Thursday, April 29, 2010

TETAMU


Sewaktu berada di kelas untuk menguruskan peperiksaan murid-murid,tiba-tiba dikejutkan dengan kehadiran orang Jabatan dan PPD.Guru besar tiada di pejabat dan keluar sebentar atas urusan kerjanya.

Terpaksalah saya menerima tetamu tersebut dan sempat meminta seorang guru mengambil alih kelas saya.Berkejar ke pejabat untuk melayan tetamu.

Emm......rupa-rupanya mereka ingin memantau bahagian pembangunan sekolah.Penerimaan wang bantuan yang diberikan kepada sekolah.Aghh.....saya terpaksa menjawab.Sama ada betul atau tidak jawapan itu bukannya menjadi persoalan utama saya.Yang pasti setiap soalan dijawab.
Antara ingat dan lupa,saya harus menjawab soalan tersebut.Saya tidak mampu untuk mengingat setiap projek yang telah diterima di peringkat pertama mahupun kedua.Lupa..........
Mereka ingin melihat projek-projek yang telah diterima dan saya terpaksa mengiringi kedua-dua tetamu tersebut.Menunjukkan projek yang telah dibuat.

Bukan itu sahaja yang hendak dilihat.Pelbagai soalan ditanya.Lalu saya menjawab.Mengelabah juga dibuatnya.Bukan apa, semua fail disimpan oleh boss.Saya tidak dapat menjawab sepenuhnya soalan yang diajukan.

Meminta kerana called boss suruh balik segera kerana mereka hendak melihat semua fail pembangunan .Nasib baik boss on the way nak balik sekolah.Lega perasaan saya.
Sampai sahaja, saya serahkan kepada boss untuk menjawab soalan satu persatu yang diinginkan oleh mereka.

Pena Kasih:Biasanya saya menjawab lebih bersantai tapi kali ini saya tidak bersedia berhadapan dengan mereka.Apatah lagi berkaitan dengan pembangunan yang hanya boss saja tahu.

Wednesday, April 28, 2010

ADA LAGI.........


Masing-masing begitu tekun menyiapkan kerja.
a
Guru Besar,kg Jawa juga tidak melepaskan peluang untuk bersama-sama dengan GPKnya.

GPK Pogoh dan Melayu Raya saling bantu membantu untuk menyiapkan kerja yang diberikan.

Semalam menerima called dari sekolah memaklumkan bahawa saya perlu ke SK Temenggong berkaitan dengan NKRA.Emm.....nampaknya ada lagi kerja yang perlu diperbetulkan.Semalam pelbagai persoalan timbul ,adakah data yang diisi tidak betul atau apa lagi yang perlu diisi.Masing-masing bertanya inginkan jawapan.Namun tiada siapa yang dapat memberikan jawapan.

Pagi lagi saya telah maklumkan kepada GPK HEM yang saya tidak ke sekolah pada pagi ini.Memberitahunya supaya reliefkan saya dan letakkan nama Kak Z untuk mengambil alih kelas saya pada hari ini.Kertas soalan untuk ujian pada hari ini, telah saya asingkan dan hanya ambil di bilik dan diletakkan di pejabat.Puas hati setelah semuanya telah dimaklumkan.

Sesampai di SK Temenggong,dilihat banyak sangat kereta.Ada yang kata taklimat tersebut diadakan di PKG Buloh Kasap.Namun,yang saya terima adalah di SK Temenggong.Lalu saya nampak semua GPK Kurikulum telah berkumpul di bilik komputer.

Menerima sedikit taklimat daripada En Juhaidi berkaitan dengan pembetulan NKRA.Setelah memahaminya, saya meminta keizinan untuk balik ke sekolah dan membuat semua kerja di sekolah.Akhirnya, setelah mengadap komputer hampir lima jam,semua kerja dapat dibereskan.Lenguh betul kedua-dua bahu saya dan terasa penatnya badan ini.Namun,saya teramat kecewa kerana Bahagian Kokurikulum dan Hal-ehwal Murid tidak diletakkan nama program tetapi objektif ada.Saya terpaksa memanggil kedua-dua GPK yang terlibat untuk memikirkan 3 program (KK) berdasarkan objektif yang telah diberikan oleh boss dan 2 program untuk (HEM).Saya sudah tidak mampu untuk berfikir lagi.Ketandusan idea dan keletihan minda menyiapkan 9 program Akademik sudah cukup untuk saya.

Tepat jam 1.00 petang, semua kerja dapat dibereskan.Esok akan ada lagi kerja yang perlu dibereskan.

Pena Kasih:Membaiki setiap kelemahan yang ada.

Monday, April 26, 2010

PELAKSANAAN UJIAN PKBS 2


Buat pertama kalinya murid-murid Tahun 1 menduduki ujian.Semoga mereka dapat menjawab soalan dengan sebaik mungkin.Ujian dijalan mulai 27-29 April 2010.

Murid-murid telah bersedia menjawab soalan ujian kali ini.Peringatan supaya membaca berulang kali agar mereka tidak melakukan banyak kesalahan semasa menjawab soalan .

Sunday, April 25, 2010

MINGGU YANG SIBUK.....

Keluhan,rintihan hanyalah sekadar melepaskan perasaan.Ianya akan rasa puas jika keluhan dan rintihan dilontarkan .Lapang dada dan fikiran.Saya rasa semua orang akan mengeluh jika kerja selama 6 hari tanpa rehat.Anak-anak murid sendiri mengeluh.Letih, mengantuklah dan lain-lain lagi.

