Tuesday, June 30, 2009

KESELESAAN

Jam 6.30 pagi telah berada di sekolah.Buka pejabat dan memastikan kedatangan guru dan staf sokongan dikemas kini.Selepas itu, memerhatikan board untuk melihat berapa orang guru yang bergerak keluar menjalankan tugas masing-masing.Membuat relief dan seterusnya memantau kedatangan murid di pagar sekolah.

Loceng berbunyi meminta pertolongan pengawas untuk mencari guru bagi relief dan seterusnya duduk di bilik dan melihat tajuk-tajuk untuk diajar pada hari ini.Bersiap sedia lebih awal dan menyiapkan sedikit kerja yang perlu dibereskan.Itulah rutin setiap hari.

Masuk kelas melihat wajah anak-anak murid .Ada yang bersemangat dan ada yang begitu rileks sekali.Bercerita dengan anak murid yang berkaitan dengan pengetahuan sedia ada murid.Seronok nampaknya.

Kemudian suara anak murid kedengaran.

"Cikgu, saya lupa nak bawa buku moral, hari ini."
"Cikgu, boleh tak saya guna kertas dahulu dan kemudian saya akan salin semula."Itulah rutinnya setiap hari ada sahaja yang terlupa untuk membawa buku.Kadang-kadang hilang sabar juga dengan sikap anak murid.Hanya berdiam diri sahajalah untuk menahan kemarahan.
Begitu cuai sekali anak-anak sekarang.Begitu mudah sekali menyatakan tidak membawa buku.Sebab guru tidak boleh membuat sebarang punishment terhadap anak-anak mereka.Akhirnya saya meminta juga murid tersebut menyalin soalan dan memintanya menghantar pada awal pagi esok.

Hari ini , saya memang selesa berada di sekolah.Tiada perkara yang remeh temeh untuk dibincangkan.Tiada sebarang tekanan dan saya bekerja dalam keadaan selesa dan bernafas sedikit.Jika tidak terasa dada ini begitu sesak sekali menahan tekanan.Tidak suka perkara yang remeh dan boleh diselesaikan dengan mudah menjadi besar dan melibatkan orang lain.Lebih suka kurang bercakap dan menumpukan kepada kerja daripada memikirkan perkara yang bukan-bukan.

Pena Kasih:Selalu mengingatkan anak-anak murid supaya bawa buku.

Monday, June 29, 2009

BOLA SEPAK


Gara-gara begitu meminati dengan permainan bola sepak, anak lelaki telah menyuara untuk bertemu dengan sepupunya yang tinggal di Skudai.Sudah berjanji untuk bermain pada hari Isnin.
Justeru meninggalkan Segamat pada petang Ahad,lebih kurang jam6.00 petang bersama-sama dengan mak mertua dan Apiz.

Sampai di Skudai lebih kurang jam 8.30 malam dan malam itu rumah Lokman begitu sibuk dengan talian telefon yang masuk untuk bertanyakan tentang perlawanan bola sepak.Mengalahkan pemain profesional yang begitu sibuk melayani talian telefon.Melihatkan gelagat mereka berdua memang menggelikan hati.

Masing-masing tidur awal untuk menyediakan diri dari segi fizikal dan mental kerana perlawanan yang begitu hebat,katanya.Saya seawal lagi telah tidur kerana keletihan melayan kerenah anak-anak.

...........awal lagi suami telah mengejutkan saya.Saya nampak diwajah Haziq dan Lukman seperti tidak ceria.Bertanyakan pukul berapa perlawanan bermula.Lantas dijawabnya tidak jadi main kerana tiada pemain untuk bermain.Masing-masing hendak menjadi ketua.Kasihan Haziq dari Segamat datang ke Skudai untuk menunjukkan taringnya akhirnya terus kecewa dengan janji yang hanya tinggal janji sahaja.

Pena Kasih:Janji selalu ditepati.

Saturday, June 27, 2009

PERSEDIAAN

Di Segamat, Wisma Jakel memang terkenal dengan kainnya.Begitu juga dengan Tangkak yang dianggap sebagai syurga kain.Lambakan kain yang pelbagai jenis dan menarik serta rambang mata dibuatnya membuatkan seseorang itu akan teruja untuk membeli.

Selepas mengerjakan solat zohor, saya telah menyuarakan hasrat untuk ke Tangkak kepada suami.Lantas kami beredar meninggalkan rumah lebih kurang jam 2.15 petang.Cuaca yang cerah dan memandu secara santai tidak menyedarkan kami yang kami telah sampai ke destinasi yang dituju.Terlalu ramai orang di sana.Masing-masing menjinjing beg plastik yang penuh dengan kain dan langsir.Tahun ini saya tidak teruja untuk membeli langsir kerana baru tahun lepas saya telah menggantikan dengan baru.

Dari satu kedai ke satu kedai, menilik kain.Akhirnya kami bersetuju untuk memilih warna coklat sebagai tema hari raya pada tahun ini.Walaupun agak awal dan puasa pun belum menjelma tapi kami telah bersepakat untuk membuat persediaan awal.Tak perlu lagi untuk memikirkan soal baju nanti.Tiada lagi rungutan daripada anak-anak yang agak sibuk untuk memilih baju apabila tiba hari raya.Kali ini kami bersedia lebih awal dan hendak menumpukan kepada ibadah puasa.

Kemudian kami singgah di masjid Tangkak, mengerjakan solat Asar dan bertolak balik jam 5.00 petang.Malangnya sesampai di Kebun Baru, kereta berderet berpanjangan sehingga ke Jementah.Rupa-rupanya lori terbabas dan menghalang perjalanan.Ketika inilah kita terpaksa bersabar.Memandu dengan perlahan angkara lori tersebut.Jalan yang licin memerlukan kita memandu dengan lebih berhati-hati dan bukannya mengikut perasaan sahaja.Kadang-kadang geram juga dengan sikap pemandu lori,mentang-mentanglah lori besar mulalah menunjukkan hero di tengah jalan.

Pena Kasih.Selalu bersabar melihat gelagat pemandu lori yang membawa lori dengan laju tanpa memikirkan keselamatan orang lain.

Friday, June 26, 2009

KASIH SAYANG dan MOTIVASI


Hari ini, SKCC telah mengadakan satu program anjuran Panitia Pendidikan Moral bersama Panitia Pendidikan Seni Visual dalam usaha untuk mencari murid-murid yang berbakat dalam bidang kesenian.Aktiviti yang dianjurkan ini adalah untuk mencari lima orang murid tahap 1 memasuki pertandingan mewarna peringkat zon dan lima orang murid tahap 2 dalam pertandingan melukis poster yang bertemakan Kasih Sayang.

Semua murid telah dibekalkan dengan kertas lukisan dan dibawah pengawasan guru mata pelajaran masing-masing.Kesunyian sekolah terasa kerana masing-masing begitu asyik dengan akitiviti mereka.Gelagat mereka diperhatikan dan masing-masing berusaha untuk melakukan yang terbaik.Ada juga melakukan aktiviti sekadar melepaskan batuk ditangga.Aktiviti ini dijalankan selama dua jam sahaja dan selepas rehat mereka akan belajar seperti biasa.

Sementara itu, murid-murid Tahun 6 pula menjalani program motivasi di peringkat sekolah.Tips-tips dan teknik menjawab soalan telah dijalankan oleh Guru Cemerlang Daerah iaitu Pn Hjh Ruhana dan Cikgu Supian.Sungguh bersemangat mereka mendengar kesungguhan guru mereka menyampaikan ceramah.

Pena Kasih: Kagum dengan kreativiti anak-anak murid yang diluar jangkaan.

SAGUHATI


Hari ini sewaktu perhimpunan pagi dan selepas aktiviti pendidikan agama dan moral dijalankan telah diadakan acara penyampaian sumbangan daripada pihak sekolah kepada murid-murid yang mencapai keputusan yang baik dalam peperiksaan UPPM 1 & 2.Sumbangan diberikan kepada murid-murid yang mendapat 5A,4A,3A,2A dan 1A.

Alhamdulillah, semangat murid begitu nampak sekali.Wajah-wajah ceria tergambar apabila saya menyebut nama mereka untuk naik ke pentas dan menerima sedikit saguhati daripada pihak sekolah yang disampaikan oleh guru besar.Hanya hari ini,terluang sedikit masa untuk kami menyampaikan sedikit saguhati kepada pelajar.

"Cikgu harapkan agar kamu jadikan pemberian ini sebagai sumber inspirasi kamu untuk terus maju ke hadapan.Jadikan ianya sebagai titik permulaan untuk cuba mencari A.Kepada murid-murid galus, cikgu percaya yang kamu boleh juga melakukannya.Cuma usaha lebih sedikit.Insya Allah, SKCC mampu melahirkan pelajar-pelajar cemerlang dan hasrat untuk melihat sekolah cemerlang akan tercapai". Itulah ucapan saya pada pagi ini.Cuba untuk menaikkan semangat mereka.Kalau para guru mampu mengorbankan masa, saya berharap agar anak-anak murid hargailah pengorbanan guru.

Begitu jugalah dengan kami sebagai pihak pentadbir terpaksa mengorbankan masa untuk memastikan anak-anak didik berjaya.Masa mengajar sebanyak 24 masa memang agak berat kepada kami apatah lagi ianya juga melibatkan urusan pentadbiran.Tapi kami korbankan masa tersebut untuk turut membantu guru-guru dan anak-anak didik kami.Kalau sekolah lain masa mengajar bagi GPK hanya belas waktu tapi kami sudah biasa dengan masa yang banyak semata-mata untuk memastikan guru berada dalam zon selesa dan murid dapat sesuatu daripada guru.

Pena Kasih: Setiap kali solat tidak lupa mendoakan kejayaan anak-anak didik SKCC.

TIDAK DIKENALI

Sepanjang perjalanan pulang dari maktab yang mengambil masa lebih kurang 20 minit banyak meninggalkan kenangan kepada kami.Bersembang-sembang dengan pelbagai cerita yang menarik semasa di kelas apatah lagi apabila diadakan mikro teaching.Melihat gelagat rakan-rakan yang menjadi anak murid menggelikan hati.Kadang-kadang yang menjadi guru terpaksa menahan diri untuk ketawa.Maklumlah pensyarah memerhatikan sahaja cara kami mengawal kelas.

..................akhirnya tidak disedari kami sampai juga ke destinasi yang dituju.Rumah sewa menanti kepulangan kami.Di sebelah rumah kami, diduduki guru-guru lelaki.Kami mengambil peluang untuk meminta pertolongan mereka jika mereka ke kedai.Menjadi mangsalah guru-guru lelaki.Tapi alhamdulillah, mereka sanggup membantu kami.

