Thursday, November 29, 2012

KECEWA YANG TERUBAT

Banyak juga entri yang telah saya buat tapi akhirnya ia hilang begitu sahaja...mungkin ada kesilapan yang saya sendiri lakukan...tersilap tekan dan sebagainya.Apatah lagi baru-baru ini lappy ni dihantar ke kedai kerana ada masalah teknikal semasa hendak menulis blog.Yang mengecewakan kini, saya tidak boleh upload gambar yang sememangnya menjadi kegemaran dan memori saya suatu ketika nanti.Namun, saya perlu berpuas hati dengan apa yang terjadi kerana mungkin ada hikmah disebalik itu.

Tidak bermakna saya terus berputus asa tapi saya masih boleh menulis kerana itu memang kegemaran saya untuk  mengasah minda saya.Penulisan yang lebih bersantai dan membuat rujukan yang sedikit sahaja jika dibandingkan dengan che Abe yang memang penulisannya mempunyai rujukan yang mendalam.Membaca jambatan ilmu ..itu pesanan che Abe dan saya akui dengan banyak membaca,banyak ilmu yang diperolehi.

Saya terus diberikan dorongan dalam kesibukkan menyiapkan rutin tugasan saya dihujung tahun.Membuat takwim yang nampak mudah tapi memerlukan perancangan, perbincangan dan penelitian yang amat mendalam.Kalau dirasakan sempurna tetap masih ada kekurangan di sana sini dan saya tetap menerimanya dengan redha andai rasa ketidak puasan hati.Terus terang saya katakan saya tidak mampu untuk memuaskan hati semua pihak.

PENA KASIH:

Mengalah dengan cara berdiam......

Friday, November 23, 2012

SEHARI DI TANJUNG MAS,MUAR

Perancangan yang tidak diduga...mengambil keputusan selepas bersarapan pagi tanpa pengetahuan anak kami.Mulanya ingin ke Johor tapi mengalih pandangan ke Muar pula yang kebetulan cuti sempena Hari Keputeraan Sultan Johor.

Selepas melihat beberapa aktivti di situ, kami beralih ke pasar raya yang terkenal di Muar.Membelek-belek buku terutamanya novel yang sudah mula bertapak di hati ini.Then, mesti membeli Surah Yaasin yang bertulisan besar.Mudah untuk membacanya.

Kami tidak lama di situ apabila perut sudah mula berbunyi.Kami ke masjid menunaikan solat dan bersantai sekejap di Tanjung Mas sebelum makan.Mee bandung dan asam pedas Muar di Tanjung Mas menjadi pilihan kami.Kebetulan hari itu, sememangnya ramai, sudah tentu semua gerai penuh dengan orang.Mereka mengambil kesempatan ini untuk makan mee bandung Muar.

Selepas kenyang, kami pun bergerak pulang melalui jalan Pagoh.Cepat dan dekat sekali.

PENA KASIH:

Ada lagi program yang telah dirancang....

Monday, November 19, 2012

TAHNIAH PELAJARKU

Tahniah itulah ucapan yang perlu diberikan kepada pelajar setelah bertungkus-lumus cuba untuk mendapatkan keputusan yang terbaik.Rasa kebimbingan jelas terbayang di awal tahun lagi.Semakin bimbang apabila keputusan peperiksaan pertengahan tahun tidak menunjukkan peningkatan.Namun, ucapan terima kasiih kepada semua guru khususnya yang mengajar Tahun 6 yang telah mula bergerak mencari inisiatif untuk membantu mereka bagi membolehkan SKCC mengekalkan kecemerlangan.


Sebahagian pelajar yang mendapat 5A dalam peperiksaan UPSR.

 Kegembiraan di wajah ibu bapa melihat kejayaan anak-anak mereka.Tahniah kepada ibu bapa yang banyak memberikan sokongan kepada pelajar sekolah ini dalam menjayakan program yang dirancang.
  

