Thursday, May 31, 2012

RUTIN MASA CUTI



Lama juga kami tidak 'trim' pokok-pokok di hadapan dan di sekeliling rumah.Kesempatan cuti dan kebetulan anak-anak bercuti, kami mengambil peluang untuk bergotong-royong.Mengisi masa terluang di samping bergembira membersihkan kawasan sekeliling rumah.Rimas kalau tengok rumah tidak terurus.Macam sibuk tetapi sebenarnya tidaklah sesibuk mana sebab cuti sekolah.

Akhirnya bersama-sama dengan 'my daughter' dan 'my niece' kami memulakan operasi mengangkut daun-daun yang telah dibuang oleh hubby.Lama juga mengerjakan pokok-pokok tersebut tapi puas hati apabila  melihat keadaan sekeliling rumah yang nampak kemas dan bersih.

Hubby tidak pernah melepaskan peluang untuk melatih anak-anaknya membantu melakukan kerja-kerja tersebut.Begitu juga dengan kerja-kerja rumah.Anak-anak tahu apa yang perlu dibuat dan yang tidak disukai oleh ayahnya.Alhamdulillah, anak-anak mengerti  dan mereka tahu melakukan kerja-kerja  mengemas rumah.Kalau anak lelaki,melipat dan membasuh kain memang sudah menjadi tugasannya.Tidak perlu disuruh.Cuti sahaja dia sudah tahu tugasan rutinnya.Menjaga kebersihan di dalam rumahnya.Mereka tidak ada peluang untuk tidur sehingga kesiangan.Kami memang sudah memberitahu mereka awal-awal lagi apa yang kami tidak sukai.Mereka akur dan faham.Saya sememangnya tegas dalam mendidik anak-anak.Saya hendak pastikan mereka tahu apa yang perlu dibuat.

PENA KASIH:

Anak-anak  mengerti......namun,tidak pernah menghampakan permintaan mereka.

Monday, May 28, 2012

JOGING




Memang sudah lama mempunyai niat untuk berjoging tetapi tidak mempunyai teman untuk turut sama.Namun, cuti persekolahan kali ini memberi kesempatan kepada saya untuk berjoging bersama-sama dengan anak dan anak saudara.Tempatnya sudah tentu di Sungai Kapeh.Kawasan yang menarik kini menjadi tumpuan golongan tua dan muda untuk bersantai dan berjoging.

Hari ini saya bersama-sama dengan anak telah pergi ke tempat tersebut.Hampir satu jam juga kami mengambil masa di sana.Berjalan dan berlari anak-anak......penat juga sebab sudah lama tidak berjoging.Letih dan peluh melimpahi seluruh tubuh badan saya.

Orang muda langkahnya cepat tetapi mempunyai anak lelaki yang sentiasa ada bersama saya.Thanks Haziq kerana mengambil berat kat mama ni....

Melayan karenah anak dan anak saudara yang begitu 'excited' untuk ke sana,Sesekali merehatkan diri di kawasan tersebut bagus juga....


PENA KASIH:

Terasa sudah sakit itu dan ini......

Wednesday, May 16, 2012

SELAMAT HARI GURU 2012

Lama tidak menulis.Kekangan masa dan juga masalah kesihatan membuatkan mood untuk menulis hilang buat seketika.Lebih-lebih lagi sejak akhir-akhir ini,pelbagai perkara yang perlu dibereskan.Namun aku tetap merindui dunia penulisan aku mengikut citarasa aku.

Hari ini, aku terasa untuk menulis untuk dijadikan kenang-kenangan aku sebagai guru selama 21 tahun. Banyak kenangan manis dan pahit yang dilalui sepanjang bergelar guru.Tapi itu semua menjadikan pembakar kepada diriku untuk terus berjuang demi anak bangsaku.



