Monday, November 30, 2009

BERMULANYA CUTI PERTAMA....

Hari ini saya ke sekolah untuk menyiapkan sedikit kerja.Mulai esok sehingga hari Selasa depan nak bercuti tapi my hubby still want to work.Suruh juga hubby ambil off for next week .Dia tengah fikir lagi................my hubby memang tidak berapa suka bercuti.Ingat masa berada di sekolah dahulu dan sebagai tenaga pengajar, memang jarang saya lihat dia mengambil cuti.Masa banyak dihabiskan di sekolah.Ada sahaja yang ingin dilakukan especially for his students.

Awal lagi saya telah berpesan dengan PAP agak tidak mengganggu saya.Banyak kerja sekolah yang perlu saya bereskan.PAP mengingatkan saya this thursday ada taklimat tentang kewangan..........nampaknya terpaksa juga ke sekolah.My son very happy apabila dengar saya bercuti selama seminggu.Macam-macam perancangan yang hendak dibuat dan ingin membantu saya.

Sebenarnya saya juga mempunyai perancangan tersendiri.Untuk menjahit langsir bagi bilik di English Zone..Cuti bukannya bererti saya cuti yang sebenarnya tapi ada kerja-kerja sekolah yang perlu disiapkan sebelum 20 Disember.

Pena Kasih:Banyak perancangan yang hendak dibuat tapi mampukah saya?

Sunday, November 29, 2009

BUNGA ORKID



Menanam bunga orkid memang saya gemari.Tapi saya ni jenis tangan panas, agak sukar untuk bunga itu tumbuh dengan subur.Namun saya berusaha untuk memastikan pokok-pokok orkid saya hidup subur.Pelbagai jenis baja dibeli sama ada baja kambing mahupun baja cacing.Orkid saya tetap seperti itu.Tidak gemuk dan sesubur orkid orang lain.Walau bagaimanapun saya berpuas hati dengan tanaman tersebut.Walaupun tidak subur,ia tetap berbunga.

Petua orang tua kata, kalau nak orkid berbunga, rajin-rajinlah bercakap dengan pokok tersebut.Saya belum cuba lagi.Bukan orang sahaja yang perlu dibelai tetapi pokok-pokok juga perlu dibelai dan diberi perhatian.Bersama suami pada pagi ini, saya melakukan operasi membersihkan kolam ikan yang tidak ada ikan di dalamnya.Kecewa kerana sebanyak 14 ekor ikan koi dibela tapi semuanya hilang satu persatu.Siang ikan itu ada tapi keesokkannya tiada.Akhirnya kami sepakat untuk membela ikan keliBegitu juga.Semuanya ghaib entah ke mana.Akhirnya kolam itu begitu sahaja tanpa penghuni.

Kocakan air pancut yang dibuat oleh suami sedikit sebanyak mendamaikan suasana persekitaran rumah tatkala saya menyelesaikan kerja-kerja sekolah.Memang kami bercadang untuk membela ikan lagi .14 ekor ikan yang berenang di kolam kami, membuatkan hati kami begitu ceria.Keletihan selepas bekerja dan melihat ikan-ikan koi menghilangkan kepenatan kami.

Pena Kasih:Setiap kehidupan ada nikmatnya yang sebenar.

KELIRU....

Semalam saya ke majlis khatam al-Quran.Seramai tiga orang yang berkhatam dan seorang membaca tharanum.Begitu lunak suara mereka mengalunkan ayat-ayat suci al-Quran.Tersentuh hati ini.Malah mereka yang berada di situ juga terpegun.Alhamdulilah, saya juga pernah berkhatam sewaktu perkahwinan saya.Bersama-sama dengan sepupu begitu juga anak-anak saya yang berkhatam sewaktu perkahwinan emak saudaranya.

Buat pertama kalinya,saya bertemu dengan abang Halim yang berpuluh-puluh tahun tidak berjumpa.Peringkat awal, dia takut untuk menegur saya.Takut tersalah orang.Saya hanya melemparkan senyuman sahaja.Kami sebenarnya bersaudara.Apabila sudah mendirikan rumahtangga,masing-masing membawa haluan sendiri.Abang Halim kini menetap di Pulau Pinang dan telah mendirikan rumah di sana.Mana nak kenal.Semuanya sudah berubah.Dia terkejut melihat saya.Dia keliru melihat saya.Zaman anak dara dengan zaman sekarang mana nak sama.Bayangkan pertemuan kami sewaktu zaman anak dara, malah apabila saya sudah mendirikan rumahtangga dan mempunyai anak, kami tidak pernah bertemu.Hari semalam merupakan pertemuan pertama kami setelah masing-masing mempunyai dua orang anak.Mulalah loghat Penang dikeluarkan.Kami ketawa mengimbas kembali kisah-kisah lampau bersama dengan abang Bidin.
Saya tidak lama berbual dengan abang Halim dan abang Bidin.Meminta izin untuk balik awal kerana kami mempunyai program lain.

