Wednesday, September 30, 2009

MINAT SUAMI



Menjadi kebiasaan akan pergi bersembang dengan emak dan ayah pada waktu malam jika kesiangannya tidak kesempatan.Setiap hari,mesti melihat emak dan ayah.
Rumah yang terlalu berdekatan dan memang tidak menjadi masalah kepada saya untuk berjumpa dengan mereka.

Apabila sampai sahaja di rumah anak lelaki berkata:

"Ma, ma sepatutnya berterima kasih dengan kita kerana membeli harian metro hari ini,"katanya.
"Kenapa, ma perlu ucapkan terima kasih kerana adik selalu beli harian metro setiap hari."kata saya.
"Bukan apa,ma.Semuanya untuk ayah.Ayahkan minat dalam bidang penulisan.Hari ini,harian metro ada mengeluarkan iklan kepada sesiapa yang berminat untuk menjadi pemberita sambilan bagi daerah Segamat."
"Oh....itu untuk ayah kan dan mama tidak ada kena mengena dengan hal itu,"kata saya.
"Mama ni tak sporting la dan tak nak beri dorongan kepada ayah,"bebelan anak lelaki saya.
"Mama bukannya tak tahu minat ayah.Malah, dulu-dulu mama selalu ikut ayah mencari berita untuk daerah Segamat.Seronok juga.Sekurang-kurangnya dapat bertemu orang atasan.Ayahkan pernah menjadi pemberita sambilan di daerah Segamat pada tahun 80an dan banyak berita yang ayah buat terutama berkaitan dengan aktiviti di daerah Segamat."
"Banyak keratan akhbar yang ayah simpan sehingga kini," kata saya.

Minat suami dalam bidang penulisan memang tidak dinafikan.Kadang-kadang saya katakan yang dia salah pilih bidang.Pernah dia menyuarakan kepada saya yang dia hendak menjadi wartawan semasa mula-mula berkawan dengan saya.Tapi saya tidak bersetuju dengan cadangannya.Akhirnya dia hanya menjadi penulis yang tidak tetap di dada akhbar.Namun begitu, minatnya tetap ada dan menyuarakan juga kepada saya untuk mengambil master dalam bidang komunikasi secara part time.Saya hanya mendiamkan diri...............tanpa sebarang jawapan daripada saya.Namun, saya tetap memberikan peransang dan dorongan kepadanya untuk memenuhi impiannya itu.Pernah menerima tawaran untuk menjadi penulis tetap di Jabatan Perdana Menteri dua atau tiga tahun dahulu tapi suami menolak tawaran tersebut kerana takut tidak dapat memberikan komitmen kepada tugas hakikinya.

Pena Kasih: Melihat anak sulung mempunyai kriteria seperti ayahnya.Minat pada bidang komunikasi.

TERUJA..............

Menerima surat daripada PPD memaklumkan mengenai syarahan intelektual di UiTM berkaitan dengan kanser.Selepas meneliti isi kandungan surat tersebut,hati begitu teruja untuk turut serta mendengar syarahan tersebut dan sekurang-kurangnya mendapat sedikit info mengenai penyakit tersebut.

Insya Allah bersama-sama dengan Kak Yati (GPK HEM),kami telah mengambil keputusan untuk pergi ke UiTM pada hari Sabtu (24.10.2009).Meminta agar PAP memaklumkan kepada pihak berkenaan mengenai kehadiran kami.Sekurang-kurangnya mendapat sedikit maklumat daripada mereka yang mengalami kanser tersebut.

Pernah melihat mereka yang mengalami penyakit tersebut dan saya memang terlalu sensitif apabila mendengar cerita-cerita daripada mereka yang mengalami kanser tersebut.Sedih kerana ada diantara mereka yang meninggalkan suami dan anak-anak kerana penyakit tersebut.Malah ada diantara mereka yang mengetahui penyakit tersebut apabila sudah di tahap ke tiga atau ke empat.Melihat sendiri penderitaan mereka yang mengalami penyakit tersebut menyebabkan tanpa disedari berlinangan air mata tatkala melihat wajah anak-anak kecil yang ditinggalkan.

Pena Kasih:Pernah melihat sendiri bagaimana cebisan daging gugur setiap kali si pesakit mandi dan memberikan keinsafan kepada diri kita.Pernah doktor mengatakan harapan untuk hidup adalah terlalu tipis tapi sehingga kini si pesakit sihat walafiat.

SUDAH SAMAPAI MASANYA................

Sewaktu memandu menjemput anak lelaki balik dari sekolah, menerima sms daripada anak perempuan memaklumkan bahawa jiran saya meninggal dunia jam 12.00 tengah hari.Sakit tua .

Apabila menerima berita kematian,saya terus memberitahu suami tapi suami ada kelas pada waktu petang dan saya meminta izin untuk melawat jiran tersebut.Suami membenarkan saya pergi.Justeru, saya terus ke rumah jiran dan berjumpa dengan isteri jiran tersebut.

Isterinya pun masih terkejut dengan kematian itu.Sewaktu hendak memberi makanan, suaminya itu sudah tidak dapat menerima makanan tersebut.Lalu si isteri dan anak lelakinya membaringkan suami tersebut sambil membersihkan sisa-sisa makanan yang terdapat dimulut suaminya itu.
Sempat si suami memaklumkan kepada anak lelakinya yang dia hendak mati dan sudah sampai masanya...............Si isteri menganggap itu merupakan suatu gurauan tapi Allah menyayanginya.Allah mengambilnya dalam keadaan yang tenang dan tidak disangka oleh isteri dan anak.Tiada sebarang tanda cuma dilihat suaminya tidak memberikan sebarang tindak balas lalu si isteri berjumpa dengan ayah saya untuk melihat keadaan suaminya.Ternyata suaminya telah tiada.

Lebih menyedihkan si isteri ialah semasa memberikan sarapan si suami seperti biasa.Tidak nampak atau tanda yang suaminya sakit.Sempat si isteri ke pasar membeli lauk-pauk untuk dimasak.Masih berada dalam suasana hari raya dan sudah tentu ia begitu memeranjatkan keluarga tersebut.Namun, kita mesti ingat bahawa kematian itu boleh berlaku bila-bila masa sahaja.Siapa sangka,pagi sihat dan tengah hari tiada.