 
Hari ini, aku hadir ke sekolah dalam keadaan yang lemah kerana diserang demam.Namun, ku gagahi juga diri ini untuk bersama-sama dengan rakan guru.Banyak kenangan manis sepanjang aku berada di SKCC.Mengenali diri warga SKCC yang begitu prihatin dengan perjalanan sesuatu majlis.Begitu kreatif sekali dan pada tahun ini, banyak perubahan yang berlaku dan menjadikan majlis bertambah ceria dan meriah.

Penuh semangat menyanyikan lagu "KAMI GURU MALAYSIA"


Air mata mengalir apabila menghayati lagu......itulah hati seorang guru.Tiada yang paling membahagiakan apabila melihat anak-anak didik berjaya.
Gelo hati lah pulak.....bukan apa baling bola dan bola kecil melantun keluar tiga sahaja.....
Puteri lilin.....tak boleh panas.....





PENA KASIH

Terima kasih kepada semua guru yang pernah mendidikku sehingga aku berjaya dan mencapai impianku.

Tuesday, May 8, 2012

OPERASI MEMBERSIH

Hari Ahad, emak memaklumkan kepada kami yang mereka akan ke Johor Bahru.Di kesempatan inilah, aku dan hubby mengambil peluang membuat operasi membersihkan rumah emak.Kali ini bahagian dalam rumah.
Selepas, aku mengemas rumahku dan lebih kurang pukul 9.00 pagi, aku ke rumah emak.Hubby dengan kerja-kerja pendawaian elektriknya setelah mendapat ilmu daripada kursus yang dihadiri selama satu  hari bersama dengan bekas guru besar yang aku kenali.Kini menjadi kawan hubbyku.Hanya dua orang peserta sahaja tapi disebabkan inginkan ilmu, mereka tidak kisah.

Walaupun penat dan sakit badan,aku rasa puas hati melihat dalam rumah emak aku kemas.Aku alih susunan perabot,mengangkat itu dan ini.Malamnya aku lepak keletihan dan demam urat.Baru aku terasa, kini aku tidak boleh melakukan kerja-kerja berat sebagaimana usiaku 30an dahulu.Namun, semua kesakitan itu hilang apabila aku lihat wajah emak dan ayah ceria melihat rumahnya bersih.

Bangun pagi, aku terpaksa mengheret kakiku.......sakitnya tidak terperi.Sebelum tidur,ku sapu minyak ke seluruhan badanku.Aku gagahi ke sekolah walaupun seluruh badanku sakit dan terasa di setiap sendiku tidak boleh disentuh.

Aku dan hubby akan melaksanakan satu lagi operasi di luar rumah.Emak dan ayah tidak segagah dahulu, janji mereka masih dan boleh menunaikan ibadah, dikurniakan kesihatan yang baik untuk mengerjakan ibadah.

PENA KASIH:

Aku sayang kalian....

Monday, May 7, 2012

DOA MENGIRINGIMU.....

Hanya yang mampu aku lakukan adalah berdoa agar hasrat dan impian anak didikku untuk menjadi guru.Aku telah dimaklumkan bahawa dia telah terpilih untuk dipanggil temuduga.Memang aku tidak  nafikan kalau mengikut apa yang aku baca, semakin hari semakin sukar untuk menjadi seorang guru.Namun, mereka yang telah dipanggil untuk ditemuduga adalah rezeki.

Begitu pantas sekali dia memaklumkan yang dia telah mendapat tawaran temuduga.Aku tahu hasrat dan impian keluarganya untuk melihat kejayaan anaknya itu.Hanya yang mampu aku berikan adalah tips semasa temuduga dan aku berikan dia meminjamkan buku seperti mana anak perempuanku menggunakannya.

Hanya iringan doa sahaja yang dapat aku lakukan..jika ada rezeki .InsyaAllah hasrat dan impian akan terlaksana juga.


PENA KASIH :

Dari kejauhan aku berdoa .....

Tuesday, May 1, 2012

PERTEMUAN ITU.....

