Saturday, October 29, 2011

DICABAR


Sudah beberapa hari hubby mencabar saya menulis penceritaan pendek untuk dihantar ke satu rancangan di radio.Kisah pengalaman kehidupan yang tidak menyentuh sesiapa tapi sememangnya menarik.

Memang sudah ada ceritanya tapi kini sedang diedit oleh hubby.Setiap kali dia membaca blog saya ,ada sahaja komen yang diberikan.Saya katakan setiap orang mempunyai gaya penulisan yang tersendiri.Gaya penulisan saya begitu simple dan perlu banyak diperbaiki gaya bahasanya.Maklumlah kadang-kadang kita tidak menyedari kesilapan tersebut.Mungkin berulang-ulang atau sebagainya.

Kalau dahulu pernah karya saya disiarkan di sebuah majalah tempatan tapi semuanya terhenti kerana kesibukan masa.Mungkin tiada dorongan dan kini semangat untuk menulis kembali semula.Apabila banyak membaca , idea itu secara tidak langsung muncul.

PENA KASIH : Pengalaman kehidupan banyak membantu dalam penulisan.

Friday, October 28, 2011

MASA BERLALU .......




Cepatnya masa berlalu......
Hari ini, Along dan kawannya akan berangkat semula ke Perlis setelah bercuti hampir 9 hari.Kami tidak ke mana-mana kerana saya bertugas di sekolah dan hubby dengan tugasnya di tempat kerja.Percutian yang tidak sama membuatkan perancangan cuti tidak dapat dilaksanakan dengan baik.

Namun begitu, kami sempat membawa mereka meronda-ronda di Kuala Lumpur.Walaupun sehari tapi sudah cukup untuk memuaskan hati mereka.

Semoga perjalanan menuju ke destinasi bergerak dengan lancar dan selamat.Hanya iringan doa daripada seorang ibu buat anak sentiasa menitip di bibir setiap kali bersolat.

PENA KASIH : Sentiasa ingat-mengingati antara satu sama lain.

GURU

Saya begitu tertarik dengan rancangan TV terutama rancangan berunsur keagamaan.Setiap malam pastinya sambil membuat kerja sekolah, berinternet tapi di depan saya tetap ada sebuah televisyen untuk ditatap dan didengar oleh saya.Kalau dahulu saya memang kurang berminat dengan rancangan TV tetapi kini saya tertarik kerana banyak info yang boleh diperolehi.Apatlah lagi rancangan berunsur keagamaan.

Sebenarnya banyak perkara yang perlu kita ketahui.Kadang-kadang kita anggap perkara itu agak remeh tapi meninggalkan kesan yang besar kepada kita.Justeru, dengan adanya rancangan-rancangan yang berunsur keagamaan yang begitu banyak kini di kaca tv mahupun di corong-corong radio sekurang-kurangnya menjadi guru kepada kita.Syukur teramat sangat.

Saya sememangnya begitu berminat dengan rancangan TV Hijrah di mana ustaz Don banyak memberikan info yang begitu bermakna buat diri kita.Pernah emak saya memaklumkan kepada saya sewaktu dia sakit dahulu.Tergerak di hatinya untuk mendengar dan melihat rancangan TV sebelum siaran tamat.Ada info yang sehingga kini menjadi amalan hariannya.

Begitulah di waktu pagi, sambil-sambil memasak saya tekan suis tv untuk mendengar pelbagai info yang begitu berguna buat diri kita.Kalau dahulu saya memang tidak berminat dengan tv tetapi apabila banyak ilmu yang diperolehi sekurang-kurangnya masa santai saya selain membaca saya gunakan tv dan radio sebagai guru saya selain hubby.

PENA KASIH :Suka mendengar anak lelaki bercerita semula apa yang telah dibacanya.....


Wednesday, October 26, 2011

RONDA-RONDA KL








Suria KLCC......

Pameran buku di KL Centre........

Along with Dila...enjoy ye.

Along with her friend from Sabah...Mila Salmilah.

Along picture....she said suka-suka.

Perjalanan ke KL pada pagi Rabu dan sempena percutian Deepavali begitu lancar sekali.Tiada kesibukan kereta dan ini menyebabkan perjalanan seperti dirasakan begitu cepat sekali.Alhamdullilah, cuaca yang baik dan masing-masing begitu 'excited' untuk berjalan di KL terutama anak saudara.

Kebetulan ada pameran buku di KL centre memberi peluang kepada kami untuk ke sana .Mencari beberapa buah buku dan novel serta buku-buku berunsur keagamaan yang memang dicari oleh anak lelaki saya.Along dan kawannya juga tidak ketinggalan membeli beberapa buah buku.

Seusai membeli buku, kami ke Suria KLCC....Jalan-jalan cuci mata.Kami tidak lama di situ dan kemudian kami ke PKNS.Hubby ingin melihat kawasan tersebut setelah hampir 20 tahun tidak menjejakkan kaki di situ.Kami makan-makan dan bersantai agak lama di situ sementara menunggu solat Maghrib.