Situasi ini juga saya rasai.Dari hari Isnin hinggalah hari Sabtu dan disambung pula tugas-tugas luar pada hari Ahad agak memenatkan.Memang tidak dinafikan setiap hari sesampai di sekolah tiada peluang langsung untuk berehat.Pagi lagi saya sudah mengadap komputer untuk melengkapkan kerja-kerja yang perlu dihantar ke pihak atasan.Dengan ketidak hadiran boss kerana bercuti menyebabkan saya terpaksa melakukan tambahan kerja-kerja lain.Bohonglah kalau tidak ada mengeluh.

Hari ini, saya menghadiri satu taklimat berkaitan dengan pengurusan dan pentadbiran UMNO yang memberi peluang kepada saya membetulkan kerja-kerja di peringkat cawangan yang saya rasakan banyak kekurangannya.Dengan adanya pendedahan dan juga contoh-contoh surat, memudahkan saya melaksanakan tugasan tersebut.

Lebih kurang pukul 10.00 lebih, saya meminta keizinan kepada petugas untuk balik awal menziarahi Pak Sahak iaitu bapa Nain yang telah pulang kerahmatullah pada hari Sabtu petang.Hubby yang menerima mesej daripada Nain jam 6.oo petang agak terkejut kerana kami bercadang untuk melawatnya petang ini.Hajat kami tidak kesampaian tetapi itu semua sudah ditentukan oleh Nya.

Lama juga kami berada di sana.Bertemu dengan family Mashitah dan ramai lagi kawan-kawan emak.Selepas itu, kami pulang ke IOI untuk bersama Apiz bagi menyambut hari jadinya.
Berkejar pulang ke rumah untuk melihat kontraktor menyiapkan garaj kereta.Sempat juga saya menyediakan air untuk mereka dan juga menghidangkan kuih.
Setengah mereka mengatakan tidak perlu untuk saya bersusah payah membuat air untuk mereka tapi mereka juga manusia yang ada perasaan.Rasa bersalah pada diri ini,jika melihat mereka berpanas terik dan sudah tentu rasa haus.Setiap hari , saya akan membekalkan mereka dengan air putih dan mereka tidak perlu bersusah payah untuk membawa air dari rumah.

Pena Kasih: Badan ini masih letih lagi.......

SAMBUTAN HARI JADI KALI KEDUA....




Rezekinya murah.Hari ini juga, Apiz menerima hadiah daripada uncle Yusof yang pulang dari Sarawak......tengok tu tak sabar untuk membuka hadiah.Memakai baju yang dibeli oleh Mak Longnya.Mula-mula dia tidak mahu memakai baju yang tidak berlengan, malu katanya.


Hadiah sebuah kereta mainan yang diterima oleh Haziq daripada Mak Longnya.Sudah tertunai janji untuknya.


Sambutan Hari Kelahiran buat kali kedua untuknya.Tersenyum gembira kerana masih ada lagi orang yang sudi untuk menyambut hari kelahirannya.Aksinya meniup 4 batang lilin bermakna 4 tahun usianya.Saya selalu mengusiknya dengan mengatakan 'Abang dah tua' sepantas kilat menjawab,'Abang tak tua, Uda yang tua'.

Tuntutan sebiji kek oleh Apiz daripada Pak Longnya.Kepulangan Pak Longnya dinanti-nantikan oleh Apiz.Tidak sabar untuk melihat apa yang akan dibawa oleh Pak Longnya dari Johor Bahru.Itulah Apiz,setiap janji akan dituntutnya,setiap kali deringan telefon berbunyi akan ditanyanya hadiah untuk hari jadinya.


Pena Kasih: Saya berseloroh:"Lepas ni, abang nak minta hadiah daripada siapa.Cepat jawapannya,abang nak hadiah daripada Alang pula.

MEREKA TIDAK BOLEH DIPISAHKAN.......


Mendengar berita kepulangan kak Long ke Segamat,menggembirakan hati Haziq.Hajat untuk bertemu Lokman memang dinanti-nantikan.Kalau bukan cerita bola menjadi tajuk utama mereka, memang tidak sah.

Kedua-duanya begitu berminat akan permainan bola sepak.Setiap hari, baik Haziq mahupun Lokman akan tetap meluangkan masa untuk bermain dengan permainan yang digemarinya itu.Tidak kiralah cuaca panas mahupun hujan,mereka akan terus bermain jika tidak dipanggil pulang.

Namun, Haziq diberi amaran oleh ayahnya, supaya bersolat terlebih dahulu sebelum bermain.Jika tidak dia akan kena sedikit habuan daripada ayahnya.

Pertemuan hari ini, sungguh menggembirkan hatinya.Ayahnya meninggalkan Haziq bersama Lokman kerana kami pergi menziarahi Pak Sahak yang pulang kerahmatullah.
Mereka seperti tidak boleh dipisahkan.Apa yang kami lihat, kedua-duanya tidak pernah bergaduh sejak dari kecil lagi.

Pena Kasih:Mereka seperti adik- beradik.

Saturday, April 24, 2010

PERTANDINGAN MEWARNA DAN PROGRAM NIE






Program yang telah dirancang untuk dilaksanakan pada hari ini oleh Panitia Pendidikan Seni dan juga Panitia Bahasa Inggeris.Program ini dijalankan selepas waktu rehat dan mengambil masa selama 2 jam.Selebihnya akan digunakan untuk aktiviti pengajaran dan pembelajaran.

