Monday, August 31, 2009

NASI AYAM

Sudah sepuluh hari kita menjalani ibadah puasa dan selama itu juga Haziq menjamu seleranya sewaktu berbuka dengan nasi ayam.Ayahnyalah yang terpaksa melayani kerenahnya itu.Saban tahun, apabila bulan ramadhan tiba, selama itulah Haziq mengambil kesempatan untuk berbuka dengan nasi ayam.Tidak rasa jemu langsung.Kami yang lain memang tidak menggemari nasi ayam.

Setiap hari, ayahnya akan membawa Haziq ke bazar ramadhan mencari nasi ayam kegemarannya.Jika tidak kesempatan, tok yahnya pula yang diminta membelikan nasi ayam tersebut.Jika tidak dibeli mulalah tarik muka menunjukkan protes kerana makanan kegemarannya tiada sewaktu berbuka puasa.Hendak tak hendak terpaksalah kami melayaninya/


Pena Kasih: Kurang minat pada nasi ayam.

Sunday, August 30, 2009

TIDAK RUGI MEMILIKI PENAPIS BIO AURA


Hari ini saya didatangi oleh seorang mak cik yang membeli penapis bio aura daripada saya.Beliau mengatakan bersyukur kerana memperkenalkan kepadanya penapis bio aura.Kalau dahulu badannya sentiasa sakit terutama di bahagian sendi-sendi tetapi kini alhamdulillah semuanya tiada lagi.

Ini saya akui sendiri, dahulu di bahagian tumit kaki saya memang sakit dan adakalanya agak sukar untuk saya berjalan.Tetapi setelah saya menggunakan air tersebut, alhamdulillah semuanya tiada masalah lagi.Dahulu saya memang tidak boleh langsung menyentuh apa jenis makanan yang berkacang tetapi kini saya boleh memakannya.Kalau dahulu, sendi di siku saya berasa nyilu tapi kini saya boleh memerah kain dan mengangkat barang.Kesakitan itu hilang dan saya tidak merasa sakit-sakit lagi.

Emak saya mengatakan sejak dia menggunakan air tersebut, kakinya yang sakit sudah hilang begitu juga dengan ayah saya.Baru-baru ini,ayah saya telah mengalami sakit kepala yang teramat sangat.Lalu emak mengambil air tersebut dan disapu pada kepala ayah.Serta merta sakit kepala ayah hilang dan ayah boleh bangun dan pergi ke bazar ramadhan.

Baru-baru ini, adik ipar suami dari Kuala Lumpur terus mencari suami untuk membeli penapis air tersebut. Dia tahu akan keberkesanannya.Beria-ia betul dia hendak memiliki penapis air tersebut dan dia berkata tidak rugi memiliki penapis air tersebut.
Bagi mereka yang badannya mengandungi asid yang banyak, apabila meminum air tersebut akan berpeluh dengan banyak sekali.Ia bertindak balas kepada asid yang ada dalam badan.Mereka juga akan demam dan kemudian akan terasa badan menjadi ringan.Anak saya sendiri mengakui akan kebaikan meminum air tersebut.Badan rasa tidak letih dan tidak sekali-kali dia merungut keletihan sejak berpuasa.

Setiap hari suami akan merendamkan kakinya dengan menggunakan air bio aura dan ternyata memang ada perubahan pada kaki setelah merendamnya.

Pena Kasih:kalau dahulu makan asam mangga mesti kaki terasa sakit kerana terlalu banyak asid di dalam badan tapi kini semuanya tidak menjadi masalah.Bersyukur teramat sangat kerana terbuka hati saya untuk memiliki air penapis tersebut walaupun sebelum ini banyak jenama yang diperkenalkan kepada saya.

MERIAM


Sudah sembilan hari kita berpuasa dan dentuman meriam sudah mula kedengaran.Kadang-kadang bunyi meriam itu mengganggu suasana ketenteraman.Dentuman yang tidak mengira masa sedikit sebanyak mengganggu suasana kesunyian di waktu tengah hari.Kadang-kadang bunyi ketika sedang berbuka.Masa bilakah mereka berbuka?Tidak bersyukurkah mereka dengan kenikmatan di bulan puasa ini?Bukannya salah untuk bermain tetapi bermainlah pada waktu yang sesuai.

Semalam bunyi sahaja azan maghrib, dentuman meriam pun mengekori.Agak merimaskan saya tapi apa boleh buat.Biarlah mereka bermain selagi itu yang menjadi kegembiraan mereka.Cuma saya berharap mereka akan bermain dengan cara yang betul agar tidak berlaku apa-apa kejadian yang tidak diingini.Banyak cerita yang kita dengar apabila mereka bermain meriam.Ada yang putus tangan, mata terkena serpihan meriam dan pelbagai lagi yang akhirnya membawa kepada kecacatan.Harap-harap mereka tidak seperti itu.