Pena Kasih:Bila dah bertemu, cerita lama mesti ada............



WAJAH SEORANG IBU............


Kulihat wajahmu,
gusar,resah,sedih,kosong,
menanti saat-saat kepulangan anak,
namun hampa.

Kulihat wajahmu,'
Hanya linangan air mata,
yang mampu dicurahkan,
tiada kata-kata lagi yang perlu diucapkan.

Kulihat wajahmu,
mengharapkan kehadiran anak-anak,
menantikan janji yang diperkatakan,
tapi hampa.

Kulihat wajahmu,
yang ada hanya kedutan-kedutan kecil,
masih mengharapkan anak-anakmu pulang,
masih menantikan mereka di pintu,
tapi tiada.

Bilakah sinar kegembiraan bakal terpancar?
Ibu masih menanti kehadiranmu,
Ibu masih menanti kepulanganmu,
Ibu masih menunggu janji-janjimu.

Percayalah,
setiap detik ibu sentiasa mendoakan anak-anak,
Ibu sentiasa menantikan kehadiranmu.

Pena Kasih:Setiap janji yang dilafazkan kepada ibu hendaklah ditunaikan.Jangan sekali-kali menghampakan perasaan seorang ibu yang pernah melahirkan kita,yang pernah bersengkang mata menjaga kita,yang pernah bersusah payah kerana kita...

Saturday, November 28, 2009

RESDUNG


Resdung merupakan sejenis virus yang terletak di lapisan bawah kulit kita.Ia akan mengalir bersama-sama dengan darah kotor yang menyebabkan ketidak selesaan pada wajah kita.Kegatalan wujud di bahagian hidung, telinga dan mata malah boleh menyebabkan keguguran rambut jika ia berada di tahap yang serius.Kadang-kadang migrian juga berpunca daripada resdung.

Memang tidak dinafikan semua orang mempunyai resdung.Ada yang berada di tahap serius dan ada yang hanya biasa sahaja dan boleh dikawal lagi.
Saya juga menghadapi resdung tetapi tidak serius.Kalau makan 'belacan'yang merupakan makanan kegemaran, mulalah hidung gatal dan kemerah-merahan.Mulalah bangun pagi terbersin yang tidak berhenti-henti.Sudah tentu merimaskan saya.
Hari ini, saya melakukan rawatan resdung secara persendirian.Saya membeli 6 batang kain penawar resdung yang berharga RM5.00 yang bertujuan untuk mengeluarkan ulat/hama resdung.
Saya bakarkan kain tersebut dan diasapkan di bahagian muka.Ternyata banyak hama-hama yang muncul di bahagian hidung dan muka saya.Saya lakukan rawatan tersebut dengan menggunakan 6 batang kain tersebut.Alhamdulillah,terasa lega dan tiada kegatalan lagi di wajah saya.Rawatan ini memerlukan secara berterusan dan saya memang jarang melakukan rawatan tersebut jika tidak mengalami kegatalan di hidung dan mata.Cubalah menggunakan rawatan tersebut.InsyaAllah dengan keizinan Allah dapat mengurangkan masalah resdung yang kita alami.Merawat sebelum merebak.

Pena Kasih: Semua makanan sedap tetapi perlu berhati-hati................

Friday, November 27, 2009

PERTEMUAN




Sejak awal lagi Kak Noi yang merupakan sepupu saya mengingatkan saya untuk datang ke rumahnya malam ini.Majlis kenduri tahlil dan juga merupakan giliran Mak Long untuk mengadakan majlis tersebut.Tidak ramai yang datang kerana raya pertama Aidil Adha lebih-lebih lagi hujan turun ketika majlis berjalan.

Saya hanya pergi bersama dengan emak dan ayah sahaja.Hubby tidak turut serta kerana anak lelaki saya tidak mahu pergi dan terpaksalah ayahnya mengalah untuk menemannya.So, hubby izinkan saya bersama dengan Along untuk hadir di majlis tersebut.