Program ini adalah atas usahasama Bank Negara dan Star.Sebuah buku telah dibekalkan kepada semua murid dan di dalamnya ada peraduan mewarna gambar.Penyertaan adalah terbuka kepada semua murid Tahap 1 dan Tahap 2.Justeru,kami telah meminta agar Panitia Pendidikan Seni menyediakan satu program khas bagi membantu semua murid untuk menonjolkan bakat masing-masing.Ketua panitia PSV dan Bahasa Inggeris yang diketuai oleh Pn Tong Ah Lan dan Pn Desirani telah menyusun aturkan jadual bagi membolehkan semua murid menyertainya.Tahniah kepada kedua-dua panitia kerana dapat melaksanakan program yang telah dirancang.

Pena Kasih:Kerjasama murid dalam penglibatan diri untuk menyiapkan aktiviti mewarna terutama Program NIE dapat dilihat.

NYAMUK........


Dalam kita cuba untuk mengelak daripada gigitan nyamuk, semakin banyak pula nyamuk yang datang.Sudah beberapa hari,saya terpaksa berhadapan dengan nyamuk yang semakin banyak di bilik.Perasaan takut apabila mendengar ramai yang telah masuk ke hospital kerana demam denggi.

Lantas,hari ini saya ke sekolah dengan berbekalkan ubat nyamuk elektrik.Saya pasang sepanjang hari di sekolah.Lega, kerana bauannya menyebabkan tiada nyamuk lagi di bilik saya.

Di rumah,setiap hari saya akan menyapu sampah dan membakar daun-daun kering .Asap yang dikeluarkan sedikit sebanyak akan mengurangkan rengetan nyamuk di telinga dan gigitan berbisanya.

Cuaca yang kadang-kadang redup menyebabkan banyak nyamuk tari menari mendendangkan lagunya di telinga dan seterusnya mengganggu konsentrasi kita.Saya memang tidak suka akan situasi seperti ini.

Pena Kasih:Tersenyum hubby melihat his son membekalkan ubat nyamuk untuk mamanya .

Thursday, April 22, 2010

LATIHAN MARHABAN


Latihan marhaban telah berjalan selama dua hari berturut-turut.Hari pertama saya dapat bersama mereka tetapi hari kedua saya gagal untuk hadir.Pertandingan marhaban akan dijalankan pada akhir bulan Mei nanti.Saya tidak pasti sempena majlis apa.Tapi kami telah bersiap sedia lebih awal.Soal menang dan kalah adat dalam pertandingan.Bukan senang untuk belajar melagukan marhaban.Saya masih terkial-kial untuk melagu lenggokkan bacaannya.

Walaupun saya tidak bersama mereka pada hari kedua,tetapi bila waktu lapang saya tetap belajar dengan emak.Jadi bahan ketawa emak dan ayah sahaja kerana saya memang masih belum menguasai lagunya.....baru tahu bukan senangnya untuk belajar melagukan marhaban.

Setiap kumpulan mengandungi 10 orang peserta.Hari pertama belajar, kami ketawa kerana masing-masing sukar untuk membawa lagu yang diajar.Tapi kalau lagu dendangan Siti Nurhaliza senang aja diikuti.Suami perli, mama ni hangat-hangat tahi ayam.Hari pertama pergi tapi hari kedua tidak ikut.Bukannya saja-saja tidak mahu pergi.Alasan kepenatan memang sudah menjadi kebiasaan.Saya juga tidak terkecuali memberikan alasan yang serupa apabila memberitahu emak yang tidak dapat 'join'pada hari kedua.

Kerja-kerja pengubahsuaian rumah menjadikan kerja rutin harian saya bertambah berat.Balik saja akan mengemop rumah di samping memasak dan membasuh kain.Saya bekerja tanpa berhenti dan meninggalkan kesan kepada saya.Apabila penat,saya tidak dapat melelapkan mata dan akhirnya tidur menjadi lewat.Saya juga telah meminta kontraktor rumah menyiapkan segera 'bilik bacaan' kami.Bukan apa, saya tidak bersusah payah untuk mengemop keseluruhan rumah akibat debu-debu halus yang bertaburan.
InsyaAllah lepas ini, saya akan bersama mereka berlatih menyahut seruan suami.

Pena Kasih:Sukarnya untuk belajar apabila lidah semakin keras dan suara tidak sesedap suara orang lain.Teringat juga semasa suami masuk pertandingan tilawah al-Quran,belajar melalui 'tape' sahaja.Last minute...wakil kampung.

Tuesday, April 20, 2010

SALAH SIAPA..?

Hari ini memang agak sibuk.Kelas yang penuh dan juga 'relief' serta menyiapkan kerja-kerja yang perlu dilihat dan dipantau oleh boss dari jauh.Ia memerlukan komitmen dan semangat untuk menyiapkan.Bersama-sama murid menjalankan eksprimen di makmal.......agak penat.Membuat persiapan dan persediaan untuk kelas tambahan lagi.........

Akhirnya saya menerima satu berita daripada seorang guru yang memaklumkan salah seorang anak murid keluar sekolah tanpa kebenaran guru.Mana perginya pengawal keselamatan?Terus pelbagai andaian muncul di fikiran saya................Letih melayan kerenah seperti ini.Mereka masih gagal untuk memahami prosedur sebenarnya.

Lantas saya menemui pengawal keselamatan untuk mendapatkan cerita sebenarnya.Setelah mengetahui segala-galanya, saya terus ke kelas sekejap untuk meneruskan pengajaran saya.GPK HEM juga telah mendapatkan maklumat dan terus menelefon keluarga pelajar tersebut.Mudah.....angkat dan letak tanpa sebarang suara dikeluarkan.Kami masih menunggu pelajar tersebut kerana dia meninggalkan beg sekolahnya tapi empunya diri entah ke mana.
Rupanya si ayah telah menunggu anak di luar pagar sekolah dan apabila anak datang terus dibawanya balik.........emmmm geram pun ada.

