Saturday, December 31, 2011

UNGKAPAN TERIMA KASIH....


Ungkapan yang dianggap simple dan mudah tapi sebenarnya amat sukar untuk diluahkan seolah-olah lidah ini kelu untuk menyatakannya.

Inilah yang ingin diterapkan dikalangan pelajar sekolah .Malah kalau dilihat apabila mereka menerima sesuatu amat sukar untuk mereka menyebut 'terima kasih' dan kami sering mengingatkan mereka untuk menyebutnya.

Budaya melafazkan ucapan terima kasih menjadi satu program sekolah.Mengingatkan murid-murid menghargai setiap pemberian mahupun pertolongan daripada rakan mahupun gur dan juga ibu bapa.Malah cetusan idea ini diungkap sendiri oleh my bos untuk menjadikan amalan 'ungkapan terima kasih' di kalangan pelajar bagi melahirkan sahsiah diri pelajar supaya mengetahui nilai-nilai yang baik.

Tidak sukar sebenarnya untuk melafazkannya tapi lihatlah berapa ramai yang mengungkapkannya..malah saya akui kadang-kadang kita terlupa untuk mengucapnya hatta dengan keluarga sendiri.Kini,beransur-ansur ke arah itu.

PENA KASIH:

Terima kasih ....Ayang.Ungkapan yang sering disebutkan.

Friday, December 30, 2011

BAS


Hari ini, kami sengaja mengambil keputusan untuk berjalan-jalan dengan menaiki bas.Hari tanpa kereta...
Selesai makan tengah hari, hubby mengajak saya bersiar-siar dengan menaiki bas.Walaupun perjalanan tidak jauh tapi sengaja membebaskan diri dengan memandu kereta pada waktu petang.Mungkin itu sesuatu tindakan yang tidak logik kerana mempunyai kereta dan motor.Walaupun tindakan tidak logik tapi kami ingin merasainya setelah lama tidak menaiki bas.

Dari bus-stand, saya menaiki teksi ke sebuah kedai yang terletak di Segamat Baru.Setelah ke kedai tersebut,barulah kami menaiki bas.Bas Yow Hoe yang dipandu sendiri oleh orang kampung saya.Dia tersenyum melihat kami menaiki bas dan setelah membayar tambang bas kami duduk .

Sepanjang perjalanan,hubby tersenyum geli hati.....setelah sampai di bus-stand, saya bersama hubby meninjau terminal bas Segamat yang nampak lebih bersih dari dahulu dan agak ceria.Setelah membeli makanan, kami mengambil keputusan menaiki teksi sahaja dengan tambang RM10.00.

Namun, apa yang menariknya sepanjang melalui lampu isyarat semuanya berwarna hijau.SubhanaAllah...Allah permudahkan perjalanan kami yang menaiki bas tersebut.Perjalanan yang begitu singkat sekali.

Sebenarnya, kami mengimbau kembali kenangan sewaktu dahulu yang tiada kemudahan kereta.Hanya motosikal dan bas menjadi pilihan kami dahulu.

PENA KASIH:

Sesekali berubah angin..

Thursday, December 29, 2011

3 HARI YANG SIBUK.....










Semalam,buat pertama kalinya warga SKCC berkumpul setelah sekian lama bercuti....Mesyuarat guru/kurikulum dan HEM telah dijalankan sejak dari pagi hingga petang.Pengisian yang begitu bermakna sebelum melangkah ke tahun 2012.

Dalam masa yang sama juga semua warga SKCC perlu menandatangani borang SBPA seperti yang diwar-warkan baru-baru ini.
Setelah meneliti keseluruhannya, semya bersetuju menerima SBPA .

Saya juga telah diamanahkan untuk mengendalikan mesyuarat kurikulum bagi sesi 2012.Ada 23 perkara telah saya bentangkan khususnya bahagian Kurikulum.Lagi memudahkan semua guru apabila saya telah menyediakan rangka kerja untuk diberikan kepada guru,So..ianya cepat dan menjadikan mesyuarat itu ringkas sahaja .Pastinya segala maklumat telah tersusun dan perlu diambil tahu dan tindakan.

MESYUARAT HARI KEDUA.

Alhamdulilah masih diberi peluang untuk bertemu pada hari kedua....mesyuarat kokurikulum.Ringkas tetapi 3 jam juga baru selesai.
Seperti saya, Cikgu Ali juga menyediakan rangka kerja mengingatkan kembali tugas masing-masing dan program yang perlu dijalankan.

Setelah selesai mesyuarat pada sebelah pagi, diadakan pula mesyuarat kewangan dan juga panitia.Saya masih sempat bersama mereka sehingga jam 3.30 petang sebelum saya meminta izin dengan bos untuk balik awal kerana urusan lain.