Pena kasih: Semasa kecil hanya main bunga api sahaja kalau mercun memang takut bunyinya.Syukur sehingga kini anak-anak tidak pernah merengek untuk dibelikan mercun atau bunga api.



Friday, August 28, 2009

SUDAH SEMINGGU......................

Sudah seminggu kita berpuasa.Syukur kerana dapat mengerjakan ibadah puasa tanpa rasa keletihan yang teramat sangat.Seperti biasa agak cergas.Anak-anak tidak merungut rasa letih.Masing-masing begitu rajin membaca al-Quran.Alhamdulillah, itulah yang mama ingin lihat.Perubahan demi perubahan berlaku.Perubahan ke arah kebaikan.

Sudah seminggu juga mengerjakan tarawikh di beberapa buah masjid dan surau.Syukur kerana mereka telah menunjukkan respon yang baik sekali.Tiada sebarang rungutan mengatakan penat atau malas untuk bertarawikh.Memanjat kesyukuran kepada Allah agar dibukakan seluas-luasnya hati mereka untuk terus beribadat.Dikurniakan kesihatan yang baik agar terus dapat mengerjakan solat.Bukan senang untuk mendidik anak-anak mendekati denganNya.Pelbagai usaha dilakukan oleh ibu bapa agar anak-anak mereka terus mengerjakan solat.Begitu juga dengan saya.Setiap hari mesti mengingatkan mereka agar jangan lupa mengerjakan solat.

Hati ibu akan rasa gembira apabila melihat anak-anak dapat mengerjakan solat dengan teratur,mengaji al-Quran.Syukur sekali kerana anak-anak saya semuanya sudah tamat membaca al-Quran.Anak perempuan saya paling cepat habis menggaji.Seusia sembilan tahun telah habis membaca al-Quran tetapi adik lelakinya berusia dua belas tahun baru habis.Kini,mereka mengulang semula membaca al-Quran dan saya dan ayahnya akan menyemak bacaannya.Saya juga perlu bersyukur kepada emak dan ayah yang telah memberi tunjuk ajar kepada saya sehingga saya mampu untuk mengajar anak-anak membaca al-Quran.Anak-anak ,saya ajar sendiri membaca dengan bantuan ayahnya.Tetapi kami sediakan rotan.

Pena Kasih:Sehingga kini masih lagi dahagakan ilmu keagamaan dan sering meminta tunjuk ajar ayah untuk mengajar saya.

Wednesday, August 26, 2009

INDAHNYA ZAMAN ITU................

Sewaktu usia menginjak ke angka 12 tahun ke atas pelbagai kenangan menjelma dan menjengah di sanubari ini.Di saat menyambut bulan ramadhan,di saat menghadapi bulan ramadhan dan di saat menyambut hari raya.

Ketika itu, dua orang adik emak tinggal bersama kami.Ayah yang menyekolahkan mereka.Ketika itu memang indah sekali terutama ketika hendak menyambut hari raya.Adik emak ialah Pak Lang dan Mak Cik yang agak lama juga tinggal bersama kami.Ketika bersekolah di SBH,Pak Langlah yang membawa saya dengan menunggang basikal.Teringat sewaktu saya membonceng basikal Pak Lang.Terjatuh dari basikal yang tidak disedari oleh Pak Lang.Di tolehnya ke belakang dan didapati saya tiada bersamanya.Rupa-rupanya saya terjatuh dari basikal.Memang menggelikan hati.

Sewaktu hendak menyambut hari raya,Pak Lang dengan Mak cik begitu sibuk memasang pelita di keliling rumah.Bermain mercun dan membakar meriam buatan sendiri.Waktu malam, emak bersama-sama dengan Pak Lang dan Mak cik membuat pelbagai jenis kuih-muih yang begitu enak sekali.Biskut buah kana, semperit,biskut buah, biskut nestum, biskut milo dan pelbagai jenis yang tidak diingati .Sungguh meriah sekali ketika itu.Hari ini kemeriahan seperti itu jauh berubah.Tiada lagi suasana sibuk untuk membuat kuih-muih seperti itu tetapi masing-masing sibuk menjalankan ibadah tarawih.

Kini, anak-anak tidak mengenali jenis-jenis kuih yang menjadi hidangan sewaktu hari raya.Hanya yang mereka tahu adalah rasanya sedap dan kesusahan untuk membuatnya tidak diketahui.Memang saya akui, anak perempuan saya begitu teruja untuk belajar membuat biskut tetapi saya telah terlebih dahulu membuat tempahan biskut.Kasihan anak perempuan saya yang terlalu ingin untuk belajar membuat biskut.Suatu hari nanti, mama akan tunjukkan juga cara membuat biskut yang mudah dan sedap dimakan.
Kini, saya sibuk menjahitkan langsir untuk emak.Tempahan tanpa berbayar sudah dibuat lebih awal.Berbakti untuk emak yang tersayang dan untuk memastikan hati emak gembira dan ceria setiap kali hari raya menjelma.