Pena Kasih:Al Fatihah untuk jiran saya yang pergi tidak akan kembali lagi.

Tuesday, September 29, 2009

BERAYA DI KG KUALA PAYA



Suasana di rumah Mak Ngah.

SRI LEDANG




Beraya di rumah Tok Uteh di Sri Ledang.

RAYA 2009




Raya di Kuing Patah -Rumah mak cik.

Monday, September 28, 2009

MUDAHNYA MEREKA BERKATA..........................


Mudahnya mereka berkata....................kehidupan keluarga kami (emak dan ayah) adalah kerana ayah mudah mendapat kewangan hanya kerana pembinaan masjid di kampung dan mampu untuk membeli kereta dan membina rumah.

Mudahnya mereka berkata...............sekelompok keluarga emak dan ayah senang kerana ayah menerima habuan daripada pembinaan masjid.Begitu mudah dan senang mereka melafazkan kata-kata itu.Alhamdulillah.Itulah di mata segelintir manusia yang cuba untuk memecah belahkan kehidupan keluarga.


Tidak pernahkah mereka memikirkan bertapa susah payahnya anak-anak emak dan ayah bangun dan bangkit bagi memastikan kedua orang tuanya hidup senang.Sudah cukup ayah dan emak hidup susah di masa lampau.Walaupun kami hanya berdua tapi syukur dengan ilmu yang diberikan kepada kami, kami mampu untuk membahagiakan dan memastikan ayah dan emak hidup senang.Syukur kepada Allah, kerana kami sering berbincang dan berusaha memastikan kehendak ayah dan emak ditunai.Alhamdulillah,kami juga mendapat suami yang menghargai jasa emak dan ayah kami.Tidak pernah sekali-kali mereka menidakkan apa yang kami hendak berikan untuk emak dan ayah.Syukur, saya mendapat suami yang begitu memahami perasaan saya terhadap ayah dan sanggup mengeluarkan wang muka untuk membeli kereta pertama ayah dahulu.

Mudahnya mereka berkata itu dan ini kepada keluarga kami.Hanya yang kami mampu lafazkan alhamdulillah pada setiap patah perkataan yang dilontarkan kepada keluarga kami.Cuma saya berdoa agar Allah bukakan pintu hati mereka untuk terus tidak melontarkan kata-kata yang hanya memakan diri sendiri.Kami doakan agar Allah bukakan pintu hati mereka dengan seluas-luasnya agar mendekati diri kepada Allah.Agar sentiasa mengunjugi rumah Allah.Agar sentiasa menghabiskan masa dengan melakukan perkara-perkara yang berfaedah daripada hanya duduk dan cuba mencari perkataan-perkataan baru untuk dilontarkan kepada keluarga kami.Kami sentiasa mendoakan agar keluarga mereka sentiasa dilindungi oleh Allah dan dijauhi daripada perkara-perkara yang mengaibkan keluarga mereka sendiri.

Sebenarnya bukan senang untuk mencapai sesuatu kejayaan jika tidak berusaha.Allah mengurniakan kita kudrat agar sentiasa berusaha jika inginkan kehidupan yang senang dan diredai oleh Allah.Memang mudah mereka berkata.Memang mudah mereka melontarkan kata-kata tapi tidak semudah itu Allah memberikan kita kesenangan jika kita tidak berusaha.

Pena Kasih:Syukur perjuangan ayah bersama-sama dengan AJKnya untuk memastikan penduduk kampung memperoleh masjid baru akhirnya tercapai walaupun menghadapi pelbagai onak dan duri.Tidak semudah itu mereka berkata............................

TAHNIAH

Perkhabaran berita mengenai kelahiran cahaya mata yang keempat di hari raya pertama oleh Pn Norlela disambut dengan gembira.Jangkaan sebenar ialah pada bulan Oktober .Namun, saya mendoakan agar kedua-duanya berada dalam keadaan sihat.Tahniah diucapkan kepada Pn Norlela.

Pagi tadi, En Supian datang ke sekolah untuk memaklumkan bahawa beliau mengambil cuti kerana isterinya kini berada di Melaka kerana hendak bersalin juga disambut dengan perasaan gembira.Nampaknya pada tahun ini, kedua-dua orang guru sekolah ini menerima kehadiran cahaya mata yang akan menyerikan kehidupan mereka sekeluarga. Sekali lagi sekalung tahniah diucapkan kepada En Supian yang juga menantikan cahaya mata yang keempat.Apa-apa pun diucapkan tahniah.

Justeru,pada hari ini saya mengambilkan masa dengan menyiapkan jadual waktu baru bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran berjalan seperti biasa walaupun ketiadaan guru kerana cuti bersalin.Alhamdulillah,tanpa sebarang gangguan saya berjaya menyiapkan jadual waktu untuk diagihkan kepada semua guru.

Pena Kasih:Sentiasa memastikan agar proses p & p berjalan seperti biasa.

Saturday, September 26, 2009

MARHABAN



Jam 5.30 pagi, emak mentua menelefon meminta agar suami mengambilnya di IoI untuk dihantar ke Batu Anam kerana emak hendak mengadakan marhaban pada hari itu.Selepas solat subuh, suami terus ke rumah adiknya dan menghantar emak ke Batu Anam.

Saya tidak dapat menolong emak mentua kerana kawan sekolah suami hendak datang ke rumah.So, suami awal lagi telah memaklumkan kepada emaknya yang saya tidak dapat menolong supaya emak tidak berkecil hati.

Jam 5.30 petang, saya sekeluarga ke rumah emak mentua dan menolong apa yang patut.Alhamdulillah,pada malam itu ramai yang datang ke rumah emak.Anak perempuan saya menolong emak saudaranya mengemas dan mencuci pinggan mangkuk.Kali ini, emak menjemput kaum lelaki untuk mengadakan marhaban di rumahnya dan emak juga akan menjemput kaum perempuan yang tarikhnya belum diketahui lagi.

Pena Kasih:Teruja juga hendak menjemput kaum perempuan marhaban di rumah saya.

Friday, September 25, 2009

AIR HITAM




Hari Jumaat, saya sekeluarga dan emak mertua bergerak ke Kluang.Menerima pelawaan Kak Long di samping melihat bandar Kluang.Bukan senang untuk ke daerah Kluang jika tidak ada sesuatu urusan.Kami ke sana, ke rumah besan Kak Long.Pernah ke Kluang tapi tidaklah meninjau bandar tersebut hanya melalui jalannya sahaja ketika pergi berkursus atau bermesyuarat.