Kemudian kami bergerak menuju ke I-City.Kali kedua saya ke sana.Walaupun hujan renyai-renyai tapi saya lihat begitu ramai mengunjungi tempat tersebut.Tidak kiralah yang tua mahupun yang muda.Apatah lagi cuti sempena Hari Raya Deepavali memberi peluang kepada ahli keluarga untuk membawa anak-anak bersiar-siar menikmati sinaran cahaya yang bergermalapan.Indah sekali.Dua jam kami peruntukan masa untuk bersiar-siar di sana di samping mengambil gambar untuk kenang-kenangan.

Sebelum itu, hubby berhasrat untuk mengajak kami ke Genting Highland tetapi hari sudah hampir ke petang dan saya pun tidak begitu teruja untuk ke sana kerana cuaca yang agak kurang baik .InsyaAllah jika ada masa dan kelapangan , kami akan berkunjung juga ke sana nanti bersama-sama dengan anak.

Biarpun perjalanan agak lambat sewaktu pulang ke Segamat tetapi bersyukur kerana kami selamat sampai ke destinasi jam 1.00 tengah malam.

PENA KASIH : Menggembirakan hati anak-anak.....

Tuesday, October 25, 2011

CUTI BUAT DIRI...

Pembahagian tugas sepanjang cuti Hari Deepavali memang telah dirangkakan lebih awal.Bab cuti ni mestilah awal dibuat.....Kali ini,saya bertugas sehari sahaja dan selebihnya diambil oleh GPK HEM dan GPK KK.

Namun begitu, segala persiapan untuk peperiksaan akhir tahun juga telah saya siapkan lebih awal.Soalan peperiksaan telah diagih-agihkan mengikut hari.Cepatnya bertindak kerana ingin bercuti agak lama kali ini.Memandangkan my daughter balik sekali-sekala,why not saya bercuti.Kalau tidak kepala ni dan badan ini hanya ingatkan kerja sahaja.Malah adakalanya pukul 7.30 pagi saya dah berada di sekolah seperti biasa.

Kadang-kadang kasihan juga dengan anak-anak kerana kesibukan ibu bapanya.Hubby lagilah jenis kerja balik lewat.So,kali ini biarlah saya bercuti lama sedikit.Memasak, mengemas memang menjadi rutin saya.Pastinya saya sukakan kekemasan.Mengemop satu rumah pun tak apa asalkan ianya satu kepuasan pada diri saya.

Namun ,tidaklah saya bercuti sepenuhnya tapi ada kerja-kerja yang perlu dibereskan dan diamanahkan untuk disiapkan.......hari Isnin kena hantar.Tapi masih tidak berusik lagi.Dibiarkan fail-fail itu di atas meja....

Peluang untuk menjadi isteri dan ibu mithali.....balik aja dari kerja, semua makanan telah terhidang di atas meja.Senyum suami satu pahala buat kita apabila melihat makanan sudah terhidang.Hari biasapun terhidang juga tapi rasanya bila tak kerja,tengok rumah bersih dan kemas lagilah gembira hati che hubby.

Majalah solusi yang tersusun kemas di atas rak,diselak satu demi satu......pilih aja yang mana hendak baca dan tambah pengetahuan.Masa nilah digunakan dengan sebaik-baiknya.

Bunga-bunga yang ditanam juga sudah mula meminta untuk dibelai...dibubuh baja, dibuang daun-daun yang kering, digembur tanahnya...Bukan orang sahaja yang memerlukan perhatian tetapi bunga-bunga juga hendakkan perhatian.


PENA KASIH :Percutian yang begitu bermakna buat diri dan family...


Monday, October 24, 2011

LUAHAN RASA......


Luahan rasa kecewa, marah, geram dan pelbagai lagi emosi dan perasaan dituturkan secara lembut tapi dengan berhati-hati.Sebagai pendengar yang setia mendengarnya dengan penuh simpati tapi tidak mampu untuk melakukan apa-apa.

Membiarkan luahan itu diluncurkan dari hati yang telah dipendamkan setelah sekian lama.Genangan air mata jelas terpancar di kedua-dua belah matanya.Fahami dan terus cuba untuk memahami tapi dibiarkan terus berkata-kata.Tanpa celahan kata-kata tapi masih terus setia menjadi pendengar yang cuba untuk mendengar dengan penuh simpati.

Tiba-tiba suara meninggi mula muncul.Mungkin ingin terus meluahkan rasa ketidakpuasan hati.Masih terus mendengar...membiarkan meluahkan apa yang dipendamkan selama ini.Biarpun butiran kata-kata itu menunjukkan yang dia begitu kecewa sekali.

Membiarkan dia terus meluahkan kata-kata.........air mata mula bergenang.Mungkin sudah lama saratan penderitaan itu ditanggungnya tapi tiada teman untuk diluahkan.Biarlah...sekadar mendengar sudah cukup dapat memuaskan hatinya.
Namun sentiasa mendoakan yang terbaik untuk dirinya......

PENA KASIH :Hanya kepadaNya ialah tempat untuk mengadu.....


KELAWAR


Kelawar merupakan sejenis mamalia yang berubahsuai dan boleh terbang seperti burung.Bercerita tentang kelawar ni memang agak merimaskan saya.Bukannya apa...suka untuk duduk di atap rumah .Setiap kali solat di bilik tersebut akan keluarlah bunyi-bunyinya yang sedikit sebanyak menganggu konsentrasi saya ketika bersolat.