Kumpulan kami sebenarnya terdiri daripada mereka yang pernah bekerja sebagai guru sandaran malah ada yang telah beristeri dan bersuami serta mempunyai anak.Sudah tentulah pelbagai cerita yang mereka kongsi bersama kami.

..............tanpa disedari rupanya setiap kali saya dan rakan pulang, kami sering diperhatikan oleh seorang jejaka yang tidak dikenali.Berhampiran rumah sewa kami adalah rumah askar.Sehinggalah suatu hari, jejaka itu datang ke rumah saya dan bertanyakan tentang saya daripada seorang pelatih maktab yang tinggal berhampiran dengan rumah kami.Saya tidak mengenali langsung jejaka tersebut.Sejak itu, saya takut untuk bersembang-sembang di luar rumah.Rupa-rupanya jejaka itu ingin mengenali saya.Yang baiknya, pelatih maktab itu telah berterus terang dengan jejaka tersebut mengatakan kebanyakan daripada kami adalah tunangan orang.Selama seminggu jejaka itu sering datang ke rumah saya untuk bertemu dengan saya..............tapi saya mematikan diri di dalam rumah.Takut..................

Akhirnya perkenalan itu berakhir di situ sahaja kerana tiada balasan cinta daripada saya.Memang tidak dinafikan terlalu banyak dugaan yang saya hadapi sepanjang kami berada dalam alam pertunangan.Alhamdulillah, semuanya dapat kami tanggani dengan baik.
Kepada Allah sering saya titipkan doa agar pertunangan kami berakhir dengan baik.

Pena kasih: Pernah ditaburkan dengan pelbagai fitnah semasa di alam remaja tapi alhamdulillah kalau kita berada di pihak benar, Allah akan sentiasa melindungi hambaNya.

Thursday, June 25, 2009

SEJAMBAK BUNGA


Setiap kali ternampak mereka memegang sejambak bunga yang segar teringat kisah semasa di maktab.Tahun akhir di maktab terlalu banyak dugaan yang diterima dan dihadapi.Kami berempat menyewa di Taman Cempaka dan kerana kesibukan kami tiada mempunyai masa untuk memasak.Lantas kami hanya membeli makanan yang siap dari sebuah kedai yang terletak di perjalanan hendak ke rumah sewa kami.

Setiap hari, saya bersama-sama dengan Kak G akan mengambil makanan di situ.Makanan di situ sedap dan saya berasa musykil ketika hendak membuat pembayaran, anak boss di situ tidak mahu mengambil wang yang saya hulurkan...............tertanya-tanya dan Kak G bersuara,Encik kenapa tak mahu mengambil wang kami?Lalu dijawab oleh Si X, saja nak belanja.Keesokkannya begitulah sikap Si X.Kami kebingungan lalu mengambil keputusan untuk tidak membeli di situ lagi.Kasihan si X, gara-gara sikapnya yang baik hati itu,ternyata tidak semudah itu untuk kami menerima caranya itu.

Sejak itu,saya dan Kak G cuba menjauhkan diri dari melalui premis itu.Bukan apa, malu kerana Si X tidak mahu mengambil wang kami dan sudah banyak kali kami makan free.

Selang beberapa bulan, Si X dan keluarganya datang ke rumah sewa saya.Ketika itu, saya sedang bersembang-sembang dengan Kak G di bawah pokok mangga.Si X keluar dengan membawa sejambak bunga lalu dihulurkan kepada saya.Tercengang saya ketika itu.Diperkenalkannya kepada keluarga.Saya memang tidak mengenali Si X sebenarnya apatah lagi bersembang dengan Si X.Rupa-rupanya Si X menaruh hati pada saya tanpa diketahui.Rupa-rupanya si X sering mengekori saya tanpa disedari.Saya bersembang dengan keluarga si X di luar sahaja.Lalu saya menerangkan kepada keluarganya saya sebenarnya sudah bertunang dan sekarang tunang saya berada di Seremban.Terkesima sebentar keluarga si X.Seolah-olah tidak mempercayai apa yang saya katakan.Berubah wajah si X dan pulang dengan rasa kecewa.Kak G ketawa berdekah-dekah melihat wajah saya yang pucat ketika itu.Apa taknya terperanjat menerima sejambak bunga yang tak pernah dimimpikan.

Saya ceritakan kepada tunang dan tunang saya (suami) ketawa sahaja.Ternyata cinta dan ikatan kami begitu kuat.Insya Allah.Sering diperlikan oleh tunang apabila ternampak anak muda memegang sejambak bunga.Penuh nostalgia.

Pena Kasih;Berkawan 4 tahun bertunang 4 tahun.Memahami isi hati masing-masing.

ORIENTASI 88

Syukur alhamdulllah, surat tawaran ke MPKI diterima.Masa yang diberikan terlalu singkat lantas bersiap sedia untuk meninggalkan bandar Segamat dan menuju ke Perak.Linangan air mata meninggalkan keluarga yang disayangi masih terbayang lagi.Tidak mahu menoleh kebelakang lagi dan inilah peluang untuk saya mengubah corak hidup keluarga.Terima kasih emak dan ayah yang sentiasa ingin melihat anak-anak berjaya.

................bermulalah hidup bersendirian tanpa emak dan ayah disisi.Hanya kawan-kawan sebagai teman saya ketika itu.Mereka telah menjalani orientasi tiga hari lebih awal dari saya.Saya kelewatan mendaftar ketika itu.Bertemu dengan rakan-rakan yang tidak dikenali.Soalan pertama diajukan:

"Apakah perasaan saudari apabila menerima surat tawaran ini?"
Tentulah saya berasa gembira dan inilah yang ditunggu-tunggukan.
"Bagaimana pula perasaan saudari meninggalkan emak dan ayah di kampung?"
Ternyata saya tewas dan tanpa disedari berlinangan air mata .Menyentuh soal keluarga menyebabkan perasaan saya begitu sebak.
Lantas mereka meminta maaf kepada saya.
Bermulalah minggu orientasi untuk saya selama seminggu.

......................kehidupan di sini mengajar erti kasih sayang.Terlalu merindui keluarga dan inilah pertama kali saya meninggalkan keluarga.Bermulalah episod hidup sebagai bakal guru ketika itu.
Alhamdulillah saya mempunyai ramai kawan dan kami menyewa di Taman Cempaka.Kesibukan kami,mengubat kerinduan kami.

................Justeru,teringat saya ketika hari terakhir minggu orientasi.Berkumpul di dewan dan berjumpa dengan ramai pensyarah.Seorang pensyarah menyapa saya.Nampak muka macam sedih aja.Lantas dijawab oleh saya."memang sedih, encik.Terlalu banyak yang diingati dan dirindui.Sejak itu, pensyarah tersebut sering menyapa saya.

................teringat lagi ketika saya sedang melakukan dubbing suara untuk satu kerja projek.Bersama-sama dengan kumpulan yang seramai 4 orang dan seorang pensyarah X yang dikenali ketika di dewan,kami mula melakukan tugasan.Menggunakan suara saya sebagai suara latar.Glamour ketika itu.Tak disangka ketika saya sedang duduk di kerusi bersama dengan Kak Zah,rupa-rupanya pensyarah itu berada di belakang saya.Melihat gelagat kami.Lantas begitu mudah tangannya diletakkan di bahu saya.Lalu saya merenung mukanya dengan perasaan marah.Sejak itu hilang rasa hormat saya kepadanya.Malah saya cuba mengelakkan daripada bertemu dengannya.Ternyata dia perasan perubahan sikap saya.Tidak pernah badan ini disentuh oleh sesiapa dan begitu berani dia bertindak seperti itu.Ituah kata suara hati ini.

Lantas dirisiknya kepada teman-teman saya akan perubahan saya.Kawan-kawan mengatakan saya sudah bertunang dan cara encik melakukan kepadanya memang tidak disukainya.Sebenarnya ketika itu, saya belum bertunang lagi hanya untuk mengelakkan daripada diganggu.So tiada pilihan lain melainkan mengatakan kami sudah bertunang dan ada yang menipu mengatakan sudah berkahwin.Tektik kami ketika itu.Pensyarah X tidak percaya dengan apa yang diperkatakan oleh kawan saya.Cuba untuk menggangu lagi.Ternyata setiap percubaannya itu menemui kegagalan.

Pena kasih: Nampak mudah didekati tapi mempunyai ketegasan yang tinggi.



KARNIVAL SAINS ZON BANDAR

Hari ini sekolah telah mengelola pertandingan bercerita sains tahap satu dan kami telah menghantar dua orang peserta.Namun kesemuanya gagal.Disebalik kegagalan tersebut saya kagum dengan murid saya yang hanya berlatih dalam masa tiga hari sahaja.Keupayaan menghafal cerita yang perlu mengambil masa selama lima minit dan juga kegigihan mereka berlatih dengan bersungguh-sungguh serta keberanian mereka tampil ke hadapan telah memberi ruang kepada murid tersebut untuk meningkatkan lagi pencapaian mereka.

Sebanyak tujuh buah sekolah telah menyertai pertandingan tersebut dan dimenangi oleh pelajar dari SJK(C) Seg Hwa, SJK(C) Li Chi dan SK Bukit Hampar.Ternyata semuanya hebat-hebat belaka.Tahniah dan syabas kepada mereka berjaya dan yang tidak berjaya boleh berusaha lagi.Dalam menilai pemarkahan sesuatu cerita sains ianya mestilah mempunyai fakta sains.Namun saya kagum dengan guru-guru yang begitu kreatif dalam mempamerkan persembahan anak murid.

Kemudian di sebelah petang ,mesyuarat matematik daerah Segamat juga telah diadakan di sekolah kami serentak dengan mesyuarat peperiksaan dan penilaian.Ternyata hari ini begitu sibuk sekali.

Pena kasih:Tertarik dengan peserta dari SJK(C) Seg Hwa yang menggunakan bahan-bahan terbuang.

Wednesday, June 24, 2009

GERAM

Hari ini ke sekolah bersendirian.Selalunya suami akan menghantar tetapi disebabkan saya ada perjumpaan bersama guru besar,suami meminta saya memandu sendiri kereta.............hampir empat bulan tidak memandu terasa begitu malas untuk memegang stering.Hendak tak hendak terpaksa juga melakukannya.

Jam 6.20 pagi telah meninggalkan rumah.Sampai di sekolah, pintu gate tidak dibuka lagi.Mulalah naik angin.Terpaksa meletakkan kereta di luar kawasan sekolah.Akhirnya melalui pintu kantin dan mencari pengawal keselamatan.Motosikal ada tapi orang entah di mana.Ketuk pintu tiada sahutan.Mulalah pelbagai andaian bermain di minda."Kalau nak kerja, buat cara kerja yang betul.Ni, tak .Ada sahaja buat masalah.Bukan sekali dua kali,dah lebih dari itu.Terlalu banyak kami beralah.Sepatutnya jagalah periuk nasi sendiri."Itulah yang terdetik di hati ini.Anak-anak murid dah ramai yang sampai....................susah betul.Lantas menelefon penyelia bertanyakan ke manakah perginya pengawal keselamatan yang telah diamanahkan untuk menjaga kawasan sekolah.