MAKAN-MAKAN BERSAMA KELUARGA

Niat di hati untuk menjamu keluarga memang sudah lama dan hari ini saya telah berjaya melakukannya walaupun saya ada mesyuarat.
Pagi lagi sebelum ke sekolah ,kami ke pasar untuk membeli lauk-pauk dan sayur-mayur untuk dimasak bagi hidangan malam.Kali ini saya menyediakan menu daging salai masak kuning, sayur campur, ayam paprik,rojak dan sambal tempoyak.
Hanya mengambil masa lebih kurang 3 jam sahaja saya menyediakan masakan tersebut berseorangan.Alhamdulilah semuanya beres dengan masa yang begitu singkat sekali.Thanks to hubby kerana telah menyalaikan daging terlebih dahulu.....

Alhamdulillah.....rasa senang hati kerana niat untuk menjamu mereka tercapai.Thanks to Mak Itam and Mahathir kerana turut hadir ke rumah saya.Emak pula membawa soto dan juga menyediakan agar-agar santan..

PENA KASIH:
Kepuasan hati......

Tuesday, December 27, 2011

SERBA BARU

Sekolah hampir dibuka dan baru hari ini kami sekeluarga membeli barangan persekolahan anak lelaki.Peralatan tulis sudah dibeli lebih awal cuma persiapan baju, kasut dan beg sahaja yang masih belum dibeli.

Mula-mula Haziq ingin membelinya bersama Along sahaja tetapi ayahnya tidak membenarkan sebaliknya kami sekeluarga turut sama melihat karenahnya memilih sendiri barangan yang hendak dibeli.
Biasalah budak-budak sekarang...berjenama yang menjadi pilihannya tidak seperti kita dahulu.Apa yang dibeli oleh emak dan ayah itulah yang dipakai sehingga lusuh dan koyak barulah digantikan dengan baru.Teringat masa sekolah dahulu, walaupun kami dua adik-beradik tapi kami tidak pernah meminta itu dan ini kerana kehidupan kami bukanlah senang.Tapi kami bersyukur kerana emak dan ayah menitik beratkan pelajaran sehinggalah kami berjaya.

Hubby selalu bercerita tentang kehidupan masa lampau kepada anak-anak agar mereka tahu untuk mendapatkan sesuatu bukannya dengan sekelip mata dan semudah sekarang.Perlu berjimat-cermat.
Tapi my son pandai mengambil hati ayahnya dan adakala ayahnya tewas dengan sikap anak lelakinya.Seperti hari ini, kami berdua keluar ke tempat kerja dan balik sahaja semuanya kemas dan bersih.Baju dibakul siap dibasuh, kain dilipatnya dengan kemas dan diletakkan di setiap bilik bagi memudahkan ayahya menyusun di almari....(itu memang tugas ayahnya),garaj kereta dibasuh,sampah disapu, nasi dimasak,bilik air dicuci dan dapur begitu bersih sekali.Apabila saya turun ke dapur untuk masak, dia turut serta membantu saya.....lalu saya katakan ni mesti nak AMPU mama dan ayah....hendak tidak hendak ayahnya tewas dan membelikan apa yang dikehendaki.Kami sempat berpesan..mama dan ayah boleh belikan untuk Haziq tetapi mesti janji dengan kami, solat jangan ditinggalkan dan pelajaran tetap diutamakan...dia berjanji dengan kami.

Serba baru...itulah yang biasanya diperlukan oleh pelajar-pelajar.Kali ini, kami hanya membelikan sepasang baju sahaja untuk Haziq kerana baginya sudah cukup dan baju lama masih boleh digunakan lagi.

PENA KASIH:Teringatkan beg kotak semasa bersekolah dahulu....beg itulah yang melindungi kepala ini dipancar dek cahaya matahari sewaktu balik dari sekolah....

TEMPE


Mungkin ramai di antara kita tidak menggemari makanan tempe.Begitulah juga dengan saya suatu ketika dahulu.Apabila makanan itu tidak menjadi kegemaran saya, sudah tentu agak sukar untuk tekak saya menerimanya.

Namun semuanya berubah apabila buat pertama kalinya saya melangkah ke daerah Muar iaitu pada tahun 1986.Saya duduk bersama keluarga di situ (orang Jawa) dan setiap petang kami akan dihidangkan dengan makanan tersebut sebagai makanan 'tea-time' bersama dengan kopi o atau teh o.Mula-mula saya tidak teruja untuk merasainya sehinggalah pada suatu hari mak cik tersebut meminta saya mencuba berulang kali.Akhirnya saya merasa makanan tempe tersebut dan ternyata sungguh enak sekali apabila dicecah dengan sambal kicap cili padi.