Kami ke sana sehingga jam 4.00 petang dan mengambil keputusan untuk balik ke Segamat.Singgah sebentar ke bandar Air Hitam.Tidak sah jika tidak membeli bunga-bunga yang pelbagai warna dan bentuk yang begitu menarik sekali.Saya juga teruja untuk membeli bunga dan pasu walaupun hari raya sudah berlalu selama lima hari.Minat menceriakan ruang dalaman di rumah menyebabkan suami akur dengan kehendak saya.Apabila sudah disusun atur sudah tentu nampak ceria dan menarik.Saya memang suka melihat persekitaran dalam rumah bersih dan kemas.Suka mengubah kedudukan perabot tetapi sering mendapat teguran daripada suami.

Pena kasih: Air Hitam memang menjadi destinasi utama sebelum ke Johor Bahru.

Thursday, September 24, 2009

TERKENANG

Hari ini, saya dan suami beraya di rumah Mak Itam.Kami pergi lebih kurang jam 11.00 pagi.Berjumpa dengan Mak Itam setelah hari raya yang ke lima.Ingatkan kami hendak pergi pada hari raya kedua tapi disebabkan terlalu ramai tetamu yang hadir kami tidak dapat mengikut perancangan yang telah dinyatakan.Namun,kehadiran kali ini tidak seperti tahun-tahun yang lalu.Kami masih lagi terkenangkan allahyarham Pak Itam yang meninggalkan kami lebih kurang empat bulan yang lalu.Terasa sunyi.

Haziq mengadu kepada kami akan kelainan beraya di rumah Tok Tamnya.Terlalu sunyi.Tiada guruan senda daripada Tok Itam.Terlalu sedih katanya.Memang kami tidak nafikan kata-kata Haziq.Sunyi.Tapi apabila kita fikirkan yang kematian itu adalah ketentuan Ilahi.Kita perlu reda.Setiap yang hidup akan menempuh saat kematian.Antara cepat dan lambat sahaja.Kita tidak tahu bila saat kematian akan kita tempuhi.Justeru, semua itu menyedarkan diri kita agar sentiasa mengingatiNya.Bila-bila masa sahaja kita dijemput.

Pena Kasih: Sedih tapi reda.

Wednesday, September 23, 2009

MASA


Terlalu cepat berlalu.Meninggalkan ramadhan. Sudah empat hari kita menyambut syawal.Namun suasana hari raya masih ceria.Kanak-kanak masih lagi bertandang dari rumah ke rumah.
Mereka bukannya hendak makan kuih tapi yang penting kepada kanak-kanak ialah duit raya.Bagi mereka itu memang sudah kemestian malah mereka cuba mengumpul seberapa banyak duit raya.Sudah menjadi lumrah.

Begitu cepat masa berlalu dan masing-masing telah kembali bertugas.Ada yang agak liat untuk balik semula bekerja.Ada yang rasa begitu seronok untuk kembali bekerja tapi bilangannya terlalu sedikit.Mereka rasa tidak puas untuk berhari raya bersama-sama dengan keluarga,berjumpa sanak saudara yang sekian lama tidak ditemui.

Hari ini, anak-anak mak mentua semuanya sudah kembali ke rumah masing-masing.Rumah begitu sunyi sekali.Raya ketiga,adik beradik suami tidur di rumah saya.Begitulah amalan setiap tahun mereka akan bermalam di rumah kami.Begitu seronok berkumpul dan berbual-bual walaupun dalam keadaan kepenatan.Haziq terutamanya begitu gembira dengan kehadiran sepupunya itu.Bukan apa,mereka beramai-ramai bermain mercun dan bunga api walaupun dilarang oleh kami.

Begitu cepat masa berlalu.Cuti seminggu sudah tinggal beberapa hari sahaja.Setiap hari, saya mengingatkan Haziq supaya menyiapkan kerja sekolah yang diberikan oleh cikgunya.Begitu juga dengan kak long yang selalu diingatkan supaya membuat ulangkaji kerana peperiksaan SPM hampir tiba.Selepas solat subuh,Haziq terus sahaja menyiapkan kerja-kerja yang diberikan oleh gurunya.Begitulah amalannya setiap hari walaupun hari raya.

Begitu cepat masa berlalu.Banyak rumah saudara mara yang masih belum diziarahi.Terlalu sibuk melayan tetamu sehingga saya tidak mempunyai kesempatan untuk pergi ke rumah mereka.Setiap kali kami merancang untuk keluar, tetamu pun sampai dan kami bersyukur di atas kehadiran mereka.

Begitulah masa.Namun, tidak menyesal masa itu berlalu dengan cepat cuma kita gagal untuk merencanakan kehidupan kita sehingga kita tidak mempunyai masa yang mencukupi.

Pena kasih: Tetap menghargai masa.

Monday, September 21, 2009

PERTEMUAN



Raya ke dua saya dan suami bersepakat tidak ke mana-mana.Kami hanya duduk di rumah menantikan kehadiran keluarga sebelah saya dan suami.Alhamdulillah, sepupu-sepupu saya ramai yang datang.Tidak seperti tahun-tahun yang lalu,kami beraya ke rumah sadara mara tapi kali ini kami mengambil keputusan untuk menanti kehadiran mereka.

Pertemuan yang dinanti-nantikan begitu bermakna kepada kami.Sepupu yang menetap di Kuching turut balik ke semenanjung untuk bersama-sama dengan emaknya yang buat kali pertamanya beraya tanpa suami di sisi.Sudah tentu rasa kelainan apatah lagi kehilangan seseorang di hari yang mulia ini.Saya juga rasa bersedih kerana selama ini allahyarham begitu banyak berceloteh dan membuat kami ketawa.Kini hilai ketawa tiada lagi.Terasa sunyi.

Riuh rendah suasana pada hari itu.Masing-masing membawa pelbagai cerita yang dikongsi bersama-sama kami.Ada cerita yang menarik dan tidak kurang juga cerita yang menyedihkan kami.Namun,pertemuan itu begitu bermakna kepada kami yang selama ini jarang dapat bertemu disebabkan kesibukan masing-masing.