KOMPANG

Kali ini atas permintaan seseorang,ayahku menerima pelawaan untuk melatih mereka belajar berkompang.Hanya dengan satu niat sahaja  untuk membantu anak-anak buahnya  bermain.Tidak mempunyai niat dan agenda lain selain ingin membantu golongan muda mahupun yang lama yang begitu kepingin agar paluan kompang bersemarak kembali di kampung ini.Hampir 30 tahun,kompang di kampung ini berkubur tetapi sejak akhir-akhir ini,semangat untuk mendengar kembali alat muzik tradisional ini berkumandang di kampung telah mula ada.

Tidak puas menelefon, mereka datang sendiri ke rumah ayahku meminta jasa baik ayahku agar dapat mengajar mereka bermain kompang.Malam tadi di rumah ayahku, ramai juga yang hadir.Anak-anak muda diberi peluang untuk memukul kompang.Mereka begitu teruja sekali.Mereka dilatih dengan penuh rasa sabar dan mesra agar tidak ada yang tersentuh rasa.Syukur, mereka begitu bersemangat sekali memukul kompang walaupun di peringkat awal, bunyi yang tidak sama...adatlah itu semua.Bukan mudah sebenarnya.Kalau mereka hanya pandai bercakap soal kompang tapi kalau tidak tahu memukul atau ingin belajar sukar juga.

Aku lihat orang-orang yang hadir begitu semangat .Yang jauh dan dekat apabila terdengar paluan kompang diketuk, seorang demi seorang datang.Akhirnya ramai.Aku lihat ayahku melatih mereka dengan penuh semangat.Hanya dengan niat dan satu tujuan sahaja.Tidak lebih daripada itu.Tidak usahlah takut dengan apa yang ayahku telah buat,Ada ilmu dikongsi bersama agar anak-anak muda atau generasi baru tahu untuk memukul kompang.

Sebagai anak, aku menyokong hasrat ayahku untuk mengajar mereka.Aku katakan kepada ayahku agar apabila dengar bunyi-bunyi atau desas-desus yang tidak elok..cukup sekadar mendengar sahaja.Manusia ada mulut untuk bercakap itu dan ini tapi kita pasang satu niat sahaja.Tidak perlu gentar dengan tomahan atau fitnah yang ditaburkan.Sebab itu aku katakan,jangan sesekali kita mempercayai orang-orang di sekeliling kita sepenuhnya kerana manis berbicara di depan kita, di belakang kita macam-macam yang diperkatakan.Yang tersirat terlerai sudah.....................Yang berkias, biarlah mereka berkias.......selagi hati tidak dicuci selagi itulah rasa ketidak puasan terus tertanam di dalam sanubari kita.Manusia tidak sempurna,tidak pernah tidak diperkatakan tampuk pimpinan.....kita ada kelemahan masing-masing.Namun, kini ayahku sudah sampai ke penghujungnya malah sepatutnya sudah lama untuk meninggalkan jawatannya.

Aku kagum dengan keupayaan ayahku menerajui kepimpinan kampung ini walaupun ada di antaranya masih tidak nampak perubahan yang berlaku di kampung ini.Walaupun dikeji , ayahku tetap seperti biasa.Walaupun dihina pada pandangan mata orang lain, ayahku masih meneruskan tanggungjawabnya selagi diberi amanah.Semoga pengganti ayahku sebagai kepimpinan dapat menahan diri dengan tomahan atau fitnah yang ditaburkan.Jika hendak menjadi pemimpin, pimpinlah anak buah dengan mesra dan bukan setakat inginkan jawatan untuk mendapatkan nama tetapi tiada kemesraan di antara satu sama lain.Pastinya kita perlu hormat diri kita sendiri jika kita ingin  orang lain hormat diri kita.
 

PENA KASIH:

Aku banyak belajar daripada kepimpinan orang tuaku.......Aku tidak suka talam dua muka.Aku tidak suka orang yang manis berbicara dan lembut lidahnya tapi di hati ada seribu macam hasad dengki.......Semoga mereka ini mendapat keampunan daripada Allah.


LinkWithin



Related Posts with Thumbnails