......................semangat berkobar-kobar untuk buat kerja terbantut.Hari semakin terang.Ibu bapa tertanya-tanya kenapa pagar tidak dibuka lagi.................geram ada dan bermacam-macam lagi yang bermain di fikiran ini.Memang kami terlalu banyak bersabar dengan kerenah para pekerja.Pertemuan telah dibuat beberapa kali.Perbincangan telah dilakukan.Peringatan telah dibuat berulang kali tapi masih bersikap di takuk lama.Membosankan.Prinsip saya, saya tidak suka bercakap berulang kali.Masing-masing sudah tahu tugas masing-masing.Buatlah apa yang telah diamanahkan.

Baru nak bawa kereta terpaksa park di luar.Geram pun ada.Bukan apa, kadang-kadang baru sampai sekolah dalam keadaan happy, ada aja yang cerita yang disampaikan.Itulah inilah.Itulah yang saya tidak suka.Pada saya, waktu pagi mesti ceria.Cerita yang disampaikan biarlah menarik di dengar dan bukannya menceritakan hal orang.Suami memang faham cara saya.Pagi, waktu yang tenang dan mesti happy.Anak-anakpun faham cara saya.Mereka akan sentiasa menceriakan saya pada waktu pagi.
ma
Pena kasih:Mama, ni manjalah dengan ayah.Sekali-kali biarlah mama bawa kereta.Mama bukan apa, Mama nak berselawat sepanjang ayah menghantar.Itu yang membuatkan mama tenang di waktu pagi.

Tuesday, June 23, 2009

KILANG

Apabila emak menyebut tentang masalah kilang yang beroperasi di Segamat berkemungkinan ditutup atas sebab-sebab keadaan ekonomi yang tidak menentu ini mengingatkan saya ketika saya bekerja di kilang Taiko dan Asahi.Sehabis menamatkan persekolahan menengah saya bersama-sama kawan mencuba nasib bekerja di kilang dan permohonan kami diterima.

Sejak itu,bermulalah rutin kami bangun pagi dan balik jam 5.00 petang.Terasa begitu penat dan membosankan.Di Taiko saya telah dilantik sebagai "line-leader" dan di Asahi saya pula ditugaskan di bahagian QC.Di sini saya bertemu ramai kawan.Begitu happy sekali ketika itu.Maklumlah, sekali-kali dapat bertemu dengan orang ramai.

Ternyata semacam sesuatu yang terbuku di hati ini.Apakah saya akan berterusan begini?..................penumpuan kerja terjejas buat seketika.Saya lebih banyak termenung mengenangkan di mana arah tuju saya yang sebenarnya.Akhirnya, ternyata rezeki itu tetap ada pada saya.Sejak kecil, cita-cita untuk menjadi guru tetap tersemat di hati ini.Selain guru saya juga bercita-cita untuk menjadi jururawat.Sedaya upaya untuk mengubah nasib keluarga ketika itu.Ketika termenung itulah, ayah membawa berita yang amat mengembirakan saya.Alhamdulliah,impian dan cita-cita tercapai juga akhirnya.

Pernah menjadi guru sandaran di SK Gemereh dan Simpang Lima Darat, Muar sedikit sebanyak telah memberikan satu pengalaman yang amat bermakna kepada saya.Ternyata pekerjaan itu bersesuaian dengan jiwa saya.

Kemudian saya bercita-cita untuk menjejakkan kaki ke menara gading.Alhamdullilah, impian untuk merasai kenikmatan belajar di kampus dapat juga dirasai.Syukur kepada Allah,mendengar rintihan hambaMu ini.
Kadang-kadang suami selalu berkata,mama ni apa yang dikehendaki selalu dapat.Setiap permintaan yang dikehendaki akan diperolehi sama ada cepat atau lambat.Alhamdulillah, semuanya itu keranaNya.Sentiasa mengingatiNya.Sentiasa menyebut namaNya.

Pena kasih: Pernah dipujuk Supervisor supaya tidak berhenti kerja dan dijanjikan kenaikan pangkat.Ternyata saya bukan mudah untuk dimakan pujukan.

Monday, June 22, 2009

SIBUK

Kesibukan yang tidak sudah-sudah menyebabkan blogspot ini tidak dikemaskini.Banyak yang hendak diceritakan.Malangnya, saya masih gagal mencuri masa untuk mencoretkan sepatah dua kata.

Hujung minggu diisikan dengan mesyuarat itu dan ini.Selepas menghadiri mesyuarat terus ke pusat tuisyen dan seterusnya mengemas kini kerja-kerja sekolah yang perlu dibereskan.
Betapa masa itu amat berharga kepada kita.Pembahagian masa untuk keluarga, masyarakat dan diri sendiri amat penting.Melihat suami..................yang tidak berhenti-henti mencoret patah demi patah perkataan, diulitnya helaian demi helaian muka surat,dititipnya isi-isi bahan bacaan, dikupasnya kembali,,,,,,,,,,,,,,nyata terlalu banyak yang diperolehinya.Saya gagal untuk mengikuti jejak-jejaknya.Kadang-kadang cemburu juga melihat suami yang begitu tekun mentelaah buku-buku yang dibelinya.

Saya menghabiskan masa dengan graf-graf untuk dibentangkan kepada guru-guru pada hari Rabu ini .Menaip minit mesyuarat untuk dibentangkan pada hari Sabtu yang lepas.Tuntutan kerja sekolah dan kampung menyebabkan banyak masa tertumpu di situ.Demi bangsa, agama dan negara,semuanya diatasi dengan cara yang berhemah.Tidak mahu menjadikan ianya sebuah tekanan .

Pena kasih: Cuba untuk melatih anak-anak muda untuk mengambil tempat sebagai setiausaha,Sudah lebih 20 tahun memegang jawatan setiausaha.

Friday, June 19, 2009

SIMPANG LIMA DARAT,MUAR

Selama satu tahun berada di Simpang Lima Darat,Bukit Gambir menimba pengalaman sebagai guru sandaran meninggalkan kenangan yang pahit dan manis.Saya tinggal dengan keluarga angkat ketika itu.Rata-rata penduduknya berketurunan jawa, memberikan sedikit kesulitan untuk saya berkomunikasi.

Pernah terjadi, ketika saya ke sekolah yang jauhnya hanya 500 meter dari rumah keluarga angkat dan hanya berjalan kaki telah terserempak dengan seorang mak cik yang sudah berumur.Beliau bertanya dalam bahasa jawa yang tidak difahami.Akhirnya saya dimarahi lalu saya memaklumkan bahawa saya orang Melayu dan tidak memahami bahasa tersebut.Sedih betul ketika itu.Terasa begitu asing sekali saya ketika itu.Mulalah teringatkan emak dan ayah di kampung.Tidak sedar berlinangan air mata mengenangkan nasib ketika itu.

Kemudian,saya mengajar murid-murid Tahun Tiga.Sekali lagi saya diduga.Saya mengajar mereka mata pelajaran Bahasa Melayu.Saya meminta seorang murid menyebut perkataan berdasarkan apa yang saya tunjukkan(dahan).Dia menyebut dalam bahasa jawa yang tidak difahami oleh saya.Akhirnya saya terpaksa rujuk kepada guru-guru lain.

Pena kasih:Pengalaman yang amat berharga kepada saya.

Thursday, June 18, 2009

HARI TERBUKA

Hari terbuka yang diadakan di setiap sekolah merupakan salah satu program sekolah yang bertujuan untuk memberi ruang kepada guru-guru berkomunikasi dengan ibu bapa khusus yang melibatkan masalah pembelajaran anak-anak mereka.Cara ini sahajalah sekurang-kurangnya dapat membantu ibu bapa mengenal pasti kelemahan anak-anak mereka dalam setiap mata pelajaran dan seterusnya mengambil tindakan susulan dalam usaha membantu anak-anak mereka.

Hari ini,saya berpeluang berjumpa dengan ibu bapa murid-murid Tahun 3.Berpeluang berkongsi masalah anak-anak mereka semasa di dalam kelas.Berpeluang mendengar keluhan ibu bapa terhadap sikap anak-anak mereka semasa di rumah.................seolah-olah situasi yang kami alami sama semasa anak-anak di rumah.Mereka lebih banyak berkhayal di rumah.Mereka lebi h banyak bermain sahaja.Mereka lebih banyak tidur sahaja tanpa menghiraukan kerja-kerja rumah yang diberikan.......................begitu sedih sekali saya mendengar sikap anak-anak mereka.Di sekolah, kami begitu bersungguh-sungguh mengajar tapi apabila di rumah mereka tidak menghiraukan kerja-kerja sekolah.Kadang-kadang kami kecewa kerana kerja yang dihantar tidak lengkap.Malah adakalanya seperti melepaskan batuk ditangga sahaja.Jawapan semuanya salah tanpa meneliti soalan-soalannya.Nak dikatakan tidak faham,saya sering berbincang jawapan dengan mereka.Kadang-kadang jawapan telah dibincang dan diberikan tetapi lain yang ditulisnya.

....................apa yang menyedihkan lagi ialah surat telah pun diedarkan lebih awal,tetapi ada juga ibu bapa yang tidak hadir kerana dikatakan tidak tahu akan majlis ini.Ada yang hendak hadir jam 1.00 petang.Seolah-olah mereka tidak langsung hendak ambil tahu tentang masalah pembelajaran anak mereka.Semuanya diserahkan kepada pihak sekolah.


Pena kasih: Terlalu banyak menelan perasaan melihat gelagat ibu bapa terutama tentang pembelajaran anak-anak mereka.

DURIAN LAGI................................

Alhamdulillah, tahun ini masih lagi ada buah durian......................Walaupun tidak banyak tetapi cukup untuk merasainya.Pengemar durian, tetapi sering ditegur oleh suami supaya kurangkan makan durian.Tidak baik untuk kesihatan.........tersenyum mendengar teguran suami.Makan tetap makan tetapi dalam kuantiti yang sedikit.Memang tidak dinafikan makan durian terlalu banyak membolehkan pertambahan berat badan, menambahkan kandungan gula dalam badan(tidak elok untuk orang yang ada diabetes) dan mereka yang ada darah tinggi.

Suami memang tidak menggemari buah durian tetapi tewas juga apabila nampak isi durian yang kuning dan enak.Kedua-dua orang anak saya langsung tidak menyentuh buah durian.Malah kadang-kadang membebel apabila terbau buah durian.Sering mengatakan rugi kalau anak-anak tidak merasa buah durian.Pernah mereka merasainya tetapi kemudian terus muntah.Sejak itu, mereka tidak hirau jika musim buah durian tiba.