Akhirnya, pelajar tersebut tampil bersama ayahnya dan pengawal keselamatan telah memaklumkan yang saya ingin menemuinya.Saya terpaksa meninggalkan kelas dalam keadaan yang serba salah tapi sempat meninggalkan pesan kepada murid agar senyap dan menyiapkan kerja.Mereka akur dan senyap kerana kebanyakan anak murid memang takut dengan ketegasan saya.Tegas untuk mendidik agar mereka berdisiplin dan dapat mengawal keadaan.
Setelah berbincang dengan bapa pelajar tersebut dan mengingatkan dirinya langkah-langkah sepatutnya perlu dibuat jika ingin membawa anak pulang ke rumah.Bapa pelajar tersebut mengakui kesalahan dan berjanji tidak akan melakukannya lagi.Akhirnya saya benarkan bapa tersebut membawa anaknya pulang untuk mendapatkan pemeriksaan doktor kerana masalah kesihatan dengan menandatangani buku keluar.
Saya sempat meminta agar bapa pelajar tersebut agar pentingkan keselamatan anak dan pelajaran anak.Sambil mengangguk dia mengiakan apa yang saya katakan.

Pena Kasih:Bila boss tiada......tanggungjawab menjadi berat.

Monday, April 19, 2010

PUAS HATI....


Bentuk asal 'family living'sebelum kerja-kerja pengubahsuaian dilakukan.



Kerja-kerja pengubahsuaian rumah di bahagian 'family living' selesai sudah pada hari ini.Hampir seminggu kerja-kerja itu dilakukan dan memang 'edy' begitu teliti menyiapkannya.Kami memang puas hati dengan kerja-kerja yang dilakukan.

Mungkin dia faham, kami begitu cerewet dan sentiasa memerhatikan kerja-kerja yang dilakukan.Ini buat kali pertama kami memanggil pekerja Melayu Indonesia membuat kerja-kerja rumah.Kalau selama ini, kami memanggil Taukeh Cina, tapi kali ini beralih arah setelah berpuas hati melihat kerja-kerja tukangannya di rumah 'Yako' di Bukit Mewah.

Selepas ini, Edy and his friends akan menyiapkan bahagian 'study room'.Walaupun kecil tetapi nampaknya ia mengambil masa juga untuk menyiapkannya.Menyiapkan mozek dan Edy berjanji akan menyudahkan kesemua kerja pada hari esok.Kami memang tidak sabar untuk membersihkan kawasan tersebut.Sudah penat setiap hari kerja -kerja mengemop dilakukan.

Setelah semuanya selesai, mereka akan beralih ke bahagian garaj kereta pula.

Pena Kasih:Ada orang kata' tidak semudah itu, orang Melayu hendak membuat kerja-kerja di rumah saya.Tapi kalau dah rezeki mereka, ia tetap ada.Dari Johor Bahru pula.


Sunday, April 18, 2010

MASALAH LINE INTERNET

Pagi, saya begitu bersemangat untuk mengadap komputer bagi menyiapkan kerja-kerja SIT (NKRA).Malangnya, line yang tidak berapa elok sejak dua minggu lalu membantut kerja-kerja saya.Rasa kecewa yang amat sangat.......kerja saya terbengkalai lagi.

Akhirnya, Ikin memberikan saya meminjamkan broadbandnya bagi memudahkan saya menyiapkan kerja-kerja.Thanks Ikin di atas keprihtinan.Memudahkan saya menyiapkan kerja.
Apabila semua maklumat perlu diisi secara online dan dengan timbulnya masalah line yang kurang memuaskan sedikit sebanyak menjejaskan kerja-kerja.

Kini, saya sedang cuba menyiapkan kerja-kerja yang perlu dipantau oleh GB sepanjang dia bercuti.Pengisian maklumat yang betul amat penting agar semuanya tidak terjejas.

Pena Kasih:Ada masanya bosan juga asyik mengadap kerja yang sama aje.

Saturday, April 17, 2010

......SUKARNYA

Saya perlu menyiapkan beberapa tugasan sebelum 23 April.Pastinya ia memerlukan satu komitmen antara beberapa pihak.......saya sukar untuk menyiapkan erti kata yang sebenarnya coz di akhir rumusan memerlukan 'big boss' yang melaksanakannya.Apabila 100% kerja diserahkan, ia amat sukar untuk membuat pertimbangan.

Pastinya, saya terpaksa memikirkan ke arah mana tujunya organisasi kita.Pencapaian yang dikehendaki dan seolah-olah saya 'syok' sendiri.Akhirnya......hanya jawapan 'ya' atau 'tidak' perlu diungkaikan.

Apabila perbincangan diadakan,jawapan terlalu ringkas dan bersahaja dan akhirnya saya juga terpaksa melaksanakan...................senangnya.Sudah terang-terang dimaklumkan bahawa semua itu adalah tanggungjawab 'big boss' kerana ia adalah ketua dalam sesebuah organsisi dan ada 'certain part' yang hanya perlu diisikan oleh orang bawahan.Mostly adalah tanggungjawabnya.Tapi sebaliknya berlaku pada saya. As usual,i'm not understand.U better know than me.Suppose,she must understand.Sayalah yang terpaksa memerah otak memikirkan itu dan ini.Ada kalanya,saya terpaksa bersantai sahaja untuk mengisi maklumat.It's not easy for me to fill up all the information.Hubby tersenyum melihat saya bersusah payah memikirkan semua itu.Ia melibatkan semua staff dan masa depan mereka.So,saya lebih berhati-hati mengisinya supaya ia tidak menjejaskan orang lain dan tidak menganiaya orang lain hanya kerana kepentingan diri sendiri.Kita perlu bersikap adil kepada semua pihak kerana semua manusia tidak sempurna.Mereka kurang ini tetapi mereka mempunyai kelebihan di bahagian lain.