Apabila saya berpindah rumah di bandar Muar, kami juga tidak ketinggalan dihidangkan dengan goreng tempe yang dicelup dengan tepung dan diletakkan ketumbar jintan manis dan beberapa lagi ramuan dan sememangnya sedap.

Sejak itu, saya mengenali tempe dan sering membeli tempe untuk digoreng dan setiap minggu tempe akan menjadi menu saya.Banyak khasiatnya dengan memakan tempe....cuma anak-anak saya tidak menggemarinya.

PENA KASIH : Suka makan tempe yang digoreng oleh emak....

Monday, December 26, 2011

MATANG.




Sudah lama, kami tidak ke IOI menjengah dua adik-beradik yang sentiasa disenangi apabila bertemu.Melihat gelagat mereka sudah terhibur....

Along,Dila dan Haziq selalu menyebut nama mereka berdua tapi kesibukan kami menyebabkan hasrat mereka tidak dapat kami tunaikan.Kalau dilepaskan Along ke sana with her VIVA..mahu aja dia pergi tapi undang-undang tetap dipatuhi.

Lama mereka tidak bertemu Along...so happy dan terus duduk di riba Along.Macam-macam yang diceritakan kepada Along.Hilang sebentar Along ditanyanya.
Hadif yang paling manja dan meminta Along membuatkannya susu dan juga memandikannya.Manja yang teramat sangat dan sesekali kedengaran ketawa apabila diusik oleh Haziq.

Apa yang kami lihat, kematangan Hapiz kini sesuai dengan usianya yang akan menginjak ke 6 tahun akan datang.Matang dalam bertindak tapi masih ingin dimanjai.HP Along dan DIla menjadi pilihannya untuk bermain 'games' tetapi tidak berani dengan HP Haziq.Emak baru memaklumkan kepada kami yang dia menangis beria-ia kerana inginkan i-pad semata-mata untuk bermain 'games'.Anak yang dilahirkan di zaman kecanggihan teknologi menyebabkan mereka juga ingin memilikinya.....

PENA KASIH :Syukur mempunyai HP yang murah yang membolehkan berhubung...



Sunday, December 25, 2011

SEGAMAT MAJU.....

Alhamdulillah, nampaknya Segamat kini bertambah maju.Pelbagai 'shopping complex' dibina di tanah bumi Segamat ini.
Buat pertama kalinya saya berpeluang untuk melihat sendiri '1 Segamat' dan juga 'Kipmart' yang baru dibuka kepada penduduk di daerah Segamat dan kawasan yang berhampiran.Kalau sebelum ini, orang ramai asyik bercerita mengenai kedua-dua tempat ini, hari ini saya bersama hubby meluangkan masa untuk ke tempat tersebut.

Sejak dari petang lagi, laluan ke Kipmart begitu sibuk sekali sehinggalah ke malam.Ingatkan petang hendak pergi tetapi apabila melihat keadaan kesesakan menyebabkan saya mengambil keputusan pergi pada waktu malam.Masih ramai lagi pengunjung yang datang untuk melihat suasana Kipmart sebagaimana di Johor yang menjadi tempat persinggahan kami apabila saya ke sana.

Dengan pembukaan Kipmart memberi peluang kepada penduduk di sini untuk bekerja terutama kepada remaja lepasan SPM untuk menimba pengalaman.Antara hendak dan tidak hendak sahaja.Selain itu, memudahkan penduduk di sini untuk mendapatkan bekalan makanan 'fresh' serta memberi peluang kepada penduduk untuk membuat pilihan.Namun, yang pastinya kita perlu lebih berhati-hati dalam berbelanja...lihat pula pada harga.Apakah 'Kipmart 'akan terus bertahan di tanah bumi Segamat ini?Bagaimana pula dengan kuasa membeli di kalangan penduduk di sini?.Apakah kewujudan Kipmart tidak memberi kesan kepada peniaga-peniaga lain?kita lihat dahulu....

Kali ini, saya tidak membeli apa-apa barangan di Kipmart kerana barangan dapur dan persiapan anak telah dibeli awal.Saya sekadar melihat harga barangan di situ.Apa-apa pun syabas dengan pembukaan Kipmart ini....

PENA KASIH :Kini mempunyai banyak pilihan....


Saturday, December 24, 2011

JALAN LAGI...MUAR

Hujan turun agak lebat hari ini.Ingat nak duduk rumah aja...hujan-hujan macam ni malas pulak nak keluar rumah.Tapi hubby ajak pergi ke rumah Wak Din untuk menghadiri majlis perkahwinan anaknya.So, kemas-kemas dan terus bergerak ke rumah Wak Din bersama-sama dengan anak selepas solat.