Akhirnya saya dan hubby mengambil keputusan untuk menghalau kelawar tersebut dari terus bersarang di atap rumah saya.Merosakkan syiling rumah saya dan juga mengeluarkan bau yang tidak menyenangkan.
Apabila bertemu dengan Pak Agus yang sudi untuk menghalau kelawar, lafaz syukur muncul di mulut ini.Tak kiralah apa cara yang Pak Agus hendak buat, kami ikut sahaja.Lalu Pak Agus mengatakan dia sudah biasa melakukan kerja-kerja menghalau kelawar ini dengan cara menyembur racun.

Hari Sabtu tanpa menelefon, Pak Agus muncul di rumah kami bersama dengan adik iparnya.Dia melakukan kerja-kerja meracun kelawar dan mengambil masa yang begitu singkat sekali dengan upah sebanyak RM30.00 sahaja tapi hubby memberinya Rm50.00.

Mengenali Pak Agus melalui tampalan kertas di pokok-pokok untuk kerja-kerja membersihkan kebun.Sewaktu itu, hubby memang sedang mencari orang untuk meracun kebun yang tidak berapa luas tapi Pak Agus mengambil upah yang begitu murah sekali.Hubby tidak berkira kerana upah untuk meracun kebun yang seluas hampir dua ekar dengan racun yang disediakan oleh Pak Agus iaitu sebanyak RM 70.00 tapi hubby memberinya RM100.00.Pastinya itulah pertemuan kami dengan Pak Agus yang berkahwin dengan orang tempatan di sini .Dia sentiasa bersedia untuk memberikan bantuan kepada kami jika diperlukan terutama untuk menanam pokok getah dan menjaga kebun kami jika diperlukan.

Kini, tiada lagi bunyi kelawar di syiling....adakah dia sudah terbang meninggalkan sarangnya atau masih lagi berada di syiling tidak kami ketahui.Mudah-mudahan ianya pergi meninggalkan kami dan mencari tempat baru.

PENA KASIH :Baja tahi kelawar merupakan yang terbaik katanya......

KENANGAN ITU.....

First day...minggu orientasi.Mata merah kerana baru lepas sesi dialog.Sedih apabila teringatkan family di kampung.

Hari terakhir minggu orientasi.....sempat disapa oleh lecturer.

Dah tak ingat nama senior ni........sesi soal jawab.Nasib saya baik kerana hanya air mata sahaja dapat menyelamatkan diri saya dari terus ditubi dengan pelbagai soalan.

Hari ini tergerak hati untuk membelek kembali gambar-gambar sewaktu mula menjejakkan kaki di MPKI.Masih teringat sewaktu minggu orientasi.Minggu yang dianggap paling membosankan, menakutkan dan benci.Boleh dikatakan begitu...

Saya agak lewat mendaftar tapi sudah dimaklumkan kepada pihak atasan akibat kelewatan mendaftar.Bukan disengajakan tapi menerima surat agak lewat.Walaupun kenangan itu sudah hampir 23 tahun yang lalu tapi kenangan itu masih segar lagi sehingga kini.Memang sukar untuk melupakan saat meninggalkan keluarga.Meninggalkan emak dan ayah.....Buat pertama kali berjauhan daripada keluarga tapi cita-cita yang saya idamkan sejak dari bangku sekolah lagi membuatkan saya nekad untuk pergi walaupun jauh.

Sepanjang perjalanan dengan ditemani oleh emak dan atok Senah,mata saya sentiasa berkaca dengan air mata...mampukah untuk saya menghadapi saat-saat untuk meninggalkan emak dan ayah?Itulah yang berlegar-legar di kepala saya.Mampukah saya untuk menjalani kehidupan berseorangan,berjauhan dengan emak dan ayah?Itulah yang bermain-main di kepala ini.Saya tetap bernekad untuk mengharungi segala-galanya tanpa di kelilingi orang-orang yang tersayang.

Minggu orientasi adalah minggu yang bukan dinanti-nantikan tapi perlu dihadapi.Suka atau tidaknya kita terpaksa lakukan setiap arahan mahupun permintaan.Pertama kali berjumpa dengan abang-abang senior, persoalan pertama ialah apakah perasaan awak apabila meninggalkan keluarga?Lalu air mata berjujuran mengalir tanpa diminta-minta.Terbayang wajah emak dan ayah.....tiada kata-kata yang dapat saya ucapkan selain linangan air mata sahaja yang memberikan jawapannya.Mereka terkedu melihat wajah saya.Selamat daripada ditanya dengan pelbagai soalan.Yes...saya suka apabila tiada soalan lagi untuk saya.Itulah nilai air mata pada seorang wanita.

Saya masih ingat lagi sewaktu berada di dewan besar MPKI.Salah seorang lecturer menyapa saya dan ingin berjumpa dengan saya.Masa itu semuanya takut dan mengangguk saja kerana bukan senang untuk seorang lecturer menyapa di saat minggu akhir orientasi.Anggukkan tanda setuju tapi saya tidak semudah itu untuk berjumpa.Ada prinsip diri saya sendiri.Ingat seperti kata-kata yang dilafazkan oleh one of my friends....'dia ni,jinak-jinak burung merpati'.Tapi kini, lecturer itu sudah meninggal dunia .Al-fatihah .....Semoga rohnya dicucuri rahmat.Amin.