Pena Kasih:Harap tahun depan dapat bertemu lagi.Insya Allah.

Sunday, September 20, 2009

RAYA 1







Bulan ramadhan yang selama ini dinanti-nantikan berakhir dan disambut dengan bulan syawal.Alhamdulillah, saya dan suami telah mengerjakan solat aidil-fitri di Masjid Lubuk Batu.Terharu mendengar khutbah daripada tuan imam di situ.Selepas itu,diadakan pula bacaan tahlil oleh tuan imam.

Selepas selesai mengerjakan solat, saya dan keluarga telah pergi ke rumah bapa saudara yang terletak di Kg Gelang Chincin.Ayah dan emak telah pergi awal kerana permintaan Pak Ngah untuk mengadakan kenduri dengan diketuai oleh ayah saya.Agak terlewat sampai kerana kami berada di masjid sehingga selesai bacaan tahlil.

Buat pertama kalinya setelah hampir lima atau enam tahun saya tidak menemui sepupu yang sama-sama menjadi teman sepermainan sewaktu kecil bertemu semula.Bila dah berjumpa terlalu banyak cerita yang kami bualkan.Sepupu yang baru sahaja menerima cahaya mata setelah berkahwin hampir 8 tahun.Anaknya berusia setahun sembilan bulan tapi mempunyai bentuk badan yang agak berisi.Terlalu keletah.

Kami berada di sana lebih kurang satu jam dan selepas itu bertolak ke Batu Anam.Kami singgah di tanah perkuburan yang terletak di batu 8.Suami berjumpa dengan rakannya semasa di sekolah rendah yang ketika itu menziarahi tanah perkuburan keluarga masing-masing.

Seperti biasa dan telah menjadi kelaziman kami akan beraya di Kg Spang Loi.Beraya bersama-sama dengan datuk dan nenek sebelah suami.Saya tidak agi mempunyai datuk dan nenek baik disebelah ibu mahupun di sebelah ayah.Masing-masing telah meninggal dunia beberapa tahun yang lalu.

Kami tidak lama di Kg Spang Loi.Pada tahun ini,kami telah mengambil keputusan untuk balik awal dan berehat di rumah.Namun bertemu dan berbual-bual dengan saudara mara sudah cukup melepaskan kerinduan masing-masing.

Apabila sebut hari raya, kami memang tidak lari daripada terjumpa dengan menu yang menjadi kelaziman kami iaitu ketupat, nasi impit,rendang, kari dan lemang.Sungguh enak.

Pena Kasih: Raya pertama lebih kepada pertemuan dan ziarah-menziarahi keluarga yang terdekat.

Thursday, September 17, 2009

SALAM AIDIL FITRI



Mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Raya,Maaf Zahir dan Batin kepada semua yang pernah di kenali terutama bekas pelajar SK Bukit Hampar Tahun berakhir 1979,SMK Canossian Convent (1984), SMK Tinggi Segamat (1986),Maktab Perguruan Kinta Perak (1991) dan kenalan yang dikenali sewaktu di USM (2004-2008).

Kepada semua blogger yang mengikuti blog saya dan juga pelajar-pelajar SK Canossian Convent dan kepada guru-guru SKCC.


Pena Kasih:Kalian tetap dalam kenangan saya.

Wednesday, September 16, 2009

BAZAR RAMADHAN

Hari ini selepas bertarawih,saya luangkan sedikit masa untuk ke bazar ramadhan.Setelah berpuasa selama 27 hari,inilah kali pertama saya menjejakkan kaki ke situ.Orang terlalu ramai dan saya hanya sekadar meninjau melihat pelbagai jenis kuih-muih, pakaian dijual di situ.Tiada apa yang saya beli kerana bila terlalu ramai saya menjadi rimas dan tidak tahu apa yang hendak dibeli.

Berpusing sebanyak dua kali dan kami bersepakat untuk pulang ke rumah sahaja.Melihatkan itu, sudah tentu ia merupakan persiapan terakhir oleh kaum ibu dan bapa untuk anak-anak mereka.Saya tidak mampu untuk lama di situ.Akhirnya saya beredar meninggalkan kawasan tersebut dan terus pulang.


Pena Kasih: Persiapan telah dibuat lebih awal.

Tuesday, September 15, 2009

HARI RAYA SEMAKIN HAMPIR


Lagu raya semakin berkumandang di corong-corong radio.Tinggal lagi beberapa hari lagi ramadhan akan kita tinggalkan dan syawal disambut.Rasa sedih meninggalkan bulan ramadhan yang penuh dengan kenikmatannya dan memberikan keinsafan pada diri kita.

Anak-anak murid di sekolah dengan wajah yang ceria mengira hari persekolahan.Mereka tidak sabar untuk bercuti, balik kampung dan memeriahkan hari raya bersama-sama keluarga masing-masing.Malah ada yang bertanya :"Cikgu, hari Jumaat ini, cuti tak?"Seolah-olah mereka tidak sabar untuk menyambut ketibaan syawal.Insya Allah,permohonan untuk bercuti ganti telah saya tulis untuk dihantar kepada pihak yang berkenaan.Masing-masing ada yang hendak mengambil cuti awal untuk balik ke kampung.Itulah kemeriahannya untuk menyambut hari raya setelah sebulan mereka berpuasa.Kadang-kadang mereka sendiri menceritakan kepada saya persiapan yang telah dibuat oleh ibu bapa mereka.Saya hanya tersenyum sahaja.

Mereka tidak sabar untuk bermain bunga api dengan sepupu-sepupu mereka.Melihat ibu bapa yang sibuk menganyam ketupat untuk dijamukan kepada tetamu yang hadir.Berduyun-duyun menuju ke masjid mengerjakan solat hari raya dan amalan kunjung mengunjungi saudara mara yang berdekatan di samping mengeratkan perhubungan.Iitulah gelagat anak murid saya menceritakan ketidak sabaran mereka untuk menyambut hari raya.

Pena Kasih:Menyambut secara sederhana.