Pena kasih:Teringat semasa dahulu, sering mengikut ayah mengutip buah durian di kebun.

MERAJUK

Masuk kereta.Anak lelaki terus bercerita dengan penuh semangat untuk turut serta dalam satu perkhemahan yang akan diadakan pada hari Jumaat ini.Lantas,saya menjawab mana surat yang mengatakan ada program pada hari Jumaat ini dan dianjurkan oleh siapa?Anak terus bercerita dan mengeluarkan cebisan kertas yang tercatat di atasnya peralatan yang perlu dibawa.

Namun surat yang diminta tiada dan hanya dimaklumkan begitu sahaja.Terus saya katakan, mama tidak akan izinkan 'adik' pergi sekiranya tiada hitam putih.Terdiam sebentar dan bergenang air matanya.Mama tetap tidak mengizinkan kamu pergi.Kalau apa-apa berlaku, tiada siapa yang hendak bertanggungjawab."Kalau ada hitam putih, mungkin permintaan adik akan mama pertimbangrkan."Sekali lagi dia diam dan merajuk.

Pernah anak lelaki meminta izin untuk bermain bola sepak di padang Segamat.Sekali lagi saya tidak benarkan kerana faktor keselamatan.Bukan anjuran sekolah tetapi atas perbincangan dengan rakan-rakan dan setiap orang dikenakan bayaran sebanyak RM2.00.Semata-mata mengikut kawan.

"Justeru, saya katakan ayah telah menyediakan padang di sebelah rumah kita.Walaupun tidak besar seperti padang sekolah tapi cukup untuk kamu main dengan rakan-rakan sekampung.Sudah cukup untuk kamu berlatih.Mengeluarkan peluh."Lalu dijawabnya,ayah buatlah padang untuk bermain futsal.Kami berpandangan dan tersenyum dengan gelagat anak lelaki yang seorang ini.Banyak sangat impian dan permintaannya.

Cuma saya kagum dengan anak lelaki saya.Setiap kali keluar bandar ada sahaja duit RM1.00 dikocek seluarnya.Katanya,senang untuk didermakan kepada sesiapa yang dilihat agak susah atau setiap kali singgah di masjid akan dimasukkan duit tersebut di dalam tabung masjid.
Selalu mendoakan agar apa yang dibuat ini akan berkekalan sampai bila-bila.

Pernah sekali, apabila kami ke pasar ramadhan, terlalu pantas dia berjalan.Rupa-rupanya dia
menghulurkan derma kepada orang yang memerlukannya.

Pena kasih:"Ma, kalau kita dah besar nanti dan dah bekerja, kita nak tolong orang yang hidup susah.Itulah impian anak saya.Mudah-mudahan apa yang tersemat dihatinya itu,akan terus berkekalan.Insya Allah.

Tuesday, June 16, 2009

TIUPAN SEMANGAT


Hari ini, satu taklimat audit akademik UPPM 2 bagi pelajar-pelajar UPSR telah diadakan di PPD.Taklimat yang disampaikan oleh Tn Haji Sazali yang membaca pencapaian peratus kelulusan sekurang-kurangnya memberi satu tiupan semangat kepada saya dan rakan-rakan lain.

Kami percaya yang sekolah-sekolah daerah Segamat mampu melakukan satu lonjakan bagi mencapai kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan UPSR.

Dalam pencapaian UPPM 2, SKCC telah berjaya mencapai peratus kelulusan yang agak baik.Sekalung tahniah diucapkan kepada guru-guru SKCC yang bertungkus lumus untuk memastikan yang SKCC berada di TOP 10.Saya percaya, guru-guru sekolah saya telah menjalankan tugas dengan baik dan penuh bersemangat.Mereka mempunyai satu team yang bergerak seiring bagi memastikan sasaran yang telah ditetapkan akan tercapai.

Sentiasa meneliti setiap patah perkataan yang dilontarkan oleh Tn Hj Sazali bagi memastikan sekolah-sekolah daerah Segamat terus cemerlang dalam bidang akademik.

Pena kasih:Sentiasa percaya kepada kemampuan guru-guru SKCC.Sentiasa berdoa kepada Allah agar setiap apa yang dilakukan mendapat keberkatan daripadaNYA.

PEMBELAJARAN BARU


Sudah dua hari, sekolah saya telah diganggu sejenis haiwan yang kami gelar "lotong".Memanjat siling pejabat dan sedikit sebanyak mengganggu keselesaan kami.
PAP kami telah menelefon pihak yang berkenaan untuk menangkap haiwan tersebut yang mengganggu penumpuan murid pada pembelajaran mereka..................biasalah mereka bukan selalu nampak haiwan seperti itu.Ada yang menjerit-jerit ketakutan dan secara tidak langsung murid-murid telah diperkenalkan dengan haiwan tersebut.Satu pembelajaran baru kepada mereka.

Tindakan untuk menembak haiwan tersebut tidak dapat dilakukan kerana melibatkan keselamatan anak murid.Hanya yang mampu dilakukan ialah cuba menghalau haiwan tersebut dari berada di kawasan sekolah.

Rupa-rupanya sudah acapkali penduduk kawasan tersebut diganggu haiwan tersebut.Penduduk juga telah membuat laporan kepada pihak tertentu.Walaupun pelbagai usaha dilakukan tetapi nampaknya haiwan tersebut lebih pantas bertindak dari mereka.

Mampukah pihak berkenaan mengambil inisiatif mengusir haiwan tersebut dari kawasan sekolah?

Pena kasih:Telah mengambil tindakan dengan meminta PAP menelefon pihak berkenaan bagi mengatasi masalah tersebut.


Monday, June 15, 2009

SAYU

Kadang-kadang apabila kita menonton televisyen, mendengar berita, membaca novel-novel atau melihat sendiri sesuatu peristiwa yang sedih, tidak disedari mata bergelinangan.Mudah tersentuh perasaan ini.Itulah yang sebenarnya naluri seorang wanita.Sekeras hatinya tetapi apabila cerita yang menyentuh perasaan,ternyata mereka akan tewas.

Pernah terjadi pada diri saya,seorang murid cina yang saya ajar semasa tahun 1 kehilangan seorang ayah.Ketika itu,ayah pelajar yang memang dikenali oleh suami berbual-bual dengan saya seminggu sebelum kematiannya.Tidak sangka rupanya perbualan itulah yang terakhir dan saya juga tidak menyangka ketika itu dia bertarung dengan sakitnya.Cuma yang saya lihat ketika itu, wajahnya pucat dan tidak bermaya.

Walaupun berlainan bangsa dan agama, tetapi setiap kali melihat wajah anak murid itu, air mata saya bergenang.Sedih kerana begitu singkat murid itu mendapat belaian kasih seorang ayah.Begitu singkat sekali dia dapat menyebut perkataan ayah.

Begitu juga,apabila saya menonton televisyen yang menceritakan kisah kanak-kanak kehilangan ibu dan bapa.Tanpa disedari, air mata tertumpah malah adakalanya teresak-esak menangis.

Pena kasih:Sering diketawakan oleh suami dan anak-anak apabila melihat saya menangis hanya kerana sebuah cerita yang ditonton.Mudah sayu dan tersentuh.

KELESUAN

Wajah anak-anak murid dititip satu persatu.Jelas menujukkan kelesuan dan tiada semangat.Hari pertama persekolahan setelah dua minggu bercuti memberikan gambaran mereka begitu seronok menghabiskan cuti.Bangun lambat barang kali atau mungkin teringatkan keindahan percutian mereka.

Namun sebagai seorang pendidik,peluang inilah diambil untuk mendengar setiap kisah percutian mereka.Justeru,saya bertanyakan arah dan tuju mereka sepanjang cuti.Ada di antara mereka mengatakan mereka pergi berkelah,makan angin malah ada di antaranya menghabis cuti di rumah sahaja.Mungkin kesibukan ibu bapa dengan kerja masing-masing membataskan pergerakan mereka.

Malah ada pula yang menyampuk,"Cikgu,kami tak cukup cuti,rasa malas nak pergi sekolah."Itulah keluhan anak-anak didik saya.Ada juga yang rasa bosan duduk di rumah dan tidak sabar untuk ke sekolah.Murid-murid seperti ini boleh dikira jumlahnya.Mungkin mereka memerlukan kawan-kawan untuk berkongsi cerita....................itulah gelagat anak-anak saya.
Anak-anak yang seramai 27 orang ini yang berbilang bangsa dan agama mempunyai pelbagai ragam dan kerenahnya.Hanya kesabaran menguji saya.

Itulah realitinya apabila kita berhadapan dengan anak-anak murid.

Bukan sahaja anak murid sahaja yang menunjukkan keletihan,kami guru-guru pun begitu.
Apatah lagi dilimpahi dengan kertas-kertas yang memerlukan tindakan segera............tension dibuatnya.

"Yang paling kita perlukan dalam kehidupan ialah adanya seseorang yang selalu memberi semangat untuk melaksanakan hal-hal yang dapat kita kerjakan."

Pena kasih: "Ma, kita tak sabar hendak ke sekolah.Itulah luahan anak lelaki saya."
"Ma, esok pagi-pagi dah kena bangun dan gosok baju."Itu pula luahan along.




Sunday, June 14, 2009

PERPUSTAKAAN SEGAMAT

Kami mengambil keputusan untuk ke perpustakaan segamat yang terletak di Jalan Genuang.Selepas mengambil ubat untut di balai raya, kami terus menuju ke sana.Mentelaah buku dan seterusnya membaca beberapa buah majalah.Bersantai di celah-celah buku amat menyeronokkan.Pelbagai buku yang hendak dibaca.Namun kesuntukan masa menyebabkan peluang itu terlepas begitu sahaja.Anak kamilah yang rasa begitu singkat sekali ketika berada di sana.

Lebih kurang pukul 1.00, kami pun keluar dan menuju ke Giant.Membeli sedikit keperluan persekolahan anak dan akhirnya mengambil keputusan balik kerana jam telah menunjukkan pukul 2.00 petang.

Kemudian,menonton televisyen bersama Normala Samsudin dan hari ini saya masak pukul 4.00 petang.Seusai masak, mengajak suami menjamu selera.Alhamdulillah, bersyukur kepada Allah di atas nikmat yang diberikan pada hari ini.

Lebih kurang pukul 5.45 petang , menemani suami ke kebun.Membersihkan kebun durian yang hanya berbuah beberapa biji sahaja.Alhamdulillah, merasa juga buah durian pada tahun ini.
Lebih kurang pukul 6.45 petang, membakar sampah sarap dan membersihkan kawasan sekitar rumah.

Anak lelaki pula sibuk dengan kucing yang entah dari mana datangnya.Memberikan kucing makan dan menyediakan tempat tidur untuk kucing tersebut.Memang dia begitu menyayangi haiwan.