Pena Kasih:Cuba bersikap adil kepada semua pihak dan sentiasa menjadi pendengar kepada kawan-kawan .



Friday, April 16, 2010

JAMUAN KELUARGA


Mama,Along dan Dila mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Jadi kepada 'ayah dan Apiz'.We love you all.Semoga panjang umur,dimurahkan rezeki dan dipermudahkan segala urusan.



Hubby juga menerima beberapa hadiah daripada anaknya(Along),Dila dan students UiTM.


Apiz tidak sabar-sabar untuk membuka hadiah yang dibelikan oleh Pak Udanya.Apa yang menggelikan hati kami ialah, sesampai sahaja di rumah, dia terus bertanyakan hadiahnya.Selagi Pak Udanya tidak mengeluarkan hadiah, selagi itulah dia akan merenggek.Tersenyum apabila Pak Udanya menghulurkan hadiah kepadanya.
Begitu selera sekali tetamu.
Apalah yang dibincangkan oleh emak dan atok Dollah.Tidak sangka atok Dollah sanggup datang ke rumah kami .Mula-mula atok Dollah tidak mahu pergi tetapi setelah dipujuk untuk pergi ke rumah Kamil,tiba-tiba dia mengambil keputusan untuk pergi.




Tarikh 16.4 merupakan detik kelahiran kedua-dua insan ini.Siapa sangka mereka dilahirkan pada tarikh yang sama dan hanya dibezakan tahun kelahiran sahaja.Mereka bagaikan tidak boleh dipisahkan.Apiz sebenarnya tidak sabar untuk memotong kek dan kerenahnya menjadi bahan ketawa tetamu yang hadir.

Nombor 4......kek yang ditempah oleh Ani untuk Apiz dan Pak Udanya.4 bermakna usia Apiz sudah menginjak 4 tahun dan 4 juga menunjukkan usia Pak Udanya sudah mencecah 49 years old.Menarik kek yang ditempah dan setimpal dengan harganya RM90.00.

Aman dan Ani berkesempatan bergambar dengan anak-anaknya.Sukarnya untuk mengambil gambar Apiz dan Adif.Ada aje alasan yang diberikan oleh Apiz ketika gambarnya hendak diambil.

Majlis diadakan di 'family living'.Walaupun masih belum siap proses pengubahsuaian dan untuk menutupkan kawasan tersebut, saya meletakkan dua buah kerusi di situ.Dindingnya belum dicat lagi.

Majlis dimulakan dengan bacaan tahlil ringkas yang diketuai oleh ayah saya.Kami menunggu emak dan ayah pulang dari masjid.Bersyukur dan kami tidak sangka kesemua yang kami jemput hadir pada malam ini.Suasana menjadi meriah.Keluarga Pak Utih dan atok dari Spang Loi, Keluarga Mak Itam, Keluarga Aman dan Shidah turut hadir untuk memeriahkan majlis.


Hidangan yang disediakan oleh saya sejak balik dari sekolah tengah hari lagi.Walaupun ringkas, tetapi ia memerlukan masa untuk membuat persiapannya.Bersyukur dan ucapan terima kasih kepada Shidah kerana 'sponsor' puding untuk majlis pada hari ini.Jamuan untuk menyambut hari kelahiran hubby dan Apiz.Emak mentua pula membawa kuih bakar dan agar-agar yang merupakan kegemaran hubby.Thanks emak.Emak saya pula 'sponsor' buah-buahan dan Anie menyediakan sebiji kek untuk mereka berdua.Mak Itam pula memberikan sebuku kek coklat.Rezeki murah betul pada hari ini.kebanyakannya di 'sponsor' oleh orang lain.

Thursday, April 15, 2010

KEJUTAN....


Batrisya dikelilingi oleh rakannya sambil menyanyikan lagu 'Selamat Hari Jadi'


selamat Hari Jadi,Batrisya.Cikgu doakan agar Batrisya dimurahkan rezeki,mencapai kejayaan dalam bidang pelajaran.

Deringan loceng menandakan 'extra-class ' untuk tahun 4 bermula.Secepat kilat mencapai buku ke kelas untuk mengajar subjek BM.Pintu kelas tertutup rapi dan hanya keriuhan murid-murid sahaja kedengaran.
Lantas beberapa orang anak murid bersuara:"Cikgu Noorwati dah datang".Saya terus meminta mereka membuka pintu kelas dengan hajat untuk meneruskan pengajaran .
Lalu saya bertanya," kenapa kamu menutup pintu kelas?"
"Cikgu, kami minta izin untuk mengadakan sambutan hari jadi ,Batrisya."
Terdiam seketika.......Sebiji kek dan sepinggan mee goreng telah terhidang di atas meja.
.......nampaknya saya terpaksa mengalah walaupun pada awalnya berkobar-kobar untuk mengajar karangan 'Autobiografi'.
"O.k ,cikgu hanya membenarkan kamu mengambil masa lebih kurang 20 minit untuk menjamu selera dan selepas ini kita akan terus belajar."
Begitu cepat mereka menjawab......terima kasih , cikgu.
Saya melayan mereka dengan menyedukkan mi goreng ke dalam pinggan anak murid.
Melayan kerenah mereka.
Saya faham, mereka ada masanya begitu gembira jika diadakan majlis seperti ini.Ada ibu bapa yang menghantar makanan dan meminta izin untuk mengadakan sambutan hari jadi di sekolah.Meraikan bersama-sama dengan rakan.Kami terpaksa membenarkan mereka mengadakan jamuan pada waktu rehat.