Monday, September 14, 2009

C ERITA TEMAN


Teringatkan kisah teman sewaktu hendak menyambut hari raya. Kisah diceritakan kepada saya untuk melepaskan perasaannya kerana ketidak puasan terhadap suami.Terlalu ego dikatakan.Kisah ini sudah hampir 8 tahun lalu tapi ianya meninggalkan kesan kepada saya.Saya hanya meminta beliau bersabar.Ranjau dalam menjalani kehidupan sebagai suami isteri.Sudah tentu banyak cabaran dan ujian yang perlu kita tempuhi.

Beliau menyuarakan rasa ketidak puasan hati terhadap suami yang seolah-olah tidak pernah untuk menjaga hati isteri.Isteri yang menganggap mentuanya adalah seperti ibu bapa sendiri dan tidak pernah sekali-kali untuk mengecewakan hati mentua.Diikutkan setiap kehendak mentua dan dijaga hati mentua agar tidak terkecil hati .Lalu saya katakan itulah sebenarnya peranan kita.Anggaplah mentua itu sebagai ibu bapa kita sendiri.Isterinya selalu memendam perasaan melihat perlakuan suami yang ego, yang terlalu mementingkan diri sendiri.Isteri tadi tidak tahu apakah kesalahan yang dilakukan oleh ibu bapanya sehingga si suami begitu dingin dengan keluarganya.Saya mendengar sahaja setiap rintihan teman saya dengan genangan air mata sambil mendoakan agar dijauhi perkara-perkara itu kepada keluarga saya.

Teman saya begitu bersungguh-sungguh menceritakan akan perihal suaminya.Kedinginan suami terhadap keluarganya amat menyedihkan hatinya.Ibu bapanya begitu prihatin terhadap cucu-cucunya.Terlalu mengambil berat akan kebajikan cucu-cucunya.Saya faham naluri seorang datuk dan nenek terhadap cucu-cucunya.Kasih sayang mereka kepada cucu melebihi kasih sayangnya kepada anak sendiri.Namun, teman saya itu terlalu banyak memendam perasaan terutama lebaran yang hampir menjelang.Teresak-esak dia menceritakan kepada saya.Saya meminta dia bersabar kerana suatu hari nanti suaminya akan terbuka hati untuk menyayangi mentuanya dan mengakui kesalahan diri sekiranya sikap ego itu tiada pada diri suaminya itu.
Mungkin apabila ibu bapa sudah memejamkan kedua-dua matanya, meninggalkan kita semua barulah kita hendak insaf.SubhanaAllah.Jauhilah daripada itu semua.Kasihani mentua sebagaimana kita mengasihi ibu bapa mereka.

Kini, saya tidak tahu kisah selanjutnya daripada teman saya.Adakah suaminya sudah berbaik dengan mentuanya atau sebaliknya.Saya sering meminta dia bersabar walaupun sebenarnya saya faham akan perasaan teman saya itu.Kecewa, Sedih,Luluh hati melihat perlakuan suaminya itu.


Pena Kasih:Menganggap mentua adalah seperti ibu bapa sendiri.Tahu akan pergorbanan mereka membesarkan kita sehingga kita berjaya hari ini.

Sunday, September 13, 2009

NIKMATNYA BULAN RAMADHAN


Ketibaan bulan ramadhan memang dinanti-nantikan.Waktu inilah kita boleh beramal ibadat dengan sepenuhnya.Gangguan tidur kerana sering terjaga di waktu malam mempunyai kenikmatan yang tersendiri.Walaupun kadang-kadang kita berasa mengantuk kerana kekurangan tidur tapi ianya mempunyai nikmatnya sendiri.

Bersyukur kerana dikurniakan kesihatan yang baik, dapat mengerjakan ibadat di tengah malam yang sunyi sepi.Dapat membaca yassin setiap hari serta dapat mengurangkan tidur pada waktu siang.Semuanya mempunyai kenikmatannya yang tersendiri.

Bulan yang penuh dengan kesedaran.Kesedaran kepada golongan miskin dan anak-anak yang memerlukan bantuan dan perhatian untuk turut sama menikmati kemeriahan menyambut syawal.Hati ini terusik apabila terpandangkan anak-anak yatim yang tinggal di Gemereh.Saya memang mudah mengalirkan air mata apabila melihat wajah anak-anak yatim yang kehilangan ibu dan bapa.Mereke kehilangan kasih sayang dalam usia yang muda.Semuanya itu menyebabkan hati saya mudah tersentuh.Apabila kita membayangkan,suatu hari nanti kita akan juga kehilangan ibu dan ayah,air mata ini akan mudah mengalir.Suami sering menegur saya jika melihat air mata bergenangan.Sukar untuk saya menghalang air mata dari terus menitis.

Pena Kasih:Setiap kali Mak Itam menceritakan aruah suaminya.air mata begitu mudah mengalir kerana buat kali pertama Aruah Pak Itam tidak bersama kami menyambut syawal.Al-Fatihah.

Saturday, September 12, 2009

TETAMU BULAN RAMADHAN

Hari ini emak mentua bersama-sama dengan besannya telah datang ke rumah saya.Agak meriah dengan kehadiran tetamu yang sememangnya kami mengundang mereka untuk bersama-sama berbuka dengan kami.

Kami juga telah mengundang kak long dari Johor Bahru untuk turut sama berbuka di rumah kami tetapi disebabkan dia perlu balik ke Johor Bahru kerana bekerja di sebelah malam.Namun begitu, kami dapat juga bersama-sama berbuka dengan Kak Long pada hari Jumaat.Setiap tahun, memang kami jadikan ianya sebagai rutin untuk hadir berbuka bersama-sama dengan keluarga.

Kemeriahan jelas terbayang diwajah anak-anak kecil.Suasana berbuka di kampung.Begitu riuh sekali rumah kami.Pada hari itu, kami bertarawih di rumah sahaja dengan diimamkan suami saya.

Pena Kasih:Mudah-mudahan amalan kunjung-mengunjungi akan berterusan sekurang-kurangnya dapat mengeratkan lagi perhubungan setelah masing-masing sibuk dengan tugas .

Thursday, September 10, 2009

DUIT RAYA UNTUK CUCU


Ayah memang seorang yang begitu prihatin dan amat penyayang kepada cucu-cucunya.Pada tahun ini ,awal-awal lagi ayah telah menyumbangkan sedikit duit raya kepada cucu-cucunya seramai empat orang.Ayah meminta kami menggunakan wang tersebut untuk membeli pakaian anak-anak kami.Terima kasih, ayah.