Ramai makcik yang saya temui.Masing-masing tidak mengenali saya lagi.Dulu lain sekarang lain.Dulu zaman anak dara lain tetapi apabila sudah berumahtangga lain pula.Biasalahkan.Yang kurus menjadi gemuk, yang gemuk menjadi kurus.Nostalgia lama berputar kembali.Teringat zaman-zaman dahulu yang masa banyak dihabiskan di Kemelah.Teman-teman sepermainan tidak kira lelaki dan perempuan masih saya ingati lagi.Wajah-wajah mereka masih dalam bayangan saya.Cuma kalau berjumpa,seperti tidak percaya terutama apabila menyentuh tentang saiz badan.Masing-masing tersenyum mengenangkan nostalgia itu.

Kami, apabila berjumpa terutama sepupu saya Kak Noi memang tidak kering gusi.Ada sahaja cerita lama yang kami keluarkan.Mulalah ketawa tidak berhenti-henti.Terlalu banyak kenangan manis di Kemelah.Mandi di sungai dan bermain pondok-pondok.Semuanya indah belaka.

Pena Kasih:Dulu lain sekarang lain...............

REWANG


Sekembali dari Spang Loi, saya bersama-sama dengan emak ke rumah Mak Munah untuk merewang kerana esok rumah mereka akan diadakan majlis khatam Al-Quran.Saya tidak lama di situ kerana terasa badan ini terlalu letih.

Tiada orang di rumah mereka.Hanya di kelilingi anak-anak dan cucu-cucu sahaja.Maklumlah Hari Raya Aidil Adha sudah tentu mereka bersama-sama dengan ahli keluarga.Saya membantu memotong cili kering bersama makcik Mi.

Malam ini,kami berangkat ke Kemelah menghadiri kenduri di rumah Mak Long.Jadual yang padat untuk menghadiri pelbagai kenduri dalam masa yang terdekat ini.

Pena Kasih:Lebih suka duduk di rumah.

AKSI DI PAGI HARI RAYA AIDIL ADHA









Lihat aksi-aksi mereka.

Thursday, November 26, 2009

KELUAR MAKAN






Hari ini, saya memberi peluang kepada anak-anak untuk keluar makan di KFC bersama dengan sepupunya.Mereka memang jarang saya bawa ke sana.Haziq merengek-rengek untuk makan di KFC dan saya benarkan mereka pergi bertiga.Semasa ke sana, mereka dibawa oleh tok yahnya dan waktu balik saya dan hubby pergi mengambilnya.Pelbagai pesanan diingatkan kepada mereka.Mereka memang jarang keluar sendirian jika tidak bertemankan kami.Hari ini saya sibuk dan tidak berpeluang untuk bersama mereka.
Talian hayat sentiasa menjadi perhubungan kami.Sekejap-sekejap saya menelefon mereka dan bertanya mereka kini berada di mana.
Along yang kurang sihat dipaksa oleh adiknya untuk pergi bersama.Sebagai kakak yang memang prihatin akan kemahuan adiknya mengikut sahaja.
Dila turut serta bersama mereka.Satu-satunya anak saudara saya yang sememangnya rapat dengan mereka.

Pena Kasih:Anak gembira hati ibu juga gembira.

Wednesday, November 25, 2009

RENUNGAN


Hafiz terkedu seketika apabila my hubby dengan muka yang serius merenung wajahnya.Keletahnya yang manja dan adakalanya menunjukkan kenakalan membuatkan my hubby terpaksa serius.Hafiz tidak pernah melihat Pak Udanya berwajah seperti itu kerana selama ini Pak Udanya begitu berlemah lembut melayan kerenahnya.
"Apiz tak nak kawan dengan Uda lagi.Apiz nak kawan dengan Uda mok aja."
Saya ketawa melihat patah-patah perkataan yang digunakan.Begitu pandai menyusun ayat dengan menggunakan perkataan-perkataan yang jarang kita dengar dari mereka yang seusia dengannya.
"Uda,uda tengok tu binatang segayut pada tali."Perkataan segayut saya tanyakan kepadanya sambil dia menunjukkan aksinya.
Hafiz tidak mahu melihat wajah Pak Udanya.Begitu ngeri agaknya apabila melihat wajah Pak Udanya yang begitu serius.Sebenarnya,Pak Uda hendak mengajarnya agar lebih bersopan santun dan tidak meninggikan suara ketika bercakap dengan orang yang lebih tua.Budak sekarang semuanya mudah terpengaruh.
Pak Udanya hanya melayan Adif sahaja sehingga menimbulkan perasaan cemburu.Sehingga balik, Hapiz begitu takut untuk berjumpa dengan Pak Udanya walaupun berkali-kali diminta bersalam dan meminta maaf.Hapiz tak nak kawan Uda lagi.Biar Uda kawan dengan Adif sahaja.Budak,begitulah gelagatnya.Sekejap sahaja selepas itu mulalah memerlukan perhatian daripada kita.

