baik di sekolah yang diadakan di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri di Taman Skudai Baru.Dengan ditemani suami dan anak,saya bertolak ke Johor Bahru pada hari Selasa jam 10.00 malam.Sampai di Taman Sri Skudai jam 1.00 pagi.

Rancangan awal untuk bertolak pada pagi 6.5.2009.Memandangkan pendaftran jam 8.00 pagi, kami mengambil keputusan untuk pergi sehari lebih awal untuk mengelakkan kelam kabut.Tidur di rumah kakak ipar dan saya tidak menginap di asrama yang disediakan.Saya mengambil keputusan untuk tidur di rumah kakak ipar kerana tempat kursus tidak jauh dari rumahnya.Kursus kali ini agak santai tapi banyak maklumat yang kami perolehi.Kami tidak berasa stress kerana suasana kursus lebih kepada bengkel dan perbincangan .Hari pertama kursus, kami balik awal dan suami mengajak saya ke Persada Johor.Melihat pameran barangan tempatan.Banyak juga maklumat yang diperolehi dan tidak kurang juga saya dapat menyaksikan kumpulan Alleycats membuat rehersal untuk persembahannya.Tepat jam 7.00 malam,kami meninggalkan Persada Johor.Saya juga mengambil kesempatan membeli barangan tempatan.Alhamdulillah semuanya murah.Kami juga telah diberi peluang untuk merasa makanan tempatan.

Terpegun dengan usahawan melayu yang nampaknya begitu berminat dalam bidang perniagaan.

LinkWithin



Related Posts with Thumbnails