Pena kasih: Menyayangi dan suka disayangi.(suami dan anak-anak)

Saturday, June 13, 2009

RAWATAN UNTUT

Hari ini, selama 2 hari, penduduk kampung saya akan menjalani rawatan untut di Balai Raya Gemereh 1.Penduduk kampung telah menjalani rawatan ini selama 5 tahun dan tahun ini adalah tahun terakhir bagi rawatan tersebut.

Alhamdulillah, seawal pagi lagi, ramai penduduk telah berkunjung ke balai raya untuk menerima rawatan.Sekadar makan ubat bergantung kepada berat badan kita.Anak perempuan saya telah pun pergi ke balai untuk menerima rawatan."ma, kita kena makan 5 1/2 biji ubat ."
Baguslah kamu telah pergi awal."Ma, akan pergi hari esok bersama ayah dan adik."Itulah perbualan saya bersama dengan along.

Penduduk kampung ini menerima rawatan setelah mendapat maklum balas bahawa terdapat di kalangan penduduk kampung ini terkena untut.Justeru itu,untuk mengelakkan daripada jangkitan,maka langkah awal telah diambil dengan memberi rawatan.

Kepada pihak kesihatan, kami mengucapkan berbanyak terima kasih di atas keprihatinan mereka kepada penduduk kampung ini.

Pena kasihl :Tidak sanggup untuk makan pil yang besar dan banyak tetapi apabila difikirkan untuk kesihatan, telan jugalah pil tersebut.

Friday, June 12, 2009

KEKUATAN HATI AYAH

Sudah hampir 31 tahun, ayah memegang jawatan ketua kampung.Terlalu banyak cabaran dan rintangan yang terpaksa ditempuhi.Kagum dengan sikap ayah.Kekuatan mental mengharungi pelbagai fitnah sewaktu memegang tampuk kepimpinan di kampung ini memberi satu semangat kepada saya untuk menangani sebarang fitnah yang datang kepada kami.
Seusia muda ayah memegang jawatan itu dan diberi penuh kepercayaan oleh anak buahnya memimpin kampung yang dahulunya serba kekurangan,tiada cahaya yang menyinari rumah seperti hari ini.Hanya bercahayakan pelita.Tiada jalan secantik hari ini.Hanya taburan debu merah yang kami rempuhi tatkala kereta dan motor menghampiri kami.Itulah perjalanan hidup penduduk kampung dahulu.Tetapi berkat kesabaran dan tidak mudah putus asa, dalam usaha untuk menjadikan kampung ini setanding dengan kampung lain,pelbagai usaha dilakukan oleh ayah dan ajknya.Alhamdulillah,kini kampung ini mampu menyaingi kampung-kampung lain dalam arus permodenan.

Pelbagai fitnah yang mendatang kepada ayah, ditangani dengan penuh kesabaran.Pernah lontaran surat kepada pihak tertentu semata-mata untuk menjatuhkan ayah tetapi Allah lebih mengetahui niat suci seorang hambaNya.Pernah menyatakan kepada saya untuk melepaskan jawatan itu dan saya setuju dengan permintaan ayah itu.Surat dihantar tetapi permohonan ditolak.Akhirnya ayah akur bahawa penduduk kampung masih memerlukannya sehingga tahun 2010.Kini,ayah sedang mencari-cari pelapis untuk menggantikannya.Seorang pemimpin perlu mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang baik,Mudah diterima anak buah,tidak mudah emosional, tahan menerima cemuhan orang ramai,mudah mesra masyarakat dan yang penting soal-soal yang berkaitan dengan agama perlu ada dalam diri seorang pemimpin.

Dalam masa yang sama, ayah juga merupakan imam di kampung ini.Sekali lagi ayah terpaksa menerima dugaan yang hebat.Berjela-jela surat dihantar ke Mufti Johor mengatakan kegagalan ayah membaca surah Al-Fatihah dengan betul, begitu juga dengan iman 2.Akhirnya, siasatan dijalankan.Ayah dan iman 2 dipanggil oleh Jabatan Agama Johor.Di minta membaca surah Al-fatihah di depan mereka.Ternyata jelaan surat tersebut merupakan fitnah semata-mata.Ternyata ada di antara mereka yang tidak menyenangi dengan apa yang dimiliki oleh ayah Kagum melihat keupayaan ayah menghafal doa yang panjang dengan lancar.Di tengah malam yang sunyi, ayah selalu bangun dan mentelaah ayat-ayat al-quran untuk didalaminya.Kadang-kadang belajar berzanji dengan ayah, tetapi hanya sekerat jalan kerana kegagalan saya membawanya dengan baik.Sering menerima teguran daripada ayah kerana gagal melagukan dengan baik.

Malah ada fitnah yang mengatakan kesenangan ayah kerana sebagai seorang ketua kampung sudah tentu banyak projek yang didapati.Sebagai seorang anak, sudah tentu rasa kekecewaan di hati melihat fitnah-fitnah yang dilemparkan.Tetapi jika diperhatikan,kesenangan ayah bukan kerana itu.Ayah pernah menjadi seorang penoreh getah .Ayah juga mempunyai tanah sendiri.Ayah bersusah payah mencari rezeki untuk keluarga dan anak-anaknya dan ayah tidak pernah duduk diam untuk mencapai kesenangan di hari tua.Ayah yang tidak mengenali seorang ibu dan bapa kerana diserahkan kepada orang lain selepas dilahirkan.Hanya mendapat belaian kasih sayang daripada seorang datuk.Tetapi kekuatan dan kecekalan hati ayahlah yang mengubah kehidupannya.Ayah tidak pernah lupa untuk berdoa kepada Allah kerana setiap rintihan hambaNya didengar olehNya.

Ayah sering menceritakan kepada saya akan kesusahannya dijaga oleh orang lain sewaktu kecil.Tetapi saya kagum dengan ayah.Kesabaran ayah begitu tinggi sekali walaupun dicemuh oleh orang.Ayah memang tidak pernah berkira soal wang ringgit untuk anak buahnya.Ayah tidak pernah berkira soal minyak untuk anak buahnya.Semuanya dilakukan untuk memastikan kesejahteraan anak buahnya.

"Barang siapa yang boleh berlatih kesabaran,maka Allah akan menyabarkannya.Dan tidak ada seorang pun yang mendapat kurnia Allah yang lebih baik atau lebih daripada sabar."(al-Bukhari)

"Rendahkan diri kamu terhadap keuda-dua ibu bapamu dengan penuh kasih sayang dan katakan: Tuhanku!kasihanilah kedua-duanya setelah mereka mengasihaniku ketika kecil."(Huzairah)

Pena kasih: Menantikan masjid baru yang diperjuangkan oleh penduduk kampung lebih daripada 10 tahun kerana tidak dapat menampung keperluan penduduk.

HATI BERBELAH BAGI

Emak mertua mempelawa kami untuk ke Kuala Lumpur.Hasrat di hati hendak menghabiskan cuti sekolah bersama-sama dengan anak di sana.Malangnya, anak lelaki kami tidak mahu ke sana kerana dikatakan tidak mempunyai kawan yang sebaya dengannya.Puas juga kami memujuknya tetapi dia tetap dengan keputusannya.Kemudian, emak mertua hendak membawa Along ke sana.Malangnya si Along juga enggan pergi kerana ada kelas tambahan.

Kami yang pada mulanya begitu teruja ke sana, akhirnya mengalah dengan kerenah anak lelaki kami.Sejak pagi lagi, di hati ini masih tertanya-tanya:hendak pergi atau tidak.

Justeru, apabila Pak Cunya menelefon jam 4.oo petang, kami mengambil keputusan membatalkan sahaja pemergian kami ke sana.Terlepas peluang untuk bersama-sama dengan mereka.Kemudian,emak menelefon hendakkan kepastian sama ada kami pergi atau tidak.Akhirnya, saya memaklumkan yang kami telah mengambil keputusan untuk tidak pergi.Hati ini berbelah bagi.

"Hati kadang-kadang mempunyai alasan yang tidak dikenal oleh fikiran."(Shen fu)

Pena kasih: Sering mengalah dengan kerenah anak-anak.

KENAPA TINGGALKAN,HAPIZ

Deringan telefon disambut dan rupanya si kecil menelefon."Uda,kenapa tinggalkan,Hapiz?"Hapiz,nak ikut Uda.Begitu sayu mendengar percakapannya.Seusia tiga tahun begitu keletah berbicara.

Akhirnya kami berjanji akan mengambilnya petang ini.Membawanya ke pasar malam.Dibetulnya percakapan kami."Uda,bukan pasar malam tapi pasar minggu."Lantas kami berpandangan sambil tersenyum penuh makna.

Balik dari kerja, suami terus meminta saya menemaninya ke pasar malam seperti yang dijanjikan.Lebih kurang pukul 6.00 kami bertolak dan menjemputnya di IOI.Kebetulan saya berpuasa dan membeli sedikit juadah untuk berbuka puasa.Melayani kerenah anak saudaranya.Kemudian, membelikan makanan untuk emak mertua dan menghantar si kecil pulang.Namun merengek-rengek untuk mengikuti kami pulang ke rumah.Tidur bersama-sama dengan Pak Udanya.Begitu manja sekali.

Tengah malam, bangun dan menangis .Mencari Pak Udanya yang sedang sibuk menghadap komputer dan meminta ditidurkan.Terjaga dan terus menunaikan solat.Rasa ketenangan.

.................melihat wajah-wajah suami, anak dan anak saudara yang lena diulit mimpi agaknya.

"Ingatlah,malam itu untuk beribadat,bukan untuk tidur."(habib al-ajmi)

Pena kasih: Sejak akhir-akhir ini,sering terjaga malam.



Thursday, June 11, 2009

TUNTUTAN SI KECIL

Pagi lagi si kecil berusia 3 tahun menelefon.Meminta diambil untuk ke Melaka.Kasihan Hapiz.Itulah hakikatnya apabila bercerita di depannya tentang cadangan untuk ke Melaka. Yang pastinya dia akan menuntut janji untuk ikut Pak Udanya.Bukannya kami tidak hendak membawanya tetapi disebabkan sebelum ke Melaka, si kecil meragam, menangis kerana tidak mahu mengikut.Justeru,kami mengambil keputusan tidak perlu bawanya kali ini.Rupa-rupanya si kecil masih ingat tentang perkataan Melaka.Dengarnya, masih menunggu Pak Udanya untuk di bawa ke Melaka.

Kemudian,Pak Udanya menelefon dan berjanji pada petang ini akan membawanya ke pasar malam di Bukit Siput.Nampaknya si kecil ini setuju dengan cadangan Pak Udanya..................ragam budak-budak.Terlalu manja dengan Pak Udanya.Malah tidak mahu berkongsi manja dengan adiknya setiap kali Pak Uda cuba mendukung adiknya.Mulalah dimarahinya Pak Uda.