Pena Kasih:Suka tengok dia menyebut perkataan cemburu -cembulu

MENILAI


Bukan senang hendak menilai dan memberi prestasi kepada seseorang.Semua orang mempunyai kelebihan yang tersendiri.Jika mereka kurang di bahagian ini, ada kelebihan di bahagian lain......pening kepala saya.Itulah realitinya.Semuanya bagus dan memberikan komitmen yang baik dalam melaksanakan tugasan yang diberikan apatlah lagi berkaitan dengan 'core bussiness ' yang merupakan tumpuan utama.

Bagi saya, 'core-bussiness' itu yang perlu diutamakan.Itulah penilaian utama kita dan pencapaian sasaran sepanjang tahun yang kita sasarkan sejak awal lagi.
Hari ini, saya mengambil masa yang agak lama untuk melaksanakan amanah itu.Bukan senang untuk kita memuaskan hati orang.Bukan senang untuk kita melakukan yang terbaik untuk seseorang kerana ia melibatkan perasaan seseorang.Hari ini saya agak sibuk untuk melakukan itu semua sehingga selera makan juga tiada.Saya cuba lakukan yang terbaik dan berdoa agar Allah permudahkan urusan saya pada hari ini.Berdoa agar setiap penilaian tidak mengikut perasaan dan tidak dipengaruhi oleh sesiapa.Semuanya mempunyai kelebihan yang tersendiri.

Besok,saya perlu ke PPD berkaitan dengan urusan penilaian prestasi.

Pena Kasih:Cuba untuk berlaku adil agar semua orang merasainya dan tidak orang yang sama sahaja menerima.

Tuesday, November 24, 2009

HASRAT TIDAK TERCAPAI


Menerima makluman daripada Mak Itam mengatakan pembatalan untuk ke Kuala Berang,Terengganu akibat banjir yang melanda kawasan tersebut.Kasihan Azlan yang berhasrat untuk melangsungkan pertunangannya terpaksa dibatalkan di saat-saat akhir .
Kami yang begitu teruja untuk menghabiskan cuti di sana agak terkilan kerana hasrat tidak tercapai.Firstly, we are very excited to go there.Tapi apabila memikirkan risikonya yang sedari awal telah mula dirasakan kerana apabila hujung tahun,musim tengkujuh.
Kami juga mendapat tahu yang rumah bakal tunang Azlan juga dinaiki air.Kita hanya merancang dan segalanya ketentuan Allah.
Mungkin ianya merupakan satu kekecewaan pada Azlan.Hasrat untuk menyunting idaman hati terpaksa ditangguhkan pada satu tarikh yang akan ditentukan.
em.......nampaknya hendak melawat Terengganu terpaksalah ditangguhkan.My first child, very happy kerana penangguhan ke Terengganu but my second child selamba sahaja kerana he is not very interested to go there.

Pena Kasih:Nak sangat ke Kuala Berang.

SIBUKKAH KAMI?


Kak Tie saya lihat begitu sibuk dengan kerjanya.Dari hari Isnin hingga ke hari ini,saya tengok Kak Tie begitu sibuk dengan buku kedatangan murid-murid.Buku kedatangan merupakan audit yang penting bagi sekolah.Ke hulu dan ke hilir saya lihat kak Tie dengan buku tersebut.
Selepas itu, kami membuat sedikit perbincangan untuk tahun hadapan.Keperluan yang perlu dilaksanakan bagi memastikan agar perjalanan persekolahan di awal tahun berjalan dengan lancar.Biasanya hari pertama pihak PPD sudah memantau sekolah dan memastikan tiada apa-apa berlaku di hari pertama persekolahan.Pengajaran dan pembelajaran mesti dijalankan pada hari pertama dan semua guru dan murid dibekalkan dengan jadual sewaktu mereka membeli peralatan tulis.

Hari ini, saya telah menyiapkan kerja frasa pertama iaitu menampal keputusan UPSR yang telah dianalisis dan kini bersedia untuk menyiapkan program perfect score A untuk tahun hadapan.Semua maklumat telah diperolehi cuma perlu di 'key in' sahaja.Mudah-mudahan Allah permudahkan perjalanan kerja saya.

Sebelum pukul 8.00 telah berada di sekolah dan kami tidak mempunyai ruang untuk berehat sehingga jam 1.30 petang.Masa kami dihabiskan dengan menyiapkan pelbagai tugasan yang perlu dihabiskan.Hari ini juga kami menerima perkhabaran tentang penerimaan guru baru di sekolahi.Tahniah kerana memilih untuk berkhidmat di sekolah ini.