Kenangan sewaktu mata pelajaran muzik,satu-satunya subjek yang bukan kegemaran saya.Memang tidak minat dan sehingga kini saya sudah pencen untuk mengajar muzik.Memang enjoy sebenarnya mengajar muzik tapi saya tidak minat.Pernah dipanggil oleh seorang pensyarah muzik apabila saya mereka pantun yang saya tidak ingat pembayangnya.... hanya maksud yang kini masih tetap diingat sampai bila-bila.Apa tidaknya kerana dengan maksud itu saya didenda untuk menyanyikan sebuah lagu untuk pensyarah tersebut.
.....................................................................
....................................................................
datang ke maktab mencari ilmu,
bukan tempat mencari pasangan.

Lepas ni masuk ke bilik saya.Suka ya, awak buat pantun macam tu.Macam perli aja.Saya terkedu.Setiap mata rakan-rakan memandang tepat ke wajah saya.Saya tunduk dan rasa malu.
"Apakah salahnya pantun saya tu, encik?"
"Emmm...awak ni macam perli aja...."
"Saya tidak berniat apa-apa ,encik.Sekadar suka-suka".
"Tak kira,lepas ni pergi ke bilik saya.Awak akan didenda..."

Lepas sahaja habis masa subjek tersebut ,saya ditemani kak Zah ke biliknya.Berdebar-debar kerana buat pertama kali dipanggil untuk didenda kerana pantun tersebut.Almaklumlah, ketika itu semuanya takut.Hendak tak hendak ,langkah demi langkah kaki ini berjalan menuju ke biliknya.
'Nyanyikan saya sebuah lagi..."
"Encik, saya memang tidak pandai menyanyi dan mulalah air mata berlinangan di pipi saya.Rasa hendak menjerit memanggil emak.Tapi saya tetap menahankan diri tapi air mata terus berjujuran mengalir tanpa henti-henti.....
Tewas juga lecturer tu...apabila melihat air mata saya.Lain kali jangan suka buat pantun yang bukan-bukan.Sehingga kini , pantun itu meninggalkan persoalan kepada saya.Kenapa lecturer tu begitu terasa dengan pantun yang saya buat.

Itu kenangan sewaktu di MPKI dan siapa sangka akhirnya saya bertemu dengan lecturer tersebut sewaktu dia menghantar anak saudaranya yang melangsungkan perkahwinan dengan saudara saya.Sempat juga dia hadir ke rumah saya yang bersebelahan dengan rumah saudara saya.Apabila saya sebutkan maksud pantun tersebut dia terus teringatkan saya....kuatnya pengertian pantun tersebut.Mungkin dia terperanjat melihat saya yang dahulu lain rupanya................Namun ,terima kasih atas ilmu yang diberikan kepada kami sewaktu menuntut di MPKI.Biarpun ianya sudah berlalu beberapa puluh tahun dahulu tapi kenangan itu masih segar lagi sehingga kini....sukar untuk melupakan saat-saat manis sewaktu bergelar guru pelatih dan kerana itulah saya tetap menyayangi kerjaya seorang guru walaupun pelbagai tranformasi dilakukan..

PENA KASIH : Ada kalanya kenangan itu begitu mengusik jiwa ini....Biarpun peristiwa itu sudah berlalu tapi ia tetap segar di ingatan ini.







Sunday, October 23, 2011

TETAMU ANAK




Along bersantai bersama Mila di kolam sambil melihat anak ikan keli....itu aja yang saya bela kerana ikan-ikan lain yang dibela habis dimakan oleh burung...So ikan keli aja yang tinggal .

Percutian selama seminggu dari IPG memberi peluang kepada Along untuk balik ke kampung.Kali ini ,Along balik bersama-sama dengan kawan sekelasnya from Sabah,Mila.Selamat datang ke Johor buat Mila.

Kepulangannya lebih awal iaitu pada 20 hb yang lalu ketika itu saya masih bekerja.Tapi mereka beruntung kerana rumah emak yang berhampiran dengan rumah kami tidak menjadikan masalah kepada saya apabila saya pergi bekerja.

Saya masih belum berkesempatan membawa mereka berjalan-jalan .Hari minggu yang sibuk dengan kerja-kerja mengecat dan InsyaAllah kami akan ke Kuala Lumpur pada hari Rabu ini.Berjalan bersama family.......

PENA KASIH : Sentiasa mengingatkan mereka untuk belajar walaupun exam masih lama lagi.

Saturday, October 22, 2011

PROGRAM HUJUNG MINGGU





Hari ini, mengambil keputusan mengecat rumah emak dan ayah.Program hujung minggu yang diisikan bersama hubby dan anak-anak.Suka melihat emak dan ayah gembira.

Semua sekali dikerah untuk memainkan peranan sepanjang kami mengecat.Anak saudara yang hanya dua orang juga dikerah melakukan kerja-kerja.Maklumlah dah tak larat lagi tapi masih bersemangat untuk menceriakan hati kedua orang tua.Ini baru episod mengecat di luar rumah dan insyaAllah, kami secara beransur-ansur mengecat di dalam rumah pulak.Melakukan kerja secara beransur-ansur akhirnya akan siap juga.