Memang tidak dinafikan,pada tahun ini sahaja banyak program yang kami terpaksa lalui dan menerima beberapa kunjungan orang-orang penting dalam pendidikan.Dalam masa yang sama, banyak perkara yang perlu dibereskan sehinggakan kami rasakan tertekan sekali sehingga naik semput dibuatnya.

Tapi kami tidak menjadikan itu sebagai alasan sebalik tetap memastikan anak-anak murid terus cemerlang.Dengan komitmen dan kerjasama yang diberikan oleh guru-guru sekolah ini tanpa mengira masa, tenaga dan wang,mereka terus  berganding bahu membantu murid-murid.Malah kesanggupan guru mengadakan kelas tambahan kepada pelajar setiap hari Sabtu dan Ahad sedikit sebanyak membantu mereka yang lemah untuk meningkatkan peratus kelulusan mereka.Begitu juga setiap hari Khamis dan Jumaat.Guru-guru mengabaikan masa rehat mereka semata-mata untuk memastikan anak didik mereka lulus dengan pencapaian yang cemerlang.Itulah dunia pendidikan.Kecemerlangan anak murid menjadi keutamaan.


Namun, tahniah kepada KP yang telah berusaha menjalankan tugas dan memastikan setiap panitia melaksanakan program yang dirancang.Kejayaan bagi  3  mata pelajaran mencapai keputusan 100% sudah cukup membanggakan apatah lagi GPS di bawah 2,sudah tentu memberikan semangat kepada guru-guru untuk terus memberikan komitmen kepada kerjayanya.


PENA KASIH:

Tiada kejayaan semudah itu...Perlu berusaha dengan bersunggh-sungguh


Friday, November 16, 2012

SINGGAH SEKEJAP

Meow!Meow!Meow!

Tiada lagi  bingitan suaranya lagi.........Kucing yang dipanggil kucing tidak berdisiplin akhirnya meninggalkan kami.Pantas sekalli dan hanya singgah sekejap sahaja di teratak kami.Jika tidak, kepulangan kami dari tempat kerja akan ditunggu di muka pintu dapur.Mengiau meminta diberikan makan dan menumpang kasih dengan kucing lain yang telah sekian lama menjadi penghuni di teratak kami.

Semalam, kepulangan saya dari bandar tidak kedengaran suaranya mengiau seperti selalu.Mencari-cari juga tapi masih tidak nampak kelibatnya.Masih berfikiran positif.....mungkin bermain-main di belakang rumah kami.

Akhirnya, kehilangan terjawab apabila anak lelaki memaklumkan si kucing itu dilanggar lari di hadapan rumah kami.Tidak diketahui siapa yang melanggarnya.

Singgah sekejap sahaja di rumah kami tapi sudah mula menampakkan kejinakkannya.


PENA KASIH:

Semakin banyak kucing datang ke rumah kami.

Wednesday, November 14, 2012

MEOW,MEOW,MEOW

Nyaring sekali bunyi kucing yang kehilangan ibunya....

Sesuatu yang menarik buat diri saya melihat gelagat seorang tua yang terkonyoh-konyoh turun dari kereta lalu mengeluarkan kucing dari sangkar.Geli hati pun ada melihat Pak Tua tersebut tanpa menyedari tindak tanduknya diperhatikan oleh saya.

Saya biarkan pak tua itu dengan perlakuannya.Menggunakan kereta mewah ke hulu ke hilir mencari tempat yang sesuai untuk membuang kucing.Memperlahankan kereta melalui rumah saya tanpa menyedari perlakuannya saya intai dari atas rumah emak saya.

Akhirnya dilepaskan anak kucing dan bertempiaran anak kucing tersebut lari ketakutan.Bersendirian tanpa ibunya, tanpa adik atau kakak dan abangnya.Berbunyi bising mencari sesuatu.Akhirnya, kini kucing tersebut sudah mula menjadi sebahagian daripada penghuni rumah saya.Kucing yang kami panggil tidak berdisiplin seperti kucing-kucing lain yang telah menghuni di luar rumah kami.Sesuka hatinya membuang najis di mana dirasakan suka.....dugaan buat kami.