Pena Kasih:Jadual waktu masih dalam perbincangan.


RAKAN LAMA


Rakan lama yang ditemui dalam facebook.Noorwati Mohd Salleh.

MENGIKUT JEJAK


Nampaknya semenjak saya mempunyai blog sendiri, ramai rakan-rakan saya juga ingin mempunyai blog sendiri.Masing-masing mampu membina blog dengan inisiatif sendiri.Mereka cuba belajar sendiri dan alhamdulillah nampaknya usaha mereka berhasil.Ekin dengan tintanurbisa,radziah dengan nurkasih dan kak Timah dengan maksayangnya.Begitu simbolik sekali dengan nama blog mereka.Tentu ada sesuatu yang tersirat disebalik nama itu.Mungkin beberapa orang lagi rakan akan mempunyai blog mereka sendiri.Kadang-kadang seronok dan enjoy membaca blog rakan-rakan.Penuh dengan pelbagai cerita menarik yang boleh dikongsi bersama.Malah, melalui blog juga saya dapat menemukan beberapa orang rakan yang telah terpisah lama.

Apabila berasa bosan, blog rakan-rakanlah yang sering ditinjau dan diintai.Yang menariknya setiap blog mempunyai pengikut tersendiri sama ada secara senyap mahupun terserlah.Anak-anak murid juga ada yang suka melihat blog malah mereka sentiasa ingin mengetahui perkembangan persekolahan mereka.


Pena Kasih:Apabila penat membuat program sekolah saya akan berhenti dan membaca blog rakan-rakan.

Monday, November 23, 2009

PERSIAPAN MENJELANG TAHUN 2010


Jam 8.00 pagi sudah mula bertolak dari rumah untuk ke sekolah.Hari ini minta hubby hantar.Malasnya nak memandu.Kemudian minta hubby ambil jam 1.30 petang.Banyak yang perlu diselesaikan dan membuat sedikit persiapan untuk tahun 2010.

Hari ini, saya dapat menyelesaikan analisa UPSR dan seterusnya mengedit gambar-gambar untuk dijadikan bahan bukti program yang dijalankan sepanjang tahun 2009.

SKPM juga telah saya selesaikan dan sekarang penumpuan hanyalah kepada aktiviti sepanjang tahun 2010 dan juga buku tugasan guru.Kalau kerja telah diansurkan lebih awal, insya Allah saya perlu menghalusinya sahaja sehingga hujung tahun.

Minggu hadapan rasanya saya hendak bercuti selama seminggu.Tidak mahu diganggu dan hanya menyiapkan kerja sekolah di rumah sahaja.Rasa rindu pula untuk berehat bersama keluarga.Jika tidak setiap kali cuti tidak berpeluang untuk saya bersantai bersama-sama dengan anak.Saya diperlukan berada di sekolah.

Kadang-kadang anak merungut juga melihat kesibukkan saya sehingga tiada masa untuk bersama mereka.Kami menggunakan sistem giliran untuk menjaga sekolah.At least, boss perlukan dua orang untuk berada di sekolah dalam masa yang sama.Pada saya, kalau kita dapat selesaikan apa sahaja yang orang atasan perlukan,tidak perlu ramai-ramai berada di sekolah.Sebenarnya saya lebih selesa membuat kerja di rumah dari di sekolah kerana banyak gangguan yang saya terima sewaktu berada di sekolah sehingga menjejaskan penumpuan saya pada apa yang perlu saya siapkan.

Di rumah, apabila saya hendak menyiapkan kerja sekolah hubby dan anak-anak tidak pernah mengganggu saya.Mereka tahu apabila saya berada di bilik dan hendak menyiapkan kerja bermakna saya serius melaksanakan sehinggalah semuanya selesai.Tetapi apabila di sekolah, terlalu banyak yang perlu dibicarakan semua kerja terbengkalai dan menyebabkan kehilangan mood.Sebab itu, ada ketikanya saya perlukan 'privacy' ketika hendak menyiapkan kerja.Sebab itulah, saya memerlukan mereka memahami akan 'privacy' saya apabila menyelesaikan kerja-kerja sekolah.

Pena Kasih: Kadang-kadang mood kita berubah kerana tiadanya 'privacy'.

Sunday, November 22, 2009

SEHARI DI BUKIT AMAN










Hari ini kami sekeluarga pergi ke majlis jemputan perkahwinan anak angkat mak mentua di Bukit Aman.Majlis diadakan di dewan di Bukit Aman.Perkahwinan anak abang Md Nor dan kak Liza.Walaupun pasangan ini menghadapi masalah pertuturan tetapi alhamdulillah kedua-dua anaknya dilahirkan sempurna.Cantik dan kacak sekali.