Anak perempuan dan kawannya menolong emak saya memasak untuk kami yang mengecat rumah.........Masak kurma daging(special menu for my hubby) dan beberapa lagi jenis lauk yang dimasakkan oleh mereka.
Petangnya dijamu pula dengan bubur kacang hijau dan bubur pulut hitam (from Perlis).Hubby lebih gemar bubur kacang hijau so emak memasakkan untuknya.Sayang emak....
Ayah pula sebagai pemerhati memerhatikan gelagat anak, menantu dan cucunya mengecat.Janji kami dapat membahagiakan hati kedua orang tua.Mereka gembira, anak cucu akan tetap gembira.

PENA KASIH : Hari minggu yang tidak pernah disia-siakan.

Friday, October 21, 2011

ZONE ENGLISH





Dalam usaha untuk merealisasikan hasrat kementerian bagi memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris, justeru sekolah saya juga tidak ketinggalan melaksanakan beberapa program berkaitan dengan MBMMBI.

Salah satu programnya ialah dengan menyediakan tempat 'Zone English' yang telah sekian lama diadakan tetapi kini dilakukan penambahbaikan.Baru-baru ini, kami didatangi oleh dua orang guru sekolah menengah untuk melihat 'Zone English'.

'Zone English' merupakan satu tempat di mana pelajar-pelajar yang berada di situ tidak dibenarkan untuk berkomunikasi dalam bahasa lain kecuali bahasa Inggeris.Begitu juga dengan guru-guru yang berada di kawasan tersebut.Ini adalah bertujuan untuk meningkatkan penggunaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar-pelajar begitu juga dengan guru.

PENA KASIH :Selalu ditegur oleh hubby bila tersilap cakap dalam bahasa Inggeris.

Thursday, October 20, 2011

SELAMAT BERCUTI DAN DEEPAVALI


Emmm.....keriangan jelas terpancar di wajah-wajah anak didik.Menghitung hari menantikan cuti.Mungkin penat agaknya disogokkan dengan ilmu-ilmu sebelum mereka menghadapi peperiksaan pada awal November.

Masing-masing bertungkus-lumus menghabiskan sukatan bagi memastikan anak-anak didik dapat menjawab soalan peperiksaan akhir tahun dengan baiknya.Seminggu bercuti sedikit sebanyak menjejaskan juga keputusan peperiksaan akhir tahun.Walaupun ingatan dan pesanan diberikan tapi biasalah kanak-kanak.Mereka leka apabila tiada teguran diberikan .Mereka bersahaja apabila kedua ibu bapa bersahaja.Mereka benar-benar cuti...cuti segala-galanya apatah lagi cuti buku.Itu yang mengerikan saya.Semua latihan dibekalkan tapi sudah semestinya ada yang tidak menyiapkan seperti yang diharapkan.Tidak bagi kerja rasa bersalah kerana mereka yang ingin belajar sudah tentu hendak membuat ulang kaji.

Di saat akhir, masih banyak kerja yang diberikan.Mereka mengeluh tapi apabila dipujuk mereka akur.Semuanya hendak berjaya, hendak pandai dan hendakkan hadiah.Saya telah berjanji kepada mereka yang mendapat keputusan yang terbaik akan mendapat hadiah daripada saya.Setiap kali ujian diberikan apabila pencapaian mereka meningkat,saya tetap berikan sesuatu untuk pelajar saya sebagai motivasi kepada mereka.Ganjaran kerana mereka bersungguh-sungguh dan berusaha untuk mencapai keputusan yang baik.

Hari ini, mereka riang....terutama pelajar India.Tersenyum ....senyum untuk menyambut ketibaan raya mereka.Apabila ditanya, mereka bercerita dengan penuh semangat.Saya mendengar.saya membiarkan dia bercerita.....

PENA KASIH :Selamat Hari Deepavali kepada pelajar-pelajar yang beragama Hindu...

Monday, October 17, 2011

ILMU LAGI....


Sewaktu menunggu waktu melawat di HTAA tempoh hari, saya dan hubby terjumpa sebuah majalah bertajuk "Fardu Ain' dan kini bakal menjadi koleksi kami selain Solusi.Sudah sampai masanya untuk kita menambah ilmu yang berbentuk keagamaan.Bukan dikatakan alpa dengan soal ini tapi ada kalanya kita terleka kerana tuntutan keduniaan.Namun tidaklah sampai semuanya kita leka.Maksudnya di sinilah dari segi pembacaan kita dan penambahan ilmu.Mungkin majalah ini sudah lama berada di pasaran tetapi baru-baru ini sahaja saya terjumpa.

Isinya yang begitu padat dan menarik sekali........banyak info menarik boleh diperolehi malah majalah ini menjadi wadah saya di waktu 'free' semasa di sekolah.Itupun bila kerja-kerja hakiki telah saya habiskan.Santapan senggang saya......

Dari satu tajuk ke satu tajuk saya baca....memang begitu berkesan sekali info-infonya.Soal-jawab agama juga yang ada kalanya terlintas di fikiran kita boleh diperolehi di majalah ini.Jangan lepaskan peluang untuk memilikinya disamping menambah ilmu.

PENA KASIH :Selalu mendengar tazkirah daripada hubby......

SOPAN.....