Hari ini, saya lihat semakin bertambah bilangan kucing di rumah kami.Dari mana datangnya tidak diketahui...Pastinya kalau tidak masuk ke rumah kami tidak menjadi masalah tetapi apabila masuk dan membuang najis di sana sini, tidak lamalah ia akan tinggal di rumah kami.

PENA KASIH:

Layan karenah anak yang menggemari kucing....

TUKANG PAIP BARU

Tukang paip baru dan tidak profesional tapi tetap menghargainya....

Emak mengeluh air tangki yang sentiasa kehabisan di bilik air.Lalu saya maklumkan kepada hubby situasi yang sebenarnya.Lantas,hubby pun menjalankan operasinya memanjat siling rumah untuk melihat tangki air sambil saya menunggu di bawah.Meneriak namanya apabila tiada kedengaran apa-apa di atas siling dan gembira apabila mendengar suaranya menyahut panggilan saya.

Setelah diperika berulang kali, akhirnya dia mendapat bukti menyebabkan air tangki yang tidak naik.Bermulalah operasinya.Kemudian, dia melihat paip di bilik air.Setelah diteliti,lalu mengambil keputusan untuk membuat paip 'direct water' dan tidak melalui tangki.Menjadikan di bilik air ada dua keadaan air terus dan air tangki.

Lebih kurang pukul 5.30 petang, hubby menjalankan tugasnya yang digelar tukang paip tidak profesional dengan keizinnya saya menggelarkan gelaran tersebut melakukan opreasi mengetuk mozek dan membetulkan saluran paip yang dibuat oleh kontraktor cina yang sehingga kini saya tidak puas hati dengan kerjanya.Banyak peralatan yang digunakan tidak memuaskan hati tetapi harga yang dikenakan mahal.Selesai sudah  kerjanya, tiba-tiba dia tersalah tebuk dan terkena pada saluran paip dalam batu sehingga air memancut keluar.Jelas di wajahnya kekecewaan yang amat sangat tetapi apabila melihat wajah saya yang sentiasa memberikan dorongan dan semangat kepadanya,akhirnya kekecewaan terubat....untung juga ada isteri macam saya ni..heheheh.

Dalam keadaan hujan yang lebat dan mendoakan agar ada kedai yang menjual perkakas tersebut, kami meredahnya dan saya lihat wajahnya semakin ceria.Balik dari kedai, hubby melakukan solat sebelum meneruskan kerja-kerjanya sehingga 11.00 malam.Tidak mahu menghampakan hati emak dan ayah.Saya menunggu sambil melayan anak lelaki menonton TV perlawanan bola sepak antara Malaysia dengan Hong Kong.

Berkali-kali dia menyatakan tanda kesyukuran kerana saya selalu memberikan semangat kepadanya.Isteri sentiasa ada bersama suami bak kata emak saya....engkau ni macam belangkas.Mestilah emak,isteri sentiasa di sisi suami tatkala berada dalam kesusahan.

Hari ini, hubby menyiapkan kerja-kerjanya lagi.Menyimin mozek yang telah dipecahkan sambil saya menolong emak memasak dan mengemas dapur.Masak sup tulang, masak lemak ikan baung, sambal petai, sambal tempoyak durian berulamkan timun....enak sekali.

PENA KASIH:

Seboleh-boleh menjaga hati kedua ibu bapa....

Sunday, November 11, 2012

REZEKI

Hari ini adalah sejarah.Setiap hari adalah pengalaman kehidupan kita.Pelbagai pengalaman diperolehi dengan pelbagai cara.Bila kita renung kembali, ada hikmahnya disebalik setiap yang berlaku.Kita perlu akur bahawa setiap ujian yang Allah berikan kepada kita itu ada hikmah yang tersurat dan tersirat.

Begitu juga bila Allah kurniakan rezeki,kita perlu bersyukur dengan nikmat yang diberikan kepada kita.Kehidupan yang sementara di muka bumi ini sudah tentu banyak dugaan dan cabarannya.Kita renung kembali sejarah kehidupan kita di  masa lampau.Kita bersyukur dengan nikmat yang diberikan.