Selepas ke rumahnya, saya memberi cadangan untuk melihat kawasan yang ditenggelami air tapi lain jadinya.Hubby mengajak kami ke Muar.........Anak-anak semuanya happy.Sepanjang perjalanan hujan turun tapi apabila sampai di Muar, hujan tidak lebat dan kami mengambil keputusan ke Wertex untuk membeli barangan persekolahan kedua-dua anak kami.Agak lama juga kami di situ dan apabila diberi peluang kepada anak-anak untuk memilih barangan sekolah...emmm macam-macam yang diambilnya.Kali ini kedua-duanya mengenakan ayah mereka.

Then, kami ke kedai buku....apa lagi novel menjadi pilihan kami dan anak-anak masih tidak cukup lagi membeli peralatan sekolah mereka.Tersenyum ayah mereka melihat gelagat kedua-dua anaknya.

Kemudian, hubby membawa kami ke Simpang Lima Darat di mana di sinilah tempat saya menimba pengalaman sebagai guru sandaran tidak terlatih selama setahun.Hubby menunjukkan sekolah di mana saya berkhidmat kepada anak-anaknya.Jauh sudah berubah kampung tersebut.Rumah emak angkat saya juga sudah berubah tetapi suasana rumah di situ seperti tiada sesiapa.

Kami melalui Sagil dan agak jauh sedikit jika dibandingkan melalui Kg Teratai yang agak dekat dan jalannya lurus.Kalau hendak ke Muar, lalulah Kg Teratai kerana perjalanannya begitu singkat sekali.


PENA KASIH :Masih ada lagi yang belum dibeli.....Melaka menjadi pilihan anak-anak pula.

Friday, December 23, 2011

MESRA PEMIMPIN.....


Sedapnya tengok YB makan durian.



Along mengambil kesempatan bergambar dengan YB...

Mak Itam sempat bergambar.....

Menyampaikan sumbangan untuk projek kampung....terima kasih

Ucapan alu-aluan dan menyampaikan beberapa isu penduduk kampung ini.

Bertanya sesuatu dengan YB...menyampaikan beberapa isu daripada penduduk kampung.

Ayah memaklumkan kepada saya yang YB Datuk Dr.Subra akan hadir ke rumahnya sempena program mesra pemimpin dengan penduduk kampung.Sebenarnya hasrat YB untuk hadir ke kampung kami memang sudah lama disuarakan tetapi kekangan masa membuatkan hasrat itu dipendamkan dahulu sehinggalah hari ini progam tersebut dapat diadakan.

Anggaran kehadiran hanyalah seramai 20 orang tetapi sebaliknya berlaku.Alhamdulillah, makanan yang disediakan mencukupi untuk dijamukan kepada penduduk kampung dan juga tetamu VVIP itu.Emak pula menyuarakan untuk memasak soto,mee sup dan menempah dua jenis kuih untuk jamuan tersebut.Lalu saya setuju dengan cadangan tersebut dan dijamukan juga dengan buah durian dan rambutan.

Terima kasih juga kepada Mak Itam dan Mak Usu yang sudi untuk membantu kami menyediakan jamuan tersebut.Maklumlah paginya saya ke sekolah dan menguruskan beberapa urusan penting sebelum sekolah bermula.Balik sahaja saya terus membantu emak dan sebelum itu saya telah meminta my daughter menyiapkan ramuan untuk masakan tersebut.Pantas sekali kerja-kerja saya dan akhirnya selesai .Along yang mengemas dan menyediakan tempat untuk tetamu yang datang ke rumah.Saya saja membiarkan my daugter menyediakan tempat untuk mereka yang hadir......emmm tapi sekejap aja kerana perlu berjumpa dengan pengarah JPJ Segamat untuk mengambil 'test' memandu pada hari Khamis ini.Saya meminta dia sendiri berjumpa dengan pengarah dan meminta dia mengikut protokol yang sebenarnya apabila berhadapan dengan orang atasan.Mendoakan agar dia lulus ujian memandu pada hari Khamis ini.

Balik sahaja daripada pertemuan tersebut,dia sudah tahu tugasan yang perlu dibuat.Alhamdulillah semuanya selesai dengan baik.


Bersama pemimpin.....

Yb Datuk Dr. Subra yang merupakan Ahli Parlimen Segamat telah menyampaikan beberapa sumbangan untuk penduduk kampung ini.Antaranya pembinaan pagar kubur dan juga meluluskan projek mengetar masjid.

PENA KASIH : Sempat bertanya denga YB beberapa isu .....