Selesai mereka makan, perkara pertama yang saya ingatkan mereka ialah memastikan segala sampah sarap hendaklah dibuangkan ke dalam tong hitam yang disediakan.Mereka akur.
Setelah semuanya selesai, kami meneruskan sesi pengajaran dan mereka bersemangat setelah perut diisi.

Pena Kasih:Esok,saya akan mengadakan sedikit jamuan untuk family meraikan hari kelahiran suami dan anak saudara.

Wednesday, April 14, 2010

TIDAK SIAP....



Bilik bacaan dipecah untuk diperbesarkan sedikit.


Tingkap rumah yang diubahsuai untuk menjadi bentuk 'curved'


'Family-living' dipecahkan tingkapnya untuk dibuat bentuk lain.

Ingatkan hari Jumaat ini, renovation yang dilakukan boleh disiapkan.Nampaknya,mereka hanya mampu menyiapkan di bahagian 'family living' yang dipecahkan bahagian tingkap dan dibiarkan terbuka.....mereka menjanjikan segalanya akan siap pada hari Sabtu.

Kerja-kerja pengubahsuaian rumah walaupun kecil tetapi memerlukan masa untuk disiapkan sepenuhnya.Kami tidak memaksanya membuat dengan begitu cepat agar hasilannya memuaskan hati.Tidak mahu terburu-buru.Cuma agak terkilan kerana mereka beria-ia berjanji akan menyiapkannya pada hari Jumaat.

Pada kami, biarlah mereka menjalankan kerja-kerja dengan baik.Agak penat juga apabila setiap kali balik kerja melihat rumah dalam keadaan yang kurang kemas.Tapi, mereka seperti memahami akan situasi yang kami lalui.Sebelum balik, mereka akan mengemop rumah kami.Alhamdulillah, kurang rasa penatnya.

Apabila meninggalkan rumah pada waktu pagi, hati kami berasa 'cuak'.Namun, kami meminta emak menjaga rumah pada waktu pagi.Walaupun tidak mempunyai barangan yang terlalu berharga tetapi perasaan takut tetap ada.Emak akan menjaga kediaman kami sehingga pukul 2.30 petang.Kasihan emak, tapi kerana permintaan anak emak jarang menolak.

Pena Kasih:Letih kerana walaupun telah dimop, saya akan tetap melakukannya.

Tuesday, April 13, 2010

KOMITMEN PADA TUGAS

......emmm sukarkah kita untuk menyintai dunia kerja kita?Sukarkah kita untuk mendalami tugas kita?Sukarkan kita untuk begitu komited dengan kerja kita?Ianya menjadi persoalan sekiranya kita begitu menyayangi akan tugas mahupun kerjaya kita.

......itulah realitinya.Ada kalanya timbul perasaan geram, marah dan tidak puas hati tapi hanya sekadar di dalam hati sahaja.Sebaliknya lebih banyak memendam perasaan.Bila ditegur.......ada sahaja jawapan yang tidak relevan diterima walaupun padanya ia begitu berjaya memberikan jawapan yang boleh melepaskan dirinya daripada bersalah.Sudah banyak kali perkara yang sama diulang lagi.Akhirnya, saya terfikir adakah dia benar-benar menyintai akan tugasnya dalam erti kata yang sebenarnya.Atau hanya sekadar untuk keperluan diri sendiri sehingga meninggalkan kesan kepada orang lain.

........sukarnya untuk membentuk diri seseorang itu.Penghayatan kepada kerja tidak menjadi persoalan pada diri seseorang itu.....cukup sekadar melepaskan batuk di tangga sahaja.Kesabaran jelas teruji memiliki mereka seperti ini.Pelbagai cara dan usaha dilakukan untuk benar-benar menerapkan diri akan sayangnya kepada kerjaya.Sepatutnya memanjat kesyukuran kerana telah mendapat kerjaya yang boleh menampung keperluan keluarga tetapi sebaliknya.

Sayang kalau mereka berfikiran seperti itu.Tidak begitu komitmen pada tugas sendiri.Rugi bagi diri sendiri kerana tidak tahu hendak menghayati tugas sendiri.

Itulah realitinya.........

Pena Kasih:Termenung sejenak apabila memikirkan ada juga manusia yang tidak menghargai kerjaya sendiri.

Sunday, April 11, 2010

RUGINYA.......

Pertandingan bola baling peringkat MSSK diadakan di padang sekolah pada hari ini.Sebanyak 4 buah sekolah menyertainya.Namun, saya tidak berpeluang untuk menyaksikan pertandingan tersebut.Teringat dahulu, bersama Ikin melatih budak bola baling.Salah satu permainan yang diminati dan menarik.Waktu muda, stamina masih kuat lagi,tapi kini saya rasakan tidak berdaya untuk bersama-sama melatih mereka.

Malangnya,pada tahun ini, sekolah tidak menghantar penyertaan kerana masih belum bersedia.InsyaAllah pada tahun hadapan,pihak sekolah akan menghantar penyertaan kerana SKCC akan menjadi tuan rumah.