Saya selalu bersembang dengan emak soal solat.Emak sentiasa mengingatkan saya supaya melakukan solat Dhua.Saya masih ingat lagi betapa keinginan emak hendak menjejakkan kaki ke Tanah Suci akhirnya tercapai dalam masa setahun sahaja.Hatinya begitu berlonjak untuk ke sana.Keinginannya begitu kuat sekali.Hampir setahun dia melakukan solat Dhua tanpa berhenti-henti memohon kepada Allah.Alhamdulillah, Allah permudahkan urusan emak.Bayangkan hanya setahun sahaja emak menguruskan pemergiannya ke sana.Namanya tidak tersenarai langsung dalam pemergiannya ke sana pada tahun 2006 tapi dengan keizinNya,dia dapat melepasi segala ujian itu.Syukur, hasrat dan impiannya untuk ke sana sudah tercapai.
Saya akui emak memang jarang sekali meninggakan solat Dhua sehingga kini,Kini, anak-anak dan cucunya telah diajari dan diingati untuk melakukan solat Dhua.Terima kasih, emak.

Allah sentiasa mendengar rintihan hati hambaNya.Namun, saya percaya jika kita sering mengingatkan kedua ibu bapa kita, Allah akan menolong kita.Saya juga pernah berjanji untuk membantu dan mengubah kehidupan keluarga saya.Setiap hari saya bermohon kepadaNya.Linangan air mata memang tidak boleh nak dicakapkan....betapa kasih sayang saya kepada mereka amat mendalam sekali.Saya tahu emak sentiasa mendoakan anak-anak dan cucu-cucunya.Saya selalu mengingatkan anak-anak setiap kali solat jangan lupa mendoakan mereka baik disebelah keluarga saya mahupun disebelah keluarga suami.Kita hanya dipinjamkan sementara sahaja di dunia ini.Walaupun anak memang menyatakan itu dan ini, lantas saya dan suami mengingatkan mereka, biar apapun orang lakukan kepada kita, ingat hanya ALlah sahaja tempat kita mengadu dan berdoa.Kita tidak rugi sedikit pun dengan tindakan yang dilakukan tapi kita akan rugi jika kita tidak berdoa untuk mereka.Kini,anak-anak lebih memahami.

Pastinya dalam mencari keredhaan Allah,kita perlu ingat, Allah kurniakan rezeki kepada kita dan kita perlu lebih bersyukur dengan apa yang dimiliki.Impian akan menjadi kenyataan....

PENA KASIH

Sedang membaca buku berkaitan dengan Rezeki


Saturday, November 10, 2012

MAJLIS GRADUASI HAPIZ...

Hari ini, saya meluangkan masa bersama suami untuk turut serta dalam majlis Graduasi dan Anugerah Kecemerlangan Hapiz.Majlis yang dirasmikan oleh Tuan PPD Segamat.Beliau juga telah memberikan beberapa pendedahan berkaitan dengan PPP kepada ibu bapa.


Hubby meluangkan masa untuk bersama Hapiz....
Persembahan silat yang dipamerkan oleh Hapiz dan rakan-rakannya.Walaupun dalam keadaan demam tapi Hapiz mempunyai semangat juang yang tinggi.Semoga Hapiz menjadi insan yang berguna suatu masa nanti.
His Tok Mok juga ada bersama-sama memberikan perangsang kepada cucunya.

PENA KASIH:

Motivasi dan semangat untuknya.

Friday, November 9, 2012

LAMBAIAN

Hari ini, tutup sudah tirai persekolahan bagi sesi 2012.Sedih dan rindu itulah ungkapan seorang pelajar tahun 1 sambil menangis teresak-esak menyatakan isi hatinya.Hampir 10 bulan berada di alam persekolahan sudah tentu banyak pengalaman yang dialaminya.