Hampir dua minggu lebih, rumah kami menghadapi masalah 'line internet yang agak slow'.Biasalah bila dah slow mood untuk mencari maklumat terbantut dan mulalah panas baran.Opppsss.....perlu bersabar walaupun slow....Sampai bila harus bersabar.Line yang tidak stabil menyebabkan hasrat untuk memutuskan line stremyx mulalah berlegar-legar di otak kami.Buat apa membayar tapi perkhidmatan yang tidak memuaskan.Lebih baik pakai broadband walaupun masing-masing mempunyai satu broadband.Namun begitu,penggunaan broadband juga ada kelemahannya.So masih lagi bersabar melayan karenah 'line' yang agak slow.

Hampir dua minggu lebih juga hubby menelefon memaklumkan akan masalah yang dihadapi.Mereka menjawab dengan penuh sopan dan berusaha membantu mengatasi masalah yang dihadapi.Hanya dengan arahan melalui telefon hubby melakukan seperti yang diarahkan.Alhamdulillah, peringkat awal semuanya ok tetapi ianya masih lambat apabila keesokkannya.Hubby menelefon pihak yang berkenaan........menjawab dengan penuh sopan.Tidak semua orang begitu kerana adakalanya melayan karenah pelanggan boleh menimbulkan ketegangan.........

Akhirnya pihak yang berkenaan menghantar dua orang datang ke rumah saya untuk melihat sendiri masalah yang dihadapi....mereka menukar wayar telefon kerana berkemungkinan berpunca dari situ.Tiada perubahan yang berlaku....

Kemudian, datang lagi seorang yang mencari punca sebenarnya dan ternyata rupa-rupanya hanya saya di kampung ini yang menggunakan streamyx dan keadaan kampung yang terdapat banyak pokok-pokok sedikit sebanyak mengganggu kelancaran 'line' tersebut.Wallahualam sama ada betul atau tidak penerangannya saya tidak pasti .Yang penting saya hendakkan 'line' yang clear untuk memudahkan saya mendapatkan sebarang maklumat.Lagipun dikatakan kedudukan rumah yang agak jauh dari bandar dan entah apa saya tidak pasti memberikan impak kepada kelancaran internet.

Namun ,apa yang ingin saya perkatakan di sinilah layanan dan penerangan yang jelas dan sopan membuatkan rasa marah itu kendur sedikit.Dia sendiri pun berkata 'kalau saya berada di tempat awak, saya pun naik angin kerana kelajuannya terlalu..terlalu slow'.Tapi bayaran setiap bulan tinggi.Lagipun saya ambil pakej yang membolehkan saya berinteraksi dengan sesiapa di seluruh negeri tanpa sebarang bayaran mengiktu masa.Bukan no handphone.So, saya ambil pakej ini bagi memudahkan saya membuat panggilan dengan rakan-rakan yang duduk jauh.

PENA KASIH : Menguji kesabaran...Thanks to hubby kerana membelikan penyambungan just for my laptop .Sambungan terus......

Sunday, October 16, 2011

INDAHNYA CIPTAAN TUHAN.....




Cantikkkkkkkkkkkkkkk.......tercetus dari mulut saya sewaktu melalui garaj rumah emak.Lalu saya dekati dan melihat sendiri akan keindahan ciptaan Allah.Tidak pernah saya melihat bunga ini apatlah mengetahui nama bunga ini.Puas saya 'search' kat internet untuk mendapatkan sebarang info berkaitan dengan bunga ini.Sehingga kini saya gagal.....

Kalau dilihat dari pokoknya yang hanya menjalar sahaja dan tinggi, memang tidak menarik tetapi apabila ia berbunga inilah hasilnya.
Ayah hanya mendapat benih pokok ini pun semasa dia ke Gemas.Seorang lelaki Cina telah memberikan sebatang pokok ini kepada ayah secara percuma.Lalu ayah biarkan pokok tersebut tumbuh begitu sahaja dan sehingga kini barulah ia berbunga.

Pena Kasih :Indahnya ciptaan Allah....

Saturday, October 15, 2011

TAHNIAH.......



Tahniah kepada pelajar-pelajar Convent yang mewakili daerah Segamat ke pertandingaan Gimnastik peringkat ZOne Selatan di Melaka baru-baru ini.Dengan latihan yang kurang mantap dan juga tidak mempunyai jurulatih yang sebenarnya tapi mampu melahirkan gimnas yang terbaik dan mendapat tempat kedua dari 16 buah sekolah.

SKCC telah terpilih untuk Sukan Berprestasi Tinggi bagi sukan gimnastik dan dengan tunjuk ajar daripada Pn Lim Su Wan.Bergabung bersama dengan SJKC Lichi....seramai 1o orang peserta telah menyertai pertandingan tersebut baru-baru ini.

PENA KASIH :Dulu SKCC memang terkenal dengan Sukan Gimnastik.

HTTA KUANTAN

Inilah pokok berdaun yang biasa kita lihat tapi kita tidak tahu yang ia begitu berguna untuk mereka yang menghidap batu karang....




Emak turut mencuba tetapi tidak tahan.......kan baik untuk kesihatan, mak.

16 tahun dahulu....saya pernah ke sini.Ketika itu, saya menetap di Maran,Pahang.Hari ini saya lalu blok tersebut sambil hubby menunjukkan Wad Melur.....masih ingat dan terus terbayangkan wajah anak lelaki.Itulah kali pertama saya menjejakkan kaki ke situ dan hari ini pula merupakan kali kedua saya hadir ke HTAA Kuantan.