Wednesday, December 21, 2011

KERJA-KERJA TERAKHIR...

Sedang membilang hari.....menunggu masa untuk perjumpaan pertama bersama guru untuk sesi persekolahan 2012.Masa berlalu begitu pantas sekali....sekejap sahaja kita bakal meninggalkan tahun 2011.Banyak info yang perlu dimaklumkan kepada semua guru.

Rasanya pada tahun ini, saya rehat sebetulnya hanya seminggu sahaja.Saya lupakan semua kerja persekolahan saya.Saya sekadar merehatkan diri dan membiarkan kerja-kerja itu terbengkalai begitu sahaja.

Minggu-minggu berikutnya barulah saya mendekatkan diri dengan kerja-kerja sekolah saya dan alhmadulillah sehinggalah hari ini setelah hasilan kerja disemak dan disahkan oleh my bos untuk dicetak bagi diagih-agihkan kepada guru sebagai panduan mereka.Memang tidak dinafikan kerja guru bukan hanya habis di sekolah sahaja.Kerja guru bukan sekadar mengajar sahaja tetapi banyak perkara yang perlu kita lihat dan teliti untuk kecemerlangan pelajar-pelajar.Bagi saya, sesibuk manapun saya tetap menyudahkan kerja-kerja saya kerana itu adalah tanggungjawab kita yang perlu diselesaikan.Amanah yang perlu dilaksanakan dengan sebaik mungkin.

Walaupun setiap hari saya perlu ke sekolah untuk menyelesaikan beberapa kerja, itu tidak menjadi masalah kepada saya.Hadir ke sekolah sebelum pukul 8 dan balik lebih kurang pukul 1 dan adakalanya terlajak sehingga jam 5.00 petang.Anak-anak pun tidak pernah merungut kerana mereka memahami tugas saya.Janji makan-minum mereka ada..sudah cukup untuk saya meninggalkan mereka di rumah.

Kini, saya perlu menyemak hasilan kerja setelah dicetak agar ianya tidak tersalah muka surat dan sebagainya.Kadang-kadang penelitian kerja juga perlu andaikata kita tahu itu tugasan kita.Kadang-kadang mereka mengambil mudah sahaja dengan kerja-kerja yang sepatutnya.Sayang bagi mereka yang tidak begitu peka dengan kerja sendiri.

PENA KASIH : Walaupun kita tidak sempurna tetapi kita boleh mencari kelemahan diri sendiri dan membaikinya.....

Tuesday, December 20, 2011

GELI HATI

Bila anak lelaki memaklumkan dia terjatuh dari motor,aku ketawa kecil.Bukan ketawa kerana dia terjatuh tetapi teringat sewaktu aku mula belajar menunggang motosikal.Aku curi-curi untuk belajar menunggang motosikal.Dulu, itulah kenderaan utama orang kampung selepas basikal.Untuk mendapatkan sebuah motosikal pun memakan masa yang lama.Kalau tidak,basikallah menjadi kenderaan mereka.Bila ada rezeki sedikit dan dengan simpanan wang hasil daripada jualan getah,dapatlah mereka membeli motosikal.

Aku beberapa kali memujuk ayahku untuk mengajar aku menunggang motosikal tetapi pujukan aku tidak dilayan oleh ayah.Ayah memang tidak membenarkan kami belajar menunggang motosikal.Mungkin mereka risaukan keselamatan aku apabila sudah pandai menunggang motosikal.Aku tetap juga untuk belajar tetapi belajar secara curi-curi.Aku belajar sendirian tanpa diberi tunjuk ajar oleh ayah.Tapi aku ni memang keras hati...kalau hendak tahu sesuatu aku akan tetap berusaha dengan bersungguh-sungguh sehinggalah hasrat dan impian aku tercapai.Akhirnya,aku mampu menunggang motosikal tanpa berlesen.

Sehinggalah pada suatu hari, aku memberanikan diri untuk pergi ke kedai dengan menunggang motosikal.Rumah aku yang terletak di bawah bukit membuatkan aku rasa takut-takut juga untuk menunggang motosikal apatah lagi kalau mahu menuruni ke rumah aku.Tapi aku tetap aku...kedegilan aku membuatkan aku nekad untuk pergi walaupun cuak di hati tetap ada.Akhirnya aku selamat sampai di kedai ....tapi aku terfikir-fikir macamana hendak menuruni rumah aku yang agak ke bawah bukit.Aku terus memberanikan diri walaupun degupan jantungku begitu kencang sekali.Bukan apa degupan rasa takut sebenarnya.

