Ayah dan emak bersama-sama cucu-cucunya.Penghibur hati ayah.
Ayah bersama-sama dengan anak-anak dan menantunya serta cucu-cucunya yang tidak ramai.
Hampir 30 tahun lebih,ayah menjadi pemimpin kampung.Seusia 28 tahun(jika tidak silap saya) sudah menunjukkan ciri-ciri kepimpinannya.Ketika itu beliau bersama-sama dengan ketua kampung Allahyarham Tok Yusof membantu memimpin penduduk kampung.Terserlah daya kepimpinannya ketika usia muda.Banyak yang diceritakan kepada saya,suka duka untuk memimpin kampung ketika usia masih muda.Belum tentu daya kepimpinan kita disukai.Tapi,ayah seorang yang tabah.Setabah hatinya apabila ditinggalkan oleh ayahnya ketika usia masih muda dan dijagai dengan belaian kasih sayang seorang datuk.Cucu yang manja.Diserahkan kepada orang lain ,sehari selepas dilahirkan kerana masalah keluarga.............sungguh tabah hatinya.Berkongsi kasih sayang dengan orang lain,Ditinggalkan oleh ibunya.
Kini ayah tiada adik-beradik.Dua orang adik-beradik ayah menemui Ilahi ketika usia masih muda.Ayah menumpang kasih dengan saudara maranya.Ayah dikategorikan pelajar yang cerdik tetapi disebabkan masalah kewangan,ayah hanya mampu belajar setakat darjah 6 sahaja dan seterusnya bersekolah agama.Ayah pernah memberitahu saya,jika tidak kerana masalah kewangan,ayah kini sudah menjadi guru sekolah agama.Tapi rezekinya tiada.Ayah pasrah dan reda dengan apa yang berlaku.
Sewaktu saya ke rumah ayah,saya terbaca surat iklan jawatan kosong sebagai ketua kampung Gemereh 1...sudah sampai masanya untuk ayah berundur sebagai pemimpin kampung ketika usianya mencecah 65 tahun pada 1 Disember 2010.Memang sudah cukup saya rasa perkhidmatan ayah dan sudah sampai masanya dia berehat.Memberi peluang kepada generasi baru untuk memimpin kampung ini.Memang kami sering meminta ayah melepaskan jawatannya itu dari dahulu lagi.Tapi selagi tiada pengganti ayah terpaksa memegang jawatan tersebut.Kini, apabila usia sudah mencecah 65 tahun,sudah sampai masanya untuk ayah berehat dan menumpukan tugasnya sebagai seorang 'imam.
Dari sebuah kampung yang serba kekurangan infrastrukturnya,tapi kini alhamdulillah semuanya sudah ada.Masjid yang diperjuangkan sejak dahulu kini sudah ada dan syukur teramat sangat dan itulah yang ayah impikan sebelum melepaskan jawatannya.Kelas tadika untuk anak-anak kampung diwujudkan di kampung ini.Memberi peluang anak-anak kampung belajar dan menempuh alam persekolahan seawal usia 4 tahun ke atas.
Banyak yang ayah perjuangkan demi melihat penduduk kampung menikmati kemudahan seperti mana dinikmati oleh orang lain.Kalau dahulu, melalui kampung ini kita akan berasa takut tapi kini cahaya terang benderang menerangi tepi -tepi jalan.Namun, masih ada lagi rungutan orang mengatakan kampung ini belum maju lagi.Tidak bersyukurkah kita dengan apa yang ada sekarang?Teruskanlah perjuangan selepas ini daripada pemimpin baru.
Kalau dahulu ayah tidak tahu untuk menaip surat dengan menggunakan komputer tetapi kami sering memberi tunjuk ajar kepadanya.Anak sulung sayalah yang selalu membantu 'Tok Yah'nya menggunakan komputer.Kini ayah sudah tahu dan boleh dikatakan sudah celik IT.Bila sudah menjadi pemimpin banyak yang perlu dipelajari.Apabila anak sulung saya melanjutkan pelajaran,ayah terasa kehilangannya kerana cucu sulungnyalah selalu membantunya.
Kini saya sedang berusaha merisik ayah meminta dia menceritakan perjalanan hidupnya sebagai pemimpin kampung.InsyaAllah.......saya akan catatkan perjalanan hidup ayah dari mula-mula menerajui kampung sewaktu usia masih muda sehinggalah ke penghujung perkhidmatannya sebagai ketua kampung.
PENA KASIH:Tidak pernah lihat ayah meninggikan suara.Tidak suka dia lebih suka mendiamkan diri daripada melantangkan suara tidak tentu pasal.
No comments:
Post a Comment