Banyak perubahan yang telah berlaku di hospital tersebut setelah meninggalkan negeri Pahang.Hari ini, saya pergi melawat kawan yang pernah menjadi pemandu pelancong kami sewaktu kami ke Terengganu.Beliau terlibat dengan kemalangan jalan raya dan Alhamdulillah beliau semakin sihat.Semoga beliau tabah menghadapi saat diuji oleh Allah.Semoga isteri dan anak-anak serta keluarganya memberikan sokongan yang kuat kepada dirinya.

Kami sampai ke HTTA lebih kurang pukul 12.00 tengah hari dan waktu melawat sebenarnya pada hari minggu ialah jam 1.00 petang sehingga 8.00 malam.So,semasa menunggu waktu melawat sempatlah saya ,hubby, emak dan adik bersantai di tepi koridor hospital tersebut sambil berjalan-jalan di 'refleksiologi'.Uhhh....sakitnya kaki dan terus meninggalkan tempat tersebut sebaliknya melihat hubby berjalan bersahaja di tempat itu.Terdengar jeritan seorang budak lelaki menjerit kesakitan kerana memijak batu-batu tersebut.

Kemudian saya bergerak ke pintu utama masuk ke hospital.Sempat lagi saya menegur makcik yang berjalan seiringan dengan saya.Terus dia menunjukkan daun pokok bunga yang begitu baik untuk mereka yang menghidap batu karang.Lalu diajarnya saya cara untuk menggunakan daun tersebut.Dia memberitahu saya supaya merebus daun tersebut dengan 3 gelas air yang mengandungi 7 helai daun dan menjadikan air tersebut sehingga segelas.Baca selawat dan minum pagi dan petang.InsyaAllah..batu karang tersebut akan keluar bersama-sama dengan air kencing.Pernah terjadi kepada bapanya yang menghidap batu karang di buah pinggang dan hampir menjalani pembedahan.Tetapi doktor terperanjat kerana apabila 'scan' dilakukan batu karang tersebut tiada lagi.Lalu saya mengucapkan terima kasih kepada makcik tersebut atas maklumat tersebut.......hanya dengan bertegur sapa saya dapat ilmu daripada makcik tersebut untuk dikongsi kepada mereka yang menghidapi batu karang.Terima kasih, mak cik.

Lebih kurang pukul 3.00 petang, kami meninggalkan perkarangan hospital dan menuju ke 'Parkson' dengan tujuan membeli novel.Malangnya novel yang menjadi pilihan saya tiada..frust juga.Hubby pula membeli buku-buku keagamaan.....

Siapa sangka sejak saya meninggalkan rumah sewa saya di Tahang Rimau pada tahun 2001, saya bertemu dengan anak tuan rumah yang saya sewa......Bayangkan hampir 10 tahun tidak berjumpa dan tidak sangka pada hari ini saya bertemu dengan Azianty...SubhanaAllah....Allah mendengar doa dan rintihan hambaMu ini.Sejak seminggu yang lalu , hati saya begitu teringatkan anak Kak Eton dan hari ini di depan mata saya, saya bertemu beliau ketika saya ingin mencari surau untuk solat Zohor di Parkson.Syukur teramat sangat dan dia sempat bertanyakan hubby yang pernah mengajar 'tuisyen' untuk dirinya terutama subjek BI dan kini beliau memegang jawatan PTD di Putrajaya dan berada di Kuantan kerana berkursus selama 3 minggu.

Kali ini, saya bersama-sama dengan emak dan adik sahaja yang pergi.Semua anak-anak kami tinggal bersama tokyahnya.......Terharu saya apabila my son memaklumkan kepada saya yang dia sudah melipat kain, membasuh simen dan membersihkan rumah dan ke masjid.Semoga anak mama menjadi insan yang baik dan mama sentiasa mendoakan agar kedua-dua anak mama berjaya dalam hidup.

PENA KASIH :Sepanjang perjalanan ke Kuantan mengingatkan saya ketika berada di Pahang hampir 6 tahun.

Friday, October 14, 2011

SEPERTI MEMAHAMI......

Manjanya....

Bila dipanggil nama untuk diambil gambar....inilah aksinya.

Entah dari mana datangnya kucing ini....tiba-tiba muncul membawa 3 ekor anaknya.Cantik tapi tidak pernah dapat dipegang walaupun sekejap.Ia seolah-olah tahu yang tuan rumah tidak membenarkan dia masuk ke dalam rumah.Bukan apa..saya tidak mahu anak-anak kucing itu kencing merata-rata di dalam rumah .Nanti susah juga dibuatnya terutama kalau tempat untuk bersolat.

Namun, ia memang memahami kerana ia hanya berlegar-legar di Anjung Kasih kami.Bermain-main di luar dan diberi makan di kawasan tersebut.Setiap kali balik dari rumah, ia mengiau kerana kelaparan dan apabila telah kenyang dia mencari tempat persembunyian dan bila lapar barulah muncul di Anjung Kasih .

Hari ini, my son membelikan susu untuk anak kucing tersebut...bersepah-sepah tempat minum kucing tersebut.Ada tiga bekas untuk tiga ekor anak kucing tersebut.


PENA KASIH: Kucing pun faham bahasa manusia.....

Wednesday, October 12, 2011

RAWATAN PERCUMA......