Pena kasih:Lupa cara untuk membuat biskut buah kana yang merupakan biskut kegemaran.

KERINDUAN..................

Perasaan rindu memang sukar untuk dibendung.Bukan orang tua sahaja yang pandai merindui tetapi kanak-kanak juga mempunyai perasaan seperti itu.Jelas ketara, Apiz begitu merindui seseorang.Sejak akhir-akhirnya ini dan setiap kali kami ke rumahnya untuk membawa emak ke tarawih,setiap kali itulah dia berlari dan terus memeluk Pak Udanya.Hapiz rindu.....itulah kata-katanya.Seorang demi seorang di dakap dan dipeluknya.

"Hapiz, rindukan ayah ke?" Itulah pertanyaan saya.
"Hapiz, rindukan ayah.Hapiz nak jumpa ayah."Kata-kata itu membuatkan saya sebak dan tidak sedar air mata bergelinang.Sekecil itu, sudah tahu akan rindunya pada ayah.Ayahnya akan balik setiap hujung minggu tetapi itu tidak mengubat hati Hapiz.Dia mahu ayahnya sentiasa ada bersamanya.
Justeru,Pak Udannyalah yang menjadi mangsa Hapiz melepaskan kerinduannya.Hapiz akan sentiasa bersama-sama dengan Pak Udanya.Hapiz minta didukung, dibelai dan dimanjakan.Kadang-kadang Pak Udanya akan menidurkannya sebelum pulang.

Kini,Hapiz sentiasa demam.Demam rindu,kata orang-orang tua.Jelas,susuk tubuhnya yang dahulu montel telah susut.Tidak mahu makan tapi hendak sentiasa bersama Pak Udanya.Terpaksalah melayankan kerenahnya.Itulah Hapiz yang sentiasa minta diberi perhatian.

Pena kasih:Kadang-kadang Pak Udanya pula yang merindui anak saudaranya yang keletah itu.

Monday, August 24, 2009

PTK LAGI................


PTK bahagian umum masih belum mencapai keputusan 4.Tahun ini saya ambil lagi sekali walaupun ianya tidak diambil kira kerana saya sedang menunggu surat untuk pelantikan DGA41.Setiap kali peperiksaan dilalui, suamilah orang yang paling sibuk mengingatkan saya agar study.......study.Dialah yang paling sibuk mengejutkan saya supaya bangun dan baca apa yang patut.Tahun ini,saya tidak begitu serius membuat ulangkaji.Dibiarkan masa berlalu begitu sahaja.

Namun saya akan cuba untuk menjawab soalan tersebut sebaik mungkin.Dua hari berada di sekolah kerana bertugas dan memerhatikan kehadiran murid-murid Tahun 6 ke kelas tambahan sebagai satu usaha pihak sekolah untuk membantu dan membimbing murid-murid di saat terakhir menduduki UPSR.Kehadiran agak kurang memuaskan kerana seramai 8 orang yang tidak hadir dengan pelbagai alasan.Pihak sekolah telah mengambil inisiatif dengan menelefon keluarga pelajar tersebut untuk memaklumkan kepada mereka tentang kelas tersebut.

Semalam,Pn Radziah guru matematik telah berusaha untuk membantu murid-murid yang lemah dalam matematik.Mengajar sehingga jam 2.00 petang selepas kelas Sains.Murid-murid yang hendak ambil peperiksaan,guru-guru berasa kecut perut melihat tingkah laku anak murid yang begitu bersahaja.Sebagai guru, kami faham akan naluri ibu bapa yang hendakkan anak-anaknya lulus dan mencapai keputusan yang baik dalam peperiksaan.Justeru, pelbagai usaha telah dilakukan oleh guru-guru bagi memastikan anak-anak murid memperolehi keputusan yang baik dalam peperiksaan.

Apa yang menariknya ialah cara pembelajaran murid-murid Cina di sekolah ini.Mereka berusaha sendiri berjumpa dengan guru-guru hendakkan soalan dan seterusnya mencari jawapan dengan bantuan kamus.Sejak dari awal lagi saya memerhatikan cara pelajar tersebut belajar.Pagi sampai dan terus duduk di ZONE English dan kemudian keluarkan buku serta kamus berhampirannya.Saya lihat kesungguhan mereka mencari jawapan yang tidak diketahui.Berbeza dengan murid kita yang banyak berbual dan bercerita tanpa membuat apa-apa.Saya selalu mengingatkan mereka supaya buat ulang kaji dan jangan malu untuk bertanya.

Pena Kasih:Pernah mendapat keputusan yang paling baik dalam mata pelajaran Matematik mengalahkan murid-murid Cina dan India ketika di darjah 6 SBH.


LinkWithin



Related Posts with Thumbnails