Perkahwinan Nisa bersama dengan salah seorang anggota polis yang bertugas di Bukit Aman.Majlis yang begitu meriah sekali dengan kehadiran orang-orang OKU.

Kami sampai jam 11.30 pagi kerana emak mentua memang terlalu ingin berjumpa abang Md Nor dan Kak Liza yang sudah bertahun tidak bertemu.Untuk menunggu sehingga jam 1.00 petang, sempat juga kami melawat taman rama-rama dan taman burung.Lebih kurang jam 1.30 petang, kami ke Bukit Aman semula untuk melihat pasangan mempelai diarak ke dewan.Semuanya hanya sebagai kenangan sahaja.Kami tidak lama di sana kerana mengambil keputusan untuk balik awal ke Segamat.

Pena Kasih:Selamat Pengantin Baru buat Nisa dan pasangannya.

Saturday, November 21, 2009

PERJALANAN YANG JAUH



Hari ini kami berjalan agak jauh sedikit.Semalam ke Johor Bahru dan tidur di rumah kakak ipar di Skudai.Suami mempunyai urusan yang perlu dibereskan.Jam 7.00 malam,kami bertolak dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur.Perjalanan yang agak jauh bagi kami yang sememangnya tidak mengemari 'long distance'.Walaupun suami berada dalam keletihan tetapi memenuhi hajat emak mentua yang ingin melihat persandingan cucu angkatnya di Kuala Lumpur.

Kami sampai di Damansara jam 11.30 malam.Nampak sangat di wajah suami yang begitu letih sekali.Kasihan suami drive sendiri dan tiada penggantinya.Suami meminta saya membantunya memandu tetapi saya menolak kerana tidak biasa memandu pada waktu malam dan menghadapi sedikit masalah penglihatan.

Sepanjang perjalanan, saya tidak habis-habis berzikir dan berdoa agar perjalanan kami tidak menghadapi sebarang masalah.Hujan lebat yang turun sedikit sebanyak mengganggu pemanduan suami.Namun bersyukur semuanya selamat.

Pena Kasih:Gembira dapat bertemu ipar duai di Kuala Lumpur.

Friday, November 20, 2009

BERAKHIRNYA SESI PERSEKOLAHAN 2009





Pelbagai amanat disampaikan oleh guru besar kepada semua murid dan guru pada hari ini.Sesi hari ini lebih kepada peringatan kepada semua murid sewaktu cuti persekolahan.Meminta murid mengulang kaji pelajaran dan menjaga keselamatan diri sewaktu cuti persekolahan.

Selepas rehat, semua guru dan murid-murid bersama-sama bergotong-royong membersihkan kelas dan menyusun atur barang-barang ke tempat yang lebih selamat sebagai persiapan menghadapi musim banjir.Memandangkan sekolah ini pernah terlibat dengan banjir besar pada tahun 2006, jadi kami perlu lebih berhati-hati dan bersiap sedia lebih awal dengan memunggahkan barang-barang penting ke tempat yang lebih selamat.Masing-masing begitu sibuk sekali.

Kemudian, sesi persekolahan berakhir dengan semua murid beratur dan bersalam-salaman dengan semua guru.Ada yang menangis malah ada yang begitu gembira untuk menghabiskan percutian selama lebih kurang 6 minggu.Guru-guru juga berpelukan memohon maaf di antara satu sama lain.Kadang-kadang kita tidak menyedari tutur kata dan perbuatan kita menyinggung perasaan orang lain.Masa dan peluang inilah digunakan untuk bermaaf-maafan di antara satu sama lain.Linangan air mata memang tidak dinafikan.Banyak melakukan kesalahan kot..........
Waktu-waktu cuti ini, si isteri berpeluang untuk berjumpa dan menjalankan tanggungjawab sebagai isteri yang sebenar-benarnya kerana berpisah seketika atas faktor kerjaya.Peluang ini juga digunakan untuk menjaga kebajikan suami kerana ada kalanya kerana kesibukkan kita sering mengabaikan tanggungjawab kita.

Nampaknya cuti kali ini saya tidak dapat bercuti dalam erti kata yang sebenarnya.Banyak perkara yang perlu dibereskan.Minggu hadapan sahaja perlu berada di sekolah.Menyiapkan program untuk tahun hadapan bersama kak Yati.Sedihnya tapi apa boleh buat.

Pena Kasih: Gembira melihat murid gembira.