Si kecil ini,sebenarnya banyak berada di rumah kami semenjak dilahirkan.Ibu bapanya yang bekerja di hospital Segamat berulang dari rumah kami sebelum menduduki rumah sendiri di IOI.Pak udanyalah yang banyak menjaga malah adakalanya tidur bersama si kecil ini.

Melihat keletah dan ragamnya seolah-olah si kecil ini berusia 5 tahun.Setiap patah perkataan yang diajar dalam bahasa Inggeris oleh Pak udanya menjadi ingatan sehingga kini.

Kanak-kanak adalah umpama simen basah dan setiap orang yang jatuh ke atasnya akan memberi kesan kepadanya.(Beecher)

Pena kasih: Kadang-kadang kami rindukan kemanjaan dan keletahnya.

Wednesday, June 10, 2009

JAM TANGAN

Membelek-belek jam tangan di salah sebuah kedai di Melaka mengingatkan saya kepada kisah lampau.Ketika berusia 21 tahun lalu.Saat cincin di sarung di jari dan dihadiahi seutas jam tangan sempena pertunangan.Banyak ranjau dan duri diharungi untuk mencapai ke tahap itu.Dulu,kalau dihadiahi sesuatu yang agak mahal sudah tentu membanggakan dan disimpan dengan berhati-hati.
Dalam masa yang sama,menerima seutas jam tangan daripada X mengucapkan Selamat Bertunang.Bentuk dan jenama yang sama.Pertunangan yang memakan masa hampir 4 tahun sudah tentu banyak dugaannya.Tapi alhamdulillah kami dapat menangani segala dugaan dan cabaran dengan baik.Yang penting keikhlasan hati dan keimanan yang kuat dapat membantu mengatasinya.Yang penting ketika itu ialah menghabiskan pengajian masing-masing.

..................suami bertanya sama ada saya hendakkan jam tangan.Bagi saya sudah cukup dengan apa yang ada.Jam yang baru dibeli sudah memadai.

Kini, anak perempuan saya begitu berminat membuat koleksi jam tangan.Pada tahun lepas sempena hari jadinya,Mak Cu dan Pak Cu menghadiahkan seutas jam tangan.Tersenyum dengan pemberian emak saudaranya.

"Orang yang bersifat ikhlas itu ialah orang yang riang gembira,selalu menghargai barang yang ada dan tidak menyesal barang yang tiada".
(Abul Islami)


Pena kasih: Menghargai setiap pemberian daripada suami dan orang lain.Suami memahami apa yang isteri minat.

MELAKA


Sudah lama tidak menjejakkan kaki ke Melaka.Hari ini saya berpeluang ke Melaka bersama-sama dengan suami dan anak lelaki.Along tidak mengikuti kami kerana ke kelas tuisyen.Kami memang jarang membawa anak perempuan kerana dia lebih suka duduk di rumah bersama-sama dengan nenek dan datuknya.Kalau diikutkan anak lelaki juga tidak berapa minat untuk mengikut kami.

............tapi apabila dah dijanjikan dengan sesuatu,akhirnya dia bersetuju menemani kami.Kami bertolak jam 10.00 pagi.Tempat pertama yang kami tujui ialah Mahkota Parade.Apa lagi,kami terus menuju ke kedai buku.Berhabis jugalah kami dengan membeli pelbagai jenis buku.

Saya tidak ketinggalan membelikan buku rujukan untuk anak-anak.Untuk menanam semangat cintakan kepada ilmu memang sukar so dengan cara itu sahajalah yang dapat saya lakukan supaya mereka meminati pada buku-buku.Alhamdulillah, setakat ini mereka menerima apa sahaja yang saya belikan untuk mereka.

Kemudian,suami membawa saya ke Tesco.Di sini,saya hanya mencuci mata sahaja.Perjalanan di teruskan ke Jaya Jusco.Sekali lagi, kami singgah di kedai buku dan makan tengah hari di situ.Tak sangka pula,kami terjumpa dengan Kak Zana dan suaminya yang sedang menjamu selera di situ.Kami berbual sekejap sebelum masing-masing membawa haluan sendiri.
Kami berada di situ lebih kurang 1 jam lebih dan mengambil keputusan untuk pulang ke rumah.
Ingatkan nak singgah di Mydin tetapi .....................dah terlalu penat, kami terus pulang ke rumah.Semasa di JayaJusco, suami menerima massage mengatakan ada satu majlis di Kg Bandan.Malangnya suami tidak dapat serta kerana berita yang kami terima agak lewat.Terlepas peluang suami mewar-warkan daerah Segamat.Namun terima kasih diucapkan kepada Encik Azami bin Othman kerana memberikan kerjasama bagi memastikan penduduk daerah Segamat tidak terus ketinggalan di dada akhbar................ada sedikit kesilapan teknikal yang menyebabkan daerah Segamat ketandusan berita.

Apabila orang bertindak bijaksana,tidak seorang pun yang melihatnya.
Apabila orang berlaku tidak bijaksana,maka semua orang akan mengetahuinya.
(Davey John Schwartz)

Pena Kasih:Pernah orang mengatakan seperti katak di bawah tempurung,tapi tidak bermakna kita tidak tahu dunia luar.Orang yang dianggap paling bersyukur kepada Allah ialah orang yang paling banyak berterima kasih kepada manusia walaupun apa orang hendak kata.Pernak difitnah tapi kami reda dan akhirnya kebenaran itu ternyata dan datang ke rumah kami memohon maaf.Sering berdoa agar dijauhi sifat-sifat itu.(Fitnah-menfitnah)

Tuesday, June 9, 2009

KETENANGAN

Setelah dua hari tidak ke sekolah kerana telah berjanji untuk menghabiskan masa di rumah bersama-sama keluarga.
Rutin harian memastikan rumah dimop dan disapu baik di luar rumah mahupun di dalam rumah telah saya lakukan sehabis tenaga..................rasa ketenangan melihat kawasan rumah sentiasa bersih.Waktu-waktu inilah dapat berpeluang membersihkan keseluruhan kawasan rumah.
Suami telah mengambil cuti selama dua hari dan saya telah berpeluang menemaninya meracun rumput di kebun belakang rumah.Kemudian saya meminta suami meracun di bawah pokok durian,mematikan pokok-pokok kecil dan rumput yang agak panjang.

Seusai meracun,saya terus naik ke rumah dan bermulalah operasi bersama-sama dengan anak.Alhamdulillah mendapat anak yang rajin menolong tatkala cuti panjang ini.Tanpa disuruh mereka menjalankan tugasan masing-masing.

Sebelah petang, suami mengajak saya menemaninya untuk memesin kawasan kebun.Mula-mula nak juga belajar memesin rumput tetapi suami tidak mengizinkan.Cukuplah dia sahaja yang melakukannya.Saya sekadar disuruh menebang pokok-pokok kecil dengan menggunakan parang.

Kemudian, saya mengambil kesempatan membersihkan kawasan rumah emak dan ayah.Semalam bersama-sama dengan anak dan anak saudara, saya mengerah mereka membersihkan dalam rumah nenek mereka.Masing-masing begitu rajin dan tersenyum melihat rumah datuk dan nenek mereka bersih.Lalu saya mengingatkan mereka,jika kerja dilakukan secara bergotong-royong, semuanya dapat dilaksanakan dengan cepat dan masing-masing merasa kepenatannya.Along hanya sekadar tersenyum sahaja dengan apa yang saya ungkapkan.

Pena kasih:Ketenangan hati lebih lebih terasa tika kita mendekati diri kepada ALLAH.

Monday, June 8, 2009

MENJEJAK TEMAN

Tiba-tiba hati ini teringatkan kawan-kawan lama yang entah di mana tika ini.Kadang-kadang kerinduan untuk bertemu dengan kawan-kawan muncul dengan tiba-tiba.
Teringatkan kawan-kawan semasa di Sekolah Rendah Bukit Hampar seperti Suraya,Rahimah, Mas Azura, Mas Anizan, Noraziah dan ramai lagi.Masing-masing membawa haluan sendiri.

Kemudian saya melanjutkan pelajaran ke SMK Canossian Convent pada tahun 1980 sehinggalah ke tingkatan 5.Kebanyakan kawan-kawan saya semasa di sekolah ini bekerja sebagai guru dan kami sering bertemu kerana mereka berkhidmat di sekolah di Segamat.Kawan-kawan seperti Zuridah,Norlida, Mashitah,Fatimah ,Raha, Noorwati,Aniza,Anida masih dapat ditemui.

Seterusnya saya melanjutkan pelajaran di STS sehingga tahun 1986.Di sini bermulalah pelbagai cerita yang menarik untuk dikenang dan terlalu banyak tersimpan nostalgia.Bekerja sebagai guru sementara di Segamat dan Muar, telah menyimpan saya pengalaman yang amat manis.Dari situ,bermulalah minat saya untuk menjadi seorang guru dan itulah cita-cita saya sebenarnya.

Saya pernah bekerja di kilang di Segamat dan pernah diberi jawatan atas untuk mengelakkan saya dari terus berhenti dari kilang tersebut.Tapi...........sukar untuk saya terus bersama-sama di situ dan akhirnya ketika saya sedang memikirkan ke mana arah dan tuju,saya menerima panggilan daripada ayah memaklumkan saya perlu ke Perak dan mendaftar dengan segera di Maktab Perguruan Kinta.Akhirnya saya meninggalkan kilang di Segamat bersama-sama dengan kawan-kawan seperti Kay,Asiah dan lain-lain lagi.

Dengan sayu,meninggalkan teman dan saya terus pulang ke rumah, menyiapkan segala keperluan dalam masa dua hari dan keesokkannya saya bersama-sama dengan emak dan mak Cik Hasnah ke Perak dengan menaiki kereta api.Selama 3 tahun saya menuntut di maktab dan banyak kenangan pahit dan manis diharungi.Alhamdulillah akhirnya saya mampu menghabiskan pengajian saya .Sekali lagi saya meninggalkan kawan tanpa sebarang berita.Agus, Saripah,Kak Zah,Kak Fazilah .................terlupa nama-nama mereka.

Kemudian, saya telah di tempatkan mengajar di SK Felda Pemanis.Tapi hanya melihat bangunan itu sahaja kerana suami meminta saya mengikutinya ke Jengka Pahang.Permohonan untuk ke Jengka diluluskan dengan serta merta.Saya ditempatkan di Jengka 4 dan suami yang ketika itu berada di Jengka 2 telah diarahkan ke SM Seri Jengka.Sekolah yang baru dibuka.Ternyata semasa di SM Seri Jengka dengan bilangan murid seramai 100 orang lebih,suami telah mampu melahirkan pelajar yang lulus 100% dalam mata pelajaran BI bagi peperiksaan PMR.Kagum melihat kesungguhan suami mendidik anak murid yang lemah yang ketika itu guru bahasa Inggeris hanya 2 orang sahaja.