Setiap tahun ayah memang tidak lupa untuk menyumbang duit raya untuk cucu-cucunya.Kegembiraan jelas terbayang di wajah anak lelaki dan perempuan saya apabila menerima wang tersebut.Pelbagai rancangan telah diatur oleh anak saya dengan wang yang diterima.Lalu saya memaklumkan bahawa wang tersebut atas permintaan datuk mereka untuk membeli pakaian mereka.Terkedu sedikit anak-anak saya terutama Haziq.

Namun sebagai seorang ibu,sudah tentu kita tidak mahu menghampakan perasaan anak.Setiap permintaan anak akan ditunaikan sama ada cepat dan lambat sahaja.Kita hendak mereka juga merasai akan kesusahan kita untuk mendapatkan sesuatu.

Pena kasih:Kami dua beradik masih lagi dapat duit raya daripada ayah walaupun sudah bekerja.

BERBUKA PUASA DI KAMPUNG

Hari ini atas permintaan ibu mentua, saya bersama-sama suami bergerak ke kampung lebih kurang jam 6.00 petang.Sebelum itu, saya singgah sebentar di bazar ramadhan membeli sedikit juadah untuk berbuka puasa di sana.

Kami sampai di sana lebih kurang jam 7.05 malam.Seronok berbuka bersama-sama dengan datuk dan nenek.Begitu selera sekali apabila mereka masak ala kampung.Suami pun turut sama menggemari masakan mak utihnya.Setiap tahun, kami akan mengambil kesempatan untuk berbuka dengan datuk dan nenek .

Hari ini, kami berimamkan suami mengerjakan solat tarawikh di rumah.Alhamdulillah, pada tahun ini,dengan kesihatan yang mengizinkan sudah banyak masjid yang kami pergi.Syukur kepada Allah.Memang itulah niat dan azam kami berdua pada tahun ini.Haziq yang pada mula agak liat untuk mengerjakan solat sering diberikan peransang oleh ayahnya untuk terus melakukan solat tersebut.Syukur pada tahun ini dia dapat melakukannya dengan baik.Setiap malam, kami juga meluangkan masa untuk membawa emak mentua mengerjakan solat tarawikh di masjid yang berhampiran dengan rumah adik ipar di IOI.

Pena Kasih:Sering mendoakan agar dikurniakan kesihatan yang baik untuk memudahkan melakukan solat.

NAIK ANGIN

Adik telah menyampaikan satu perkhabaran yang agak mengecewakan kepada saya.Anak saya yang bersekolah di Gemereh agak menurun prestasi ujian bulanannya dan kerja-kerja sekolahnya.Biasanya anak lelaki memang memerlukan kesabaran untuk menyuruh dia belajar.Anak lelaki saya lebih suka menumpukan apa yang gurunya ajar di dalam kelas daripada belajar di rumah.Setiap hari ada sahaja yang diceritakan kepada saya tentang guru-gurunya.

Mata pelajaran yang diminati dan kurang diminati.Saya selalu menasihatinya agar sentiasa mengulangkaji pelajaran dan membuat kerja sekolah yang diberikan oleh gurunya.Alasan yang diberikan kawan dia selalu tidak membuat kerja.Jadi, dia juga ingin seperti kawannya.Saya tidak boleh terima alasan seperti itu.Apabila saya naik angin, dia begitu takut sekali.Apa yang dikehendaki telah saya tunaikan.Dia sering mengharapkan agar guru-gurunya dapat mengajar dengan baik kerana penumpuan di dalam kelas amat penting.Itulah yang sering dikatakan kepada saya.Dia begitu berminat dengan mata pelajaran yang diajar oleh gurunya dengan bersunggh-sungguh.

Saya memarahi sehingga dia tidak berani menegur saya dan untuk mengajarnya ,saya mengambil tindakan dengan membiarkan dia dengan emosinya itu.Apabila saya tidak melayannya dia telah banyak berubah dan setiap kali saya mengambilnya dari sekolah dia akan memberitahu saya yang dia ada kerja sekolah.Balik saja selepas bersolat, dia terus mengeluarkan kerja-kerja rumah yang diberikan oleh gurunya.Saya percaya yang anak saya boleh melakukan sesuatu apabila tekanan diberikan kepadanya.Jika kita tidak ambil kisah, dia pun leka dan apabila saya naik angin dia terus bertindak.Sejak itu, saya dapati perubahan demi perubahan berlaku dalam dirinya.Dia begitu takut apabila saya tidak melayaninya seperti selalu.

Saya memang suka jika seseorang guru itu bertindak memaklumkan kepada kita jika anak kita menampakkan penurunan prestasinya.Malah, setiap malam saya akan pastikan buku-buku anak akan saya periksa apabila dia tidur untuk memastikan kerja-kerja sekolah dibuatnya.

Pena kasih:Seorang ibu sudah tentu hendak melihat anaknya berjaya.

Wednesday, September 9, 2009

SERIK



Melihatkan peniaga berniaga di bazar ramadhan,terdetik di hati ini kesungguhan orang-orang kita mencari rezeki untuk menampung keperluan keluarga.Namun disebalik itu terselit perasaan kesal kerana ada segelintir peniaga yang hanya mementingkan keuntungan tetapi tidak mementingkan kualiti makanan yang dijual.

Baru-baru ini,bersama suami ke bazar ramadhan untuk membeli sedikit makanan untuk berbuka.
Teragak untuk membeli roti john.Agak terkilan kerana roti yang kami beli tidak boleh dimakan.Kemudian, kami teruja pula untuk membeli roti john di bazar ramadhan yang lain pada hari yang berlainan.Jawapannya masih sama.Begitu senang mereka hanya menjual dengan harga RM3.50 sebuku tetapi rasanya tidak seperti yang kami harapkan.Tidak boleh dimakan.

Kemudian emak juga sudah beberapa kali terkena dengan bubur som-som.Orang tua sudah tentu teragak untuk merasai makanan tersebut semasa berbuka.Meminta anak perempuan saya membelikannya tapi apabila hendak makan rasanya sudah basi.Sejak itu, emak tidak pernah lagi menyebut untuk membeli bubur som-som.Sudah dua kali terkena dan tempat yang sama.

