Wednesday, December 7, 2011

BIARPUN IA SUDAH BERLALU......

Hari ini tergerak hati untuk membelek kembali gambar sewaktu mula menjejakkan kaki di maktab.Masih tebal diingatan kenangan semasa minggu orientasi.Minggu yang dianggap paling membosankan, menakutkan dan benci. Bercampur baur

Kelewatanku mendaftar diri di maktab kerana penerimaan surat yang agak lambat.Aku sebenarnya agak kecewa pada permulaannya apabila mendapati ramai kawan-kawanku telah mendaftar diri di maktab.Aku seolah-olah hilang semangat untuk bekerja ketika itu ,sebagai operator kilang selepas aku habis sahaja menamatkan pelajaranku di tingkatan 6.

Namun kekecewaan aku terubat kerana ayah datang ke tempat kerja dan memaklumkan aku perlu mendaftarkan diri dengan segera di sebuah maktab yang terletak di utara.Aku belek-belek surat yang diterima .Tapi tarikhnya sudah terlepas.Tanpa berlengah aku terus menelefon pihak maktab dan memaklumkan hal yang sebenarnya.Mereka memahami dan memberi kebenaran kepada aku untuk mendaftar agak lewat sedikit.

Walaupun kenangan itu sudah hampir 23 tahun yang lalu tapi kenangan itu masih segar lagi sehingga kini.Memang sukar untuk melupakan saat meninggalkan keluarga.Meninggalkan emak dan ayah.....Buat pertama kali berjauhan daripada keluarga tapi cita-cita yang aku idamkan sejak dari bangku sekolah lagi membuatkan aku nekad untuk pergi walaupun jauh.

Sepanjang perjalanan dengan ditemani oleh emak dan atok Senah,mata aku sentiasa bergenang dengan air mata...mampukah untuk aku menghadapi saat-saat untuk meninggalkan emak dan ayah?Itulah yang berlegar-legar di kepalaku. Itulah yang bermain-main di kepala aku sepanjang perjalanan. Namun aku tetap tekad untuk mengharungi segala-galanya tanpa di kelilingi orang-orang yang tersayang.

Minggu orientasi adalah minggu yang bukan dinanti-nantikan namun perlu dihadapi.Suka atau tidak aku terpaksa mengharunginya dengan tabah.Pertama kali berjumpa dengan abang-abang senior, persoalan pertama ialah apakah perasaan awak apabila meninggalkan keluarga?Lalu air mata bercucuran mengalir tanpa diminta-minta.Terbayang wajah emak dan ayah.....tiada kata-kata yang dapat aku ucapkan selain linangan air mata sahaja yang memberikan jawapannya.Mereka terkedu melihat wajah aku lantas tidak tergamak untuk terus bertanya soalan yang boleh meruntun rasa sedihku yang tidak terbendung.
LAGU: Mengemis Rindu (Noraniza Idris)
o
Seminggu berikutnya bermulalah pembelajaran. Kenangan yang paling tidak kulupakan ialah sewaktu mata pelajaran muzik,satu-satunya subjek yang paling aku tidak suka. Gara-gara pantun yang aku ungkapkan ini



o Ke kedai Mak Siti membeli jamu
o Sambil berjalan berpimpin tangan
o datang ke maktab mencari ilmu,
bukan tempat mencari pasangan

Aku dipanggil oleh pensyarah.Apa tidaknya kerana dengan maksud itu aku didenda untuk menyanyikan sebuah lagu khas untuk pensyarah tersebut. Malunya aku bercampur geram juga. Namun apakan daya aku tidak boleh membantah.

“Lepas ni masuk ke bilik saya.Suka-suka awak buat pantun macam tu”..Aku terkedu.Setiap mata rakan-rakan memandang tepat ke wajah aku.Aku tunduk malu.

o "Apakah salahnya pantun saya tu, encik?"
"Emmm...awak ni macam perli aja...."
"Saya tidak berniat apa-apa ,encik.Sekadar suka-suka".
"Tak kira,lepas ni pergi ke bilik saya.Awak akan didenda..."

Usai sahaja subjek tersebut dengan ditemani Kak Zah aku ke biliknya.Berdebar-debar kerana buat pertama kali dipanggil untuk didenda kerana pantun tersebut.Almaklumlah, ketika itu semuanya takut.Hendak tak hendak ,langkah demi langkah kaki ini berjalan menuju ke biliknya.

o 'Nyanyikan saya sebuah lagu."
"Encik, saya memang tidak pandai menyanyi” Air mata berlinangan di pipi.Rasa hendak menjerit memanggil emak.Tapi aku tetap menahankan diri tapi air mata terus bercucuran tanpa henti.
LAGU: Osman Omar (Gelap Gelita)
o
Tidak pernah aku menjangka aku bertemu dengan pensyarah muzik tersebut sewaktu dia menghantar anak saudaranya yang melangsungkan perkahwinan dengan saudara aku.Sempat juga dia hadir ke rumah aku yang bersebelahan dengan rumah saudara aku.Apabila aku sebutkan maksud pantun tersebut dia terus teringatkan aku....kuatnya pengertian pantun tersebut.Kami ketawa apabila teringatkan peristiwa itu Namun ,terima kasih atas ilmu yang diberikan kepada aku sewaktu menuntut di maktab.Biarpun ianya sudah berlalu beberapa puluh tahun dahulu tapi kenangan itu masih segar lagi sehingga kini....sukar untuk melupakan saat-saat manis sewaktu bergelar guru pelatih dan kerana itulah aku tetap menyayangi kerjayaku seorang guru.

LAGU: Jangan aku disalahkan (Sharifah Aini)

Kini, aku sedang berusaha menyiapkan dua lagi kisah kenangan hidup namun kekangan masa membuatkan ia terhenti seketika....

No comments:

LinkWithin



Related Posts with Thumbnails