Permainan ini berlangsung selama tiga hari di padang SKCC.Hari Rabu merupakan pertandingan peringkat Daerah dan sekolah saya menjadi AJK kecil peralatan.

Pena Kasih:Mungkin tahun hadapan SKCC lebih bersedia.


Saturday, April 10, 2010

GILIRAN

Bantuan untuk ibu tunggal.Itulah sesuatu yang sukar untuk membuat keputusan apabila menerima surat daripada pihak tertentu.Bantuan perlu diberikan kepada 2 orang sahaja ibu tunggal kali ini.Namun, kami telah membuat keputusan untuk menghantar seramai 3 orang sahaja ibu tunggal pada kali ini dengan mengikut sistem giliran.Jika diarah memberikan kepada seberapa banyak bantuan sudah tentu kami akan menyenaraikan kesemua ibu tunggal yang berada di kampung ini.Namun,hanya yang diperlukan adalah seramai 2 orang sahaja.Setelah perbincangan di adakan kami meminta kebenaran untuk menghantar seramai 3 orang.Kali ini, kami terpaksa mengikut sistem giliran agar semuanya akan merasa nanti .Setiap tahun,banyak bantuan diagihkan kepada golongan tertentu untuk meringankan bebanan yang ditanggung.Terima kasih kepada mereka yang sudi membantu golongan tersebut.

Bantuan tidak hanya diterima oleh ibu tunggal tetapi JUITA telah memberikan sumbangan kepada semua murid yang berjaya dalam pelajaran tetapi tergolong dalam kalangan orang yang susah.Setelah diteliti dan disemak keputusan, sekolah kami hanya layak seorang sahaja.Mereka akan menerima bantuan pada hari ini di dewan Jubli Intan.

Emak juga akan membawa ibu tunggal tersebut pada hari ini untuk menerima bantuan.

Pena Kasih:Ada kalanya sukar membuat keputusan........

TIADA KEPUASAN....

Naluri manusia tidak puas dengan apa yang ada.Itulah realitinya.Namun, bersyukur kepada Allah kerana rezeki yang diberikan.Tidak sampai seminggu mengambil keputusan untuk mengubahsuai bilik bacaan kami.Tidak terlalu besar tapi yang pastinya kami sukakan keselesaan.Kebanyakan masa,kami habiskan di sini.Kami jarang menggunakan ruang tamu mahupun 'family living' sebaliknya bilik bacaan kamilah menjadi tempat kami melepak.

Segala-galanya ada di sini.Tempat bersolat,menonton dan sebagainya.My son also suka menggunakan tempat ini walaupun kami telah menyediakan sebuah bilik yang lengkap untuknya.Hubby said,dia telah menyediakan tempat yang selesa untuk saya melaksanakan kerja-kerja sekolah.

Hampir hendak siap dan meminta kontraktor menyiapkan bilik yang tidak berapa luas ini sehingga minggu hadapan.Setakat ini, kami puas dengan apa yang telah dibuatnya kerana dia tidak mengenakan harga yang tinggi untuk kerja-kerja pengubasuaian.

Akhirnya, pengubahsuaian ini berlarutan kerana kami mengambil keputusan untuk membuat garaj kereta menggantikan garaj yang ada.Itulah sebenarnya naluri manusia .Tidak pernah puas dan puas.

Pena Kasih:Masih berhasrat untuk menyambung belajar.........tapi bila?Ianya menjadi persoalan hubby kerana saya masih belum memberikan jawapan untuknya.

Friday, April 9, 2010

MENJENGUK....

Selepas solat Maghrib,hubby mengajak menjenguk emaknya.Dalam keadaan hujan yang lebat dan agak sukar melihat jalan ketika melalui Jalan Tasek,kami bertekad untuk menjenguk emak buat seketika.Rancangan untuk membawa emak ke Spang Loi terpaksa ditangguh gara-gara hujan turun.

Seminggu sekali kami akan pergi ke rumah emak sama ada di Bt 6 mahupun di IOI.Pelbagai cerita menarik,sedih yang kami dengar.Antaranya adik kepada Atok di Spang Loi meninggal dunia pada hari Ahad yang lepas.Menariknya pula ialah apabila emak menceritakan kisah seorang budak baju merah (gelaran yang diberikan oleh Hapiz) tidur di rumah emak dan atas katil lagi.Ianya tanpa disedari kerana terlupa menutup pintu rumah.Duit dan sekotak rokok turut diambil oleh si budak baju merah itu sehingga dikejar oleh abang Nasir.

Bukan sekali dua dia mengambil kesempatan tidur tetapi acapkali terlupa menutup pintu, dia akan terus masuk ke rumah dan tidur mengikut sesuka hatinya.Jika tidak dibuka pintu, dia akan membaling pintu dengan menggunakan batu.Si baju merah itu sebenarnya mempunyai masalah 'mental' yang memerlukan rawatan dan jika dibiarkan sudah tentu mengganggu ketenteraman penduduk di situ.Minggu ini sahaja sudah beberapa buah rumah dimasuki, diambilnya wang dan tidur di atas katil.Mungkin dia tidak hendak seperti itu.Tekanan hidup menjadikan dia seperti itu.Sempat juga abang Nasir bertanyakan tentang si budak baju merah kerana tidak ternampak kelibatnya sejak dua tiga hari ini.Rupa-rupanya budak itu telah dibawa oleh saudara maranya ke tempa lain.

Pena Kasih:Lebih berhati-hati.........

Thursday, April 8, 2010

TIDAK CUKUP BERSEDIA?