Aku menunggang motosikal dengan lebih berhati-hati.Rumah aku yang agak ke bawah menyebabkan aku terpaksa lebih berhati-hati lagi.Menekan 'brek' dengan betul-betul agar aku tidak tersasar laju ke depan.Namun,malang menimpa aku.Aku terlepas 'brek' kerana tergamam dan rasa takut begitu kuat sekali.Rumpunan pokok pisang memang telah tersedia menunggu aku.Akhirnya,motosikal aku meredah pokok pisang dan aku betul-betul berada di celah-celah pokok pisang.Alhamdulilah,aku tidak mengalami kecederaan kerana aku diapit oleh dua batang pisang dan betul-betul memuatkan sebuah motosikal aku.Namun, aku rasa takut juga.Takut dimarahi oleh ayah kerana kedegilan aku.Tetapi ayah tidak memarahi aku sebaliknya dia ketawa gelihati melihat aku berada di celah pokok pisang.Sejak itu, aku menjadi orang yang agak 'terror' menunggang motosikal dan lebih berhati-hati.

Aku teringat pula,apabila hasrat anak perempuanku untuk belajar menunggang motosikal.Mula-mula aku tidak membenarkan dia menunggang motosikal kerana aku tidak mahu dia menjadi sepertiku.Tapi anakku tetap degil juga dan ingin belajar.Ayahnya sanggup mengajarnya dan belajar di padang Teratak Kasih kami.Akhirnya dia pandai menunggang tanpa berlesen seperti aku setelah buat pertama kalinya dia tersasar di tengah jalan besar dan sempat dikejar oleh ayahnya kerana takut dilanggar oleh kenderaan lain.Sejak itu, dia boleh menunggang motosikal walaupun aku tidak menggalakkannya kerana keselamatan dirinya.Akhirnya setelah berbincang dengan suamiku,kini dia memiliki......................

PENA KASIH : Kadang-kadang pengalaman itu menjadikan kita lebih berani.

Monday, December 19, 2011

HUJAN LAGI.....


Keadaan sungai Segamat pada 19.12.2011

Bukan rungutan yang ingin dipaparkan...itulah keadaan sebenarnya di hujung tahun dan kita perlu redha menerima segalanya.
Sudah tiga hari hujan turun tidak berhenti-henti.Sedikit sebanyak rasa ngeri dan takut menyelebungi perasaan ini apabila kita sendiri mengalaminya apabila banjir melanda di sekolah saya.Masih terasa penatnya sehingga kini.Penat mengangkat barang belum pun selesai lagi tapi itulah yang perlu kita hadapi apabila tempat mencari rezeki kita menerima bencana banjir.

Awal persekolahan bakal bermula awal Januari tapi keadaan bilik kami masih tidak terurus lagi.Hendak disusun kembali seperti sedia kala, langit masih belum menunjukkan cerah sepenuhnya.Matahari masih belum bersinar seperti biasa.Kalau adapun sekejap selepas itu mendung diikuti dengan hujan renyai-renyai.

Minggu ini, kami semua berada di sekolah menyiapkan kerja terakhir kami sebelum perjumpaan pada 28 hb ini.Hujan yang tidak berhenti-henti mengingatkan saya pada tahun ini tatkala itu hujan terlalu lebat dan tanda-tanda untuk berhenti tiada.Kami masih sibuk berada di sekolah sehinggalah saya mengambil keputusan untuk balik kerana takut terkandas jika lambat balik.Lebih kurang pukul 5.00 petang, kami meninggalkan perkarangan sekolah setelah mengangkat semua barang di tempat yang tinggi.Pengalaman tahun 2006 sudah cukup memberi kesedaran kepada kami.Habis musnah buku rujukan dan dokumen ditenggelami bersama air.Tiada apa yang dapat diselamatkan hanya melihat dalam keadaan kesal kerana kesalahan diri sendiri.

Kini,kami lebih berhati-hati walaupun penat.Semua komputer dibuka dan dipasang apabila kami berada di sekolah untuk menyiapkan kerja-kerja pengurusan kami.Apabila selesai menyiapkan kami susun semula dan diletakkan di tempat tinggi....itulah rutin kami dalam beberapa hari ini.Bukan senang apabila semua milik sekolah musnah.......Memang penat.Apabila sampai di rumah barulah terasa letih yang amat sangat.

Hari ini nampaknya cuaca cerah sedikit dan sekurang-kurangnya kain dijemuran kering.Allah itu Maha Adil....Maha Mendengar rintihan hambaNya.....Kami kasihan melihat mereka yang rumahnya ditenggelami air....bukan tidak penat tapi itulah realitinya yang perlu dihadapi dan alami.

Semoga pada tahun ini Segamat tidak dilanda banjir teruk seperti biasa.Bangun dan bangkitlah memohon kepada Allah agar dijauhi musibah ini...