YB Dr Lee Hong Tee...bersedia untuk memberikan rawatan percuma kepada penduduk kampung.Thanks YB.


Ayah turut juga menjalani rawatan...bacaan darahnya terlalu tinggi......
Menunggu giliran untuk menjalani pemeriksaan...

Satu program Khidmat Masyarakat bersama YB Datuk Dr.Lee Hong Tee telah diadakan di rumah ayah saya pada hari ini.Sebelum itu, my mum telah memaklumkan akan program tersebut yang bertujuan untuk merapatkan hubungan antara YB dengan masyarakat setempat dan juga memberikan rawatan percuma kepada penduduk bagi mengesan penyakit di peringkat awal.

Kesibukan saya beberapa hari dengan urusan sekolah menyebabkan keletihan tapi tidak sesekali saya mengecewakan emak .Seusai kerja-kerja sekolah,saya terus ke rumah emak membantu apa yang patut sehari sebelum majlis berlangsung.Alhamdulillah dengan pertolongan hubby mengemas dan menyediakan tempat untuk penduduk menjalani pemeriksaan kesihatan.

Saya akui,apabila usia semakin meningkat sudah tentu sedikit sebanyak penyakit akan mula hadir dalam diri kita.Kalaupun tidak darah tinggi, kencing manis dan juga masalah saraf sudah tentu ada.Rata-rata yang menjalani pemeriksaan doktor berasa terkejut dengan bacaan darah dan juga gula dalam badan.Namun begitu, dengan rawatan secara percuma ini sedikit sebanyak kita boleh tahu tahap kesihatan kita dan bersedia untuk mengatur jadual pemakanan dan lebih berhati-hati dalam pengambilan makanan.Kali ini saya tidak menjalani pemeriksaan kesihatan kerana baru sahaja mendapatkan rawatan di klinik kesihatan.Hanya darah tinggi sahaja yang saya alami dan alhamdulillah sejak saya mengambil supliment "Delima Plus' bacaan darah saya semakin menurun.Ini semuanya gara-gara hubby yang suka mendengar radio berkaitan dengan kesihatan.So, seisi keluarga kami mengambil supliment "Delima Plus",'Cocoa-minda' dan 'Smart cocoa' untuk anak lelaki.

Sambil mereka menjalani rawatan, emak telah menyediakan pelbagai juadah untuk para tetamu,Antaranya ialah nasi himpit, kuah lodeh, satay goreng, puding dan pelbagai juadah.Terima kasih Mak Itam dan Mak Usu yang banyak membantu emak ketika saya berada di sekolah.Seusai dari persekolahan,saya terus ke rumah emak membantu dan memastikan persiapan terakhir sebelum program dijalankan.Penat tetapi seronok dapat berjumpa dengan orang-orang kampung.

Sememangnya emak dan ayah sudah lama hendak membuat majlis untuk menjamu rakan-rakan mereka dan peluang yang ada inilah digunakan untuk menjemput mereka ke rumah emak.Alhamdulillah ramai yang hadir.........

PENA KASIH :Mengesan penyakit lebih awal apabila kerap sakit kepala......

Sunday, October 9, 2011

HARI TERAKHIR PERKHEMAHAN 2011


Menyampaikan hadiah kepada para pemenang secara berkumpulan.Tahniah!


Mewakili guru besar menyampaikan ucapan sempena Hari Perkhemahan

Semua pelajar berkumpul di ZOne English sebelum balik.....


Setelah tiga hari dua malam berada di sekolah,akhirnya pada hari ini sampai kepada kemuncaknya.Semua pelajar begitu ceria kerana ada di antara pelajar-pelajar yang tidak pernah bercenggang dengan kedua ibu bapa mereka.Apabila tiba dan saat untuk balik sudah tentulah mereka rasa tidak sabar lagi. Pagi lagi mereka telah bangun dan bersiap-siap mengemas barang-barang.

Namun begitu, sebelum mereka meninggalkan tapak perkhemahan beberapa peraturan perlu dipatuhi.Pagi lagi mereka telah dikerahkan untuk mengemaskan tempat khemah masing-masing dan juga bilik-bilik darjah yang menempatkan barangan mereka.

Alhamdulillah, setelah mengikuti beberapa aktiviti, rasa tanggungjawab dan juga keprihatinan mereka kepada tugas yang diberikan mengikut kumpulan dapat dilaksanakan dengan baik sekali.

Di akhir sesi perkhemahan, saya telah diberi peluang untuk berucap menggantikan guru besar yang tidak dapat hadir di saat akhir kerana ada urusan lain .Namun begitu, saya mewakili pentadbir sekolah merakamkan ucapan terima kasih kepada semua guru terutama AJK Kokurikulum kerana telah dapat menjalankan dan melaksanakan aktiviti yang dirancang dengan baik sekali.Apatah lagi bermalam di sekolah meninggalkan anak,suami dan isteri menuntut pengorbanan dan saling faham-memahami.Syabas dan tahniah juga kepada semua pelajar yang menyertai perkhemahan pada tahun ini.

PENA KASIH : Teringat di Jengka 4....seronok apabila tiba Hari Perkhemahan.Penduduknya saling bantu -membantu dan bekerjasama dengan guru-guru sekolah.....sungguh indah memori dahulu.

LinkWithin



Related Posts with Thumbnails