Lebih kurang pukul 11.30 pagi, semua pelajar telah berkumpul di kaki lima kelas masing-masing untuk memberi peluang kepada mereka untuk bertemu dan bersalam dengan kakak tahun 6 yang akan meninggalkan mereka.

Lagu 'Sampaikan Salam' dendangan Allahyarham Sudirman mengiringi majlis perpisahan...sayu, sedih dan begitu syahdu sekali.Air mata bercucuran ......
Emmm.......cikgu Supian sempat melihat gelagat dua orang guru..my bos with cikgu Salbiah.Awat hang ketawakan depa.Pian.
Bersama kak Ana yang sentiasa menjadi 'mentor' kami.Terima kasih kepada Kak Ana dan rakan-rakan guru lain yang banyak membantu saya terutama dalam menjalankan tugas di bidang pentadbiran.Sesungguhkan kerjasama dan komitmen yang diberikan kepada kami sebagai pentadbir sudah tentu sedikit sebanyak dapat melancarkan pengurusan pentadbiran sekolah.Memohon maaf di atas tutur kata dan tindakan sepanjang menjalankan tugas bagi sesi 2012.....

PENA KASIH:

Mudah tersentuh hati......

Tuesday, November 6, 2012

HAKA 2012

Alhamdulillah selesai sudah kemuncak akhir tahun di sekolah.Seperti biasa Hari Anugerah Kecemerlangan Akademik adalah penutup tirai program sekolah setiap tahun.Sekolah kami juga telah berpakat untuk mengadakannya pada 6 November 2012.

Kepuasan hati dapat digambarkan dengan kesungguhan para peserta menunjukkan persembahan dan kelancaran perjalanan majlis pada petang ini.Pada tahun ini juga sekolah kami tidak menjemput sesiapapun seballik perasmi telah dilantik daripada kalangan AJK PIBG .


Bersama kumpulan penari Tarian India di bawah pimpinan Cik Prema.
A
Fatin bertemu kembali dengan bekas gurunya sejak tahun 1 lagi....

PENA KASIH:

Pernah mendapat pelajar terbaik dalam mata pelajaran matematik....

Monday, November 5, 2012

TV BERJADUAL

Peperiksaan SPM bermula hari ini.Debaran dada ibu bapa memang tidak boleh hendak cakap...Masakan tidak melihat anak-anak yang mempunyai pelbagai ragam untuk menghadapi peperiksaan SPM.
Haziq juga tidak terkecuali untuk bertarung sama dalam peperiksaan ini.Pelbagai usaha  dan motivasi diberikan kepadanya di saat kecemasan ini.

Dia juga meminta kami tidak membuka tv sepanjang dia mengambil peperiksaan.Kami akur kerana menghormati kehendaknya.Lantas ayahnya telah melakukan sesuatu untuk permintaan anaknya.Saya lihat kad manila dan marker pen telah dibeli.Haziq juga telah memberikan jadual untuk pecutan terakhir yang dibuat oleh sekolah kepada ayahnya.Itulah pengorbanan guru.Mereka berlumba-lumba untuk memastikan anak-anak didik mereka memperolehi kejayaan yang cemerlang.

Akhirnya dengan berbekalkan manila kad dan marker pen, inilah hasilnya:

Kami terpaksa melupakan buat seketika rancangan TV untuk memberi laluan kepada Haziq.Di biliknya juga ayahnya menampal pelbagai kata-kata dan jadual untuknya.Nampaknya dia seronok dengan apa yang ayahnya tulis.

PENA KASIH:

Untukmu Haziq,,,setiap hari titipan doa untukmu tidak lepas daripada bibir mama.Harapan dan doa mama agar Haziq berjaya dengan cemerlang walaupun mama tau keupayaan dirimu.Mama tahu setiap hari Haziq sentiasa berdoa,membaca Yassin dan mama berharap ianya akan berkekalan sampai bila-bila.
Dengar pesan mama....hidup ini bukannya terlalu mudah..kita perlu berusaha untuk mengecapi kehidupan dengan hati yang tenang,Ingatlah kepadaNya.