Thursday, November 19, 2009

GEMBIRA DAN BERPUAS HATI






Keputusan UPSR akan diumumkan di peringkat sekolah selepas jam 10.00 pagi.Kelihatan murid tahun 6 tidak sabar untuk menantikan perjuangan yang selama ini ditunggukan.Ada yang takut malah ada yang muka selamba sahaja.Biasalah kanak-kanak.Seolah-olah semuanya biasa-biasa sahaja.Tetapi sebagai seorang ibu dan bapa, sudah tentu mereka tidak sabar untuk mengetahui keputusan anak-anak mereka.Resah dan takut pun ada.

Namun saya bersyukur kerana peratus kelulusan bagi sekolah saya meningkat begitu juga dengan peratus kelulusan mata pelajaran.Semua mata pelajaran memperolehi keputusan 97.1% kecuali bahasa Melayu penulisan 100%.Tahniah kepada semua guru tahun 6 dan murid atas pencapaian terebut.

Hanya 3 orang sahaja yang memperolehi 5A dan 2 orang memperolehi 4A .Gan Mei San, Tey Pei Sze dan Rachel meraih 5A sementara Tiffany dan Kirubashini 4A.Mana perginya pelajar Melayu?Ini yang menimbulkan persoalan kepada saya?Mereka hanya mampu meraih 3A sahaja.Memang sedih memikirkan sikap pelajar Melayu.Memang jelas nampak tatkala pelajar Cina dan India bertungkus lumus mengulangkaji pelajaran mereka hanya selamba sahaja.Walaupun pelbagai motivasi dan kata-kata rangsangan diberikan tapi mereka seperti tidak nampak jalan akan kepentingan belajar itu.Kalau si Mei San membawa buku berjumpa dengan saya, yang lain hanya berbual-bual sahaja.Itulah bezanya cara belajar mereka.Saya puji sikap Mei San yang seawal pagi akan berjumpa dengan saya membawa buku latihan yang dua tiga buah untuk mendapatkan maksud perkataan.Tidak hairan saya melihat beliau mencapai keputusan yang baik sejak dari tahun 1 lagi.

Hari ini, majlis pengumuman diadakan di dewan dengan disaksikan semua murid dan guru.Belum pun keputusan diumumkan sudah ada yang menangis kesedihan.Menangis ketakutan atau naluri mereka terasa akan keputusan yang diperolehi.Guru-guru juga ada yang menangis kesedihan melihat anak murid mereka menangis.Malah ada yang gembira kerana sasaran mereka tercapai.Terima kasih kepada semua guru yang cuba untuk memastikan SKCC bertahan setiap tahun.

Pena Kasih:Semua panitia telah menyusun strategi untuk tahun hadapan.

Wednesday, November 18, 2009

DEBARAN HATI SEORANG GURU

Pengumuman UPSR hari esok.Resah,gelisah dan risau semuanya bermain di fikiran dan hati.Macam-macam yang bermain di fikiran ini.Mampukah anak muridku meraih kejayaan yang terbaik untuk diri sendiri dan juga menaikkan nama sekolah?
.......bukan senangnya untuk mencapai sesuatu kejayaan itu.Apatah lagi hendak memastikan mereka mencapai apa yang dikehendaki.Namun,kami telah berusaha melakukan yang terbaik untuk mereka dan hari ini semuanya akan terurai.
Walaupun,saya tidak mengajar mereka tetapi apabila mereka berada di darjah 6 saya terpaksa mengenali seorang demi seorang.Sebagai pihak pentadbir,saya perlu memahami akan permasalahan mereka dan berusaha untuk mendekati diri mereka.
Pelbagai kata rangsangan diberikan kepada mereka.Pelbagai motivasi diberikan agar mereka mempunyai kesedaran akan kepentingan belajar.
Semua guru berdebar.Kegelisahan di setiap wajah guru tahun 6.Bukan ibu bapa, anak murid yang berdebar malah guru-guru mata pelajaran turut sama.Apatlah lagi guru besar.


Pena Kasih:Semoga semuanya berjaya.