Harapan saya agar para peniaga yang telah diberi peluang untuk berniaga,berniagalah dengan baik dan jangan menjual makanan yang sudah tidak boleh dimakan.Ingatlah,jangan terlalu mementingkan keuntungan tapi nilai ringgit yang dikeluarkan oleh pelanggan perlu juga diberi perhatian.

Pena kasih:Lebih berhati-hati sewaktu memilih makanan.

Tuesday, September 8, 2009

LAGU RAYA

Hari ini meminta suami agar balik awal sedikit dari biasa.Bertujuan untuk membeli sedikit barang untuk disumbangkan kepada anak-anak yatim dan juga yang kurang berkemampuan.Justeru,suami mengambil saya dari sekolah jam 3.00 petang dan kami terus membeli barangan.Esok,kemungkinan kami akan mengedarkan sedikit sumbangan kepada mereka yang memerlukan.

Selepas membeli barangan, terdengar pula lagu hari raya.Terasa sambutannya kian hampir lantas meminta suami membelikan cd lagu hari raya.Terkenangkan sewaktu menyambut hari raya sewaktu kecil.Meriah sekali apatah lagi apabila lagu hari raya berkumandang di corong radio.Suami dan anak lelaki tersenyum mendengar permintaan saya.Saya memang kurang berminat mendengar lagu tetapi sejak lagu hari raya berkumandang teruja pula untuk membeli lagu cd tersebut.


PEPERIKSAAN UPSR
Hari ini peperiksaan UPSR bermula.Terlihat diwajah mereka ada sedikit kegusaran.Lantas,kami masih lagi memberikan sedikit motivasi dan peringatan kepada murid-murid agar sentiasa menyemak soalan dengan teliti.Mudah-mudahan anak-anak didik yang kami ajar dapat menjawab soalan dengan tenang dan betul.

Peperiksaan ini juga menyebabkan guru-guru tidak senang.Bukan apa takut mereka tidak dapat menjawab seperti yang diharapkan.Guru sekolah kami masih lagi memberikan tips kepada murid-murid dan mereka sanggup datang ke sekolah jam 3.00 hingga 5.00 petang untuk membuat ulangkaji bersama guru mereka.

Kami berharap agar segala yang diajar dapat diaplikasikan oleh murid sewaktu menjawab soalan.

Pena Kasih: Tetap mendoakan kejayaan anak-anak didik.

Monday, September 7, 2009

MAJLIS RESTU

Perhimpunan pagi ini dipenuhi dengan program majlis restu untuk pelajar-pelajar tahun 6 yang akan menduduki peperiksaan UPSR pada 8-10 September 2009.Semua murid berbaris dan memberikan kata semangat dan mendoakan kejayaan kakak-kakak mereka yang akan bertungkus lumus menjawab soalan peperiksaan pada hari tersebut.

Guru-guru juga turut sama berdiri dan memberikan kata-kata semangat dan tidak putus-putus nasihat demi nasihat dilontarkan agar murid-murid menjawab soalan dengan baik dan berhati-hati.Kami percaya pelajar sekolah ini mampu melakukan sesuatu untuk sekolah.

Kemudian,guru-guru mengagihkan kismis kepada semua pelajar.Begitu prihatinnya cikgu untuk memastikan anak-anak didiknya mencapai kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan.

Pena kasih:Sentiasa mendoakan kejayaan anak-anak didik sekolah ini.

MAJLIS RESTU

Perhimpunan pagi ini dipenuhi dengan program majlis restu untuk pelajar-pelajar tahun 6 yang akan menduduki peperiksaan UPSR pada 8-10 September 2009.Semua murid berbaris dan memberikan kata semangat dan mendoakan kejayaan kakak-kakak mereka yang akan bertungkus lumus menjawab soalan peperiksaan pada hari tersebut.

Guru-guru juga turut sama berdiri dan memberikan kata-kata semangat dan tidak putus-putus nasihat demi nasihat dilontarkan agar murid-murid menjawab soalan dengan baik dan berhati-hati.Kami percaya pelajar sekolah ini mampu melakukan sesuatu untuk sekolah.

Kemudian,guru-guru mengagihkan kismis kepada semua pelajar.Begitu prihatinnya cikgu untuk memastikan anak-anak didiknya mencapai kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan.

Pena kasih:Sentiasa mendoakan kejayaan anak-anak didik sekolah ini.

Thursday, September 3, 2009

TITIPAN SEMANGAT


Sewaktu perhimpunan pagi, saya telah berpeluang berjumpa dengan murid-murid tahun 6.Kata-kata semangat agar mereka terus berjuang bagi memastikan SKCC mencapai kejayaan yang besar dalam UPSR diselitkan bersama.Harapan dan doa ibu bapa, diri sendiri mahupun sekolah mengiringi mereka yang akan menduduki peperiksaan pada minggu hadapan.

Terpancar di wajah anak- anak didik, perasaan takut, bersedia dan ada yang tidak mengambil kisah dengan peperiksaan itu.Namun, titipan semangat dilontarkan diiringi dengan harapan agar mereka sihat dan seterusnya dapat menduduki peperiksaan .Kata-kata itu diharap agar memberikan satu semangat agar mereka terus berusaha walaupun tiga hari begitu bermakna kepada anak-anak tersebut.

PIBG sekolah juga telah bermurah hati memberikan sedikit sumbangan kepada pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan berupa peralatan tulis.Semoga dengan bantuan yang diberikan ini ,dapat menaikkan lagi semangat bahawa kami warga sekolah memang sentiasa menyokong dan memberikan semangat kepada mereka.

Guru-guru tahun 6 yang menggunakan masa yang singkat ini untuk terus membantu anak didik dalam memberikan tips-tips menjawab soalan.Hanya itu sahaja yang dapat kami lontarkan kepada anak didik agar terus berusaha dan bagi murid-murid Islam, di bulan Ramadhan inilah banyakkan berdoa,sembahyang hajat.Insya Allah, Allah akan sentiasa mendengar doa-doa tersebut.

Pena Kasih:Mengharapkan agar tahun ini memberikan sesuatu yang terbaik untuk sekolah.