Sekali lagi,setelah berkhidmat lebih kurang 5 tahun, kami telah mengambil keputusan untuk balik ke Segamat.Meninggalkan kawan-kawan dan anak-anak didik begitu terasa sekali.Tapi keputusan telah dibuat.Namun begitu,sehingga kini, saya masih berhubung dengan rakan-rakan di Jengka 4.Talian telefon memudahkan kami berhubung.Nana dan Yati yang sering dihubungi.Yati yang juga kini sedang belajar di USM ditemui ketika di tahun akhir saya di sana.Suami pula tak habis-habis dengan Pak Lahnya.Semoga persahabatan akan berkekalan.

Pena kasih:Sering teringatkan kawan-kawan dan berdoa agar suatu hari kita akan bertemu.

Sunday, June 7, 2009

TERTIDUR


Ke Lui Selatan.Itulah perjalanan kami pagi ini.Teruja ke sana setelah hampir dua tahun tidak pergi ke situ.Apabila ada sesuatu majlis barulah kami berpeluang ke sana.Bertemu saudara mara.

Kami melalui Jempol dan teringatkan kawan yang pernah belajar di USM menetap di situ.Nostalgia USM begitu manis untuk dikenang................terlalu banyak cerita-cerita menarik yang tersimpan semasa kami menuntut di USM.

Sepanjang perjalanan, kami dihidangkan dengan pelbagai cerita menarik.Akhirnya destinasi yang dituju telah tiba.Sesampai kami disambut hiba oleh Mak Uteh yang tidak sangka akan kehadiran kami.Begitu juga dengan anak-anaknya.

Tepat jam 1.30 petang, Mak Ngah yang hanya membonceng motosikal turut sampai bersama-sama dengan suaminya.Kami tidak sangka kesanggupan Mak Ngah yang datang dari Segamat semata-mata untuk bertemu dengan adiknya.Kemudian,Pak Yim meminta kami membawa Mak Ngah kerana dikatakan Mak Ngah tertidur di atas motor semasa Pak Yim menunggang dan ini sudah tentu membahayakan diri Mak Ngah.Kasihan Mak Ngah.Mak Ngah sebenarnya tidak berapa sihat setelah menjalani pembedahan di kepada membuang ketumbuhan hampir 10 tahun yang lalu.Kesihatan Mak Ngah terganggu sejak kebelakangan ini.Dengan keadaan yang kurang selesa, kami membawa Mak Ngah.Namun begitu, perjalanan balik sunyi kerana masing-masing tertidur kerana keletihan.Kasihan Ayang memandu sendirian tanpa mendengar suara manja dari isterinya......................ye ke?

Pena Kasih: Kadang-kadang kasihan melihat ayang memandu bersendirian kerana mama sering tertidur apabila perjalanan jauh.

Saturday, June 6, 2009

SALAH SANGKA

"Mama.................ada orang masuk kebun kita,"kata Haziq.Saya pun menjengah ke luar dan melihat gelagat seorang lelaki yang membawa kayu dan dua bungkusan bersama-samanya.Kehadirannya itu telah membuatkan saya tertanya-tanya.Siapakah gerangan lelaki yang tidak dikenali semudah itu memasuki kawasan kebun saya tanpa sebarang kebenaran.

............tidak semudah itu untuk saya hampiri lelaki itu.Lebih-lebih lagi ketika itu suami tiada di rumah.Saya hanya memerhatikan sahaja dari celah-celah tingkap sementara Haziq memerhati dari luar.Persoalan demi persoalan terus bermain di minda saya.Kemudian saya meminta anak saya memerhatikan nombor van si lelaki itu.Anak saya takut untuk menghampiri van tersebut.

.............Akhirnya persoalan itu terjawab apabila kami dimaklumkan bahawa gerangan itu selalu memasuki kawasan kebun saya apabila saya tiada di rumah terutama waktu pagi.Rupa-rupanya gerangan itu memikat burung tekukur.Saya ingatkan orang hendak mengukur sempadan kebun yang menjadi pertelagahan sejak akhir-akhir ini.

Pena kasih:Tidak suka mengambil hak orang kerana punya prinsip hidup hak sendiri tetap hak sendiri kerana tidak pernah menjadikan hak orang seperti hak sendiri.

Friday, June 5, 2009

LUAHAN


Sepasang suami isteri telah bertandang ke rumah saya menyatakan rasa ketidakpuasan hatinya terhadap pengurusan IPTS tempat di mana anak sulungnya menjejak kaki ke pusat pengajian tinggi.Setelah hampir setahun anaknya meninggalkan IPTS tersebut tetapi institusi tersebut masih lagi berhutang dengan anaknya yang melibatkan empat angka dan bukannya sedikit.Sudah tentulah timbul rasa tidak puas hati apatah lagi wang tersebut merupakan hak pelajar itu dan sepatutnya institusi tersebut memulangkan hak pelajar.Tetapi lain jadinya.Janji yang diperkatakan hanya omong kosong sahaja.

Tiada tempat untuk mengadu, jadi di rumah sayalah mereka meluahkan apa yang terbuku di hati family tersebut.Akhirnya suami telah mengambil langkah dengan menelefon pihak pengurusan tersebut.Pelbagai dalih dikeutarakan.Yang amat memeranjatkan pelajar tersebut dimarahi kerana melibatkan orang lain.Memandangkan sudah menjadi tanggungjawab suami untuk memastikan pelajar tersebut mendapatkan haknya apatah lagi ia melibatkan dua pihak.

Akhirnya, pihak pengurusan tersebut telah meminta ibu bapa pelajar mengambil cek.Memeranjatkan lagi kerana cek tersebut cek kosong.Bayangkan perasaan kita jika mempunyai masalah seperti ini.Perkara ini menyebabkan suami telah mengambil tindakan dengan menelefon pihak pengurusan tersebut.Yang menyedihkan masing-masing takut untuk berkomunikasi dengan suami.Masing-masing tahu kesilapan masing-masing.Kalau dilontarkan masalah ini ke media cetak sudah tentu terbongkar rahsia sebenarnya.Namun begitu, ibu bapa pelajar tersebut telah mengambil keputusan untuk memulangkan cek kosong dan pihak pengurusan IPTS telah berjanji akan menunaikan cek sebenar pada khamis ini.....................adakah institusi itu hanya cuba untuk melarikan diri daripada permasalahannya.
Ibu bapa pelajar tersebut telah membuat keputusan untuk melontarkan permasalahan ini di dada akhbar sekiranya pihak institusi gagal untuk menunaikan janjinya.

Yang peliknya, kenapa begitu sukar institusi tersebut hendak memulangkan hak pelajar kerana sememangnya itu memang haknya dan bukannya hak institusi tersebut.Banyak lagi pelajar lain yang menjadi mangsa institusi tersebut tetapi mereka tidak tahu untuk menyalurkan masalahnya apatah lagi mereka tidak punya ibu bapa lagi.Kasihan pelajar tersebut.

"Kalau orang lain berani mempertahankan kebatilan, mengapa kita takut mempertahankan hak dan kebenaran?"(Muhammad Abduh)

Pena kasih:Memberi pengajaran kepada kita untuk memilih IPTS yang tidak prihatin dengan kebajikan dan hak pelajar.

Thursday, June 4, 2009

CUTI

Sesi motivasi berakhir dan saya telah mengambil keputusan untuk berehat pada minggu hadapan.Bersantai bersama keluarga dan mengisi ruangan untuk seisi keluarga.Perbincangan dan pembahagian tugasan untuk cuti ini telah diselesaikan terlebih awal.Saya bersama-sama dengan Kak Yati, telah mengambil keputusan untuk bersama keluarga .Kami meminta cikgu Ali bertugas pada minggu hadapan.Persetujuan telah dibuat antara kami bertiga.

Pada kami, terlalu banyak masa dihabiskan di sekolah.Kadang-kadang cuti bersama keluarga berlalu begitu sahaja.Setiap kali cuti pendek atau panjang, sekolahlah tempat kedua kami.Namun begitu, percutian untuk minggu hadapan telah mendapat teguran.Seolah-olah tidak memahami akan kepentingan rehat untuk kami seisi keluarga.Seboleh-bolehnya masa cuti perlu sentiasa berada di sekolah.......................pada saya ketiadaannya, kami dapat melaku dan melaksanakan tugas tanpa sebarang gangguan.Semuanya beres.Walaupun orang atasan datang dan bertanya setiap soalan,insya Allah kami dapat menjawabnya.Itulah realitinya apabila kita menjawat sesuatu jawatan itu.Memahami akan bidang tugas masing-masing.Meninggalkan anak buah,insya Allah kami dapat melaksanakan tugas dengan lebih teratur.Yang pastinya kepercayaan kepada seseorang itu penting dalam sesebuah organisasi.

Kenyataannya, apabila diberi sesuatu tugas itu, kepercayaan amat penting.Pada saya,kurang bercakap dan membebel lebih baik daripada terlalu banyak melakukan itu.Sedikit sebanyak mengganggu penumpuan kita pada sesuatu tugas itu..................kadang-kadang timbul rasa rimas.

Pena kasih:Lebih suka membuat kerja tanpa gangguan daripada membebel sahaja.Telah memaklumkan kepada PT,minggu depan minggu tanpa diganggu.

TANGISAN MOTIVASI


Hari ini berakhirnya siri motivasi yang berlangsung selama 5 hari.Motivasi yang memberi kesedaran dan ruangan pelajar merenung kembali 5 bulan yang lalu,pengisian yang mereka lakukan selama lima bulan.Merenung sejenak akan diri sendiri,melihat keupayaan diri sendiri dalam setiap keputusan peperiksaan yang mereka lalui.

Cetusan motivasi yang diberikan oleh Cikgu Zulkefli dari SK Segamat Baru, telah menyedarkan anak didik akan kepayahan ibu bapa mereka, memastikan anak-anak berjaya di dunia dan akhirat.........................akhirnya tumpahan air mata tanpa disedari mengalir.Tanpa mengira agama dan bangsa akhirnya setiap patah perkataan yang dilontarkan oleh Cikgu Zul telah meresap ke jiwa anak-anak tanda kesedaran mereka.Esakan dan tangisan yang tidak boleh ditahan telah mengemakan dewan SKCC
.
Teringatkan kata-kata Tn Hj Abbas bin Awang, sentuhan dan pelukan oleh guru-guru sudah cukup untuk memberikan semangat kepada anak-anak didik.Meninggalkan pesanan kepada anak didik agar terus berusaha dengan bersungguh-sungguh tanpa jemu.