KEMUNCAKNYA SUDAH BERAKHIR






Tepat jam 2.30 petang, majlis penutup akhir tahun dan merupakan kemuncak aktiviti akhir tahun berjalan dengan lancar.Dimulai dengan kehadiran Encik Ayob bin Dom yang merupakan perasmi untuk majlis Hari Anugerah Kecemerlangan Akademik dan juga merupakan Yang dipertua PIBG SKCC.
Majlis dimulai dengan persembahan ikan duyong, tarian Inida dan tarian zapin ini begitu meriah menyambut kehadiran para tetamu.Walaupun majlis sederhana tapi meriah dengan sambutan ibu bapa yang hadir untuk melihat kejayaan anak mereka meraih hadiah setelah bertungkus lumus selama 11 bulan berada di sekolah.
Terserlah wajah anak-anak murid disamping ibu bapa berkongsi gembira melihat kejayaan anak mereka.
Pada tahun ini,hadiah untuk pelajar terbaik dianugerahkan kepada Gan Mei San dan Tiffany Teoh pula bagi anugerah kokurikulum terbaik.
Kami juga guru-guru bangga melihat kejayaan anak-anak murid yang meraih lebih daripada 2 hadiah.Memang itulah yang kami harapkan daripada anak-anak murid.
Guru-guru SKCC berpuas hati dengan persembahan murid pada tahun ini malah banyak berlakunya penambahbaikan daripada tahun dahulu.Setiap kelemahan dan kekurangan dikaji dan seterusnya berusaha untuk melakukan yang terbaik pada tahun ini.Alhamdulillah, guru-guru SKCC mampu melakukannya walaupun dengan kekurangan tenaga guru.
Jelas keletihan di wajah En Supian yang terpaksa menjadi MC keseorangan tanpa ada gandingannya seperti tahuh-tahun dahulu.Kak Ana yang cuba untuk memastikan majlis berjalan dengan lancar begitu aktif menjalankan tugasnya sehinggakan MC terganggu.Namun kecekapan MC mengawal keadaan dan akhirnya semuanya berjalan dengan lancar.

Pena Kasih:Kemuncak akhir tahun berakhir dengan meriah.Penatnya.....................

Tuesday, November 17, 2009

DEBARAN HATI MAMA


Puteri sulung saya akan menduduki peperiksaan SPM pada hari Rabu ini.Mama tahu anak mama begitu berdebar untuk menduduki peperiksaan yang merupakan penentu kehidupan Along.Mama tahu Along telah berusaha dengan bersungguh-sungguh.Mama tahu Along sentiasa hendak mendapat keputusan yang terbaik untuk diri sendiri.Mama juga seperti Along yang pernah melalui
saat-saat seperti ini.Apa yang perlu Along lakukan ialah sentiasa berdoa dan berusaha.Ingatlah Allah sentiasa.Allah sentiasa mendengar rintihan hambaNya.Mama percaya Along boleh lakukan.

Bila anak hendak mengambil peperiksaan, debaran hati ini begitu kuat.Kasihan pun ada melihat wajah anak.Makan pun tak lalu.Hanya sembilan hari sahaja anak saya akan melalui peperiksaan tersebut.Tiga hari dalam minggu pertama dan tiga hari dalam minggu berikutnya.Seterusnya anak saya akan menduduki peperiksaan yang berselang agak lama juga.Mama memang sentiasa mendoakan agar anak mama berjaya dalam peperiksaan.Ayah dan adik pun sentiasa mendoakan Along agar tenang ketika menjawab soalan, agar sentiasa bersedia, agar mudah dan lancar ketika menjawab soalan-soalan peperiksaan.

Pena Kasih:Mama dan ayah sentiasa mendoakan Along.....

JAMUAN TAHUN 6






Setelah penat kami berada di dewan mengendalikan raptai,murid-murid Tahun 6 bersama-sama dengan guru darjah(Pn Radziah bte Muhydin) menjemput kami ke jamuan mereka.Sebelum itu, saya menjengok guru kelas dengan dibantu oleh beberapa orang murid sedang membuat persiapan.Kasihan dengan guru kelas yang hanya keseorangan,saya pun turut sama membantu.
Pelbagai juadah disediakan.Nasi himpit,satay, mee goreng, ayam goreng dan pelbagai kuih muih yang telah disponsor oleh keluarga murid-murid tersebut.Mulianya hati keluarga mereka.

Saat-saat perpisahan hampir tiba.Sebak dan terharu melihat wajah anak-anak murid yang selama enam tahun bersama kami.Pelbagai ragam dan tingkah laku yang ditunjukkan kepada kami.Kadang-kadang membuatkan kami hilang kesabaran tapi naluri seorang ibu kepada anak murid jelas terpancar.Kata-kata nasihat sering dilontarkan.Kata-kata pujian turut dituturkan.Melakukan kesilapan ditegur dengan serta merta dan tiada niat apa cuma untuk memastikan mereka sentiasa berhemah tinggi.

Pena Kasih:Mendoakan agar kalian menjadi orang yang berguna kepada masyarakat suatu hari nanti.

LinkWithin



Related Posts with Thumbnails