Saturday, November 3, 2012

MAI PERLIS..

Memang telah dirancang untuk ke sana tapi tidak pasti tarikhnya.Last-last my anak memaklumkan kepada kami ,dia yang kini sedang berjuang dan bergelut dengan peperiksaan akhir semester akan balik ke kampung halaman pada 4 hb  ini.So,kami megambil keputusan ke sana pada 2 hb kerana kami tidak dapat untuk bersama dia pada 4hb kerana my son akan menduduki peperiksaan SPM.Sebelum itu, kami telah menelefon stesen bas untuk menempah tiket.Semuanya sudah habis.Yang ada hanyalah ' train' sahaja.20 tahun lebih tidak menaiki train......Hampir 11 jam berada di dalam train.Pinggang dah mula berasa senggal kerana duduk aja...Nak bangun orang ramai.So, peluang aku perolehi berjalan-jalan bila orang ramai turun satu persatu di setiap stesen.Membetulkan urat pinggangku.Rasa-rasanya tak mahu lagi hendak menaiki train.
 Hubby membaca dan bersama i-padnya.

Kami sampai di stesen Butterworth jam 10.00 lebih.Rehat dan makan di situ sementara mencari teksi untuk ke hotel.Alhamdulillah, kami bersyukur kerana seorang demi seorang memudahkan kekusutan kami.Maklumlah dah malam sampai di Butterworth sudah tentu agak pening juga untuk mencari penginapan.Tapi Allah hantar seorang hamba Allah ini dan semuanya selesai dalam masa yang begitu singkat sekali.Kami menginap di sebuah hotel dan sebelum itu kami membayar tambang teksi.Dia tidak mahu menerima tapi 'orang berbudi.kita berbahasa'.Kami beri juga wang tersebut kerana dia telah berjaya menyelesaikan masalah kami.

Pagi esoknya kami telah berada di stesen bas Butterworth untuk ke Kangar.Allah permudahkan kami kerana niat untuk ke sana lebih awal lagi sedangkan perjalanan ke Kangar jam 9.00 pagi.Hanya tinggal 3 seat sahaja untuk kami.Itu secara kebetulan.Jam 7.30 pagi kami terus menaiki bas ke Alor Star sebelum meneruskan perjalanan ke Kangar.Sampai di Kangar, Along menunggu kami di bus-stand Kangar.Makan sekejap dan hantar dia kembali ke IPG.Kami tidak lama bersama Along kerana tidak mahu mengganggu dia yang akan menduduki peperiksaan jam 2.30 petang.Tidak sampai setengah jam pun kami berjumpa dia.Kami terus meninggalkan dia dengan harapan dan doa agar dia dapat menjawab soalan pada petang itu dengan mudah, lancar dan diberikan ketenangan.

Kami bergerak meninggalkan Kangar dan seperti biasa hubby suka  melalui kawasan kampung yang di kelilingi dengan kehijauan padi.Cantik sungguh.......Sehinggalah kami sampai di kawasan Perak.Hujan mengiringi perjalanan kami.Dalam hati , sentiasa mendoakan agar perjalanan kami ke Segamat selamat.
Banyak juga tempat kami singgah kerana kami menunaikan solat.Paling lebat ialah di Tapah, tapi kami meneruskan perjalanan dengan memandu secara perlahan-lahan.Kali ini, hubby tidak mengantuk langsung.Syukur teramat sangat.Banyak juga kami bertemu dengan 'accident'.Salah seorang 'pakcik tua' yang terbabas dan melanggar penghadang jalan...lantas hubby menelefon 'plus' untuk memberikan bantuan kepada pak cik tersebut.Semuanya berlaku dalam keadaan hujan yang lebat.
 Kami sempat berhenti dan berposing....

Kemudian kami berhenti di RNR Ulu Bernam....minum kopi, mandi dan bersolat.

Kami sampai di halaman rumah jam 11.00 malam....

PENA KASIH:
Syukur Allah permudahkan perjalanan kami.



LinkWithin



Related Posts with Thumbnails