Untuk guru-guru SKCC yang sentiasa berada di sekolah,menemani anak-anak murid sudah cukup bermakna kepada mereka.Tangisan guru penuh makna..........


Pena Kasih:Gembira melihat keputusan UPPM 2.Peningkatan keputusan menunjukkan kesungguhan guru dan anak murid.

PENULISAN SANTAI

Idea yang mencurah-curah apabila menulis memang sukar untuk diberhentikan.Adakalanya cerita itu menarik atau tidak, tidak perlu dipersoalkan.Yang penting ada sesuatu untuk diceritakan.

Pertama kali,penulisan saya keluar di sebuah akhbar "Bacaria".Ketika itu,saya berkawan dengan husband.Melalui dia, banyak ilmu yang saya perolehi.Ketika itu, beliau menuntut di UKM dalam bidang komunikasi (kewartawanan).Beliaulah yang mula-mula menyuruh saya menulis.Dari situlah hasil penulisan yang pertama keluar.Kemudian, saya hantar lagi karya.Alhamdulillah, karya saya banyak yang keluar.Ketika itu saya berusia 17 tahun dan banyak surat-surat sampingan sampai......................

Karya-karya yang saya tulis disimpan dalam sebuah dairi dan akhirnya anak perempuan terjumpa hasilan karya tersebut."................mama ni,penulis ke?" Itulah pertanyaan yang pernah ditanya oleh anak perempuan saya."Taklah..............mama sekadar menulis untuk suka-suka." Itu sahaja jawapan ringkas yang saya berikan kepada anak.Pernah ayah mereka meminta setiap anak menghantar karya masing-masing di dalam majalah kuntum.Nampaknya tiada respon daripada kedua-dua orang anaknya.Walaupun ayahnya akan "editkan' karya tersebut.Cuma kini saya nampak, anak lelaki telah membuat satu diari dan ayahnya tersenyum melihat apa yang anaknya tulis.....................penuh makna.

Pembinaan blog ini, telah membuka ruang kepada saya untuk mengasah balik minat dalam bidang penulisan.adi kenyataan?

Pena kasih:Kagum dengan minat suami dalam bidang penulisan.Ingat dengan kata-kata Prof.Jeniri menulis boleh buat wang.Suami pernah ditawar untuk menjadi penulis oleh Jabatan Perdana Menteri.Kesuntukan masa membataskan segalanya dan pernah mengikuti suami mencari berita semasa beliau menjadi pemberita sambilan daerah Segamat tahun 1990an.

KELEDEK


"............Sedapnya penganan keledek." itulah kata-kata yang terhambur dimulut saya suatu tika dahulu.Tapi itu hanya tinggal kenangan sahaja.Kerinduan kepada kuih tersebut begitu terasa sekali apabila terlihat kak Milah menggali keledek yang ditanam di kebun milik saya.

Tiada siapa yang dapat menandingi masakan nenek saya yang telah meninggalkan kami lebih daripada sepuluh tahun lalu.Nenek memang terkenal dengan kuihnya itu.Tiada siapa yang kini mengambil resepi nenek .Tiada siapa yang pernah lagi mengacau penganan untuk dihidangkan kepada anak-anak.Tiada siapa yang tahu(mungkin) cucu-cucu atau generasi sekarang mengenai kuih tersebut.Hanya tinggal kenangan.

Dulu kebun milik ayah telah diusahakan oleh adik-adik emak untuk menanam keledek.Tapi kini masing-masing membawa haluan sendiri.Mengikuti suami.Tiada siapa lagi yang mampu memegang cangkul.Kudrat untuk mengerjakan kebun sudah berlalu.Kepayahan hidup mereka telah memberi kesedaran kepada kami untuk mengubah nasib keluarga.Retetan cerita itu berlalu dengan pengalaman yang indah.Dulu, saya sering mengikuti emak saudara untuk mengerjakan kebun..................kini hanya tanah di belakang rumahlah mampu kami lakukan untuk bercucuk tanam untuk kepuasan diri sendiri.

............mengajak anak untuk memegang cangkul sudah tentu menjadi satu kepayahan kepada mereka.Lantas dikatakan tidak biasa dengan tugas-tugas itu.Generasi zaman sekarang memang sukar untuk melakukan kerja-kerja yang pernah kami lakukan.

Dulu, hanya menungggang basikal menolong ayah dan emak mengangkat susu getah.Ingat lagi ketika usia saya 14 tahun.Sewaktu cuti sekolah,masa digunakan dengan menolong emak dan ayah ke kebun getah.Tak pandai menoreh tapi cukup untuk melihat sendiri susah payahnya ayah dan ibu mencari rezeki untuk kami sekeluarga.Keperitan dan kesusahan hidup itulah yang menggerak hati saya untuk mengubah hidup kami.

Pena kasih:Sering bercerita dengan anak-anak tentang kepayahan hidup mamanya suatu tika dahulu setiap kali ternampak pokok getah.

Wednesday, June 3, 2009

PROGRAM 3K




Program 3K(Keselamatan,Keceriaan dan Kesihatan) yang dijalankan di sekolah ini telah mendapat respon yang begitu baik di kalangan ibu bapa, guru-guru, pekerja-pekerja dan anak murid sendiri.

Bagi memastikan program ini berjalan dengan lancar, semua ajk telah bergerak pantas dalam melaksanakan aktiviti yang dirancangkan.Antara aktiviti yang dijalankan ialah program gosok gigi, program sekolah selamat, program gotong-royong,program bebas aedes dan pelbagai lagi program yang dijalankan.

Program-program yang dijalankan ini adalah dibawah pengawasan GPK HEM ,Pn Norhayati bte Md Zan dan dibantu oleh guru-guru lain.Justeru, bagi memastikan pelaksanaannya berjalan dengan baik, setiap pengerusi program tersebut akan membuat laporan untuk dinilai dan dibuat penambahbaikan bagi memantapkan lagi program 3K.

Peranan guru bukan sahaja memastikan perjalanan program tersebut berjalan dengan lancar, tetapi para pekerja juga turut memainkan peranan penting bagi memastikan sekolah sentiasa ceria.Malah ibu bapa yang pernah datang ke sini telah memberikan makluman yang baik kepada kami dan menyatakan mereka begitu selesa melihat pemandangan sekolah ini. Ceria dan bersih.

Kami bersyukur mempunyai pekerja yang memahami tugas mereka dalam memastikan sekolah berada dalam keadaan yang selamat dan ceria.Setiap orang daripada mereka mempunyai peranan yang tersendiri bagi membantu sekolah ke arah kecemerlangan.Pekerja-pekerja sekolah kami semuanya rajin malah mereka menjadikan kawasan sekolah ini seperti rumah mereka.Banyak tanaman-tanaman yang ditanam seperti pokok kelapa, rambutan, mangga, manggis dan sebagainya.Sekurang-kurangnya anak-anak murid mengenali setiap nama pokok.

Peranan anak murid pula ,mereka akan memastikan kelas mereka sentiasa ceria dan bersih.Kami sering memberikan motivasi dan mengingatkan mereka tentang kebersihan.Justeru, mereka sendiri memahami peranan sebagai anak murid yang turut sama membantu mempertingkatkan kebersihan sekolah.

Pena kasih: Sering mengingatkan anak murid tentang kebersihan dan keselamatan diri semasa berada di sekolah.

KREATIF


Hari ini guru-guru SKCC (Kak Timah,Kak Zaharah, Ikin, Pian, Kak Yati dan Radziah)berada di sekolah.Memastikan perjalanan program motivasi berjalan dengan lancar.Masing-masing mempunyai tugas yang tersendiri untuk diselesaikan.

Kak Zaharah yang akan menerima menantu baru pada 6 haribulan ini tidak ketinggalan datang ke sekolah.Selain memastikan program berjalan dengan lancar,kak Timah telah menggunakan kepakaran yang ada, membantu kak Zaharah membuat barangan hantaran untuk anaknya.Begitu kreatif sekali kak Timah membuat hantaran tersebut.

Kemudian saya telah menyuarakan agar kak Timah menggunakan kepakaran yang ada untuk berkongsi dengan anak-anak murid.Terutama apabila aktiviti kokurikulum(badan beruniform) dijalankan.Mereka bersetuju dan sekurang-kurangnya murid-murid menggunakan bahan-bahan terbuang seperti cawan kertas digubah menjadi bentuk burung yang begitu unik sekali.

Pena kasih: Pernah membuat gubahan hantaran untuk diri sendiri dan adik ipar dengan dibantu oleh suami.

IMPIAN


<
Hasrat ayah untuk memiliki sebuah kereta baru akhirnya tercapai.Memang itulah hasrat kami memastikan apa yang ayah impikan akan ditunai.Perbincangan dengan suami tentang hasrat ayah disambut baik oleh suami.Akhirnya saya menguruskan semua kehendak ayah.Teruja ayah dengan kereta barunya apabila saya yang ketika itu berada di sekolah dimaklumkan bahawa kereta sudah boleh diambil di kedai sekarang.Lantas saya meminta ayah dan emak ke kedai tersebut kerana sebelum ini semua urusan dan dokumen telah dibereskan.

Dulu ayah juga menyatakan untuk mempunyai sebuah rumah yang baru.Kami adik beradik yang seramai dua orang telah berbincang dan akhirnya impian kedua orang tua tercapai.Tiada apa yang dapat kami bantu melainkan menyenangkan hati mereka.Walaupun kami berdua(kedua-duanya perempuan)tetapi rasa tanggungjawab untuk memastikan hati ibu dan ayah senang sudah cukup puas kepada kami.

Awal tahun 2006, mereka menyatakan hasrat untuk berkunjung ke Mekah juga kami usahakan.Rezeki mereka berdua memang ada walaupun di peringkat awal,wang tidak mencukupi tapi alhamdulillah Allah mendengar rintihan hambanya yang begitu teruja untuk berkunjung ke sana.Akhirnya apa yang dihajati tercapai.Syukur kepada Allah.

Pernah ayah mertua(allahyarham) begitu teringin untuk mempunyai kereta.Kemudian sempat suami memberi ayah mertua menggunakan keretanya untuk digunapakai oleh ayahnya.Tetapi ayah tidak lama menggunakan kerana dia jatuh sakit.Kemudian adik suami iaitu ucu dan acik begitu teruja untuk memiliki kereta sendiri dan akhirnya suami memberikan duit pendahuluan untuk kedua orang adik beradiknya itu.

Baru-baru ini, suami menyuarakan kepada emak dan adik beradiknya bagi memastikan setiap rumah mereka menggunakan tapisan bio aura.

Pena kasih:Suami sering membantu adik-adik dan memberikan pandangan bagi memastikan keluarga dapat apa yang dihajati.Suami sanggup mengeluarkan duit untuk menyenangkan hati keluarga.

LinkWithin



Related Posts with Thumbnails