PENA KASIH : Berat mata memandang berat lagi bahu memikul...

Sunday, December 18, 2011

JALAN LAGI.....MELAKA



Hubby kalau dah jumpa buku.....

Inilah sepupu kami sewaktu kecil...sering bersama dan bergurau-gurau.

Mengambil kesempatan bergambar dengan Sham (my cousin) sebelum beliau ke tempat kerja.

Ingatkan semalam was the last day kami berjalan...rupa-rupanya tidak.Sekali lagi kami ke Melaka untuk menziarahi emak dan bapa saudara yang tidak berapa sihat.Sebelum sekolah buka so, kami mengambil peluang ini untuk menziarahi mereka.Apabila sekolah sudah buka sudah tentu komitmen kepada kerja pula. Kami bertolak pun sudah petang...so hanya beberapa jam sahaja kami di sana.Sepanjang perjalanan hujan turun tidak berhenti-henti..tanda-tanda hendak banjir agaknya.Dari semalam, hujan turun dan kalau berhenti pun hanya seketika sahaja.Namun ,saya bersyukur kerana sampai ke destinasi dengan selamatnya.
Kemudian.ingatkan hendak pergi ke Pantai Kelebang tetapi terlepas jalan...so terus balik aja.Lagipun penat masih terasa lagi perjalanan ke Terengganu.Sepanjang perjalanan balik pun hujan masih turun dengan lebatnya.Then, terima call from Along,ayah ajak singgah di Tangkak dan hendak belanja kami makan Mee Bandung Muar.....Tapi kami menolak kerana ingin makan di Segamat sahaja.Apa-apapun thanks to ayah kerana sering belanja anak-anak dan menantunya makan.....
InsyaAllah,kami akan buat majlis makan-makan pada 29 hb ini jika tiada sebarang halangan untuk kedua-dua family dan emak saudara.....untuk mengeratkan kasih-sayang kami dan menghargai jasa mereka.

PENA KASIH : Kami mendoakan agar Mak Ngah dan Pak Yim sihat....Kami sayang kalian.




Saturday, December 17, 2011

HUTAN LIPUR BUKIT SEKAYU...TERENGGANU













Jalan lagi.. ini mungkin program terakhir kami sebelum sekolah buka.Itupun keputusan 'last minute ' apabila kami mengambil keputusan untuk ke Terengganu.Ayah yang beria-ia untuk ke sana so kami tidak mahu menghampakan hasrat ayah dan emak.

Kami bertolak jam 6.00 pagi dan melalui Jalan Jabor dan hanya mengambil masa lebih kurang 5 jam sahaja.Perjalanan kami agak lambat sedikit kerana hujan yang turun tidak mengira masa.Ada tempat hujan dan tidak hujan.So,hubby drove very slowly and we used one car only.Sebelum itu pun kami banyak kali berhenti untuk rehat-rehat dan hubby pun tidak memandu dalam keadaan tergesa-gesa.

Kali ini kami tidak ke Pasar Payang kerana tujuan utama adalah untuk ke Bukit Sekayu sahaja.Mungkin mereka kata rugi kalau tidak ke Pasar Payang jika tidak ke Terengganu....InsyaAllah kami akan ke sana juga nanti.Kali ini kami pergi balik hari sahaja so mungkin untuk ke sana sudah memakan masa.Ingatkan nak bermalam juga di sana tetapi apabila memikirkan kerja-kerja pengurusan sekolah belum selesai lagi so....lebih baik kami penat sehari daripada menangguh-nangguhkan kerja sekolah saya.

Kami begitu 'enjoy' sewaktu di sana.Deruan air yang deras sesekali menakutkan kami juga.Masing-masing hanya hendak berjalan dan tidak untuk pergi mandi-manda kerana keadaan cuaca yang tidak mengizinkan.Hujan turun dengan lebatnya dan menghalang kami untuk pergi ke tempat yang tinggi lagi.Namun,anak-anak dan anak saudara begitu gembira kerana pada tahun ini, kami telah membawa mereka untuk bersantai dengan lebih kerap jika dibandingkan dengan tahun-tahun dahulu.

Kami bergerak pulang ke Segamat lebih kurang pukul 4.00 petang dan singgah di bandar Kuantan sebelum meneruskan perjalanan pulang.Tabik kat hubby memandu berseorangan tapi sentiasa berbual-bual dengannya untuk mengelak dia mengantuk.Suasana bising di belakang dengan suara riuh rendah anak-anak menghilangkan rasa mengantuk.

PENA KASIH:Suatu kepuasan untuk mengembirakan hati insan yang tersayang.....