Peserta dari Tahun 1.Berani walaupun pada mulanya gugup tapi guru-guru memberikan sokongan moral untuk meneruskan bercerita.


Mengambil kesempatan bergambar sewaktu murid sedang sibuk menggayakan persembahan mereka.


Tiga orang pengadil profesional untuk pertandingan bercerita.


Itulah persoalan yang muncul.Mereka masih belum bersedia sepenuhnya.Terlalu sibuk dan sentiasa sibuk.Pelbagai perkara perlu dilakukan dalam masa seminggu.Ujian itu dan ujian ini.Itulah keluhan anak murid.Namun tidak semuanya bersikap seperti itu.Kebarangkalian kesibukan adalah pada individiu tertentu sahaja.

Hari ini pertandingan bercerita anjuran Panatia Bahasa Melayu telah berjalan sewaktu perhimpunan pagi.Semua murid yang berminat untuk memasuki pertandingan telah menyertainya tanpa mengira bangsa.Masing-masing menunjukkan kebolehan tersendiri.Menghafal dan mengayakan persembahan dari segi intonasi adalah salah satu penilaian yang dijalankan.

Pastinya, rata-rata tidak menghafal cerita sebaliknya mereka lebih banyak merujuk kepada buku cerita.Namun, syabas dan tahniah kepada murid-murid yang berjaya menghafal dan menggayakan persembahan dengan baik.
Murid-murid tahun 1 turut mengambil bahagian sebagai pendedahan awal kepada mereka.Mereka diberi kelonggaran melihat buku atau kertas.

Pertandingan yang diadili oleh Pn Fatimah.Cik Wan dan Pn Zaharah turut serta dengan semua guru memberikan sokongan kepada anak murid.Harap agar penyertaan murid pada tahun hadapan lebih bersedia dari segi fizikal dan mental.

Pena Kasih:Bukan senang hendak menghafal .....

Wednesday, April 7, 2010

BERAKHIRNYA TEKNIK MENJAWAB SOALAN (SLOT1)

Pengisian selama 4 hari bermula dengan motivasi dan berakhir dengan teknik menjawab soalan UPSR Sains pada hari ini.Program yang dibuat adalah untuk memastikan semua murid tahu cara menjawab soalan dengan betul.Walaupun hanya dilaksanakan peringkat dalaman tetapi guru-guru yang dipilih khasnya guru tahun 6 merupakan guru-guru penanda kertas soalan UPSR.Mereka diberikan pendedahan awal agar tidak menjadi satu kesulitan kepada mereka ketika menjawab soalan nanti.

Murid-murid diperuntukan masa selama 1 jam oleh setiap guru mata pelajaran masing-masing.Kesungguhan dan komitmen yang diberikan oleh guru sepatutnya menjadi contoh kepada murid-murid agar mereka juga perlu bersungguh-sungguh dan memberikan komitmen yang sepadu kepada guru-guru sewaktu pengajaran dan pembelajaran dijalankan.

Minggu hadapan juga murid-murid akan menjalani program yang sama tetapi khususnya untuk menjawab bahagian B/Section B.Pihak sekolah juga telah merancang untuk memanggil guru cemerlang dari sekolah lain untuk membantu murid-murid sekolah ini.

Pena Kasih:Berharap agar program ini dapat digunakan sepenuhnya oleh murid-murid untuk kecemerlangan mereka.

Monday, April 5, 2010

SEMANGAT MEMBARA



Mereka telah bersedia untuk mendengar kata-kata motivasi daripada Pn Desirani


Apakah yang dimaksudkan dengan motivasi?Itulah perkataan pertama yang terpacul daripada mulut Pn Desirani.Bertanyakan soalan untuk menguji tahap pemikiran murid-murid tahun 6 pada hari ini.Pelbagai jawapan muncul daripada murid-murid.Mereka hanya tahu menyebut tapi gagal memberikan maksud yang tepat.Namun, keinginan untuk mengetahui maksud dihuraikan satu persatu oleh Pn Desirani.Akhirnya mereka mengetahui.Kita selalu menyebut motivasi tapi rupa-rupanya ada di antara mereka yang tidak tahu pengertian tersebut dalam erti kata yang sebenarnya.

Selama lebih daripada 1 jam telah diperuntukan oleh Pn Desirani untuk memberikan motivasi kepada pelajar-pelajar tahun 6 pada hari ini.Salah satu program kecemerlangan Akademik yang bertujuan memberi kesedaran kepada murid-murid hasrat ibu bapa, saudara mara, diri sendiri,guru dan sekolah untuk memastikan mereka berjaya mencapai 'straight A'.Hari ini slot pertama Pn Desirani membuka minda murid-murid agar lebih serius dalam menangani masalah pembelajaran mereka sendiri.Memotivasikan diri sendiri untuk mencapai kejayaan.Segalanya terletak pada diri murid itu sendiri.

Sebagai guru, sudah tentu ingin melihat anak-anak murid berjaya tetapi semuanya bergantung kepada murid itu sendiri.

Program yang dijalankan selama dua minggu ini, bermula pada hari ini dan diambil masa selama 1 jam setiap hari adalah untuk memberikan pendedahan kepada murid-murid akan teknik-teknik menjawab soalan UPSR dengan betul.Semoga dengan pendedahan ini, akan membuka minda dan menjadikan murid-murid lebih serius ketika proses pengajaran dan pembelajaran berlaku.

Pena Kasih:Semoga slot pertama ini memberikan semangat yang membara kepada pelajar-pelajar.

LinkWithin



Related Posts with Thumbnails