MENCARI ALASAN



Gelagat anak murid sering diperhatikan.Setiap hari ada sahaja masalah yang ditimbulkan.Seorang pelajar yang sering ke sekolah dalam keadaan menangis.Memanggil nama ayahnya untuk pulang semula ke rumah.Kadang-kadang melihat wajah ayah menampakkan perasaan kurang senang dengan gelagat anaknya itu.Ada masanya si ayah tidak tahan lalu menampar muka anaknya itu.Mungkin terlalu geram dengan kerenah anaknya itu.Bukannya pelajar tahun satu tetapi pelajar itu kini berada di tahun tiga.Setiap tahun memang tidak pernah tidak mengalirkan air mata setiap pagi ke sekolah.Kami sememangnya sudah lali dengan gelagat pelajar tersebut.

Hari ini, pelajar tersebut buat hal lagi.Menangis sehingga termuntah.Alasannya sakit perut dan demam.Lalu tugas kami bukannya hanya sebagai pengajar sahaja,tetapi kami menjalankan kerja-kerja seperti jururawat.Meminta guru bertugas memeriksa suhu badannya ternyata ia berada di tahap normal.Apabila saya masuk kelas, pelajar itu terus menangis lagi.Saya memang telah memerhatikan tingkah lakunya sejak dahulu lagi dan bertanya dengan guru-guru lain mengenai pelajar tersebut.Alasan kerana sakit memang telah menjadi mainannya.Apabila diselidik,pelajar tersebut memang tidak membuat kerja-kerja yang diberikan.Itulah yang sebenarnya kenapa setiap hari menangis.Takut dimarahi dan dileteri.Sekadar ke sekolah untuk menghadirkan diri.Pelajar lain sibuk dengan kerja-kerja sekolah, dia hanya melihat sahaja.
Saya memang tidak puas hati selagi pelajar tidak mendapat sesuatu.Justeru, saya akan pastikan pelajar tersebut akan buat juga tugasan yang diberikan walaupun tidak membawa buku ke sekolah.

Pernah kami memanggil ibu bapa pelajar tersebut.Bapanya memang tidak dapat buat apa-apa kerana terlalu manja.Kami berharap agar ibu bapa tersebut memberikan perhatian dalam pelajaran dan memantau kerja-kerja yang diberikan.Kami tidak mahu pelajar tersebut tercicir dalam pelajarannya.

Pena Kasih: Jauh disudut hati untuk memastikan pelajar tersebut berjaya dalam pelajarannya.

Tuesday, September 1, 2009

PRIHATIN

Semalam jam 5.30 menerima panggilan telefon daripada emak mentua adik suami meminta mengambil suaminya yang tinggal di batu 7 untuk dihantar ke i0i.Lalu saya menelefon suami mengkhabarkan permintaan tersebut.Suami yang ketika itu masih lagi berada di tempat tugas mengiakan permintaan tersebut.

Memang tidak dinafikan suami sering mengambil berat terhadap sesiapa sahaja yang inginkan pertolongan.Justeru, suami yang hanya bermotosikal sahaja ke tempat kerja kerana dikatakan ringkas dan senang walaupun sebenarnya saya memang tidak menggemari beliau membonceng motosikal ke tempat kerja.Anak lelakinya memang meminta ayahnya setiap hari membawa motosikal untuk menghantarnya ke sekolah.
Lantas, suami pun singgah ke rumah bapa mentua adiknya dan terus membawanya menaiki motosikal ke rumah saya.Sampai di rumah jam 6.00 lebih lantas kami mengambil keputusan berbuka di rumah adiknya di IoI dan kami membawa semua makanan yang telah saya masak ke rumah adik di IoI.

Kesibukan adik suami yang bertugas di hospital Segamat ,memerlukan pengorbanan abangnya membantu dia.Suaminya yang kini berkursus di Hospital Besar Kuala Lumpur menyebabkan sedikit sebanyak tangggungjawab itu terpikul di bahu suami.Lebih-lebih lagi anak saudaranya itu memang begitu rapat dengan suami.Apabila kami sampai di muka pintu rumahnya, jelas kelihatan jeritan memanggil Pak Udanya dan dipeluk ciumnya Pak Uda menandakan kerinduan dan kegembiraan kehadiran Pak Udanya.

Adik beradik suami seramai tiga orang semuanya berkhidmat dengan perkhidmatan kesihatan.Kadang-kadang kasihan melihat adik suami yang keletihan dan kepenatan menjalani tugas sebagai seorang jururawat bagi memastikan para pesakit dijaga dengan baik.Adik suami yang bekerja di bilik bedah sudah tentu berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam usaha menyelamatkan nyawa para pesakit.

Pena Kasih:Suami memang begitu prihatin dengan situasi seperti kesibukan keluarganya.

RINTIHAN SI IBU


Terlalu sedih hati ini
Melihat sekujur tubuh yang longlai
Lemah dan tidak bermaya
Hanya air mata menemani si ibu ini

Hati ibu terlalu sedih
Menanti kepulangan anak dan cucu
Tiada perkhabaran berita
Antara pulang dan tidak

Masih menanti dan menanti di tepi tangga
Mendengar deruman kereta
Hampa.................
Masih tiada lagi kelibat anak

Pilu hati si ibu
Melihat hidangan, tanpa disentuh
Hanya air mata menjadi teman
setiap hari dan masa

Pilu hati si ibu
hanya gambar menjadi teman
melepaskan rindu tanpa berbicara
Namun kasih si ibu terus bergelora

Anak,
dengarlah rintihan ibumu ini
tiada lama ibu di bumi ini
hanya menanti saat yang tiba

Anak,
ibu tidak pasti bila nyawa ini diragut
tapi dengarlah rintihan ibu
ibu merinduimu, nak
ibu merindui wajah-wajah cucu

Anak,
berilah peluang ibu menatap wajah cucu
dengarlah rintihan ibu,nak
sebelum ibu menutup kedua-dua mata ibu
ibu ampuni dosa-dosamu, nak.

Pena kasih: Ilham daripada rintihan si ibu yang sentiasa menanti kepulangan anak sempena bulan ramadhan.Selagi ibu kita ada, sentiasalah menjaga hati ibu, jenguklah ibu kerana suatu hari nanti kita akan merindui kasih sayang ibu,Kita akan merindui hilai ketawa ibu,kita akan merindui belaian seorang ibu,Kita akan merindui masakan ibu, kita akan merindui semuanya.
Jagalah hati ibu.

LinkWithin



Related Posts with Thumbnails