Monday, December 12, 2011

Sunday, December 11, 2011

JALAN-JALAN CUTI SEKOLAH....


Makan-makan di Taman Dahlia...sebelum pulang ke Segamat.

















Di Tanjung Balau..





Keindahan pantai Desaru...

Melalui jambatan yang begitu cantik sekali...

Merancang untuk berjalan pada hari Sabtu tetapi kesihatan tidak mengizinkan....so hubby mengajak saya berjalan bersama family pada hari Ahad.....
Akhirnya,kata persetujuan diambil untuk pergi ke Desaru,Tanjung Balau, Air Papan Mersing dan kemudian turun ke Johor Bahru.Kira-kira 360 darjah perjalanan kami.

Kami bertolak lebih kurang pukul 7.30 pagi melalui lebuh raya Senai ke Desaru......agak dekat sedikit.Sepanjang perjalanan ke sana,hujan renyai-renyai sahaja dan kami berharap sangat agar hujan tidak berpanjangan....Syukur kerana sampai di Desaru hujan tidak berapa lebat namun kami tidak lama di situ kerana terlalu ramai dan kami tidak selesa.Akhirnya, hubby mengambil keputusan untuk bersantai di Tanjung Balau.Teringat sewaktu saya berkursus Bina semangat di situ.Hampir 8 tahun agaknya dan banyak perubahan yang berlaku.

Sebelum sampai di sana,kami berehat sebentar sambil menjamu selera dengan bekalan yang dibawa.Masing-masing kelaparan....apatah lagi cuaca yang mendung.Berselera sekali mereka makan masakan yang saya masak.....Bangun awal lagi untuk menyediakan makanan untuk mereka.....ringkas sahaja.

Ombak yang begitu besar dan kuat membuatkan saya tidak membenarkan anak-anak ke tepi pantai....takut juga.Kami melihat dari kejauhan dan kemudian naik ke jeti....SubhanaAllah, begitu cantik sekali ciptaan Allah.......terpegun dan seronok melihat suasana di tepi pantai....dengan deruan ombak dan angin yang bertiup kencang.......membuatkan kami agak lama di situ.Mengamati ciptaan Allah......

Walaupun bunyian ombak menghempas pantai......terasa takutnya.Kami tetap teruja untuk berjalan-jalan di tepi pantai tetapi akhirnya hubby mengajak kami bersantai di batuan besar.Kami mengikut sahaja tapi setiap pergerakan anak-anak kami awasi......Adakalanya terjerit-jerit saya memanggil nama anak.....sesekali takut juga melihat ombak....

Akhirnya,kami hanya berada di kawasan batuan sahaja.....berposing bersama-sama keluarga.Mencatat memori indah untuk mengakhiri percutian kami di situ.Sungguh indah sekali.....melihat Adila mencatat namanya di pasir membuatkan yang lain begitu teruja sekali melakunya.Sekadar suka-suka bermain di tepian pantai walaupun nun jauh di sana ombak sesekali terus mengganas menghempas tepian pantai.

Kemudian, kami teus bergerak meneruskan destinasi ke Mersing...jauhnya.Sesekali berjalan kata emak....langkah diteruskan ,hajat ditunaikan.Air Papan Mersing yang dahulu begitu dikenali menyambut kehadiran kami dengan cuaca yang baik sekali.Nampaknya, tidak ramai yang datang ke sini dan keadaan lautnya pun tidak seindah dahulu....Menyusuri pantai hanya buat seketika sahaja....Kami ke surau yang berhampiran menunaikan solat bersama-sama.Menggamit lagi memori emak dan ayah yang pernah membawa anak-anak tadika ke sini.

Seterusnya ke Johor Bahru melalui Pulada.Teringat pula kepada Mak Usu dan Pak Usu yang pernah tinggal di sini.Akhirnya kami sampai ke rumah Yako jam 7.oo petang dan singgah sebentar merehatkan diri sebelum meneruskan perjalanan ke Segamat.Saya diminta memandu kereta dalam perjalanan balik ke Segamat.Dari Chaah hinggalah ke Segamat saya memandu dalam keadaan hujan yang turun dan sedikit sebanyak mengganggu kelancaran saya memandu.Apatah lagi ketika memandu di waktu malam.....hendak tidak hendak saya lakukan juga.....melihat hubby keletihan.Sesekali membuat kejutan dengan menekan brek agar saya tidak memandu keseorangan....sebaliknya berteman.Alhamdulillah, akhirnya kami sampai lebih kurang pukul 12.00 malam...

PENA KASIH :Seronok melihat anak-anak dan keluarga gembira...

LinkWithin



Related Posts with Thumbnails